KLIK SAYA SOKONG BLOG

Saturday, May 2, 2015

BOKASI - APA DIA?

BOKASHI adalah perkataan dalam bahasa Jepun yang sama makna dengan bahan organik yang ditapai dengan mengandungi sekumpulan bakteria aktif dalam bokashi yang di panggil EM (Effective microorganism). Saya kali pertama mendengar dan faham akan perkataan 'Bokashi' ini secara tepat semasa menghadiri Kursus EM atau Kyusei Farming di Saraburi, Bangkok, Thailand selama seminggu anjuran EMRO Japan pada tahun 2001. Menurut pakar EM yang mengajar dari Jepun iaitu Dr Imamura, bokasi merupakan salah satu daripada bahan yang baik untuk menyuburkan tanah. Antara yang diajar adalah bagaimana jenis bakteria berguna yang dipakai dalam penghasilan kompos iaitu EM atau bakteria setempat IMO mengandungi beberapa siri bakteria. Dalam keadaan biasa, katanya bakteria-bakteria ini wujud bersama-sama dimana setiap satu mempunyai fungsi tersendiri dan bergantung antara satu sama lain. Selain daripada teori dalam kelas, semua peserta kursus membuat latihan amali membuat bokashi sehingga mendapat sijil daripada pihak mereka. Pengalaman menjalani kursus EM  ini dengan tidur dalam bilik diatas lantai simen (ada tilam nipis) kawasan pusat pertanian dengan 40 perserta dari seluruh dunia memang unik. Lebih banyak latihan hands-on berbanding dengan teori didalam kelas. Artikel malam ini saya menulis mengenai bokashi dan perkara berkaitan dengannya dalam "Anim Agro Technology" sekadar menambah ilmu saya sendiri dan kepada pembaca semua. Ingatan masih lagi kuat semasa menulis artikel ini.

Sebelum bincang lebih jauh mengenai Bokashi, antara pelajaran saya ingat adalah dimana mereka mengenalkan produk EM yang mana ia sebenarnya mengandungi jenis mikrob yang boleh dikelaskan kepada 4 kategori. Mikrob tersebut ialah dari kumpulan Bakteria Fotosintetik, Bakteria Asid Laktik, Actinomycetes dan Yis. Pengelasan ini yang paling mudah difahami dan konsep umum. Bakteria fotosintetik adalah bakteria yang memerlukan cahaya matahari untuk membuat makanannya. Ada banyak bakteria berada dalam kelas ini seperti jenis Chromatrium sp., Chlorotium sp., R. sphaeroldes dan Rhodobacter. Kumpulan ini bertanggung jawab menghasilkan asid amino, asid neukleik, mengikat nitrogen dari udara dan menukarkan gas-gas beracun seperti gas ammonia dan gas hidrogen sulfida kepada unsur nitrogen yang dapat digunakan oleh banyak tumbuhan. Bakteria Asid Laktik berfungsi untuk bantu dan akan mempercepatkan penguraian dan proses penapaian bahan organik. Penghasilan asid laktik oleh bakteria ini membantu mempercepat penguraian lignin dan selulosa yang mana ia merupakan struktur kompleks karbohidrat. Contohnya seperti jenis L. casei, L. plantarium, Streptococus laktis dan juga Psedococus sp. Asid laktik akan menekan pertumbuhan beberapa jenis patogen dan mengurangkan populasinya. Actinomycetes merupakan mikroorganisma yang suka tolong menolong. Ia selalunya akan wujud bersama bakteria fotosintetik. Seperti jiran-jiran yang baik, actinomycetes akan menggunakan asid amino yang dihasilkan oleh bakteria fotosintetik tadi untuk menghasilkan satu bahan antikuman. Contoh adalah seperti jenis Micromonospora sp., Nakarda sp., Propinis bakterium sp., Streptomyces albus dan S. griscusKumpulan terakhir ialah Yis (Yeast). Contohnya seperti Canerda c. utilis, S. cerevisiae dan Sacharomyces. Yis menghasilkan substrat atau  bahan makanan untuk bakteria asid laktik dan juga actinomycetes, hormon, enzim dan bahan antibiotik.


Semasa latihan amali didapati terdapat juga kumpulan cendawan penapaian dalam EM tadi (Sila anda melihat foto disebelah). Lazimnya cendawan ini mempercepatkan penguraian bahan organik, menghasilkan sejenis antimikrob daripada ester alkohol, menghilangkan bau busuk serta mencegah serangga dan ulat perosak. Contohnya Aspergillus oryzae, Aspergillus niger dan juga yang namanya Muchorhiermalis penicillium. Sebenarnya 'Bokashi' adalah sebuah kaedah membuat kompos atau proses dinamakan pengkomposan yang dapat menggunakan starter aerobik ataupun anaerobik untuk mengkomposkan bahan organik. Sebaiknya ia berupa campuran daripada molasses, air, starter mikroorganisme dan sekam padi. Kompos yang sudah menjadi ini akan dapat digunakan sebahagian untuk proses pengomposan berikutnya sehingga proses ini dapat diulang dengan cara yang lebih efisien. Starter yang digunakan amat bervariasi dan ia boleh diinokulasikan dari bahan atau material sederhana seperti najis ternakan, cendawan, spora cendawan, cacing, ragi, acar, sake, miso, natto, anggur atau juga beer. Bahan-bahan tersebut memang mengandungi hidupan mikro-organisme yang mampu melakukan proses pengomposan.


Dalam kursus juga dimaklumkan proses pengomposan buangan makanan dan bahan organik, sampah dapur boleh diproses menjadi bahan yang boleh dikomposkan. Caranya dengan tambah starter dan bahan tambahan yang menjadi pembawa starter seperti sekam padi, sisa gergaji kayu atau pun kulit gandum dan batang jagung. Mikroorganisme starter umumnya berupa bakteria Asid Lactate, Ragi atau Bakteria fototropic. Proses yang seterusnya adalah mikrob ini yang bekerja dalam lingkungan ujudnya bakteria yang akan melakukan proses penapaian (fermentation process) sampah dapur dan mempercepatkan pereputan bahan organik. Selalunya proses pengkomposan berlaku selama 10 - 14 hari. Kompos yang dihasilkan akan terlihat berbeda dengan produk kompos umumnya dipanggil sebagai "Kompos bokashi". Sebenarnya dari segi fizikal akan dilihat keadaan kompos ini adalah hampir sama dengan sampah asalnya namun warnanya adalah lebih pucat. Pereputan akan terjadi segera setelah baja kompos tersebut ditempatkan di dalam tanah. Pengomposan bokashi hanya berperanan sebagai pemercepat proses pereputan sebelum bahan organik dijadikan baja.


Baja Bokashi didapati memang akan dapat memperbaiki sifat fizikal tanah, unsur kimia dan kandungan hidupan dan biologi tanah. Pemberian baja ini pada tanaman akan boleh meningkatkan produktiviti tanaman dan dapat menjaga kestabilan kualiti serta hasil tanaman. Oleh kerana bokasi adalah jenis 'biodegradable' maka pengeluaran baja bokashi tempatan mampu untuk menambah hasil tanaman. Walau pun hakikatnya baja bokashi tidak meningkatkan secara signifikan unsur nutrien dalam tanah, namun ia mampu untuk memperbaiki sifat fizikal, kimia dan biologi tanah sebenarnya kesan lain adalah kemampuannya untuk menambah baja organik dalam tanah. Bokasi juga boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan kandungan bahan organik pada tanah yang keras seperti tanah podzolik seterusnya akan meningkatkan sistem pengudaraan (aeration) dalam tanah dan mengurangkan isu kepadatan tanah. Beberapa kajian menunjukkan kesan dari penambahan baja bokashi daripada bahan arang sekam padi didapati meningkatkan nilai kesuburan tanah. Penambahan bokashi arang sekam padi juga berpengaruh terhadap kekuatan cengkaman pada tanah. Bokashi juga dapat digunakan untuk mengurangkan tanah melekat terhadap alat rotor dan jentera mesin bajak dimana ini akan meningkatkan keberkesanan akviti membajak tanah. Caranya dengan mengaplikasikan baja bokashi sebelum pembajakkan dilakukan diatas tanah atau atas batas tanaman. Tanah akan menjadi subur dengan banyak aktiviti mikro organisma didalamnya. Tanam subur dapat dilihat dengan tanaman yang sihat dan kurang serangan penyakit dan perosak.


Penulis masih ingat bagaimana untuk membuat baja bokasi semasa berkursus (Sila lihat foto disebelah). Persoalan pertama diajukan penceramah Jepun adalah kenapa BOKASHI?. Katanya banyak sisa kebun, sisa makanan sebagai bahan buangan (waste) dimasukkan ke dalam tong dan tidak digunakan. Ini merugikan dan kami masukkan bahan ini dalam tong dicampur dengan pengurai iaitu GULA MERAH sdan juga bahan E.M.(Effective microorganism). Apa yang perlu dibuat adalah dengan sediakan tong untuk pengkomposan (ada dijual atau buat sendiri) dengan dibeli sekitar harga sekitar RM20.00. Kemudian letakkan tong itu berhampiran dengan sinki atau sekitar dapur untuk mudah kita memasukkan semua lebihan makanan, sisa makanan dan sebagainya dalam tong BOKASHI. Sebaiknya kita sediakan bekas kecil yang lain di kawasan sinki basuh pinggan untuk memasukkan reja-reja makanan lebihan kemudian masukkan ke dalam bekas BOKASHI yang besar itu. Biarkan proses reput ini selama 30 hari dimana apabila siap bolehlah dikutip hasilnya melalui muncung paip itu. Anda juga boleh alirkan air (Bokashi juice) yang akan digunakan sebagai baja cecair untuk tanaman dan pokok hiasan dan juga boleh digunakan gantian kepada cecair pembersih (cleaner for clog sink). Sebenarnya diberitahu iaitu air yang di dapati itu boleh dicairkan (diluted) dengan kadar disyorkan iaitu 1:10. Cecair ini juga boleh juga digunakan untuk penghapus perosak tanaman .(masukkan didalam bekas spray). Membuat sendiri aktiviti ini dirumah amat mudah dan menjamin teknologi kelestarian dalam aplikasi Teknologi Hijau. 
Wasallam!. GO GREEN!.


NAMA BOKASHI... JEPUN BUNYINYA...
IA KOMPOS... BAHASA MALAYSIA....
MUDAH DIBUAT... TAHU CARANYA...
TULIS ARTIKEL... KURSUS LAMA..

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Cendana, Jalan IStana,
Bukit Beruang, Melaka,
Malaysia.
(16 Rejab 1436H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...