KLIK SAYA SOKONG BLOG

Friday, May 8, 2015

CILI 'L5' - VARIETI BARU


CILI VARIETI 'L5' (Capsicum annum) merupakan satu varieti cili tempatan baru yang dihasilkan oleh MARDI sebagai satu perkembangan baru dalam industri tanaman cili dinegara kita. Info mengenai cili ini penulis dapati semasa menghadiri Pameran Poster dan slide yang dibentangkan dalam Persidangan Confrentech 2015 di Kuching, Sarawak pada 8 April 2015. Seluas lebih dari 2,850 hektar cili atau juga dipanggil 'Lada' atau 'Cabai' ini ditanam setiap tahun dinegara kita dengan anggaran pengeluaran sebanyak 32,600 mt yang bernilai sekitar RM 206.6 juta (Sumber: Laporan Ststistik Jabatan Pertanian). Cili adalah sejenis tanaman sayur tanah rendah yang ditanam secara komersil monokrop terutama di Negeri Johor, Perak, Selangor dan Pahang. Cili adalah sejenis tanaman yang tumbuh menegak, berakar tunjang, batang bercabang berwarna hijau (buku batang berwarna hijau atau ungu bergantung kepada varieti cili) dimana daunnya berwarna hijau muda ke hijau tua dan berbentuk ovat lebar (saiz daun bergantung kepada varieti). Bunga cili berkelopak lima dengan berwarna putih tumbuh keluar dari ketiak dan daun berbentuk loket. Buah cili pula berbentuk tirus memanjang. Biji cili berwarna kuning dengan berat 3.5-5.0 g bagi setiap 1,000 biji cili. Lazimnya bunga cili akan melakukan proses pendebungaan cili dengan cara persenyawaan sendiri. Walaupun begitu 30% dari bunga cili akan berlaku persenyawaan silang juga.Terdapat beberapa varieti cili yang popular ditanam oleh petani dimana ia sesuai untuk pasaran segar. Varieti yang baik perlu mempunyai kandungan pepejal yang tinggi, tahan lama disimpan, pedas, tahan terhadap penyakit dan serangan-serangan serangga perosak. Penanaman cili merupakan antara komoditi yang paling berisiko tetapi ia juga adalah komoditi yang paling menguntungkan jika penghasilan tinggi dan menerima harga pasaran yang baik. Harga cili diladang serendah RM 2.50 sekilogram boleh mencecah kepada RM 18.00 dipasaran runcit terutama semasa musim tengkujuh sekitar bulan November sehingga Januari setiap tahun. Anda boleh membaca artikel saya mengenai cili iaitu Varieti Cili di Malaysia (Sila klik disini), Perosak Cili (Sila klik disini), Cili Padi senang ditanam (Sila klik disini), Menyemai Benih Cili (Sila Klik disini)Usahawan Cili (Sila klik disini) dan banyak lagi,  Artikel kali ini saya menulis mengenai Cili Baru iaitu Varieti 'L5' yang dihasilkan oleh pasukan penyelidik tempatan untuk bahan rujukkan.


Daripada maklumat yang diberikan varieti ini melalui proses biakbaka dengan pemilihan genotaip  melalui kaedah Pemilihan Kaedah Tunggal (Single Selection). Ia melibatkan kacukan antara baka cili Ch 234-14 dengan baka Ch 231 (Sila lihat foto disebelah). Diantara beberapa kelebihan yang didapati dari varieti ini adlah dimana ia mempunyai saiz pokok yang sederhana iaitu sekitar kurang dari 100 cm ketinggiannya (Sila lihat foto paling bawah). Lebar kanopi pokok pula adalah 90 cm lebar apabila pokok cili telah cukup matang sepenohnya. Bentuk pokoknya tumbuh MENEGAK dimana ciri seperti ini sangat sesuai untuk sistem penanaman cili berkepadatan tinggi agar ia lebih memberikan keuntungan.  apa yang hebat didakwa kerana ia berbuah lebat dan masak serentak. Ciri ini memang memudahkan pengurusan dan mengurangkan kos memetik hasil cili. Tangkai buahnya juga mudah untuk dileraikan. Seperti cili lain, warna buah adalah hijau semasa muda dan menjadi merah setelah cukup matang (Sila lihat foto paling atas). Saiz buah adalah besar iaitu diantara 16 - 19 gram sebiji dengan panjangnya diantara 9 - 13 cm dan ukurlilit atau diameter antara 2 - 3 cm. Apa yang kita hendak dengar adalah potensi hasilnya. Cili L5 ini didakwa mampu menghasilkan sebanyak 2 kg sepokok atau purata hasil potensi sekitar 20 - 30 mt sehektar. Ini merupakan asas pemilihan untuk penanam cili memilih varieti selain daripada ketahanan terhadap serangan penyakit dan juga perosak.


Diantara kelebihan cili varieti 'L5' ini adalah kerana ia dikatakan mampu mengekalkan warna dengan baik selepas diproses (Sila lihat foto disebelah). Kajian dimakmal juga menunjukkan kandungan kepedasan atau Capsaicin dalam cili L5  ini adalah sangat sesuai untuk cili ini diproses seperti dijadikan sos cili, cili bor dan sebagainya. Hasil kajian sensori juga menunjukkan cili ini memberikan skor rasa yang sedap. Jadual dibawah menunjukkan analisa sensori yang dijalankan diantara sos cili L5 dengan dua sos jenama sedia ada dijual dipasaran (Kebanyakannya brand tempatan adalah dari bahan Cili Kulai atau Cili Kering Import agaknya). Sos cili L5 menerima skor flat - 7 berbanding dengan dua lain iaitu brand K dan brand M yang mencecah skor 5,skor 6 dan skor 7. Analisa ini membolehkan petani menanam cili ini secara komersil untuk dijual kepada pemproses membuat sos cili. 


Jadual 1: Analisa sensori sos cili L5 dengan sos bran tempatan sedia ada



Kajian mengenai pencirian pokok cili dengan varieti cili kulai juga dilakukan. Ini kerana cili kulai dikatakan jenis cili yang paling luas ditanam di Malaysia untuk pasaran domestik dan juga eksport. Dibawah dipaparkan jadual perbandingan untuk dibuat rujukkan pembaca.


Jadual 2: Analis perbandingan Cili L5 dengan Cili Kulai

Jika dibuat perbandingan diantara Cili L5 dengan Cili Kulai didapati maklumat berikut boleh membantu. Ketinggisn pokok untuk berbunga mendapati Cili L5 lebih cebat berbunga berbanding dengan Cili Kulai (5 hari lebih awal). Begitu juga dengan tempoh pokok berbunga mencecah 50% dimana cili L5 mengambil masa hanya 23 hari sementara cili kulai selama 28 hari. Kecepatan ini menguntungkan petani dari segi kos buruh, bahan input dan pulangan hasil. Dari segi purata hasil setiap pokok cili L5 mencapai 2 kg sepokok sementara Cili Kulai hanya 1.5 kg sepokok. Penulis juga dapati jadual 2 menunjukkan potensi hasil adalah lebih tinggi iaitu 20-30 mt/ha berbanding hanya 15 mt/ha untuk cili kulai. Ketahanan terhadap serangan Antraknos lebih baik iaitu sekitar 5% sahaja berbanding setinggi 5-10% untuk cili kulai. Dari segi serangan CVMV bagaimana pun kedua-duanya adalan toleran. Lain-lain ciri penyimpanan seperti jangkamasa simpanan, suhu bilik dan sebagainya hampir sama untuk kedua-dua jenis cili ini. Isunya adalah dimana, berapa harga benih, bagaimana dan bila petani boleh mendapatkan biji benih cili L5 untuk ditanam?. Sesiapa berminat boleh menghubungi pihak berkaitan. Semuga artikel ini memberi info menarik kepada anda semua. Wasallam!.

TANAM CILI.... VARIETI APA...
CILI KULAI... PALING UTAMA...
VARIETI 'L5'... PERLU DICUBA...
AGAR CILI... STABIL HARGA .. 

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 1016, Hotel Riverside Majestic,
Kuching, Sarawak,
Malaysia.
(9 April 2015)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...