Support My Blog

Sunday, March 1, 2020

TANAMAN JAGUNG MANIS - BENIH HIBRID

MENANAM JAGUNG MANIS (Zea mays) merupakan satu aktiviti yang mampu memberikan pendapatan baik kepada pengusahanya di negara kita. Penggunaan Jagung Hibrid telah lama digunakan di dalam tanaman jagung dinegara kita yang mana sumber benih adalah diimport. Terdapat tiga kategori hibrid yang biasa digunakan dalam pengeluaran komersial jagung manis. Diantara keistimewaan dan kelebihan yang diperolehi dari varieti-varieti hibrid jagung manis yang telah lama terbukti adalah dimana jagung hibrid berupaya memberikan mana-mana varieti pendebungaan terbuka atau komposit jika diberikan persekitaran yang baik. Dalam pada itu diantara kelebihan penggunaan varieti hibrid ialah ia mampu memberikan hasil yang tinggi serta jumlah keseragaman sifat pokok yang tinggi terutama pada saiz tongkolnya. Kebanyakan jagung manis hibrid komersial berbunga serta matang lebih awal dari varieti komposit. Apa pun didapati walaupun ia berhasil tinggi tetapi pada amnya pokoknya adalah lebih kecil dan rendah daripada jenis komposit. Sementara itu antara beberapa perkara penting harus difahami dan diteliti bagi jagung manis varieti hibrid digunakan untuk pengeluaran perlu difahami petani. Ini kerana varieti hibrid perlu dibeli biji benihnya untuk setiap kali penanaman. Jangan sekali-kali menggunakan biji benih yang dihasilkan dari penanaman lepas untuk tujuan penanaman seterusnya walaupun telah dipilih. Ini adalah kerana faktur kandungan genetik dalam varieti tersebut berubah akibat dari proses penginbredan, menyebabkan penurunan hasil yang mendadak jika digunakan juga. Pastinya harga jualan biji benihnya adalah lebih tinggi sedikit daripada benih dari varieti pendebungaan terbuka. Pastikan sentiasa membeli beji benih dari penjual atau pengedar yang berdaftar agar varieti yang digunakan dapat dipastikan ketulenannya. Petani juga perlu pastikan varieti-varieti dengan gen pengawal kemanisannya berlainan tidak ditanam dalam satu kawasan secara serentak. Bercampuran dalam pendebungaannya akan mengakibatkan pembentukan bijian yang rendah kemanisannya. Keadaan ini sama untuk jagung yang sering ditanam berdekatan (ladang lain yang berhampiran) dan tidak kira samada varieti yang ditanam varieti komposit atau hibrid. Artikel malam ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya menulis mengenai penanaman jagung manis dan beberapa perkara teknikal asas yang perlu diketahui untuk dijadikan bahan rujukkan semua.


Di Malaysia terdapat banyak varieti hibrid jagung manis dipasaran dan  diedarkan mengikut jenama dan brand masing-masing. Antara syarikat yang mengedarkan benih jagung manis adalag seperti Leckat Seeds 313 (GWG), Eagle Seeds (1001, 1602), AG Seeds, Crop Power SS932 dan banyak lagi. Bagaimana pun kebanyakan benih hibrid ini dijual dengan harga agak tinggi tetapi mempunyai jaminan pertumbuhan yang mencecah 95% sehingga 99%. Pembungkusan benih jagung manis hibrid ini sama ada didalam tin atau tetrapek yang vacum untuk menjamin kualitinya. Bagaimana pun bagi kebanyakan petani tempatan yang ingin menanam jagung manis memadai dengan mengenai 3 jenis yang umum iaitu Thai Supersweet, Manis Madu dan Mas Madu. Jagung Manis 'Thai Supersweet' antara varieti jagung yang paling lama diperkenalkan dimana ia mpunyai warna tongkol buah yang berbeza-beza daripada kuning muda hingga jingga. Warna endosperm kuning ke oren, bilangan barisan 12-16, panjang tongkol 15 sm, tempoh pengeluaran jambak bunga betina (50%) 59 hari, potensi pengeluaran 30,000 tongkol/hektar, rasa manis.  Jenis jagung manis 'Manis Madu' pula dilihat mempunyai warna endosperm kuning putih ke kuningan, bilangan barisan 12-16, panjang 15 sm. Tempoh untuk jeni  ini mengeluarkan jambak bunga betina (50%) dalam masa 59 hari dengan potensi hasil pengeluaran 30,000 tongkol sehektar dan isi buah yang rasanya manis. Jagung Manis 'Mas Madu' pula mempunyai tongkol yang manis seperti madu serta lebih manis daripada Manis Madu. Warna bagi ensperm kuning emas ke oren, bilangan barisan setongkol 14, panjang tongkol 14-18 sm, tempoh pengeluaran bunga betina 45-50 hari, potensi pengeluaran 30,000 tongkol sehektar. Tongkolnya juga lebih besar. Rasanya manis, bagaimanapun warna tongkol varieti Masmadu yang kuning keemasan kurang digemari. Pengguna lebih gemar jagung manis yang berwarna kuning muda (pucat).


Proses penanaman jagung manis perlukan kawasan sesuai dan tanah subur serta sistem pengairan yang baik. Ini kerana tanaman jagung mempunyai sistem akar serabut yang pendek dan jika pokok kekurangan air akan menjejaskan pertumbuhannya dan kesan pada penghasilan tongkol yang berkualiti. Di Malaysia penanaman jagung dikawasan tanah gambut kurang beririko tetapi jika ditanah mineral perlukan sistem pengairan renjis (sprinkler system) yang baik (Sila lihat foto disebelah). Pada peringkat awal dijalankan kerja penyediaan tanah diatas kawasan yang sesuai. Biasanya jagung manis boleh ditanam di kebanyakan kawasan di negara ini. Tanah yang tidak terlalu masam (pH 5.5-6.5) dan mempunyai saliran yang baik adalah sesuai untuk tanaman ini. Bajak dan gemburkan tanah sedalam 15 hingga 25 cm. Tabur dengan kapur sekiranya pH tanah didapati rendah. Biasanya sebanyak 2.5 tan metrik kapur bagi setiap hektar kawasan adalah memadai. Kapur hendaklah digaul ke dalam tanah. Sekiranya penanaman dijalankan berterusan adalah disyorkan supaya kapur ditabur setahun sekali pada kadar 1 tan metrik sehektar setahun. Bagi tanah-tanah yang mudah terendam air batas perlulah dibuat. Bagi penanaman komersil selalunya sebanyak 10 kg benih jagung manis hibrid diperlukan bagi setiap hektar kawasan. Seperti menanam jagung manis lain para petani disyorkan supaya mendapat bekalan biji benih jagung terbaik daripada pembekal yang sah seperti Kedai Benih Swasta atau dari Jabatan Pertanian. Petani-petani juga dinasihatkan supaya mendapatkan benih-benih baru setiap kali menanam.


Penanaman jagung manis hibrid perlu dilakukan mengikut cara betul. Sebaiknya boleh di tanam terus benih jagung hibrid ditanah atau direndam dulu dalam air biasa selama 1 jam untuk tujuan memudahkan percambahan atau di cambahkah dahulu menggunakan dulang semaian (seeding tray). Biji benih kemudian digaul dengan racun kulat seperti thiram dan terus di tanam ke ladang. Gunakan tali yang telah ditanda dengan jarak tanaman yang disyorkan untuk memudahkan kerja menanam. Buat lubang untuk biji benih dengan menggunakan tugal. Masuk 1 atau 2 biji benih dan tambus. Benih ditanam dengan mengikut jadual dan jarak yang betul. Aktiviti pembajaan dengan gunakan jeni baja sebatian 15:15:15 sebanyak 400 kg digunakan sebagai baja asas. Baja tambahan sebanyak 130 kg urea ditabur 30-35 hari selepas menanam. Bagi kawalan rumpai mesti dibuat semenjak peringkat awal pertumbuhan adalah sangat penting. Racun pracambah seperti Atrazine digunakan sebaik sahaja baja asas dibubuh. Rumpai yang tumbuh, kemudiannnya boleh dikawal secara manual. Tanaman jagung manis mempunyai banyak serangga perosak dan penyakit yang menyerang daripada awal penanaman sehingga pokok boleh dituai hasilnya. Kawalan secara Amalan Perosak Bersepadu (APB) bagi tanaman jagung adalah sangat penting dijalankan. daripada tinjauan penulis keseluruh Malaysia mendapati hasil tanaman jagung manis hibrid dapat dipungut sekitar 68-72 hari selepas ditanam. Pengurusan tanaman dan cuaca serta varieti yang ditanam mungkin akan mengubah sedikit sebanyak penuaian jagung di ladang. Biasanya hasil jagung manis hibrid  yang boleh dipasarkan ialah sebanyak 26,000 - 38,000 tongkol sehektar untuk pasaran segar atau diproses. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam..!
JAGUNG MANIS... HIBRID BENIHNYA...
DIJUAL MAHAL... JAMINAN KUALITI ADA...
70 HARI TANAM... SEDIA DITUAI PULA...
RASANYA MANIS... RAMAI ORANG SUKA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Cendana, Persimpangan Bukit Beruang,
Bandar Melaka, Melaka,
Malaysia.
(30 JamadilAwal 1441H),

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...