KLIK SAYA SOKONG BLOG

Tuesday, April 8, 2014

LEBAH TUALANG - APA HEBATNYA

LEBAH TUALANG (Apis dorsata) merupakan sejenis lebah madu bersaiz paling besar yang gemar membuat sarang di pokok tualang. Pokok Tualang (Koompassia excelsia)  pula merupakan sejenis pokok saka tumbuh dihutan Malaysia dan beberapa negara Asia Tenggara lain dimana pokok ini tinggi tumbuh didalam hutan serta mempunyai banyak dahan. Di kawasan utara Semenanjung Malaysia pokok tualang banyak terdapat di Kedah, Perak, Kelantan, Pahang dan Terengganu sahaja. Lebah Tualang di panggil sebagai 'Giant Honey Bee' terdapat dikawasan Asia Tenggra sehingga kekawasan India Selatan yang mempunyai iklim tropika (Sila lihat foto diatas). Lebah ini yang mempunyai saiz badan besar mampu terbang jauh untuk mencari makanan dan bersarang di tempat yang tinggi pada pokok tualang dihutan. Bagaimana pun pemerhatian saya mendapati kadang-kadang ada lebah tualang yang membuat koloni sarang pada pokok buah-buahan yang rendah ataupun di dalam rumah kayu disekitar kawasan kampong-kampong. Artikel malam Jumaat ini saya menulis dalam 'Anim Agro Technology' mengenai Lebah Tualang untuk dikongsi bersama dengan pembaca blog ini berdasarkan pengalaman, pemerhatian dan rujukkan dari beberapa sumber.

Saiz lebah tualang lebih memang didapati besar daripada saiz Lebah Keran (Apis cerana) dari segi badan dan mampu terbang jauh. Ia jauh lebih besar daripada siz Kelulut (Trigona spp) yang kini semakin heboh diperkatakan ramai orang. Saiz lebah tualang pekerja adalah diantara 16 - 20 mm dengan bersarang pada dahan pokok yang tinggi melebihi 25 meter. Tujuan sarang atau koloni lebah tualang di tempat tinggi adalah untuk mengelakan gangguan oleh musuhnya seperti burung, haiwan, serangga lain dan terutama gangguan oleh manusia bergelar 'Pemburu Madu Tualang'. Lebah ini mampu mendebungakan hampir 50% bunga-bungaan dalam hutan belantara dengan menngunjungi banyak bunga setiap hari. Lebah ini ini tidak sesuai untuk diternak seperti Lebah Keran atau Lebah Impot (Apis melifera) kerana ianya adalah jenis yang defensif. Lebah Tualang akan menjaga sarangnya yang terbuka daripada sebarang gangguan dengan membuat pertahanan untuk koloni. Lebah pekerja juga akan terbang pada awal pagi sehingga petang untuk mengutip nektar dan debunga.

Kebanyakan lebah tualang akan membuat sarang atau koloni dipokok tualang yang sama setiap kali penambahan koloni (swarming) sebelum musim bunga. Satu koloni lebah tualang mamou membentuk koloni sepanjang 1 meter panjang melibatkan lebih daripada 50,000 ekor lebah. Bagaimana pun koloni tersebut hanya mempunyai satu ekor ratu lebah sahaja yang sentiasa akan bertelur. Telur dimasukkan kedalam kom dan dijaga dengan sempurna dan akan diberi makan sehingga menetas dan keluar menjadi lebah dewasa. Nektar dan debunga yang dibawa balik akan di pindahkan antara seekor lebah dengan lebah pekerja lain sehingga kepekatan nektar tersebut mencapai 15 - 20% kandungan air. Madu tersebut akan disimpan kedalam kom madu.  Pemburu lebah madu akan memanjat pokok pada masa simpanan madu sedang banyak dan menurunkannya sebagai 'Madu Lebah Tualang Asli' atau juga di panggil sebagai 'Madu Hutan Asli'.

Burung walit makan lebah.
Musuh utama bagi Lebah Tualang adalah serangan oleh burung pemangsa.  Apabila ada burung pemangsa menghampiri koloni lebah, maka lebah tualang akan melakukan aksi menegakkan abdomen dan sayapnya bergerak menyababkan alunan bunyi dan pergerakan sehingga menakutkan musuhnya. Pemerhatian saya mengenai kekurangan bilangan koloni lebah tualang yang membuat sarang kini adalah signifikan berkurangan akibat keujudan Industri Burung Walit.  Persatuan Perlebahan Malaysia yang membentangkan satu kertas teknikal ada menyatakan bahawa ramai pemburu lebah tualang sekitar Perak, Kedah, Terengganu dan Kelantan mengadu kekurangan populasi sarang lebah tualang semenjak beberapa tahun kebelakangan ini. Saya fikir memang logik dakwaan ini kerana tumbuhnya beribu-ribu rumah burung walit  di Malaysia. Burung walit ini mampu memakan banyak ekor lebah tualang dalam sehari yang berterbangan dan ini saya kira mengesahkan dakwaan tersebut. Selain itu semut juga mengancam sarang lebah tualang kerana ia akan makan propolis dan madu pada koloni lebah yang ada banyak simpanan.

Kualiti madu lebah tualang atau madu lebah hutan banyak diperkatakan sebagai madu lebah terbaik. Ini jika kita hendak bandingkan dengan kualiti lebah yang di ternak secara komersil. Antara kemungkinan adalah kerana lebah tualang hanya mengumpulkan nektar dari pelbagai bunga pokok hutan yang bebas daripada kesan racun dan kimia. Banyak jenis bunga yang dikunjungi yang menyebabkan banyaklah bahan mineral dan unsur lain terkandung didalam madu lebah ini. Kaedah mengutip madu masih secara tradisional dimana dijalankan aktiviti seperti pemujaan sebelum panjat pokok tualang yang tinggi dan merbahaya. Madu lebah hutan asli dijual dengan harga yang lebih tinggi berbanding dengan madu lebah yang diternak atau madu lebah impot. Bagaimana pun kaedah memproses dan pembotolan serta penjualan maadu lebah tualang masih banyak dijalankan secara konvensional. 


Bagaimana kita hendak tahu madu lebah hutan yang kita beli tersebut adalah MADU ASLI?.  Banyak dakwaan yang di ketahui umum mengenai teknik mengenal lebah madu asli. Yang paling selalu dikatakan adalah dengan masukkan madu tersebut didalam peti ais selama 24 jam, jika tidak membeku ianya didakwa asli. Ada yang kata kalau bukan asli ianya akan basi atau menghasilkan buih dibahagian atas botol dan sebagainya. Madu Lebah Hutan Asli lazimnya berwarna gelap atau kuning coklat (bergantung kepada jenis bunga yang dikunjungi) dan tahan lama jika disimpan serta tidak basi. Khasiat madu lebah tualang banyak digunakan untuk kesihatan dan kaya dengan bahan mineral yang dipercayai mempu menyembuhkan banyak masaalah kesihatan. Awas kepada anda yang membeli madu di pasar malam, pasar lambak dimana akan diletakkan kom-kom asal lebah tualang. Jika anda kurang pasti dengan kualiti madu tersebut, bertanya kepada rakan-rakan lain atau peling baik tanya kepada pemburu lebah tualang. Sekian kisah Lebah Tualang untuk bacaan anda. Wasallam.


Penulis memberi latihamal semasa Kurusus Lebah di Muar.
LEBAH TUALANG.... BESAR SAIZNYA...
BERSARANG,,, TINGGI TEMPATNYA...
SUKAR PELIHARA.. LIAR CARANYA....
HASIL MADU ... MAHAL HARGANYA...

Related articles :
1. Lebah Keran (Klik disini)
2. Lebah Madu di Johor (Klik disini)
3. Nektar (Klik disini) 
4. Madu Lebah (Klik disini)
5. Bee keeping Equipments (Click here)
6. Rumput Israel (Klik disini)
7. Bisa Sengatan serangga (Klik disini)

By,
M Anem,
Senior Agrologist (Apiarist),
Pusat Apiari Nasional,
Stesyen Pertanian Parit Botak,
Batu Pahat, Johor,
Malaysia.
(6 JamadilAkhir 1435H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...