KLIK SAYA SOKONG BLOG

Saturday, April 2, 2011

DAUN PANJANG

DAUN PANJANG (Lactuca indica L.) adalah sejenis tumbuhan yang ditanam di negara kita tetapi agak kurang di kenali ramai petani adalah tanaman dari keluarga COMPOSITAE. Tumbuhan ini dipercayai berasal dari negara China yang agak panas dan Selatan Jepun atau Taiwan dan disebarkan ke Malaysia dan Indonesia oleh pedagang2 zaman dulu. Daun panjang ini juga di panggil sebagai Indian Lettuce (English), Komak ; Lampenas ; Sawirana (Indonesia), Daun Panjang (Malaysia), Gilgiloy ; Batudan ; Gatudan (Filipina) dan diesap dai rau (Vietnam). Tanaman ini hanya banyak di tanam di kawasan tanah Tinggi Bandung, Indonesia dan Cameroon Highland Pahang serta di beberapa kawasan tanah rendah di kebun sayur sebagai tanaman penghadang (Barrier crops). Artikel kali ini akan didedahkan mengenai tanaman Daun Panjang berdasarkan buku teknologi sayuran di tropika dan pengalaman penulis sendiri dalam bidang pengembangan pertanian selama 30 tahun.

Tanaman daun panjang di tanam untuk di gunakan bahagian daun sebagai sayuran pucuk muda dimakan secara segar, di celur atau di kukus. Daun ini sering juga digunakan sebagai pembalut atau alas untuk ikan (Kukus atau Goreng). Kajian menunjukkan daun panjang sebagai TONIC yang memperbaiki sistem penghadaman dalam perut dan menjadi amalan secara tradisional. Di Taiwan tumbuhan ini digunakan sebagai bahan makanan untuk ternakan Angsa. Terdapat juga laporan di mana daun panjang digunakan sebagai makanan ulat sutera sebagai gantian kepada daun mulberi.

Tumbuhan ini adalah tumbuh renek yang naik menegak sehingga ketinggian 2 meter di mana peringkat awal pertumbuhan berbentuk 'rozet'. Daunnya berwarna hijau gelap berbentuk oblong-lanceolate, sesile, susunan bersilang dan banyak bentuk mengikut spesis. Saiz daun 1-10 cm x 5-35 cm panjang dimana nipis dipangkal dan tajam dihujung kadang-kadang berwarna merah dibahagian tengah. Bunga berwarna kuning di tengah dan kelopak agak keputihan berukuran 2 cm x 5-7 cm. Buahnya adalah berbentuk 'flat eliptical achnee' berukuran 2 mm x 3-4 mm yang berwarna kehitaman dan mempunyai bulu serta keras.

Penanaman Daun Panjang menggunakan biji benih yang akan tumbuh setelah 3-4 hari disemai atau menggunakan keratan akar yang cepat mengeluarkan tunas baru. Biji benih di semai dalam tapak semaian di ubah apabila mencapai ketinggian 5-10 cm atau berumur lingkungan 3-4 minggu. Jarak tanaman yang sesuai adalah 30 cm x 30 cm dan pastikan ada ruang diantara barisan tanaman. Pembajaan dan pengurusan tanaman ini sama seperti tanaman jenis Compositae yang lain. Penyakit Virus Mozek Timun (Cucumber Mozaic Virus) sering menyerang tumbuhan ini menyebabkan pokok terbantut dan kualiti daun rendah.

Penuaian dijalankan apabila pokok telah berumur 2 bulan dengan ketinggian mencapaii lebih 50 centimeter. Potong daun-daun yang telah sesuai dengan pisau tajam dari bahagian bawah daun keatas secara berperingkat-peringkat. Penuaian akan dihentikan apabila pokok daun panjang telah mengeluarkan bunga. Ada juga petani yang akan potong pangkal pokok untuk di buat 'ratoon'. Tanaman ini walau agak kurang popular tetapi perlu dibuat kajian seterusnya bagi mempastikan ada ditanam untuk pasaran khusus (niche market). Sekian nukilan kali ini.
Wasaalam.

DAUN PANJANG....TAK TERKENAL NAMANYA....
INDIAN LETUCE....MACAM TIADA KAITANYA....
DI BUAT SAYURAN...TAK TAHU RASANYA.....
KENA TANAM SENDIRI...MANA BENIHNYA.....


By,
M Anem
Pct 11
Putrajaya
Malaysia
Sabtu 3.35 petang

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...