KLIK SAYA SOKONG BLOG

Wednesday, October 28, 2015

MESIN RELAI JAGUNG MUDAH


MESIN RELAI JAGUNG merupakan satu peralatan  yang dicipta oleh sekumpulan pegawai Jabatan Pertanian Negeri Kedah dan berjaya menjadi JOHAN dalam pertandingan Inovasi Jabatan Pertanian 2015. Perkara ini telah dapat diumumkan pada Majlis Hari Sambutan Inovasi Jabatan Pertanian Malaysia yang diadakan pada 13 Oktober 2015 di Dewan Serbaguna, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Putrajaya. Ciptaan alat ini merupakan sebahagian daripada 21 hasil inovasi yang dipertandingkan pada tahun 2015 sebagai satu kejayaan yang amat dibanggakan oleh Jabatan Pertanian Negeri Kedah. Tempat kedua juga telah dimenangi oleh Negeri Kedah dengan inovasi penanaman cendawan jerami padi dibawah kawasan kebun getah. Apa juga pun maklumat ini telah dipaparkan oleh Akhbar Harian Metro pada Selasa 13 Oktober 2015 sebagai satu testimoni yang membangga Jabatan Pertanian Negeri Kedah. Artikel tulisan wartawan Mohamad Husin ini agak ringkas sebagai berita akhbar dimana penulis akan menulis semula artikel ini berdasarkan kepada pengetahuan yang saya ada dan juga sebagai salah seorang penilai dalam pertandingan inovasi tersebut. Terdapat banyak jenis mesin yang telah dicipta oleh saintis dalam industri melerai biji dari tongkol jagung iaitu daripada jenis yang paling canggih dari jenis mesin yang beroperasi untuk memproses jutaan tongkol jagung sehingga kepada mesin yang sederhana dan alatan yang paling simpel untuk kegunaan surirumah. Negara pengeluar bijirin jagung utama dunia seperti USA, China mempunyai pelbagai jenis mesin pelerai jagung untuk kegunaan industri mereka sehingga mampu mengeksport bijirin jagung. Malaysia kini adalah negara pengimport bijirin jagung yang tegar dalam membawa masuk dengan banyak oleh beberapa syarikat pembuat makanan ternakan. Bagaimana pun artikel kali ini sambil melihat lalulintas sibuk dari tingkat 13, Hotel Imperial di Kuching Sarawak penulis hanya mengupas inovasi yang dihasilkan oleh Jabatan Pertanian Negeri Kedah yang berjaya menghasilkan mesin perelai biji jagung yang dapat membantu peniaga industri kecil dan sederhana (IKS) dan suri rumah melakukan kerja itu dengan mudah dan cepat. Artikel dalam "Anim Agro Technology" ini mengenai alatan tersebut untuk dijadikan bahan bacaan umum kepada semua.



Daripada penerangan yang telah diberikan oleh kumpulan pencipta ini, mesin ini bersaiz kecil dan amat cekap untuk digunakan terutama oleh usahawan kecil dan sederhana. Mesin ini juga didakwa dapat menjimatkan masa dan tenaga dimana ia direka bagi menambah baik ciptaan mereka dalam megubahsuai mesin sedia ada di pasaran. Alat ini juga amat sesuai digunakan peniaga atau suri rumah untuk membuat jagung cawan, sayur campur, bubur atau ditinkan. Pada penulis yang meneliti alatan ini ia direka khas bagi tujuan memudahkan proses pemisahan antara biji jagung tanpa memerlukan tenaga kerja yang ramai. Dalam temubual dengan Ketua Penolong Pengarah (Bahagian Kejuruteraan Pertanian), Jabatan Pertanian Negeri Kedah Azahar Ibrahim berkata, pihaknya kini sedang dalam peringkat memperkenal dan mempromosi mesin perelai jagung ciptaan Pusat Kejuruteraan Pertanian (PKP) Telok Chengai, Alor Setar (Sila lihat foto paling atas). Beliau yang juga ketua projek berkenaan berkata, inovasi ini mula dilaksanakan pada Jun tahun lalu membabitkan lima kakitangan iaitu Mohd Zaidi Hassan, Mohd Fiqri Shaffie, Jamaludin Ariffin, Abdul Jabbar Tajudin dan Noor Afzai Nizam Abd Manap. Katanya sebelum ini kami mengumpul seberapa banyak maklum balas dari pengguna bagi menambah baik mesin berkenaan di pasaran. Ia juga bertujuan mengembangkan teknologi merelai jagung menggunakan mesin serta memperkenalkan teknologi penyediaan makanan yang lebih baik dan bersih.

Dari segi konsep, mesin perelai ini sama seperti mesin-mesin pengisar lain (Blender) cuma di bahagian tengahnya ada ruang untuk meletakkan tongkol jagung untuk meleraikan bijinya. Mereka mengambil masa enam bulan untuk mencari idea dan menyiapkan mesin pelerai ini. Ia menggunakan motor untuk menggerakkan mata alat pelerai. Beberapa proses modifikasi mata perelai dilakukan untuk disesuaikan dengan buah jagung bagi memastikan biji­nya relai dengan sempurna. Mata pemotong bersaiz 29 milimeter (mm) dipilih berdasarkan saiz optimum bagi setongkol jagung matang,” katanya. Mesin ini juga mudah dikendalikan dan tidak memerlukan tenaga kerja mahir. Mesin ini sesuai digunakan suri rumah dan peniaga yang ingin menjual jagung cawan. Ia hanya mengambil masa kira-kira 15 saat untuk meleraikan biji setongkol jagung. Pada masa ini harga mesin ini ialah RM200 dan boleh dibeli di Jabatan Pertanian Kedah melalui pesanan khas untuk ianya disiapkan dan difabrikasi. Dalam pada ini mereka menerima tujuh tempahan daripada peniaga yang berminat untuk menggunakan mesin ini dan ianya akan bertambah selepas ia mula diketahui oleh ramai pihak. Mereka yang berminat sebaiknya mengetahui bagaimana cara menggunakan dan penyelenggaraann yang perlu dibuat terutama dalam menyelaraskan mata pisau yang terdapat dialam mesin tersebut.


Mengulas lebih lanjut, kumpulan pencipta ini menyatakan bahawa sebelum mesin itu dicipta, tongkol jagung perlu dipotong atau dibelah terlebih dahulu sebelum bijinya dapat direlai. Selalunya proses merelai mengambil masa purata dua setengah minit bagi setiap tongkol jika menggunakan kaedah manual. Bagi isi jagung yang lembut, ia sukar direlaikan. Jika aktiviti melerai ini menggunakan pisau, peratusan isi yang melekat pada tongkol juga banyak dan merugikan. Mesin pelerai itu juga menjadi johan dalam pertandingan Hari Inovasi Jabatan Pertanian 2015 di Wisma Tani, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) di Kuala Lumpur, Ogos lalu dimana penyampaian hadiah dilaksanakan pada 13 Oktober 2015. Meneliti kepada mesin tersebut saya dapati memang terdapat beberapa kelebihan mesin perelai jagung tersebut. Pertama dimana proses melerai biji jagung dijalankan dengan lebih cepat dan mudah, iaitu hanya 15 saat untuk setongkol. Ini dapat menjimatkan masa dan kos melerai biji jagung. selain itu mesin ini juga mempunyai ciri-ciri keselamatan seperti penghadang. Bagaimana pun masih amat praktikan berbanding dengan kaedah meleraikan biji jagung secara manual. Ini kerana cara manual lazimnya akan memerlukan masa yang lama untuk meleraikan biji jagung serta ia memerlukan tenaga kerja mahir. Cara lama juga tidak mempunyai ciri keselamatan seperti tiada penghadang yang boleh menyebabkan risiko kecederaan pada pengguna. Sesiapa yang ingin menjadikan perusahaan melerai jagung manis (Zea mays) sebagai satu punca pendapatan boleh menggunakan mesin ini sebagai alat yang membantu mempercepatkan proses melerai biji jagung. Harga yang murah, tahan lama dan kecekapan mesin ini memang boleh dibanggakan. Tahniah kepada Jabatan Pertanian Negeri Kedah yang berjaya membangunkan inovasi yang simpel tetapi praktikal ini. Wasallam!..
Panel Juri semasa mesin ini dipertandingkan di Serdang, Selangor.
MESIN BLENDER...ASAL USULNYA...
DIPASANG MATA... MUDAH DIGUNA...
HARGA MURAH... PRAKTIKAL JUGA...
BELI SATU.. USAHAWAN AKHIRNYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 1323, Hotel Imperial,
Kuching, Sarawak,
Malaysia.
(21 Oktober 2015)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...