KLIK SAYA SOKONG BLOG

Sunday, May 15, 2011

COCOPEAT


COCOPEAT atau Habuk Kelapa adalah satu produk yang dihasilkan daripada sabut kelapa (Cocos nucifera) yang diproses untuk pelbagai kegunaan dalam sektor pertanian. Nama 'Cocopeat' di ambil daripada perkataan 'cocoa' iaitu warna dan tekstur habuk seakan-akan serbuk koko iaitu berwarna coklat dan 'Peat' atau bermaksud gambut dimana sifat-sifat produk tersebut seperti tanah gambut. Teknologi pertanian masa kini banyak menggunakan produk cocopeat walau pun produk ini telah lama berada di pasaran dunia iaitu salah satu daripada produk industri hiliran tanaman kelapa. Teknologi penanaman Fertigasi yang kini menjadi satu fenomena dalam sektor pertanian di Malaysia menggunakan cocoapeat sebagai salah satu pilihan media untuk penanaman tanaman bernilai tinggi seperti Tomato (Lycopersicum esculentum), Cili Bengala (Capsicum spp), Tomato Cherry (Lycopersicum spp), Melon, Tembikai, Cili Padi Centil dan banyak lagi. Artikel ini saya akan bincang mengenai cocopeat sebagai satu pilihan untuk media tanaman berdasarkan kepada pembacaan buku teknikal, laman sesawang dan juga pemerhatian di lapangan selama 30 tahun dalam bidang pertanian.


Cocoapeat di perbuat daripada sabut kelapa yang dikumpulkan dan di proses sebagai satu 'byproduct' daripada tanaman kelapa. Negara pengeluar utama produk cocopeat didunia adalah Indonesia, Sri Lanka dan India. Indonesia merupakan pengeluar utama cocopeat dunia diikuti dengan India dan Sri Lanka. Teknologi memproses cocopeat adalah mudah tetapi memerlukan kepakaran khusus untuk mengeluarkan cocoapeat yang bermutu dan berkualiti serta mendapat pasaran diseluroh dunia. Hanya beberapa syarikat di dunia yang berjaya memasarkan produk cocopeat dengan label 'Organic cocopeat' dan 'Enriched cocopeat with nutrients' dan dijual dengan harga premium.

Malaysia merupakan salah satu negara yang menanam kelapa dan menghasilkan produk cocopeat iaitu di kawasan Batu Pahat, Johor, Bagan Datok di Perak, DI Sabak Bernam Selangor dan di Sabah. Produk cocopeat tempatan di hasilkan daripada kilang yang beroperasi sebagai perniagaan keluarga sahaja semenjak beberapa puloh tahun dulu dan pasaran kebanyakannya adalah domestik. Kajian saya mendapati ramai petani di sekitar Cameroon Highland dan Kundasang menggunakan cocopeat yang di impot dari luar negara seperti dari Sr Lanka dan India kerana dakwa mereka cocopeat dari negara tersebut sangat baik untuk penanaman dalam sistem fertigasi berbanding dengan cocopeat produk tempatan. Analisa saya mendapati satu liter cocopeat yang diimpot dari Sri Lanka hanya berharga RM 7.00 - RM 8.00 dan teksturnya halus serta agak padat.


Kajian secara teknikal mendapati cocopeat adalah produk yang bersifat penyerap air (water absorbant) yang mampu menyimpan air didalamnya termasuk air yang mengandungi baja tanaman dalam sistem fertigasi. Laporan menujukkan cocopeat mempunyai pH antara pH5.6 - pH 6.5 iaitu sangat sesuai untuk pertumbuhan akar tanaman. Kunduktiviti eletrik lingkungan 250-500 micro S/cm serta 60-70% kandungan Lignin didalamnya (w/w dry basis %). Keporosan udara cocopeat adalah 10-12% (unit v/v%) iaitu kandungan udara sangat baik untuk pengakaran. Keupayaan Pertukaran Kation (CEC) pula adalah pada paras 60-130 m.eq/100 gram. Paling baik tentang cocopeat adalah Keupayaan Pegangan Air sebanyak 7-8 kali ganda daripada berat kering. Wow! sangat sesuai untuk digunakan sebagai media tanaman. Sebagai bonus pula , cocopeat mengandungi sebanyak 94-98 % bahan organik daripada jumlah berat kering (w/w dry weight %). Melihat dari ciri diatas tidak dapat dinafikan produk ini sangat berguna dalam aktiviti hortikultur dan pertanian terutamanya untuk tanaman makanan.


Kajian saya juga mendapati cocopeat mempunyai 45-50% kandungan Karban Organik yang sesuai dan berfaedah. Jumlah Ruang Poros (Air space pore) juga tinggi dalam cocopeat iaitu sebanyak 94-96% dimana ciri-ciri ini akan mengurangkan kerosakan akar akibat terlalu lembab atau terendam air. Kandungan Ash cuma 3-6% sahaja iaitu sangat rendah. Kadar Karban:Nitrojen atau CN Ratio adalah 80:1 dan kadar Selulos adalah sebanyak 20-30% sahaja (w/w dary basis %). Bentuk cocopeat adalah dalam bentuk debu (Halus), Serbuk (Sederhana) atau Bintil/Biji/Granular bercampur dengan serabut. Lazimnya warna cocopeat adalah coklat, coklat kehitaman atau hitam bergantung kepada bahan asas (raw material), Kaedah Memproses atau Rawatan lain yang dijalankan keatas cocopeat.

Cocopeat digunakan dalam industri pertanian daripada peringkat semaian sehingga memungut hasil. Cocopeat adalah produk yang sangat berfaedah, mesra alam, tidak meninggalkan kesan sisabaki, tidak mencemarkan kawasan, bahan organik yang boleh reput dan terurai dan diperakukan diseluroh dunia. Dalam menyediakan anak semaian bagi tanaman seperti melon, tomato, cili, jagung, salad, terung dan banyak lagi kini cocopeat digunakan didalam dulang (Tray ) yang lazimnya mempunyai 108 lubang atau lebih sebelum dimasukkan anak benih. En Tan Soo Tiok di Sengkang, Muar, Johor menggunakan cocopeat khusus yang diimpot dari Germany untuk menyemai anak benih Kailan di dalam bangunan khas menggunakan mesin khas. Kaedah ini katanya mempastikan anak benih Kailan dapat di keluarkan lebih 95% percambahan serta keseragaman yang sempurna. Anak benih tersebut juga dapat di tanam diladang bersama 'gumpalan' cocopeat yang menjamin pertumbuhan di ladang. Dakwanya beliau mempercayai teknologi ini semenjak 10 tahun dulu. Lawatan saya di Cameroon Highland juga menggunakan teknologi yang serupa.



Pengeluaran anak benih tanaman buah-buahan di Stesen-stesen Jabatan Pertanian kini di majukan lagi teknologinya dengan menggunakan bahan media tanaman dalam polibeg dengan menggunakan tanah campuran 3:2:1 dahulu kepada 3:2:1:1 dimana cocopeat ditambah. Kaedah ini telah menunjukkan pertumbuhan akan pokok cantum yang dihasilkan lebih subur, seragam dan mudah diuruskan. Ada pengeluar anak benih bunga-bungaan di nurseri swasta yang 100% menggunakan cocopeat sebagai media tanaman terutamanya pokok bunga bersaiz kecil dan mempunyai nilai agak tinggi. Pokok bunga yang di gantung sangat sesuai menggunakan cocopeat sebagai media tanaman.



Dalam tanaman Sistem Fertigasi media cocopeat biasanya dijadikan pilihan petani untuk dijadikan media tanaman yang akan diisikan dalam plastik berwarna putih atau lain-lain polibeg. Kajian saya di Ladang MAFC di Lembah Bertam , Cameroon Highland menunjukkan sebanyak 1.5-2 liter cocopeat dimasukkan dalam setiap polibeg untuk penanaman tomato dan Cili Benggala. Setiap polibeg dipasangkan sistem pengairan fertigasi yang mengandungi air yang telkah di campur dengan baja mengikut keperluan umur, cuaca dan tumbesaran. Media ini akan di kumpulkan dan boleh diguna semula untuk tanaman jangjapendek tetapi untuk tanaman tomato dan cili bengala lazimnya sudah tiada baki lagi selepas 6 bulan penanaman (Semuanya reput dan terurai sendiri).

Memproses sabut kelapa kepada cocopeat melalui pelbagai peringkat. Sabut kelapa yang di kumpul akan dibersihkan dahulu dengan membasuh sehingga bersih. Proses membasuh dijalankan selepas 6 minggu sabut kelapa disimpan dalam setor penyimpanan. Selepas di basuh sabut kelapa akan di keringkan diatas tempat pengering atau mesin pengering. Sabut ini akan di masukkan dalam mesin penghancur sehingga sebuk atau cocopeat terhasil dan di masukkan dalam beg untuk tujuan penyimpanan dan di hantar ke pasaran. Kawalan kualiti di buat disetiap peringkat untuk mempastikan cocopeat yang dihasilkan mengikut piawaian seperti saiz, kandungan serabut, warna, kehalusan tekstur dan elakkan daripada kontaminasi atau serangan kulat atau banah tercemar.

Cocopeat merupakan produk hasilan kelapa yang akan terus menerima permintaan tinggi pada masa akan datang. Walau pun kos cocopeat akan terus meningkat pada masa akan datang tetapi saya percaya permintaan terhadapnya akan terus meningkat. Industri pembuatan cocopeat tempatan mungkin perlu di tingkatkan memendangkan cuma kurang daripada 20% hasil sabut kelapa di Malaysia yang diproses untuk dijadikan cocopeat di Malaysia. Terdapat seluas 111,620 hektar tanaman kelapa di Malaysia dan pengeluaran kelapa melebihi 64 juta biji setahun. Saya percaya dengan teknologi pemprosesan terkini yang kurang menggunakan tenaga manusia dan automasi akan meningkatkan lagi industri pembuatan cocopeat premium di Malaysia pada masa akan datang.


SABUT KELAPA...COCOPEAT HASILNYA....
SANGAT BERGUNA....TINGGI PERMINTAANNYA...
MEDIA TANAMAN...BANYAK FAEDAHNYA....
PERLU DI MENAFAATKAN...LUMAYAN HASILNYA....

Related articles:
1. Benih kelapa Matag (Klik disini)
2. Minyak kelapa dara (Klik disini)
3. VCO Technology (Klik disini)
4. Status of Fruit Industry in Malaysia (Click here)
5. Sains Tumbuhan (Klik disini)


By,
M Anem
Pct 11
Putrajaya
Malaysia
(Ahad 12.23 tgh)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...