KLIK SAYA SOKONG BLOG

Tuesday, February 28, 2017

DURIAN BELANDA - INOVASI PENDEBUNGAAN BERBANTU

INOVASI PENDEBUNGAAN BERBANTU TANAMAN DURIAN BELANDA merupakan satu kejayaan terkini yang amat dibanggakan oleh Jabatan Pertanian didalam usaha menghasilkan buah durian belanda lebih berkualiti. Ini kerana tanaman pokok Durian Belanda (Annona muricata) dari keluarga Anonaceae merupakan tanaman yang mempunyai peratus kejayaan pendebungaan bunga yang rendah dan menyebabkan penghasilan buah juga rendah bagi setiap pokok matang yang ditanam. Kejadian ini disebabkan oleh masa matang bunga betina dan bunga jantan yang berada didalam bunga durian belanda adalah berlainan masa. Lazimnya daripada penelitian penulis blog dimana bunga betina (stigma) akan matang dan bersedia menerima pollen pada waktu petang (sekitar jam 5.00 petang) tetapi bunga jantan atau pollen hanya akan matang pada waktu malam (sekitar jam 8.00 malam). Ini menjadikan peratus berlakunya proses pendebungaan bagi tanaman durian belanda amat rendah jika dibiarkan berlaku secara semulajadi. Lazimnya agen pendebungaan yang terdapat pada malam hari seperti serangga amat berkurangan berbanding dengan pada waktu siang hari. Hanya tiupan angin kencang pada waktu malam yang menggoyangkan pokok dan bunga membantu proses pendebungaan malam hari ini. Oleh itu kini telah diketahui dimana petani digalakkan untuk menjalankan aktiviti atau proses pendebunggaan durian belanda dengan dua kaedah iaitu PENDEBUNGAAN BERBANTU atau TEKNOLOGI MENGEGARKAN POKOK durian belanda pada waktu malam. Saya ada menulis beberapa rencana berkaitan tanaman durian belanda dalam siri sebelum artikel ini untuk paparkan tenologi pengurusan dan amalan agronomi tanaman durian belanda. bagaimana pun artikel pada subuh yang henig ini jam 4.00 pagi saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai inovasi pendebungaan berbantu tanaman durian belanda untuk dijadikan bahan rujukkan seperti laporan sebuah akhbar tempatan.

Dalam akhbar tersebut yang bertajuk 'Inovasi pendebungaan berbantu durian belanda' oleh Datuk Ahmad Zakaria iaitu Ketua Pengarah Pertanian Malaysia telah saya rujuk dan hurakan lanjut. Penulis blog banyak membuat khidmat nasihat teknikal kepada ramai pegawai, usahawan dan juga petani individu mengenai teknologi pendebungaan berbantu durian belanda (Sila lihat foto disebelah). Ini kerana aktiviti penanaman durian belanda sangat popular dimasa ini disebabkan harga buah segarnya yang baik dipasaran selain daripada khasiatnya yang mampu membantu menjaga kesihatan kepada pengguna. Pada saya Durian belanda atau 'sour soup fruit' yang nama botanikalnya Annona muricata dari famili Annonaceae merupakan buah jenis komposit dan berduri lembut. Rasanya yang masam manis sesuai dimakan segar atau diproses menjadi jus. Durian belanda banyak diperkatakan masa kini kerana daun dan buahnya boleh mengatasi masalah penyakit kanser. Oleh yang demikian, permintaan terhadap buah segar di pasaran tempatan meningkat dan mengalami kenaikan harga antara RM16 hingga RM20 sekilogram (kg). Namun begitu pengeluaran buah durian belanda masih rendah dan bentuk buah juga tidak seragam iaitu kebiasaannya berbentuk ovat, kornet atau jantung.

Bagi mengatasi masalah ini satu temuan terkini adalah kaedah cara pendebungaan berbantu ysng boleh diamalkan dengan memindahkan debunga ke stigma (Sila rujuk foto disebelah kiri)Cara ini didapati akan meningkatkan kejadian buah kepada 30 hingga 40 peratus dan pembentukan buah juga akan lebih besar serta seragam yang berbentuk jantung. Bagi tujuan tersebut jabatan Pertanian memperkenalkan alat inovasi iaitu 'Muricata Shaker' yang dihasilkan bagi tujuan untuk memudahkan aktiviti pendebungaan berbantu. Inovasi ini membolehkan pemindahan debunga kepada stigma dengan kaedah goyangan atau gegaran. Kaedah ini yang disyorkan ini merupakan teknologi paling mudah dan sangat berkesan. Cangkuk berbentuk 'Y' dengan dwi fungsi yang dicipta ini mampu untuk memudahkan gerakan menolak atau menarik dahan untuk menghasilkan kesan goyangan pada bunga. Apabila goyangan dibuat, debunga yang tersedia akan dipindahkan kepada stigma. Aktiviti ini yang dialkukan pada waktu akan dapat menghasilkan pendebungaan yang sempurna kepada keseluruhan stigma dimana ianya akan menghasilkan bentuk buah yang seragam seperti jantung dengan berat purata 2kg hingga 3kg sebiji. Alat mampu milik ini boleh dibeli atau dibuat sendiri oleh semua. Berdasarkan kajian dan pemerhatian, aktiviti ini disyorkan supaya ianya dilakukan pada pukul 8 hingga 10 malam kerana pada tempoh itu, bunga jantan dan bunga betina adalah matang serta serasi.

Alat 'Muricata Shaker' adalah inovasi yang dihasilkan untuk membantu pengusaha dalam kerja-kerja pendebungaan bunga durian belanda terutamanya kepada pokok yang besar dan tinggi. Alat ini adalah hasil usaha sekumpulan pegawai dari Bahagian Hortikultur Ayer Hitam, Johor. Inovasi ini dapat dihasilkan dengan kos yang rendah dan mampu milik. Ia mudah diselenggara dan digunakan oleh pengusaha. Hasil pengeluaran buah yang lebih berkualiti berjaya ditingkatkan sehingga 90 peratus. Bagi keterangan lanjut mengenai inovasi ini, sila hubungi Bahagian Hortikultur, Kompleks Pertanian Ayer Hitam, 86100 Ayer Hitam, Johor di talian 07-758 2036. Pada penulis blog yang telah mengguna dan juga mampu membuatnya sendiri mendapati alat ini merupakan satu kejayaan terbesar didalam meningkatkan pengeluaran buah durian belanda di negara kita. Kaedah lain sebelum ini adalah dengan menjalankan aktiviti pendebungaan berbantu menggunakan teknik manual dimana setiap bunga yang mampu didebungakan menggunakan berus dan debunga jantan. Daripada pemerhatian penulis bolh mendapati jika pokok durian belanda matang tidak dibuat pendebungaan berbantu cuma mampu menghasilkan 6% pengeluaran buah. Sebaliknya dengan teknologi pendebungaan berbantu guna manusia secara manual mampu mencapai sekitar 46% buah dan kaedah pendebungaan menggunakan alat Muricata Shaker mampu mencapai sehingga 96% kejayaan dalam pembentukkan buah durian belanda. Semuga tulisan dalam blog anim agro kali ini memberikan info berguna kepada pembaca semua. Wasallam!!!.
MENANAM POKOK... DURIAN BELANDA...
POKOK BERBUNGA... SUKAR DEBUNGA...
MURICATA SHAKER...ALAT SUDAH DICIPTA...
MENINGKATKAN KUALITI... BUAH BERHARGA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 117, Hotel M-Desing,
Seri Kembangan, Selangor,
Malaysia.
(24 JamadilAwal 1438H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...