KLIK SAYA SOKONG BLOG

Thursday, April 28, 2011

LIMAU MANDARIN


LIMAU MANDARIN (Citrus recticulata) merupakan sejenis limau yang banyak di tanam dan di makan oleh penduduk dunia. Limau ini adalah dari Keluarga RUTACEAE. Limau ini mendapat permintaan tinggi diantara beberapa jenis limau kerana rasanya yang manis, senang di kupas, banyak jus, tahan penyimpanan dan mempunyai teknologi yang lengkap untuk pengeluaran besar-besaran secara komersial dinegata tertentu. Limau Mandarin juga di panggil sebagai Tangerine, Satsuma, Clementine, Kinnow, Tagor , Sweet orange, Naranjita (Filipina), Mandarina (Sepanyol), Chinese Mandarin dan banyak lagi. Pengeluaran limau mandarin didunia lingkungan 27-30 juta metrik tan setahun dengan Negara China mengeluarkan sebanyak 16.5 juta mt setahun (54% pengeluaran dunia) diikuti dengan Sepanyol (1.97 juta mt) dan Brazil (1.2 juta mt setahun). Negara lain yang banyak mengeluarkan limau mandarin adalah seperti Jepun, Morocco, Korea Selatan, Mesir, Turki, Iran, Thailand dan Pakistan. Keluasan tanaman Limau Mandarin di Malaysia dianggarkan sekitar 140-160 hektar CHE sahaja walau pun 10 tahun dulu keluasan tanaman ini mencecah lebih dari 500 hektar. Artikel ini saya akan bincang dalam "Anim Agro Technology" mengenai teknologi penanaman limau mandarin dari pembacaan beberapa buku teknikal, laman sesawang dan pengalaman penulis dalam bidang pertanian selama 32 tahun.

Rakyat di Malaysia tidak hairan dengan Limau Mandarin kerana setiap Tahun Baru Cina berjuta-juta limpahan Limau ini di edarkan dan dijual di tepi jalan, kedai buah, supermarket dan kedai buah tradisional di seluruh pelosok tanahair. Harga limau ini sekitar RM 20 - RM 40 setiap satu crate bergantung kepada varieti, saiz, brand, kesegaran, masa dan juga jenis pembungkusan. Semua kaum di Malaysia membeli dan makan buah ini dan juga di agihkan oleh kaum cina sebagai 'angpau' sempena perayaan tersebut. Pernahkan kita terfikir bagaimana berjuta-juta limau tersebut ditanam dan di ekspot keseluroh dunia dari negara China sebagai satu komoditi penting dari negara tersebut?. Berapa luaskah ladang limau mandarindi tanam di negara China sebagai pengeluar lebih separuh dari keperluan limau mandarin dunia?. Apakah teknologi yang di gunakan sehingga limau tersebut boleh di hasilkan berlipat kali ganda semasa perayaan 'Kong Hi Fat Choy'.


Limau Mandarin di percayai berasal dari kawasan Asia Timur Selatan iaitu Filipina, Selatan China, Jepun dan juga Australia Utara. Dua jenis limau dibawa dari Canton ke England pada 1805 dan kemudian disebarkan di kawasan Meditrenean serta Italy pada 1840 sebelum di jadikan tanaman diminati dikawasan tersebut. Penanaman limau mandarin di perluaskan ke Amerika dan Amerika Selatan pada tahun 1908 dimana ianya menjadi komoditi penting di usahakan di sekitar Kansas, Alabama dan beberapa Negara seperti Brazil,Canada Mexico sehinggakan berlaku limpahan bekalan pada tahun 1970-1972. Pokok Limau Mandarin lebih tahan pada cuaca sejuk dan juga panas atau kemarau panjang berbanding Limau Oren.


Penulis di ladang Limau Tangerine 

Dina Farm, Cairo, Eygpt (120 km ke Iskandariah).

Jenis Limau Mandarin dikategorikan mengikut 3 pengelasan (3 clases) iaitu Kelas 1, Kelas 2 dan Kelas 3. Jenis Kelas 1 iaitu MANDARIN mempunyai beberaapa jenis iaitu Changsa, Le-dar, Emperor, Oneco dan Willow Leaf. Jenis Kelas ke 2 ialah Kelas TANGERINE yang terdiri dari jenis Clamentine, Cleopatra, Dancy, Ponkan, Robinson dan Sunburst. Kelas ke 3 di panggil SATSUMA (Kadang2 dipanggil 'Emerlard Tangerine') iaitu jenis Owari, Wase dan Kara. Di Malaysia ada 6 varieti atau klon Limau Mandarin telah didaftarkan dengan Jabatan Pertanian semenjak 1937. Varieti tersebut adalah Klon M17 (nama tempatan ialah Mandarin Oren) didaftarkan pada 25.10.1937 ditanam di Raub, Pahang. Klon M26 didaftarkan pada 25.2.39 ditanam di Kuantan, Pahang oleh En Khoon Choon. Klon M 28 (Nyor) didaftarkan pada 30.10.1948 oleh Jabatan Pertanian Air Hitam, Johor. Klon M 31 (Lin Siew) didaftarkan pada 6.10.1956 oleh En Tai Hin ditanam di Kg Sri Lalang, Kluang, Johor. Klon M 32 (Pt Haki Limau Manis) didaftarkan pada 27.11.1956 di Bakri, Muar, Johor. Klon M 33 (Limau Wangi Malaysia) didaftarkan pada 24.7.1989 oleh Robert Wong Sai Kow di tanam di Jementah, Segamat, Johor. Limau M 33 pernah menjadi tanaman luas pada awal tahun 1990'an dimana saya juga ada membeli benih tersebut dari En Robert Wong.

Penanaman limau ini perlukan anak benih dari sumber yang disahkan dari segi varieti dan sumber bahan tanaman. Anak benih limau mandarin lazimnya menjalani 2 peringkat penyediaan iaitu penyediaan Pokok Penanti dan Mata Tunas dari induk yang di sahkan. Pokok dari limau masam agak tahan serangan Reput Akar (Phythopthora parasitica). Jarak tanaman yang di syorkan adalah 6m x 6m untuk memberikan kepadatan sebanyak 260 pokok sehektar. Kawasan kebun mestilah dari kawasan tanah lom berpasir yang mempunyai saliran yang baik. Pokok limau tidak tahan di tanam dikawasan yang mudah banjir atau paras air dalam tanah tinggi. Lubang penanaman di gali dan isikan dengan baja organik seminggu sebelum tanam dan gaulkan. Semasa menanam bubuh CIRP atau MOP untuk menggalakan pertumbuhan.

Kawasan kebun limau akan lebih baik jika mempunyai sistem pengairan sempurna. Jika menanam di kawasan tanah rendah yang rata di syorkan buat batas atau busut di tapak pokok setinggi 1-3 kaki. Pokok dibaja dengan baja organik dan baja NPK 15:15:15 sebanyak 20-40 gram sepokok pada tahun pertama dan ditambah mengikut peringkat umur. Baja Buah NPK 12:12:17:2 diberikan untuk menggalakkan pembungaan dan pengeluaran buah. Kawalan rumpai dijalankan dengan manual atau racun rumpai diantara barisan pokok. Sebaiknya elakkan menggunakan racun rumpai di bawah kanopi pokok limau sebaliknya gunakan cangkul atau tajak.

Tanaman limau mandarin di Malaysia mempunyai banyak masalah serangan serangga perosak dan Penyakit semenjak awal penanaman sehingga peringkat menuai. Lembah Limau Terengganu yang luasnya beribu ekar yang dibangunkan kini menjadi sejarah kerana masaalah serangan Penyakit Citrus Greening Disease (CGD) serta banyak masaalah lain. Saya amat teruja pada tahun 1990'an apabila melawat projek tersebut pada peringkat awal penanaman yang subur dan meyakinkan. Pelbagai usaha dan teknologi dicari untuk mengatasi pelbagai masaalah tanaman limau tetapi belum mendapat kaedah terbaik bagi pembangunan Industri Tanaman Limau. Kawasan Samarahan dan Asajaya di Kuching Sarawk juga pernah menjadi pengeluar utama limau manis di Malaysia tetapi telah merudum akibat serangan penyakit. Kajian literature mendapati tanaman limau merupakan tanaman yang paling mudah di serang pelnagai serangga perosak dan penyakit. Rujukan dalan internet menyenaraikan berpuluh malahan beratus jenis serangga perosak dan penyakit mengikut kawasan penanaman.

Limau ini akan di tuai hasil selepas 3-4 tahun di tanam di ladang. Pokok yang ditanam dengan menggunakan anak benih tut dapat mengeluarkan hasil 2.5-3 tahun selepas ditanam. Bunga akan keluar mengikut musim dan buah muda yang akan berwarna hijau akan bertukar menjadi kuning oren cerah apabila masak. Buah yang di petik mengikut indek kematangan untuk tujuan jualan domestik atau jualan ekspot keluar negara. Buah di petik bersama tangkai sebaiknya untuk memanjangkan lagi jangkahayat buah. Buah di kumpulkan dan digredkan mengikut saiz, berat dan warna. Keseragaman buah akan memberikan keuntungan kepada petani. Buah yang terlalu masak akan di proses untuk dijadikan jus atau kordial minuman. Buah akan disimpan dalam bilik suhu sejuk dan tahan untuk beberapa bulan penyimpanan.

Industri tanaman limau mandarin atau Tangerine di Malaysia masih jauh ketinggalan berbanding dengan negera jiran Thailand yang tersenarai sebagai 10 negara pengeluar utama Limau Mandarin. Banyak kajian dan R&D perlu dijalankan oleh MARDI dan swasta bagi mendapatkan teknologi dan klon yang sesuai di bangunkan di iklim Malaysia. Malaysia mengimpot berjuta ringgit setahun Limau Mandarin setiap tahun dan harga limau impot yang murah tidak menjamin berterusan. Malaysia perlu mempastikan tanaman limau ini dijalankan pada masa akan datang.

LIMAU MANDARIN...MANIS RASANYA....
KURANG DITANAM...APA MASAALAHNYA...
BANYAK DI IMPOT...MURAH HARGANYA...
BULAN FEBUARI...MELIMPAH PESTANYA....


By,
M Anem
Senior Agronomist
Precint 11
Putrajaya
Wilayah Persekutuan
Malaysia
(Sabtu 11.11 malam - Kemaskini pada 17 Julai 2013)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...