KLIK SAYA SOKONG BLOG

Tuesday, October 13, 2015

ADA TEBU ADA GULA


KATA-KATA "ADA TEBU ADA GULA" memang ramai yang pernah dengar dan tahu akan peribahasa ini. Ia berkait juga dengan peribahasa lain seperti "Ada Semut Ada Gula" yang bermaksud amat mudah mendapat kawan kalau berharta yang juga sedikit berkait dengan penanaman tebu dan penghasilan gula pasir. Satu lagi adalah "Seperti gula dalam mulut" yang membawa erti suatu pekerjaan yang sangat mudah untuk dilakukan. Paling sinis pada penulis adalah peribahasa "Dimana semut tak mati kalau tidak di Gula" yang bermaksud sebagai manusia sering tertipu akibat pujuk rayu seseorang. Orang dahulu memang pandai berbahasa dan ianya mengkayakan bahasa melayu dengan baik untuk digunakan dan generasi yang akan datang bagi mempelajarinya sejak daripada sekolah rendah sehinggalah menengah. Dahulu dalam semasa peperiksaan, memang ada soalan berkaitan peribahasa ini untuk dijawab. Pada pengalaman penulis yang memang seorang Pakar Sains Pertanian dalam bidang Agronomist memang tahu mengenai agronomi tanaman tebu sama ada tebu gula atau tebu untuk dijadikan air minuman. Tebu atau dalam bahasa Inggerisnya dipanggil Sugarcane mempunyai nama botani sebagai Saccharum officinarum iaitu tumbuhan renek dan merupakan keluarga rumput (Poaceae atau dulu sebagai keluarga Graminae) yang dipercayai atau natif berasal dari kawasan  Asia Tenggara. Tebu mempunyai batang lurus memanjang keatas permukaan bumi dari perdunya mempunyai kulit yang tebal untuk menyimpan sukrose dalam batangnya. Batang tebu ini menyimpan air atau cecair yang menjadi gula yang berbentuk Kristal selepas melalui beberapa proses. Gula Pasir ini akan dihasilkan dengan beberapa tahap proses pengeringan airnya dikilang memproses tebu gula secara komersil. Kewujudan gula yang dikristalkan ini telah lama dilaporkan iaitu semenjak lebih dari 2,500 tahun dahulu di India. Ia digunakan sebagai bahan pemanis dan perisa dalam makanan dan minuman dimana bahan ini akan boleh menyedapkan makanan. Bagaimana pun dilaporkan iaitu pengambilan gula yang berlebihan adalah tidak baik untuk kesihatan. Rakyat Malaysia adalah dikalangan penghuni mukabumi yang suka akan manisan gula dan mempunyai kedudukan ke 4 tertinggi penderita diabetis di dalam negara Asia. Artikel malam ini saya menulis lagi artikel Ke 3,345 dalam "Anim Agro Technology" mengenai peribahasa ada tebu ada gula dan ilmu mengenai tebu dan gula dan kaitan dengan kesihatan manusia.


Penanaman tebu komersil memerlukan kawasan luas dengan cuaca tropika atau separa tropika dengan hujan minima 600 mm setahun. Hanya beberapa negara didunia yang menanam tebu gula untuk diproses menjadi gula pasir atau produk lain berasaskan tebu seperti Molases. Ini kerana bentuk gula akhir yang dijual kepada pengguna di Malaysia kebanyakannya adalag dari jenis gula pasir walau pun ada juga dipasaran gula merah. Siapa boleh jawap berapa juta metrik tan dan nilai import gula pasir ini di Malaysia dalam setahun? Tentunya berbillion ringgit juga. Penulis membuat rujukkan nilaian ini dalam Laporan Ststistik Agromakanan Kementerian Pertanian Malaysia dimana nilai import gula terus meningkat dari RM1.68 billion (2006) kepada RM1.868 billion pada 2007. Nilai untuk tahun 2014 mestinya akan lebih tinggi lagi. Negara hanya mampu mengeluarkan kira-kira satu peratus gula untuk keperluan domestik yang mana kita memerlukan kira-kira 1.3 juta tan setahun. Kini negara terpaksa mengimport 99% gula dari luar iaitu Brazil 41%, Australia 36%, Thailand 14% dan Nicaragua 8% di Amerika Tengah (Sila rujuk rajah pie yang disebelah)Dalam penghasilan gula dunia, terdapat 10 buah negara yang mengungguli carta. Namun demikian, bagi sesetengah negara seperti China walaupun pengeluaran gulanya tinggi tetapi penggunaan domestik oleh rakyatnya juga amat tinggi. 


Beberapa negara pengeluar utama gula mengeksport gula keseluruh dunia (Sila lihat rajah diatas)Antara negara-negara tersebut ialah Brazil, India, China, Thailand, Pakistan, Mexico, Colombia, Filipina, Australia dan Argentina. Namun demikian, tidak kesemua penghasilan gula ini digunakan untuk keperluan industri makanan dan keperluan harian, kerana ia juga digunakan juga untuk penghasilan bahan bakar ethanol terutamanya di Brazil. Ini kerana di Brazil telah menggunakan 30% daripada bahan bakar kenderaan yang menggunakan ethanol melalui proses penapaian air tebu. Oleh itu harga pasaran gula dunia sentiasa tidak stabil tetapi kita di Malaysia memerlukan kestabilan dalam harga dan pembekalan sentiasa berterusan kepada rakyat. Namun demikian, negara kita Malaysia masih bergantung hampir 99% daripada keperluan gula yang diimport. Untuk tujuan menstabilkan harga bagi satu jangka waktu yang panjang, maka mekanisma kontrak niaga hadapan bagi satu kontrak yang panjang diperlukan antara pembekal dengan pembeli. Sebagai negara pembekal komoditi yang lain seperti minyak sawit, kita juga tertakluk kepada kontrak niaga hadapan. Contohnya, jika kita telah menandatangani sesuatu kontrak pembekalan minyak sawit dengan harga yang tinggi untuk satu jangka waktu yang panjang, tiba-tiba pula harga pasaran minyak sawit dunia jatuh merudum. Tetapi kita masih lagi menikmati harga jualan yang tinggi. Itulah dinamakan pasaran derivatif yang melindungi pembekal dan pembeli dengan satu ikatan harga bagi satu jangkawaktu yang telah dipersetujui dalam kontrak. Dalam pengimportan gula, ianya dilakukan oleh syarikat-syarikat yang telah diberi permit import dengan harga yang telah dipersetujui oleh kerajaan. Perbezaan antara harga belian oleh syarikat-syarikat ini dengan harga jualan runcit akan dibayar oleh kerajaan melalui mekanisma subsidi.


Pokok tebu gula memang merupakan salah satu tumbuhan yang memiliki sistem fotosintesis paling berkesan dalam alam tumbuhan dimana ia mampu menukarkan sehingga 2% dari tenaga suria kepada biojisim. Tebu ditanam dari keratan batang berbanding biji benih, walaupun sesetengah jenis tebu masih mampu menghasilkan biji benih, kaedah moden melalui potongan batang telah menjadi kaedah utama pembiakan. Setiap potongan mesti mengandungi sekurang-kurangnya satu kudup dan potongan batang ini biasanya ditanam menggunakan tangan. Selepas ditanam, jambakan batang tebu boleh dituai beberapa kali setiap kali selepas tuaian, batang asal akan mengeluarkan pucuk baru yang dikenali sebagai ratoons. Bergantung kepada amalan penanaman, tuaian antara 2 hingga 10 kali boleh dilakukan antara setiap penanaman. Biasanya, setiap tuaian yang berikut memberikan hasil semakin berkurangan,dan memerlukan penanaman semula dilakukan. Tanaman tebu boleh menghasilkan diantara 60 - 70 m etrik tan sehektar namun jumlah ini boleh meningkat bergantung kepada penjagaan dan pengurusan ladang yang baik.

Dalam penanaman tebu secara komersil, tuaian dibuat menggunakan tangan dan ini diamalkan oleh kebanyakkan daripada pengeluaran tebu dunia. Tebu-tebu yang telah cukup matang akan dibakar apabila daun-daunnya akan cepat dimakan api dengan meninggalkan batang-batang tebu yang tinggi kandungan airnya dan masa penuaian selalunya menggunakan parang mudah dilakukan. Pemprosesan tebu untuk tujuan pengeluaran gula dilakukan di kilang-kilang bagi proses mendapatkan gula mentah berwarna kuning hingga gula perang. Namun bagi penanaman tebu secara kecil-kecilan hasilan tebu dipasarkan di pasaran tempatan untuk tujuan pengeluaran air tebu secara segar. Aktiviti menjual air tebu segar ada di gerai tepi jalan, pasar malam, pasar tani dan juga lokasi strategik. Batang tebu boleh dimakan terus dengan memamah bagi mengeluarkan airnya dan hampas diludah keluar. Air tebu yang dihasilkan melalui tangan atau dengan gunakan mesin eletrik dangan sedikit campuran limau nipis dan air batu menghasilkan minuman yang enak dan sangat digemari ramai. Diharap artikel ini dapat memberikan info kepada anda. Wasallam!.
ADA TEBU ...DISITU ADA GULA...
RASA MANIS...SEBAGAI PERASA...
BANYAK IMPORT...BRAZIL UTAMA...
1.3 JUTA MT...DIIMPOT MALAYSIA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 245, Hotel Leverage,
Jalan Kuala Kedah,
Alor Setar,
Kedah, Malaysia.
(22 Syaaban 1436H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...