Support My Blog

Sunday, May 8, 2011

MELINJO


MELINJO (Gnetum gnenum) adalah sejenis tumbuhan dari keluarga GENCEAE yang berasal dari kawasan Asia Tenggara terutama di Indonesia, Malaysia dan Filipina dimana digunakan untuk makanan ringan dan perubatan. Di Kampong saya yang terletak di Muar, Johor dulu ada beberapa pokok melinjo yang mana ia di tanam oleh Datuk Nenek saya yang memang suka menanam pelbagai tanaman keliling rumah. Nama-nama lain tumbuhan ini seperti Melinjo, Belinjo , Peesse, Muling (Malaysia, Indonesia) Phak miang (Thailand), beb'; Rau bep ; Rau danh ; gam (Vietnam) dan Padi oat ; paddy Oat (English). Saya dapati memang tidak ada laporan keluasan dan penanaman pokok melinjo di laporkan yang ditanam di Malaysia kerana tanaman ini hanya diusahakan di keliling rumah dan tidak ada laporan menyatakan ianya di tanam secara monokrop. Artikel pada malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai tanaman Melinjo yang didapati polular di negara jiran dan juga enak jika diproses untuk dimakan serta berkhasiat untuk bacaan dan rujukkan anda berdasarkan pemerhatian, pengalaman dan membuat rujukkan dari beberapa sumber teknikal.

Pokok Melinjo adalah jenis pokok saka bersaiz sederhana yang tumbuh menegak dengan mencapai ketinggian 15 - 20 meter. Pokok ini mempunyai dahan yang seimbang dengan daun berwarna hijau gelap bersusunan bersilang dan berukuran 8-20 cm panjang dengan 3-10 cm lebar. Daun muda berwarna agak keperangan seperti preak sebelum bertukar kepada warna hijau. Bunga melinjo (lihat foto di bawah) keluar dari batang dan dahan berwarna hijau keputihan bersusun pada tangkai panjang dalam satu jambak yang agak panjang. Bunga ini akan menghasilkan buah muda berbentuk bulat lonjong berwarna hijau gelap berukuran 2-4 cm panjang dengan 1.0 -1.5 cm garispusat. Kulit buah melinjo akan bertukar menjadi kuning atau merah ungu apabila buah telah matang atau masak. Berat purata sebiji buah melinjo lingkungan 5.5 gram dimana 3.8 gram adalah berat biji. Biji melinjo adalah komponen penting dalam penanaman melinjo untuk di proses dijadikan makanan. Biji melinjo (Lihat foto) mempunyai kulit selaput nipis yang mengandungi isi berwarna putih dan rasa yang pahit.

Buah Melinjo dari pokok yang matang mempunyai kulit berwarna ungu kemerahan dan memang di gemari di makan oleh burung, serangga dan juga manusia. Kulitnya mengandungi gula yang agak manis dan boleh dimakan. Biji melinjo yang matang di proses untuk dijadikan kerepek melinjo yang sangat sedap di goreng dan di makan dengan nasi goreng. Di Indonesia pula buah muda di masak seperti 'Asam Pedas' atau di panggil 'masak assem'. Isi biji melinjo dikeringkan dan di proses untuk di buat tepong melinjo yang bernilai tinggi. Di Aceh pula pokok melinjo di tanam dimana daun dan buah digunakan dalam masakan untuk kenduri. Daun yang di potong boleh juga dijadikan makanan ternakan. Pokok kayu ini juga boleh di gunakan untuk bahan api terutama dikawasan kampong tradisional di Indonesia dan Malaysia.

Penanaman pokok melinjo agak mudah menggunakan biji benih, cantuman, tut, cantuman udara (Layering) dan juga daripada keratan batang. Pokok melinjo sesuai di tanam diatas tanah yang subur dengan tanah lom berpasir dan mempunyai saliran yang baik. Di Kampong saya pokok melinjo hidup subur di belakang rumah diatas tanah gambut cetek. Pokok mudah tumbuh tanpa banyak masaalah. Pembiakan dengan biji benih dijalankan dengan memilih buah cukup matang dan buang kulit. Semai dalam nurseri berpasir dan lazimnya biji bercambah 45-360 hari selepas di semai. Benih yang telah berumur lebih 6 bulan boleh di alih kekebun.

Kadar pertumbuhan pokok adalah sederhana iaitu lingkungan 0.75 - 1.5 meter setahun (2.5 - 5 kaki setahun). Penjagaan yang sempurna akan melihat pertumbuhan peringkat awal cepat sehingga ianya perlahan semula apabila dewasa. Kawasan yang mempunyai cahaya matahari mencukupi pokok cepat membesar. Kajian menunjukkan penggunaan inokulais Mycorhiza mengalakan pertumbuhan di kawasan tanah asidik. Pokok akan mula berbunga selepas 5-8 tahun di tanam bergantung kepada pengurusan tanaman. Lazimnya bunga akan keluar sebanyak 3 kali setahun iaitu selepas musim hujan. Buah melinjo juga banyak keluar selepas musim hujan. Pokok yang di tanam di belakang rumah berbunga sepanjang tahun tetapi memuncak pada April, Ogos dan November.. Kesan asap dapur dan membakar sampah di sekitar pokok melinjo mungkin menyebabkan 'nafthalene' dari asap menyebabkan pokok berbuah sepanjang tahun.

Penanaman secara komersil boleh dijalankan sepertimana di Indonesia dengan jarak penanaman 5 - 12 meter antara barisan dan pokok. Pastikan anakbenih di tanam dalam lubang penanamn yang telah diberikan baja organan dan pembajaan NPK 15:15:15 boleh digunakan peringkat vegetatif. Baja NPK 12:12:17:2 diberikan di peringkat pokok matang dan baja organan sebanyak 2 kg sepokok diberikan 3 kali setahun. Buat cantasan pembentukan untun mendapatkan pokok seimbang dan kawal ketinggian pokok bagi memudahkan kerja mengutip hasil. Jalankan cantasan pucuk jika pokok terlalu tinggi. Kajian oleh beberapa saintis mendapati pokok melinjo mampu hidup sehingga lebih 100 tahun.

Pokok matang yang berumur di kawasan Sumatra di laporkan mampu memberikan hasil 20,000 - 25,000 biji melinjo dalam setahun. Hasil maksima di perolehi sekitar 80 - 100 kg sepokok setahun. Penanaman melinjo biasanya berselang dengan tanaman buah-buahan yang lain seperti pokok durian, rambutan dan pisang serta buah-buahan lain dalam kebun. Tidak banyak perosak dan penyakit yang menyerang tanaman melinjo di kwbun kerana sifat semulajadi pokok tersebut kecuali di makan tikus dan tupas untuk buah masak. Kerja memetik buah melinjo memang perlukan tenagakerja banyak bagi memilih buah matang dan memetiknya. Buah yang di petik akan di kumpulkan dan diproses seterusnya untuk di jadikan emping, keropok, tepong dan sebagainya.

Memproses melinjo untuk dibuat emping dan kerepek memerlukan teknik khusus secara tradisional. Buah yang telah dibersihkan dijemur sehingga agak kering dan dibuang kulitnya. Bijinya akan dijemur sehingga agak kering dileperkan menggunakan mesin. Biji yang leper dijemur dibawah matahari atau dengan mesin pengering. Apabila cukup kering di masukkan dalam bekas kedap udara untuk dijual atau di goreng. Saya ada beli kerepek melinjo buatan Indonesia dengan harga RM 15.00 - RM 20.00 setiap 5 kg yang dibungkus dalam kotak. Gred dan kualiti kerepek melinjo mentah berbeza2 mengikut saiz, warna, kadar pecah dan ketebalan aerta kesegarannya. Kerepek melinjo sedap dimakan apabila di goreng dan dimakan panas-panas lagi.

Industri tanaman melinjo di Malaysia masih kurang di menafaatkan oleh petani-petani kerana kurang pengetahuan dan kos memetik hasil yang perlukan kesabaran. Melinjo adalah salah satu tanaman yang boleh di usahakan oleh pemilik dusun buah-buahan tradisional di kawasan kampong. Program memberikan ilmu pengetahuan kepada petani perlu dijalankan. Walau pun Malaysia boleh mengimpot produk melinjo dengan murah dari Indonesia, galakan penanaman melinjo perlu di jalankan untuk mempastikan pokok ini tidak akan pupus pada masa akan datang. Mana tahu satu hari nanti produk melinjo untuk makanan kesihatan akan di cipta oleh Rakyat Malaysia!

POKOK MELINJO....SENANG DI TANAM....
HASILNYA KELUAR..SELEPAS 6 BULAN...
DIBUAT EMPING...KEROPOK DAN LAIN...
KALAU NAK TANAM...BENIH SEMAIKAN...


By,
M Anem
Senior Agronomist,
Lebuh Air Keroh
Jalan Istana,
Melaka,
Malaysia
(Ahad)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...