Support My Blog

Sunday, March 8, 2020

PENGURUSAN TANAH GAMBUT UNTUK NANAS

TANAMAN NANAS (Ananas comosus) di tanah gambut (peat soil) merupakan salah satu pemilihan tanaman lazim dilakukan selain daripada kelapa sawit, sayuran dantanaman kontan yang lain. Tanah Gambut merupakan diantara jenis tanah bermasaalah di Malaysia selain daripada Jeni Tanah Asid Sulfat, Tanah Bekas Lombong dan beberapa lagi. Keluasan tanah gambut di Malaysia dianggarkan sebanyak 2.6 juta hektar yang mana ia juga meliputi 8% dari jumlah keluasan tanah Malaysia. Peningkatan minat penanaman yang dikategorikan mudah memberikan hasil dengan lebih cepat adalah seperti nanas yang dikategorikan dibawah Sumber Kekayaan Baru oleh kerajaan. Kini dalam situasi kekurangan tanah yang sesuai menyebabkan beberapa jenis tanaman seperti nanas, kelapa sawit dan tanaman makanan tertentu hanya ditanam di tanah marginal terutama tanah gambut. Dilaporkan sehingga 2019, hampir 25% kawasan tanah gambut di Malaysia telah dibangunkan dengan komoditi tanaman sawit sementara sebahagiaan kecil lain dengan tanaman kontan termasuk nanas. Penyelidikan dan pembangunan oleh pelbagai pihak telah mengenal pasti banyak teknologi yang sesuai bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran hasil tanaman termasuk nanas dan kelapa sawit di tanah gambut terutama di tanah gambut dalam. Salah satu daripada teknologi tersebut ialah pengurusan air di ladang tanah gambut. Secara semulajadi lazimnya kawasan tanah gambut sememangnya ditenggelami air. Sistem rangkaian parit ladang dan pengurusan air ladang merupakan kunci kepada kejayaan pengurusan air di tanah gambut. Pemilihan tanaman yang betul amat kritikal kerana hanya tanaman yang lasak dengan keadaan banjir dan kering semasa kemarau sahaja sesuai ditanam. Kawasan pembukaan tanah gambur baru lebih mencabar untuk tanaman berakar cetek seperti nanas dan beberapa tanaman kontan lain. Artikel subuh ini dalam blog "Anim Agro Technology" kali ini saya menulis mengenai sedikit pengurusan tanaman nanas di tanah gambur terutama dikawasan hutan gambur yang baru dibuka.


Pembukaan tanah gambut perlukan satu sistem saliran yang betul dan banyak untuk mengeringkannya dan perlu dibuat empangan bagi mengawal paras air didalam ladang (Sila lihat foto disebelah). Ini kerana jika kedua-dua perkara ini tidak dapat dilakukan dengan baik maka hasil tanaman nanas akan terjejas dari segi kuantiti dan kualiti. Dalam pada itu sebenarnya objektif pengurusan air ladang di tanah gambut adalah bertujuan untuk mengawal air ladang berada di paras optimum bagi pertumbuhan dan penghasilan tanaman nanas secara maksimum. Parit ladang semestinya mampu untuk menyalir keluar air berlebihan dalam ladang dengan kadar segera bagi mengelakkan kejadian banjir dan air bertakung bagi tempoh yang lama. Parit ladang juga boleh mengurangkan kadar susutan gambut dan pelepasan gas karbon dioksida. Parit ini akan mengelakkan berlaku pengeringan yang tidak berbalik gambut. Peranan saliran yang baik juga mampu untuk mengurangkan risiko kebakaran gambut. Penulis blog dapati kos pembangunan kawasan baru tanah gambut adalah lebih tinggi daripada tanah mineral untuk peringkat permulaan dan juga untuk kerja-kerja penyelenggaraan. Ini kerana perlu dibina banyak sistem perparitan daripada Parit Utama sehingga kepada parit racik atau parit ladang. Parit ditanah gambut juga mudah menjadi cetek dalam masa singkat sahaja dan perlu sentiasa diselenggara agar boleh berfungsi dengan baik.


Sistem Rangkaian Parit Ladang perlu direka dimana sebaiknya ada sistem penyediaan sistem rangkaian parit ladang yang mesti mematuhi beberapa perkara asas. Pertama sebaiknya ia direka bentuk dimana sistem tersebut mengadakan sistem perparitan dengan perlu menyediakan ruang laluan jentera seperti jengkaut bagi tujuan untuk kerja membersihkan parit kelak. Kedua adalah pentingnya diadakan intensiti parit ladang dengan perlu mengambil kira faktor tahap penguraian gambut. Ketiga adalah perlu ada pembinaan pintu air perlu mengambil kira faktor topografi tanah gambut. Keempat dimana sentiasa mengukur paras air ladang secara berterusan didalam semua parit pengumpul dan dalam ladang mengunakan alat piezometer. Kelima adalah pentingnya sistem parit ladang ini sentiasa diperiksa agar terus berupaya menyalir keluar air dalam ladang bagi mengelakkan air bertakung bagi tempoh lama. Kekurangan sistem perparitan boleh menyebabkan air tergenang banjir yang akan memusnahkan tanaman nanas (Sila lihat foto disebelah). Sistem rangkaian parit ladang terdiri dari Parit utama, Parit pengumpul dan Parit ladang. Sebaiknya parit ini mempunyai kadar intensiti masing-masing sekitar 10-15, 30- 40 dan 150-300 m/ha. Kerja-kerja membersihkan parit ladang perlulah sentiasa dijalankan bagi memastikan tidak berlaku halangan pengaliran air terutama selapas berlakunya banjir. Ini kerana selepas banjir akan berlaku dibeberapa lokasi tertentu timbunan kayu, tanah dan sampah pada parit yang akhirnya akan menghalang laluan air. Kedalaman parit ditanah gambut juga ajab cepat menjadi cetek akibat mendapan dan juga timbunan sampah kayu tanah gambut.


Bebalik kepada statistik mengenai tanah gambut di Malaysia memang diketahui dimana tanah gambut telah pun dikategorikan sebagai tanah marginal atau jenis tanah yang bermasalah. Sarawak merupakan negeri yang mempunyai tanah gambut terluas iaitu 1.59 juta hektar daripada seluas 2.4 juta hektar tanah gambut di Malaysia (Sumber: Laporan Tahunan, Jabatan Pertanian Malaysia, 2018). Tanah gambut biasanya terdapat di kawasan lembah atau paya yang mana ia terendam dan terletak di antara dataran tanah pantai dengan kawasan tanah bukit dan juga di antara bukit. Hasil daripada aktiviti pemetaan dan pengelasan didapati jenis tanah gambut di Semenanjung, Sabah dan Sarawak berbeza daripada segi metodologi, definisi dan klasifikasi. Keadaan ini menyukarkan perpindahan agro-teknologi serta amalan agronomi yang berkaitan tanah gambut di antara ketiga-tiga kawasan tersebut. Menyedari masalah ini beberapa pihak yang terlibat dengan penyelidikan dan pembangunan tanah gambut bersama pakar sains tanah telah membangunkan sistem pengelasan seragam untuk tanah gambut yang boleh diguna pakai di Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Apa pun dari segi asasnya adalah dimana tanah gambut terbentuk daripada pereputan bahan organik seperti daun, ranting dan kayu yang berlaku secara perlahan. Kandungan bahan organik dalam tanah gambut biasanya melebihi daripada sebanyak 65% daripada jumlah berat tanah dengan ketebalan lapisan organik melebihi 50 cm. Kedalaman tanah gambut berbeza mengikut kawasan dan pada kebiasaannya tanah gambut berhampiran dengan pinggir bukit lebih cetek berbanding tanah gambut di bahagian tengah kawasan. Tanah gambut biasanya terbentuk di atas permukaan dasar lempung atau pasir.


Penulis blog mendapati dimana terdapat lima jenis bahan organik tanah yang biasanya membentuk tanah gambut bergantung kepada asal-usul dan kadar pereputan bahan organik. Lazimnya pembentukan untuk tanah gambut selain daripada bahan kayu (diameter lebih 2 cm) iaitu terdiri daripada pertama bahan lumut dimana ia biasanya ditemui di kawasan tanah tinggi di kawasan tropika. Kedua adalah bahan fiber atau gentian yang mana ia merupakan kepingan tisu tumbuhan dalam bahan organik tanah (tidak termasuk akar hidup). Ketiga pula adalah bahan fibrik. Keempat adalah bahan hemik dan ke lima adalah bahan saprik. Berdasarkan kedalaman tanah gambut saintis tanah telah mengelaskan tanah gambut daripada tiga kepada empat kumpulan baru iaitu Jenis Tanah Gambut cetek 50 - 100 cm, Kedua Jenis Tanah Gambut sederhana dalam 100 - 150 cm, Ketiga Jenis Tanah Gambut Dalam 150 - 300 cm dan keempat Jenis  Tanah Gambut Sangat Dalam iaitu melebihi 300 cm. Kaedah pembukaan tanah, penyediaan saliran dan jenis tanaman yang ingin dibangunkan untuk kesemua jenis tanah gambut mengikut pengelasan ini juga ada perbezaan. Penulis blog mendapati antara isu utama didalam membuka tanah gambut adalah perlunyanya saliran dibina dengan mencukupi terutama elakkan banjir dimusim hujan. Tanaman nanas tidak tahan lama jika tenggelam didalam air sekitar 72 jam sahaja mengikut varieti. Jenis nanas MD2 boleh tahan agak lama berbanding dengan jenis lain seperti Josapine, Moris, N36 dan juga Maspine. Tanaman nanas dikawasan hutan tanah gambut baru perlukan sistem saliran yang sempurna bagi mengelakan kerosakkan tanaman. Empangan juga perlu dibina untuk kawal paras air dalam tanah gambut. Pertumbuhan nanas terencat pada keadaan banjir dan tanah kering yang akan menjejaskan hasil. Semuga artikel subuh ini memberi info berguna kepada semua pembaca anim agro technology kali ini. Wasallam!!!...
TANAH GAMBUT... BERJUTA LUASNYA...
TANAH LEMBAP... BANJIR JUGA BIASA...
MUSIM KERING... ANCAMAN TERBAKARNYA...
PERLU DI URUSAKAN..DENGAN SEMPURNA...


By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Jalan Setiajasa 7,
Taman Satelit, Bandar Muadzam,
Rompin Pahang,
Malaysia.
(9 Rejab 1441H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...