KLIK SAYA SOKONG BLOG

Friday, October 9, 2015

TANAM ASAM JAWA - POTENSINYA

TANAMAN ASAM JAWA (Tamarindus indica Linn) adalah sejenis tumbuhan yang penting dari keluarga Fabaceae yang menghasilkan buah asam untuk kegunaan masakan harian. Adakah tanaman ini berpotensi untuk dikomersilkan di Malaysia?. Ini kerana daripada statistik Jabatan Pertanian Malaysia tidak dinyatakan akan ujudnya penanaman pokok asam jawa untuk kegunaan domestik. Boleh dikatakan asam jawa yang ada dijual dipasaran adalah kebanyakannya diimport dari luar negara. Penulis sendiri belum dapat peluang untuk melihat kebun tanaman asam jawa yang komersil selama berkecimpong dalam bidang pertanian lebih 34 tahun di negara ini. Dari buku rujukkan mendapati yang nama lain bagi asam jawa adalah Asam; Asam Jawa; Asam Kemal; Asam Kuning (Melayu), Indian date; Sweet Tamarind; Tamarind (English), Anbli; Ambli; Chinh; Imalii; Tamarulhindi (India), Da Ma Lin; Loa Wang Zi (China), Bakham Somkham (Thailand), Cay me; me; Me chua (Vietnam), Kalamagi ; Salomagi; Sempodok (Filipina), Tamarindo (Jepun) dan Khaam; Kok mak Kham (Laos). Keluasan tanaman asam jawa di Malaysia tidak dilaporkan tetapi penulis membuat anggaran sekitar 25-30 hektar CHE. Ramai juga berminat makan ikan atau daging asam pedas yang mana komponen asam jawa, asam keping atau asam gelugor adalan satu kemestian sebagai ramuan. Penelitian menunjukkan bahawa pokok asam jawa adalah tumbuhan yang natif semula jadi dari benua Afrika. Kini asam jawa telah tersebar luas ke serata dunia dan termasuklah yang ada sedikit di Malaysia. Penanaman asam jawa ini masih kurang djialankan dinegara kita kerana ia tidak diberikan perhatian sewajarnya oleh petani disebabkan belum ada varieti sesuai dan pulangan yang rendah berbanding dengan tanaman komersil lain. . Artikel subuh 12 Zulhijjah 1436 ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai potensi penanaman Pokok Asam Jawa (Tamarindus indica) yang boleh dicuba untuk dimajukan di negara kita jika ada yang berminat.

Dari segi sejarah menunjukkan yang ibu negera Senegal di Afrika diberi nama ‘Dakar’ dalam bahasa tempatan yang bermaksud “pokok asam jawa”. Pokok ini telah pun diperkenalkan ke negara-negara di Asia oleh pedagang-pedagang Arab ke Asia Tenggara. India ialah negara yang mempunyai tanaman dan ladang asam jawa yang paling luas di dunia. Pembacaan saya mendapati yang mana sebanyak 250,000 metrik tan asam jawa dihasilkan setiap tahun didunia dimana 65% dihasilkan di India. Asam Jawa kini digunakan untuk pelbagai kegunaan dimana sebanyak 3,000 metrik tan daripadanya dieksport ke Eropah dan Amerika Utara. Pokok asam jawa sebenarnya mempunyai pelbagai gelaran dan nama tempatan. Pemerhatian penulis menunjukkan pokok asam jawa dewasa mampu menghasilkan buah asam jawa (lengai) sehingga 165-175 kg asam jawa setahun bergantung kepada saiz pokok dan cara pengurusan. Teknik pembiakan tanaman asam jawa adalah menggunakan kaedah cantuman matatunas (bud-grafting) dimana pokok tersebut akan mula mengeluarkan hasil 3-4 tahun selepas ditanam. Buah asam jawa mempunyai dua jenis iaitu Asam Jawa Manis dan Asam Jawa Masam. Dari segi marfologi pokok dan buah serta daunnya agak sama tetapi hasilnya berbeza apabila dituai. Kandungan utama dalam asam jawa adalah asid, gula, Vitamin B dan juga tinggi dengan kandungan Kalsium. Kegunaan asam jawa dari segi perubatan tidak boleh dikira banyaknya. Antara kegunaan komersial didapati asam jawa dijadikan asas bahan penyejuk dalam ubat demam dan sebagai julap bagi mengatasi masalah perut kembung. Sama ada dimakan begitu sahaja atau dicampur dengan jus limau, madu atau susu, asam jawa amat berkesan dalam mengatasi masalah kehadaman, penyakit hempedu dan kekurangan vitamin C (scurvy). Amalan ini juga telah terbukti secara klinikal di beberapa negara (India).

Jika diteliti pokok asam jawa adalah pokok saka yang mana pokok cukup tua boleh mencapai ketinggian sehingga 25 meter. Pokok ini boleh hidup lama dan masih mampu mengeluarkan hasil walaupun telah berusia puluhan tahun. Pada pemerhatian saya mendapati pokok ini tahan dari serangan serangga perosak, tiupan angin kencang malahan tahan terendam dalam air berbanding dengan pokok lain. Batang utama pokoknya walau pun pendek tetapi mempunyai banyak cabang dan bentuk pokoknya adalah rimbun. Dahan dan cabang pokok mempunyai susunan yang terbuka luas. Dahan pokok amat kuat dan tahan tiupan angin kencang dan jarang-jarang sekah atau patah. Kanopi pokok asam jawa juga berbentuk seperti kubah yang bulat melebar. Pokok ini tahan kemarau dan mudah hidup di mana-mana jenis tanah sama ada pada tanah yang subur atau tanah bermasalah. Dikawasan Majlis Perbandaran pokok ini ditanam kerana ianya sesuai dijadikan pokok teduhan dan amat menarik jika ditanam sebagai penghias di bahu jalan. Pencirian pokok asam jawa dikenali dengan daunnya berwarna hijau terang, panjangnya 10-15 cm daripada jenis pinat dengan anak daun berbentuk bujur sebanyak 10-20 pasang. Daunnya sentiasa menghijau tetapi apabila cuaca terlalu panas daun-daun ini akan gugur. Daun ini bertangkup pada waktu malam dan merupakan satu keunikan tanaman asam jawa yang saya pernah lihat. Bunga asam jawa adalah agak kecil yang lazimnya berwarna kuning air dan tumbuh di cabang bahagian hujung. Kelopak bunganya adalah berwarna merah jambu. Ia akan gugur apabila bunga mengembang.

Bunga Asam Jawa yang berjaya melakukan pendebungaan akan mengeluarkan Buah Asam Jawa atau Lenggai. Ia lazimnyaberbentuk panjang dimana ianya dan melengkung sedikit, juga permukaannya genting dan mengelembung beralun yang menunjukkan ada biji benih yang terkandung di dalamnya. Warnanya lengai asam jawa semasa muda berwarna hijau dan bertukar kulitnya menjadi coklat karat apabila matang. Selalunya buah lenggai matang akan menjadi rapuh dan mudah terbuka. Pemerhatian saya menunjukkan apabila lenggai telah merekah bermakna ia akan menampakkan isinya (pulpa) berwarna coklat gelap. Terdapat biji berwarna coklat kehitam-hitaman yang agak keras dan berkilat. Hampir setengah daripada berat lenggai terdiri daripada pulpa yang rasanya masam. Pulpa ini juga mengandungi gula (30-40%) dan asid organik seperti Asid Sitrik, Tartarik, Asis Asitik dan Asid Askorbik (Vitamin C). Pulpa ini juga merupakan sumber bahan makanan yang kaya dengan vitamin dan mineral terutamanya kalsium. Walaupun mengandungi banyak gula tetapi bahagian pulpanya tetap masam juga!. Pokok asam jawa sangat mudah untuk dibiakkan dan cepat. Pemerhatian saya mendapati yang pokok ini mudah dibiakkan sama ada menggunakan biji benih atau secara tampang. Bijinya diketaui memang tahan lama disimpan dan sangat mudah bercambah. Pengalaman saya di Pusat Pertanian Tangkak, Johor mendapati iaitu apabila pokok asam jawa ditanam dari biji maka ia mula berbuah selepas 6-8 tahun manakala yang ditanam secara tampang akan berbuah selepas 3-4 tahun ditanam iaitu lebih cepat. Tangkai buah asam jawa adalah sangat kuat dan liat. Kajian dinegara India yang merupakan pengeluar asam jawa terbesar didunia biasanya akan dibiarkan buah masak di atas pokok hinggalah kandungan airnya berkurangan sebanyak 20%. Bagi tujuan untuk pasaran segar maka buah dipetik dengan menggunting tangkainya supaya lenggai tidak rosak. Sebelum itu dahan digoncang supaya buah yang masak gugur dahulu dan dikutip. Laporan di India menunjukkan pokok yang matang boleh menghasilkan 150-200 kg buah sepokok setahun atau lebih kurang 12-16 tan sehektar (30-55%) pulpa, 11-30% kulit dan gentian dan 33-40% biji.

Buah asam jawa boleh dimakan segar dan ada dijual di pasar kebanyakannya di utara seperti Kedah dan Perlis (Bekalan dari Thailand). Asam jawa biasanya dijadikan jus minuman yang dicampur air gula sebagai minuman segar terutama di Negara Malaysia, Thailand dan Indonesia serta Negara tropika lain. Kini jus asam jawa telahpun dibotolkan dan mudah didapati secara runcit oleh usahawan tempatan dengan pasaran domestic malahan ekspot. Syarikat ADABI menghasilkan puree asam jawa yang ‘ready to use’ dan mendapat pasaran yang sangat luas di Malaysia. Kordial minuman asam jawa juga merupakan antara perisa yang popular di Malaysia. Selain itu asam jawa juga merupakan bahan perisa asas dalam pelbagai jenis masakan atau makanan seperti kari, pelbagai jenis acar, pembuatan sos, bahan awet dan lain-lain lagi. Asam jawa sangat mudah didapati di pasaran dalam bentuk pulpa, berbiji atau tanpa biji yang dibungkus. Peranan asam jawa dalam masakan memang penting dari zaman nenek moyang hinggalah kini. Ada pepatah Melayu yang berbunyi 'garam di laut asam di darat' dalam periuk bertemu jua'. Pepatah ini menunjukkan betapa pentingnya peranan asam dalam kehidupan harian masyarakat kita. Semasa lawatan saya ke Pantai Timur Malaysia khususnya di Terengganu dan Kelantan tahun lepas terdapat aktiviti Industri asas Tani dengan memproses asam jawa menjadi sejenis pencuci mulut. Caranya adalah dengan membuat asam jawa disalut dengan gula pasir, serbuk cili dan dibalut seperti gula-gula. Rasa masam, manis dan pedas ini sangat enak rasanya dan harganya juga sangat murah. Bagi negara Amerika Selatan asam jawa diproses untuk dijadikan bebola manisan, minuman berkarbonat, sirap, jeli, jem, ais krim, bahan awet dan wain. Di Thailand pula, biji asam dikisar untuk dicampurkan ke dalam serbuk kopi. Saya belum minum kopi biji asam jawa tetapi pembaca boleh cuba sendiri buat kopi dari asam jawa dan jangan buang biji asam jawa begitu sahaja.

Asam Jawa sering digunakan sebagai sapuan untuk mengurangkan kesakitan akibat kes-kes keradangan. Ia juga sering digunakan untuk berkumur-kumur bagi mengurangkan sakit tekak. Caranya adalah dengan mengambil sedikit garam dicampur ke dalam air asam dan kemudian ia boleh digunakan sebagai sapuan bagi melegakan sakit sendi. Daun asam jawa sama ada yang kering atau yang telah direbut boleh digunakan untuk merawat bisul, bengkak sendi dan terseliuh. Losyen atau ekstrak daunnya pula boleh digunakan bagi merawat sakit mata, sebagai antiseptik, merawat cirit-birit, jaundis, sakit kulit dan buasir. Kulit pokok asam jawa, jika digoreng dengan garam dan dikisar lumat boleh digunakan sebagai penawar ketakcernaan dan kolik. Air rebusannya digunakan dalam kes radang gusi, lelah dan sakit mata. Losyennya boleh digunakan pada kudis dan ruam ulat bulu. Tepung daripada biji asam digunakan untuk merawat bisul. Terdapat laporan di Afrika Barat dimana air ekstrak dari buah lenggai asam jawa digunakan dalam pewarna untuk mewarnakan kulit kambing. Kulit buah atau pulpanya pula digunakan sebagai bahan 'fixative' bersama-sama kunyit dalam perusahaan membuat pewarna (dye). Kulit buah yang dicampur air masin amat baik digunakan untuk mencuci dan mengilatkan barangan perak, tembaga dan loyang. Daun asam jawa boleh dijadikan makanan kepada ternakan lembu, kambing dan juga ulat sutera menggantikan daun mulberri. Daun dan bunga boleh dijadikan bahan cecair penting kepada bahan pewarna. Bunga asam jawa juga adalah sumber madu yang baik bagi lebah madu (Apis spp.) dimana madu tersebut berwarna kuning keemas-emasan dan sangat manis.

Kegunaan batang atau kayu pokok asam jawa dilaporkan dari jenis kayu keras, berat, kuat, tahan lama dan rintang terhadap serangan perosak. Kayu nya digunakan untuk membuat perabut rumah, panel dinding, roda, gear untuk kilang, pembajak, dinding sampan, pemegang pisau dan alat-alat lain, anak lesung penumbuk beras dan lain-lain lagi. Selain itu, kayu juga boleh digunakan sebagai bahan bakar yang sangat tahan lama dan menghasilkan haba untuk masakan dan juga industri. Kajian menunjukkan yang abu kayu yang asam jawa yang terbakar boleh digunakan bagi merawat dan menanggalkan bulu daripada kulit kambing. Sementara itu dahan, cabang atau akar pokok boleh digayakan untuk dijadikan tongkat (untuk mereka yang melebihi 40 tahun) atau dijadikan bahan hiasan. Pokok Asam Jawa sebenarnya merupakan tumbuhan anugerah tuhan yang mempunyai pelbagai guna. Walau pun buah asam jawa merupakan komponen utama dalam masakan kita seharian tetapi khasiat lain tidak boleh di ketepikan. Banyak kajian boleh dijalankan bagi mengoptimakan penggunaan tumbuhan asam jawa. Malaysia mengimpot 60-80% asam jawa dari negara jiran (Terutama India) kerana pengeluaran tempatan sangat kurang. Kempen dan usaha untuk menanam pokok asam jawa boleh dijalankan terutama di kawasan tanah terbiar dan juga dikawasan tanah-tanah bermasaalah seperti di kawasan Tanah Bris, Tanah Gambut, Tanah Bekas Lombong dan juga Tanah Asid Sulfat. Pakej Amalan Teknologi Tanaman Asam Jawa mungkin mudah untuk disediakan oleh Jabatan terlibat. Mana tahu satu hari nantu akan ada usahawan atau petani yang menanam dan menghasilkan asam jawa secara komersil di Malaysia. Semuga anda dapat informasi berguna dari artikel tulisan saya ke 3,526 ini. Wasallam!.
POKOK ASAM JAWA...SUDAH DIBACA...
PENGELUAR UTAMA...NEGARA INDIA...
MALAYSIA MENGIMPORT...BANYAKNYA...
ADAKAH POTENSI... DITANAM DIMANA!...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
Wilayah Persekutuan,
Malaysia.
(11 Zulhijjah 1436H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...