Support My Blog

Friday, May 6, 2011

GAJUS


GAJUS (Anacardium occidentale) adalah sejenis tumbuhan dari keluarga ANACARDIACEAE yang dipercayai berasal dari Brazil dan boleh tumbuh dengan baik di Malaysia. Pokok Gajus atau di negeri-negeri pantai timur di panggil 'Ketereh' ini lazimnya ditanam dikeliling rumah untuk kegunaan sendiri. Ladang Gajus sebenarnya pernah di tanam secara komersial di Terengganu oleh Syarikat FIMA pada awal tahun 1980'an sebagai ladang Komersil di Kg Raja, Setiu dahulu yang saya pernah melawatnya. Kini tanaman gajus di Malaysia tidak begitu popular seperti dibeberapa negara pengeluar utama lain. Keluasan tanaman ini di Malaysia adalah 480 hektar pada tahun 2011 sepertimana dilaporkan oleh Jabatan Pertanian. Nama lain gajus adalah seperti Cashew Nut, Apple Cashew, Cajuana (English), Caju (Portugis), Buah Gajus, Ketereh (Malaysia) dan sebagainya. Pengeluaran buah gajus dunia pada 2010 daripada laporan Statistik FAO sebanyak 2.757 juta metrik tan. Negara pengeluar terbesar gajus dunia adalah Nigeria (650,000 mt/tahun) diikuti dengan India (613,000 mt/tahun) dan Ivory Coast (380,000 mt/tahun). Negara lain yang banyak menanam gajus adalah seperti Vietnam, Indonesia, Filipina, Brazil, Tanzania dan Benin. Dari segi produktiviti, negara Peru dilaporkan sebagai  paling tinggi dengan 5.27 mt sehektar sedangkan purata pengeluaran adalah sekitar 1.9 mt/hektar.  Artikel ini saya akan bincang dalam "Anim Agro Technology" mengenai teknologi dan maklumat tanaman gajus berasaskan beberapa buah buku dan kajian persendirian dalam laman sesawang serta pengalaman penulis dalam pengembangan pertanian selama 30 tahun.

Pokok Gajus adalah jenis pokok saka yang tumbuh menegak dengan sistem bercabang yang merimbun dengan ketinggian mencecah sehingga 12 meter (30 kaki). Apa yang saya perhatikan, sistem percabangan pokok gajus tidak menentu dan tidak sekata. Pokok gajus mudah tumbuh di kawasan yang kurang subur dan mampu bertahan dalam keadaan kering. Daun berwarna hijau dengan susnan 'spiral' berbentuk dari bentik 'epiliptic' sehingga kepada bentuk 'ovate'. Lai daun didapati agak tebal serta mempunyai susunan bersilang berukuran 4 - 22 cm panjang dan 2 - 15 cm lebar. Di negara kita saya dapati pucuk daun gajus muda berwarna ungu kemerahan serta digunakan sebagai ulam yang sangat di minati. Bunga Gajus keluar dihujung dahan atau pucuk dengan bentuk beberapa jambak (corymb) dan berwarna kemerahan dengan ukur sekitar 24 - 26 cm panjang. Batang pokok gajus adalah jenis kayu keras yang berkulit tebal berwarna coklat kelabu. Buah gajus 'berbentuk hati' dan mempunyai biji berada di luar buah. Dari segi saintifik, buah gajus sebenarnya dari kumpulan Buah Palsu (False fruit) atau juga dipanggil sebagai Buah Hiasan (Acessories fruits) kerana ia berada diluar daripada buah. Buah sebenar adalah berbentuk oval atau 'pear shape' yang digelar sebagai 'hypocarpium'. Bahagian ini adalah lembut berwarna kuning atau kemerahan dan berjus (juicy) dengan rasa manis serta boleh dimakan.  Bijinya juga berbentuk hati yang juga mempunyai pasaran tinggi untuk di jadikan makanan ringan.

Biji Gajus mberbentuk 'hati' atau ada juga kata berbentuk 'sarung tangan tinju' dengan terletak pada hujung luar buah gajus. Satu biji buah hanya mempunyai satu biji sahaja. Biji ini diselaputi satu lapisan kulit berwarna coklat yang nipis. Sebenarnya biji gajus ini juga adalah diklasifikasikan sebagai bijibenih (seeds).  Biji gajus juga merupakan bahagian paling berguna iaitu sebagai makanan ringan (snack) yang boleh di proses sehingga kering dengan rasa asli, perasa garam,coklat atau masin-manis. Biji gajus mengandungi 54% lemak dan minyak termasuk lemak tepu (18%0, Lemak Tidak tepu (16%) dan Asid Stearic (7%). Kandungan tenaga sebanyak 2,3-4 Kjoule setiap 100 gm dengan kandungan lain iaitu Protin (18.2 g), Lemak (43.5 g), Karbohiderat (35.1 g) dan Serat (3.3 g). Kandungan lain ialah Riboflavin - Vit B2 (0.06 mg), Thiamine - Vit B1 (0.42 mg), Vitamin C (0.5 mg) dan beberapa zat galian seperti Fe, Ca, Mg, Zn, Mn dan banyak lagi.

Penanaman gajus lazimnya menggunakan biji benih dari kultivar terpilih. Kultivar atau varieti gajus tidak banyak di buat kajian lagi dinegara kita dan penulisan mengenai agronomi tanaman gajus agak kurang kerana tanaman ini bukan tanaman penting. Bagaimana pun di negara pengeluar utama mungkin banyak kajian dijalankan mengenai tanaman gajus. Apa yang saya rujuk dari bku, pertumbuhan pokok gajus adalah jenis pokok yang tumbuh dengan lambat dan perlahan. Kaedah penanaman adalah dengan menyediakan anak benih daripada biji bernas disemai didalam polibeg. Apabila anakbenih sedia untuk dialihkan keladang ia perlu mencapai saiz yang sesuai. Kaedah mudah menanam gajus secara tradisional adalah dengan meletakkan beberapa bijibenih gajus diletak dalam satu lubang dan apabila anak benih tumbuh baru di buang yang kurang subur. Ada juga kaedah pembiakan tanaman gajus dengan menggunakan 'grafting', 'air layering' dan juga 'inarching' dijalankan. Mengubah anak benih semaian pokok gajus juga tidak begitu mudah kejayaannya. Jarak tanaman di syorkan adalah 10m x 10m pada peringkat awal dimana lazimnya kemudian dijarakkan kepada 20 m x 20 m selepas berumur 10 tahun. Kepadatan pokok sebanyak 250 pokok sehektar.

Pokok Gajus lazimnya tidak memerlukan penjagaan yang rumit untuk pertumbuhan. Bagi tanaman gajus, adalah digalakan penanamann selingan dengan tanaman kontan seperti pisang, kacang tanah, sayur-sayuran, jagung dan sebagainya untuk menambah pendapatan sementara pokok gajus membesar. Teknik cantasan pembentukan pokok gajus tidak sekata kerana bentuk percabangan adalah tidak seragam. Buang mana-mana dahan yang kurang sesuai, berpenyakit dan tidak subur. Pembajaan dan kawalan musuh dan perosak dijalankan bersama penjagaan tanaman selingan. Bagi tanaman gajus di kawasan tanah Bris, ia memerlukan pembajaan tambahan dengan baja organik untuk meningkatkan kesuburan kerana tanah bris sangat kurang mengandungi baja organik. Pokok  gajus agak tahan kepada keadaan kemarau atau hujan berlebihan jika telah matang. 

Pokok Gajus akan mula berbuah selepas 3 tahun penanaman jika dijaga dengan baik. Pada masa sama dahan di bahagian bawah pokok perlu dibuang dan buah boleh di kutip. Anak pokok atau 'suckers' yang tumbuh di keliling pokok juga perlu di takai. Penghasilan akan menjadi optima pada pokok berumur 10 tahun sehingga pokok berumur 30 tahun jika di uruskan dengan baik (Bukan Tanam-Tinggal-Tuai). Bunga gajus lazimnya aktif keluar pada cuaca atau musim panas dan selalunya buah akan matang secara berperingkat-peringkat sepanjang tahun. Dibeberapa negara pengeluar utama tanaman gajus seperti di Nigeria dan India, penanaman gajus di jalankan dengan pengurusan dan penjagaan agronomi yang baik. 

Kajian menunjukkan daripada berbunga sehingga buah masak perlukan masa 3 bulan. Buah yang masak akan jatuh ketanah (Bahagian 'apple') akan jadi kering dan bijinya tersembul. Buah yang jatuh akan dikutip dan diasingkan bijinya dan diproses. Jika buah belum cukup matang dan di petik untuk ambil bijinya agak liat dan sukar walaupun menggunakan mesin mekanikal. Biji akan dibuang kulit dan di goreng (tanpa minyak - roasted) sebelum di gredkan dan diberi perisa seperti garam. Biji yang siap diproses di masukan dalam plasitk kedaop udara (Vacuum packed) untuk menjamin kualitinya.

Laporan di negara pengeluar utama gajus dunia sperti di Tanzania, India, Mozambique, Kenya dan Sri Lanka mendapati potensi hasil dicapai antara 800 - 1,000 kh sehektar biji gajus. Kaedah pembajaan yang diurus dengan baik mampu meningkatkan hasil kepada 1,600 kg sehektar seperti dkjalankan di India dan Tanzania. Pokok yang menghasilkan buah yang banyak lazimnya memberikan biji gajus bersaiz kecil dan agak rendah kualitinya. Laporan kajian di Brazil pula menunjukkan potensi penghasilan sebanyak 17.8 kg sepokok dapat di tingkatkan kepada 48.7 kg sepokok dengan aplikasi baja yang betul dan pengurusan tanaman yang sempurna.

Kegunaan biji gajus memang tidak dapat dipertikaikan lagi. Harga pasaran biji gajus juga agak tinggi iaitu USD 0.33 satu kilogram dan satu paket 100 gram di Langkawi dijual RM 10.00 atau (RM 100/kg). Satu yang unik di Malaysia mengenai tanaman gajus adalah aktiviti memakan pucuk daun muda gajus untuk djadikan sebagai 'Ulam Pucuk Gajus' yang dimakan dengan nasi dan sambal belacan (Foto kiri). Pucuk muda ini dituai secara manual dengan memotongnya dengan tangan secara manual. Daun gajus perlu dibasuh dan diikat untuk dijual atau dimakan terus. Saya dapati memang sedap dan menyelerakan ulam pucuk gajus yang dimakan bersama nasi putih dan dicecah dengan sambal belacan. Kajian dipasar tani dan pasar malam mendapati 2-3 ikat pucuk hajus dijual RM 1.00 - RM 1.50 seikat. Sebaiknya kita tanam sendiri pokok gajus dalam kawasan rumah (jika ada tanah) untuk diambil pucuknya bagi dijadikan ulam. Kayu dari pokok gajus juga digunakan di kampung sebagai bahan kayu api untuk masak dan juga bileh diproses untuk dijadikan perabut menarik dan sebagainya. Ada juga produk gajus dibuat alkohol seperti yang dijalankan di India untuk kegunaan penduduk tempatan. Tanaman gajus memang tanaman yang masih ada potensi untuk di tanam di negara kita jika betul-betul ingin melihat tumbuhan ini di menafaatkan. Wasallam!.

TANAMAN GAJUS .... PELIK BUAHNYA ....
ISI DIDALAM....BIJI BERADA DILUARNYA....
BIJI GAJUS DIPROSES...SEDAP RASANYA....
PUCUK GAJUS...JADI ULAM TENTUNYA....

By,
M Anem
Jalan Istana
Air Keroh
Melaka
Malaysia
(Updated on 27 Febuari 2013)


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...