Support My Blog

Saturday, April 12, 2014

DURIAN - TEKNOLOGI PENUAIAN HASIL

DURIAN (Durio zibethinus) merupakan sejenis buah-buahan tropika yang popular di tanam sebagai 'Raja Segala Buah' dikawasan Asia Tenggara dan beberapa negara lain. Buah durian adalah mudah rosak (perishable fruits) berbanding dengan beberapa jenis buah tropika yang lain. Teknologi memungut hasil dan pengendalian lepas tuai penting didalam pengeluaran buah durian yang bermusim ini.  Buah durian yang masak ranum akan gugur sendiri dan lazimnya hanya boleh dikatakan buah segar selama 1-2 hari sahaja dan selepas itu kualiti durian akan menurun dengan mendadak kalau tidak di buat rawatan penyimpanan. Aktiviti menentukan kematangan indek buah durian belum ramai petani tradisional di negara kita tahu dimana ianya boleh dijalankan bagi tujuan memetik buah durian di pokok seperti dibuat di Thailand. Buah durian hampir masak yang dipetik diatas pokok dan digredkan boleh diekspot kerana mempynyai jangkahayat kesegaran buah dijamin. Artikel tengahari ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" berkaitan teknologi penuaian hasil durian untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukkan anda semua.


Indek Penuaian Buah Durian boleh dibahagikan kepada beberapa tahap.  Lazimnya untuk memetik buah durian pada peringkat matang, terdapat beberapa panduan umum yang telah dibentuk sebagai indeks kematangan buah durian. Walau bagaimanapun tidak semua indeks ini sesuai untuk semua jenis durian. Indeks kematangan tersebut adalah seperti berikut:-


1.  Pengiraan hari mengikut kalendar
Kaedah ini melibatkan bilangan hari dari peringkat bunga kembang atau putik sehingga buah boleh dipetik. Untuk memudahkan penuaian, tarikh pokok durian berbunga dalam sesuatu musim perlu dipastikan. Biasanya tarikh bunga kembang dikira pada masa lebih kurang 70% bunga durian sudah kembang. Umumnya buah durian mencapai kematangan di antara 90 dan 150 hari selepas bunga kembang bergantung pada klon atau kultivar.

2.  Warna duri atau kulit
Bagi kebanyakan klon durian, warna hujung duri buah menjadi coklat tua apabila buah mencapai kematangan. Ini jelas kelihatan kerana bahagian tapak duri dan lurah di antara duri berwarna cerah.

3.  Ciri-ciri lurah pada buah
Lurah atau alur di antara tapak duri mengembang dan warna bertambah gelap apabila buah matang.

4.  Tangkai buah
Buah durian yang keluar dri dahan pokok mempunyai tangkai yang agak panjang. Pada tangkai ini terdapat bahagian absis iaitu bahagian yang akan memisahkan buah daripada pokok (menyebabkan buah luruh) apabila buah masak. Ketika buah masih belum matang, keseluruhan tangkai buah kelihatan sama besar. Apabila buah mencapai peringkat matang, bahagian absis kelihatan membengkak. Buah boleh dipetik apabila garisan absis sudah terbentuk sebahagian atau sepenuhnya. Garisan absis yang terbentuk sepenuhnya mengelilingi tangkai menandakan buah hampir luruh. Tanda sebegini jelas pada klon Chanee, Monthong dan juga D 24.

5.  Keanjalan hujung duri
Buah yang matang biasanya mempunyai hujung duri yang anjal atau liut. Manakala buah yang belum matang mempunyai hujung duri yang keras.

6.  Garis pangsa
Ruangan tempat isi atau ulas isi pada buah durian dipanggil pangsa. Buah durian biasanya mempunyai 5 pangsa. Garisan pangsa itu garisan yang memisahkan pangsa-pangsa ini akan jelas kelihatan pada kulit buah apabila buah sudah matang. Garisan pangsa kelihatan lebih jelas pada buah yang lebih matang.

7.  Bunyi apabila buah diketuk atau dikeruk
Buah yang matang berbunyi kosong apabila diketuk dengan kayu atau rotan atau dikeruk dengan jari, sedangkan buah yang belum matang berbunyi padat.

8.  Cairan tangkai buah
Apabila tangkai buah dituris, cairan akan mengalir keluar. Cairan yang keluar dari tangkai buah yang matang kelihatan jernih dan manis rasanya. Bagi buah yang belum matang, cairan berkeadaan pekat, boleh melekat pada jari apabila disentuh dan tidak berasa manis.

Bagi durian D 24 (Foto diatas), petunjuk kematangan yang paling sesuai ialah pembengkakan bahagian absis pada tangkai buah dan pembetukan garisan pangsa. Walau bagaimanapun, hanya dengan melihat pada garisan pangsa sahaja sudah memadai untuk mengenali buah yang telah matang dan kaedah ini merupakan yang paling mudah. Garisan pangsa kelihatan semakin jelas apabila buah semakin matang. Selalunya garisan pangsa kelihatan timbul apabila buah hampir masak atau gugur. Semua tanda kematangan di atas, walau bagaimanapun, dipengaruhi oleh keadaan alam sekitar dan kultivar yang membolehkan kesilapan berlaku ketika menentukan kematangan buah durian. Keadaan yang panas dan kering boleh mempercepat kematangan buah durian kadang-kadang sehingga 10 hari.


Tempoh Kemasakan Buah Durian
Berapa ramai diantara kita yang mahir mengira dan mengenal teknik mengenal kematangan buah durian. Dalam beberapa rujukdan dan temubual dengan petani durian, Jadual dibawah boleh dirujuk untuk melihat ketepatan indeks kematangan durian.

Lazimnya buah durian yang telah matang, dipetik dengan memotong tangkai buah 3-4 cm ke atas dari zon absis. Tangkai buah biasanya dipotong dengan pisau tajam atau gunting. Buah yang telah dipetik tidak boleh diletakkan di atas permukaan tanah tanpa dialas bagi mengelakkan pencemaran kulat semasa penyimpanan. Seelok-eloknya buah tersebut terus diletakkan di dalam bakul atau bekas yang sesuai. Bagi pokok yang tinggi, buah boleh dipetik dengan menggunakan tangga atau memanjat pokok tersebut. Bagi mengelakkan buah terjatuh ke tanah, buah yang dipetik dimasukkan ke dalam bekas kecil seperti baldi dan kemudian diturunkan dengan tali. Seorang pekerja lain perlu berada di bawah pokok untuk menyambut buah tersebut dan dimasukkan ke dalam bakul mengumpul. Buah juga boleh diturunkan dengan tali sebiji demi sebiji dengan mengikatkan tali pada tangkainya.

BUAH DURIAN... KUAT BAUNYA...
BUAH DIPETIK... TANGGA DIGUNANYA...
GRADING BUAH... PILIH KUALITINYA...
HARGA BUAH .... IKUT VARIETINYA...

By,
 
Taman Cendana
Jalan Istana, Bukit Beruang,
Bandar Melaka,
Melaka,
Malaysia
(21 Safar 1434H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...