KLIK SAYA SOKONG BLOG

Tuesday, April 5, 2011

BUAH KERAS



BUAH KERAS (Aleurites montana) adalah sejenis tumbuhan dari keluarga EUPHOBIACEAE yang di percayai berasal daripada Asia Tenggara terutamanya Malaysia dan juga Australia Utara iaitu di kawasan tropika dan separa tropika yang mendapat cahaya matahari banyak. Terdapat 10 spesis pokok buah keras tetapi yang penting adalah Aleurites montana dan Aleurites fordii. Tanaman ini penting dalam masakan dan juga untuk penghasilan minyak buah keras untuk pelbagai kegunaan termasuk bagi tujuan perubatan dan kosmetik. Pokok ini juga dikenali dengan nama Tung ; Candlenut ; Candleberry ; Indian Walnut ; Varnish Tree ; Bankulnut Tree ; kukui ; Indonesian walnut (English), Buah Keras ; Kemiri (Malaysia), Kukui Nattsu (Jepun), Kalumban ; Kapili (Filipina), Ma yao ; Pu Rat (Thailand) dan Lai (Vietnam). Artikel kali ini saya berkongsi maklumat dengan pembaca mengenai tanaman pokok buah keras atau 'tung' berdasarkan pembacaan beberapa buah buku dan kajian serta pemerhatian yang telah saya buat.

Pokok Buah Keras adah tumbuhan pokok saka yang tumbuh menegak dengan ketinggian mencapai 15-25 meter iaitu bersaiz Pokok Sederhana atau Pokok Besar. Batangnya berwarna kelabu kecoklatan dengan bentuk hati atau 'ovate lanceolate' atau rampak (Lihat foto sebelah). Daun berwarna hijau pucat dengan saiz sederhana besar yang berbentuk bujur telur dengan 3-5 lobus dimana tajam pada bahagian hujungnya. Saiz daun lingkungan 10-20 cm dan banyak bilangannya. Bunganya berbentuk loceng berwarna krim dan mengeluarkan bau yang wangi serta keluar pada bahagian pucuk dahan. Bunganya adalah biseksual dan mempunyai 17-32 stamen dan satu ovari. Buahnya tumbuhan ini adalah keras dan berbentuk bulat (drupe) yang berukuran 4-6 cm. Bijinya mempunyai kulit yang keras (itulah sebabnya ia di panggil sebagai 'Buah Keras') yang boleh digunakan sebagai lilin. Ciri-ciri biji ini menyebabkan kita panggil sebagai Buah Keras dan bukannya 'Keras Kepala'.

Negara utama yang menanam pokok buah keras (foto sebelah) adalah seperti Negara China dengan pengeluaran separuh daripada pengeluaran buah keras dunia yang mencapai 120,000 mt setahun diikuti dengan Paraguay (22,000 mt/tahun) dan Argentina (20,000 mt setahun). Di Malaysia tumbuhan ini sesuai di tanam untuk tanah tinggi bagi sepsis A. montana dan sebahagian tanah rendah bagi spesis tempatan. Terdapat laporan kajian hasil penanaman pokok buah keras di Cameroon Highland dimana spesis A. montana berhasil selepas 7 tahun ditanam berbanding dengan spesis A. fordii yang langsung tidak berbuah lagi. Kualiti buah keras dari jenis A. montana juga sangat baik dimana kandungan minyaknya adalah lebih tinggi dan berkualiti berbanding jenis satu lagi.

Penanaman pokok kayu buah keras lazimnya menggunakan biji benih matang yang perlu di semai terlebih dahulu atau pun boleh di tanam terus di kebun. Jarak penanaman tidak kurang dari 9 m x 9 m kerana pokok ini mampu membesar dan tinggi. Kepadatan penanaman secara komersil di China sebanyak 1,200 - 1,500 pokok sehektar. Pokok ini juga boleh di tanam sebagai pokok hiasan atau ornamental di kawasan taman perumahan, kebun bunga dan lain-lain tempat sesuai. Tanaman ini merupakan pokok kebangsaan di Hawai dan di beri nama sebagai Pokok 'Kukui' yang juga di jadikan pokok hiasan. Pokok ini tidak mempunyai masaalah serangan serangan serangga perosak atau penyakit yang serious.

Pemberian baja organik dan baja sebatian kimia dapat membantu didalam mempercepatkan proses tumbesaran tumbuhan pokok. Baja organik di berikan dengan membubuh baja tahi ayam, tahi ternakan atau kompos di dalam lubang penanaman. Baja NPK diberikan mengikut umur pokok atau sebanyak 80 kg/ha Nitrojan dan 100 kg/ha K20 pada tahun pertama dan sebanyak 60 kg/ha N serta 60 kg/ha K2O pada tahun 2-4 tahun. Pembajaan pada tahun ke 5-6 dan seterusnya menggunakan baja NPK pada kadar 100 kg/ha N, 60 kg/ha K2O dan sebanyak 120 kg/ha P2O5. Kawalan rumpai dijalankan secara maual dan semburan racun kimia.

Pokok yang dijaga denganbaik akan mula mengeluarkan bunga 2-3 tahun lepas tanam dan buahnya dituai dengan memetik buah yang telah matang semasa pokok rendah atau membiarkannya gugur sendiri apabila pokok telah terlalu tinggi. Buah yang di kutip perlu di bersihkan dab di keringkan dengan menjemur atau menggunakan alat pengering. Kulit buah keras adalah terlalu keras dan perlu di pecahkan menggunakan alat pemecah kulit bagi mendapatkan bijinya yang berwarna putih susu atau krim. Kadar penghasilan buah bergantung kepada sifat pokok sama ada ianya lebih dominan betina atau jantan dimana pokok bersifat betina lazimnya menghasilkan lebih banyak buah daripada pokok bersifat jantan.


KEGUNAAN buah keras boleh di bahagikan kepada kegunaan dalam makanan, penghasilan minyak dan kegunaan lain. Bagi tujuan MAKANAN lazimnya penggunaan buah keras dapat meningkatkan kelazatan makanan. Kalau nak tahu rendang daging yang ada buah keras memang sedap dan lemak (Lihat foto sebelah). Apa lagi kalau perut sangat lapar dan dapat makan 'free'. Rasa dan tekstur buah keras adalah lebih kurang sama dengan kacang macadamia (rasanya lebih “kasar”) dengan kandungan minyak yang serupa tinggi. Ia sedikit beracun ketika dimakan mentah dan sering dipergunakan dalam masakan Melayu dan Indonesia. Saya yang beberapa kali melawat ke Pulau Jawa di indonesia mendapati buah keras digunakan untuk membuat kuah yang pekat dan dimakan bersama-sama sayur dan nasi. Di Hawaii pula buah keras akan dipanggang dan dicampurkan dengan pes bergaram untuk menjadi perasa yang dikenali sebagai 'inamona' untuk sajian istimewa. Inamona ialah ramuan utama dalam poke, makanan tradisional Hawaii. Pokok ini juga merupakan pokok rasmi Hawaii.

Dari segi PERUBATAN pula banyak bahagian Pokok Buah Keras telah digunakan sebagai ubat tradisional di kebanyakan kawasan yang ia merupakan pokok asli. Minyaknya merupakan perengsa dan pencahar dan sering digunakan seperti minyak jarak atau 'linseed oil' (Lihat foto dotol minyak di bawah). Ia juga dipergunakan sebagai peransang rambut atau bahan dalam menambah kepada rawatan sistem rambut agar menjadi sehat dan berkilat. Pembacaan saya juga mendapati bahagian buah keras iaitu isirungnya boleh digunakan sebagai 'ubat julap' yang berkesan dan membaiki sistem pencernaan. Di Jepun pula telah dijalankan kajian dimana bahagian kulit batangnya telah dipergunakan untuk merawat kes-kes tumor. Kajian lain di Sumatera mandapati biji-biji buah keras yang ditumbuk lalu dibakar dengan arang kemudian disapu pada bahagian pusat badan telah dapat merawat cirit-birit dan juga bahagian kulit batangnya dipergunakan untuk merawat cirit-birit dan disentri.

Amalan masyarakat kita di Malaysia mendapati bahagian isirung yang dijadikan pulpa atau daun-daun yang direbus digunakan sebagai tuam untuk merawat sakit kepala, demam, ulser, sendi bengkak, dan gonorea. Antara kegunaan lain pokok ini adalah seperti di Tonga yang sehingga hari ini buah keras yang masak yang dipanggil oleh mereka sebagai tuitui dipukul sehingga menjadi pes digrlar 'tukilamulamu' dan dipergunakan sebagai sabun atau syampu. Kegunaan pada zaman kuno di Hawaii menyatakan buah keras dibakar untuk dijadikan lampu. Buah-buah keras dicucuk pada tulang daun kelapa dan kemudian dibakar satu persatu pada setiap lebih kurang 15 minit. Ini menyebabkannya digunakan untuk mengukur masa. Seseorang boleh mengarahkan orang lain supaya kembali sebelum buah keras kedua habis dibakar.Pada hari ini didapati pokok Buah Keras ditanam kerana minyaknya (Lihat foto minyak buah keras Hawai). Di ladang-ladang, setiap pokok boleh menghasilkan 30–80 kilogram buah keras, dengan buah keras menghasilkan 15 – 20% minyak dari segi berat. Kebanyakan minyak digunakan dalam negeri dan tidak didagang di pasaran antarabangsa.


Pokok buah keras memang hebat kegunaannya sama seperti kerasnya kulit buah tersebut. Semenjak kecil saya penah dengar bagaimana buah keras berperanan dalam masyarakat kita. Semuga artikel kali ini memberikan sedikit ilmu pengetahuan kepada para pembaca yang 'keras hatinya' untuk mendapatkan ilmu dari blog saya yang seadanya. Akhir kalam serangkap puisi dari saya....

TUNG, CANDLENUT... BUAH KERAS...
POKOKNYA TINGGI...MENJADI TERAS...
BUNGA BANYAK....PUTIH DAN JELAS...
HASILKAN MINYAK...DIJUAL BEBAS....

Related articles :
1. Buah Pala (Klik disini)
2. Buah Pelaga (Klik disini)
3. Bual Tal (Klik disini)
4. Buah Nadir (Klik disini)


By,
M Anem
Cameroon Highland
Pahang

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...