Support My Blog

Monday, March 8, 2021

TINJAUAN DI MAI FARM, KALUMPANG (Pt 2)

LADANG MAI FARM yang terletak di Kalumpang, Selangor merupakan salah satu ladang pertanian bersepadu atau 'Mixed Farming' berjaya yang penulis blog berpeluang untuk membuat tinjauan. Ladang ini seluas 110 ekar mempunyai pelbagai aktiviti pertanian dari jenis tanaman industri (Kelapa Sawit dan Kelapa), aktiviti ternakan (Lembu dan kambing) serta akuakultur (ikan air tawar dan udang lobster) serta lain-lain aktiviti pertanian. Ketibaan penulis dan rakan disambut oleh TS Norian dengan keluarga dan pekerjanya sebelum dijamu dengan kopi panas. Penulis blog juga amat teruja bagaimana tanah bekas lombong ini yang berpasir pernah dibuat kolam ikan air tawar sebanyak 33 buah dengan salah satu kolam terbesar seluas 16 ekar. Kini hanya beberapa buah kolam sahaja yang masih digunakan sebagai kolam ternakan ikan serta udang semantara yang lainnya telah pun proses dikeringkan dan ditanam dengan kelapa sawit, kelapa dan nanas serta untuk plot ternakan lembu. Kombinasi aktiviti penanaman diladang ini yang bersepadu membolehkan sumber alam semulakadi dimanafaatkan didalam sektor pertanian. Ladang ini dibuka semanjak tahun 2007 dan kebanyakan tanaman seperti kelapa sawit, kelapa dan pokok buah-buahan telah pun berhasil. Diantara tanaman buah-buaha yang telah berhasil adalah durian, rambutan, nangka, durian belanda, pisang dan beberapa lagi. Sumber air jernih tidak tersemar daripada gunung berhampiran membolehkan aktiviti akuakultur dan ternakan sangat sesuai diladang ini. Artikel malam ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya menulis hasil tinjauan keladang intergrasi yang boleh saya banggakan iaitu Mai Farm sebagai satu coretan untuk dijadikan bacaan dan rujukkan anda semua.

Penternakan ruminan khususnya lembu menjadi salah satu penyumbang kepada penghasilan baka, daging dan juga baja kompos. Beberapa baka lembu berkualiti seperti Lembu Brahman, Lembu Bali, Lembu Doughmaster dan beberapa lagi ada diternak disini dikawasan kandang besar dan kecil. Lembu-lembu ini di berikan makanan rumput napier, PKC dan makanan tambahan lain. Melihat kepada saiz lembu tersebut penulis blog percaya ianya diberikan makanan dan perawatan yang cukup sempurna. Lembu-lembu ini diletakan dalam kandang dan diberikan makanan setiap hari dengan napier secara 'cut-and-carry' dan sebahagian besar bebas meragut rumput didalam ladang kelapa sawit yang dipagar lengkap. Ladang ini sebenarnya pernah mencatit sejarah dahulu sebagai pembekal kambing baka Boer yang terbesar di Malaysia. Terdapat sebuah pusat latihan kambing boer yang dahulu aktif memberikan latihan kepada penternak kambing boer tetapi kini digunakan untuk tujuan lain. Menurut cerita banyak aktiviti penternakan kambing Boer disini terhenti setelah kerajaan membenarkan pengimportan kambing Ferrer dari Australia yang harganya jauh lebih murah ke Malaysia dan menjadikan penternakan kambing boer disini tidak lagi kompetitif. Aktiviti penternakan daging merah di Malaysia masih jauh daripada kecukupan domestik dimana Malaysia masih mengimport banyak daging beku daripada India dan Australia. Terdapat beberapa reban ayam yang sudah tidak digunakan dalam ladang ini.   

Tanaman kelapa (Cocos nucifera) asalnya dilakukan dikawasan tepi kolam sahaja sebagai landskap kolam dan dibeberapa plot tertentu. Jenis kelapa ditanam ada banyak seperti Kelapa Matag Hijau (CN13) Kelapa Matag Oren (CN14) dan Matag Gold (CN15), Kelapa Pandan (CN6), Kelapa Renek Kuning (Malayan Yellow Dwarf), Kelapa Renek Merah (Malayan Red  Dwarf) dan kelapa tidak menentu varietinya. Benih kelapa Matag diperolehi daripada United Plantation (UP) di Bagan Datuk, Perak dan penulis blog mendapati kesemuanya adalah Kelapa Matag Hibrid F1. Pokok kelapa Matag yang berumur lebig 20 tahun ini telah tinggi akan tetapi kutipan hasilnya masih baik kerana penjagaan dan pembajaan yang mengikut amalan agronomi. Setiap pokok diberikan garam sebanyak 3 kg sepokok setahun membolehkan pokok menjadi subur selain daripada dletakkan 1-2 beg tahi ayam yang diperolehi dari ladang ayam tidak jauh dari ladang ini. Dikawasan tertentu pokok kelapa yang terlalu rapat (ditanam dengan jarak 12 kaki) telah ditebang untuk memberikan pokok lebih produktif. Penanaman pokok kelapa baru dicelah barisan kelapa lama yang terlalu tinggi dilakukan sebagai sulaman, Beberapa pokok yang tidak produktif juga dibuang. Buah kelapa tua dikutip dijual pada harga ladang RM1.70 sebiji. Upah mengupas sabut kelapa adalah RM0.10 sebiji. Permintaan buah kelapa dari ladang ini adalah tinggi akan tetapi bekalannya masih tidak mencukupi. Kelapa adalah diantara tanaman yang dilaporkan menguntungkan pada masa ini kerana memang tidak ada masaalah pasaran. Harga ladang kelapa tua masih sangat kompetetif.

Paling luas ditanam adalah Kelapa Sawit (Elaeis guineensis) iaitu dikawasan yang seluas hampir 100 ekar ini. Tanaman ini sedang berbuah dimana pengusaha mendapat harga sekitar RM480 satu tan. Pokok yang sedang produktif ini diberi baja NPK dan baja organik dari kandang lembu serta baja PDI keluaran pemilik ladang. Dilihat juga ada beberapa blok kelapa sawit dimana batangnya ditebuk dan dipasang sesalur untuk memasukkan baja khas cecari ini. Dilaporkan penghasilan daripada sawit meningkat dengan kaedah aplikasi pembajaan ini. Apa yang menarik dimana pokok sawit ini banyak juga yang ditanam dikawasan bekas kolam ikan yang telah dikeringkan namun banyak air yang ada untuk pertumbuhan sawit yang subur. Beberapa plot dipasang pagar dan diletakkan lembu yang bebas meragut rumput walau pun lembu yang dibawah kelapa sawit ini kelihatan agak kurus sedikit berbanding dengan lembu yang dipaddock. Tanaman kelapa sawit terbaru telah diberikan banyak baja dan dolomite membolehkan sawit adalah tanaman yang kekal memberikan pendapatan berterusan walau pun harga sawit tidak baik bebeapa tahun lalu.

Tanaman buah-buahan yang agak luas ditanam adalah Durian Belanda (Annona muricata) di dua lokasi berasingan. Pada peringkat awal pokok durian belanda ini ditanam bersama dengan pokok gaharu (pokok karas) akan tetapi prestasi pertumbuhan dan pengeluaran hasil kurang baik. Pemilik kebun apa pun menebang pokok karas yang tingginya mencecah 40 kaki kerana kurang memebrikan pendapatan. Kerja-kerja upah  untuk inokulasi pokok karas perlukan kos mencecah RM500 sepokok dan didakwa ianya kurang ekonomik. Setelah difikir maka kemudian ditebang pokok-pokokk karas dan sentang yang penulis blog lihat semasa tinjauan. Kemudian dapat dilihat dimana daun-daun baru, bunga dan pucuk baru mula rancak keluar dengan rancak. Dinasihatkan untuk membaja pokok durian belanda dan menggunakan alat 'Muricata shaker' bagi kerja-kerja mendebungakan bunga pokokk durian belanda di malam hari. Buah durian belanda memang mempunyai permintaan baik dipasaran dengaan harga ladang mencapai RM15 - RM20 sekilogram mengikut gred. Ada juga aktiviti mengumpulkan daun pokok durian beanda untuk diproses menjadi 'teh daun durian belanda' yang juga mempunyai pasaran baik. Daun-daun ini dikeringkan sebelum dikisar dan dibungkus didalam sachet menggunakan mesih yang moden. Memang berbaloi dapat membuat tinjauan teknologi ke Mai Farm seharian dan dijamu dengan makanan ikan segar dari kolam. Terimakasih TS dan InsyAllah akan datang lagi apabila dijemput. Artikel ini bersambung dalam Part 2 untuk dibaca bersama. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam...
TINJAUAN LADANG... SATU USAHA...
CARA BERSEPADU... SEMUANYA ADA...
TERNAKAN, AKUAKULTUR...BERSAMA...
POKOK SUBUR...MENJADI HASILNYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP Putrajaya,
Malaysia.
25 Muharram 1442Hijrah.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...