Support My Blog

Sunday, April 26, 2020

PENCEGAHAN PENYAKIT MOKO PISANG (Part 3)

PENYAKIT MOKO PISANG atau lebih dkenali sebagai Penyakit Layu Bakteria Tanaman Pisang ialah penyakit yang disebabkan oleh jangkitan bakteria yang dikenali dengan jenis Ralstonia solanacearum. Bakteria ini dilaporkan terdapat pada tanah dan ia boleh hidup pada perumah daripada 2 hingga 3 tahun. Bakteria R. solanacearum ialah bakteria gram-negatif dan ianya tumbuh secara aerobik (memerlukan udara) dan tidak menghasilkan spora. Menurut kajian oleh Stevenson (2001), pertumbuhan bakteria dalam kultur Broth ini dapat dihalang oleh larutan garam (NaCl) berkepekatan melebihi 2%. Bakteria ini bukan hanya akan menyerang pokok pisang akan tetapi memang ia juga menyerang pokok lain seperti tanaman tomato, ubi kentang, terung dan tembakau. Bakteria ini biasanya terdapat di kawasan tropika, subtropika dan beberapa kawasan beriklim sederhana didunia. Lazimnya apa yang penulis blog membuat tinjauan dilapangan, bakteria R. solanacearum menyukai kawasan yang bersuhu tinggi dan tanah yang mempunyai tahap kelembapan yang tinggi. Ia juga banyak dijumpai pada kawasan tanah yang berbeza dan pada julat pH tanah yang berbagai. Menurut USDA (United States Department of Agriculture) berkenaan dengan perancangan tindakan untuk mengatasi masalah bakteria ini yang dijumpai di kawasan semaian, bakteria ini boleh dipindahkan daripada satu tempat ke tempat yang lain melalui tanah, pengairan air yang tercemar, alatan yang tidak dibersihkan secara aseptik (Pembunuhan kuman) atau barang-barang persendirian. Ia juga boleh disebarkan dengan mudah melalui pemindahan pokok dan pembenihan daripada pokok yang dijangkiti oleh bakteria ini. Selain itu, bakteria ini boleh berpindah ke pokok pisang yang lain melalui peralatan-peralatan pertanian seperti cangkul, parang, pisau dan lain-lain. Peralatan-peralatan yang digunakan keatas pokok pisang yang telah terkena penyakit akan membawa bakteria tersebut bersama-sama sekiranya tidak dibersihkan secara aseptik. Secara aseptik bermaksud dengan cara membunuh kuman samaada dipanaskan (diberikan suhu tinggi) atau dibasuh dan dibilas dengan larutan antibakteria seperti Dettol atau Clorox. Artikel pada subuh ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya menulis lagi artikel ke 5,788 saya menulis bagaimana kaedah atau teknologi pencegahan penyakit moko pisang untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukkan anda. Saya ada menulis banyak artikel mengenai pisang dan penyakit pisang dalam blog sama.

Teknologi dan kaedah penggunaan bahan IMO-PLUS dan M-Probio seperti dinyatakan pengeluar melalui cara Pencegahan dan Rawatan. Bagi tujuan pencegahan pokok pisang baru ditanam, penggunaan IMO-PLUS dan M-ProBio adalah bergantung kepada umur dan saiz pokok pisang tersebut. Bagi pokok pisang yang masih kecil disyorkan sebanyak sekitar 200 g IMO-PLUS sesuai digunakan. Sebagai contohnya kepada benih pisang daripada kultur tisu akan menghasilkan pokok yang bersaiz kecil dan sebanyak 60 g IMO-PLUS sudah cukup untuk digunakan. Penggunaan baja ini adalah seelok-eloknya sebanyak 3 bulan sekali. Bagi menampakkan kesan yang lebih baik, penggunaan IMO-PLUS digabungkan dengan larutan M-ProBio. Pada mulanya M-ProBio perlu diaktifkan dengan campuran air tanpa klorin seperti air sungai atau air perigi dan nisbah yang sesuai ialah 1: 200 (M-ProBio aktif: air tanpa klorin). Bagi penggunaan M-ProBio yang telah dilarutkan, sekitar 500 mL larutan tersebut mencukupi untuk disemburkan kepada tanah sekitar pokok pisang yang kecil. Sebelum dipindah daripada polybag ke tanah, semburan M-ProBio keatas benih pokok atau keatas tanah boleh dilakukan bagi memastikan bakteria baik tumbuh dengan banyak seterusnya membantutkan pertumbuhan bakteria R. solanacaerum. Adalah digalakkan menggunakan M-ProBio dengan kerap iaitu sebulan sekali atau 2 minggu sekali bagi memastikan bakteria baik terus tumbuh dalam tanah. Bagi kaedah penggunaan yang lebih berkesan, apabila sudah selesai penaburan IMO-PLUS, ianya terus disemburkan dengan M-ProBio diatas taburan IMO-PLUS tersebut dan juga keatas pokok. Jarak lingkungan yang sesuai untuk penaburan IMO-PLUS ialah mengikut anggaran zon akar atau saiz kanopi daun.

Pada jarak masa berikutnya iaitu selepas 3 bulan disyorkan sebanyak 120 g IMO-PLUS boleh ditaburkan untuk satu pokok dan kemudian, sekitar 200 g IMO-PLUS boleh digunakan untuk 6 bulan dan seterusnya dan akhir sekali sekitar 400 g untuk 9 bulan berikutnya. Bagi pokok yang matang iaitu pokok yang sedang menunggu untuk berbuah, penggunaan sekitar 2 hingga 3 kg untuk satu rumpun adalah digalakkan bagi mengelakkan terkena serangan penyakit. Penggunaan ini juga bergantung kepada saiz dan jenis pokok, contohnya bagi pisang nipah sebanyak 3 kg manakala pisang berangan sebanyak 3 kg. Apabila pokok sudahpun mengeluarkan buah dan juga anak, penggunaan baja kemudiannya ditingkatkan bagi tujuan untuk memastikan nutrien yang dibekalkan mencukupi untuk proses pembuahan dan juga untuk pembesaran anak-anak pokok. Para petani yang ingin mengetahui bagaimana kaedah rawatan ini sebaiknya memahami asas bagaimana tindakan bakteria dan unsur baja mampu menjadikan pokok pisang akan menjadi lebih sihat. Lazimnya penulis blog semasa membuat tinjauan kekabun pisang akan membuat tinjauan kefahaman petani mengenai tanaman pisang.

Bagi kaedah rawatan terhadap pokok pisang yang dijangkiti penyakit Moko bergantung kepada tahap jangkitan tersebut. Jika pokok tersebut telah menunjukkan semua simptom-simptom penyakit Moko sebainya ia perlu dimusnahkan secara keseluruhannya dan kaedah pencegahan kemudian akan terus  digunakan. Sekiranya terdapat satu pokok yang terkena jangkitan dalam satu rumpun, pokok yang terkena jangkitan tersebut dimusnahkan dan rawatan diberikan keatas pokok lain dalam rumpun tersebut. Kaedah rawatan sama seperti kaedah pencegahan yang telah diterangkan sebelum ini tetapi kekerapan ditingkatkan iaitu sebanyak sebulan sekali sehingga pokok dipulihkan sepenuhnya. Keberkesanan rawatan ini dijangkakan akan ditunjukkan dalam masa 6 bulan daripada rawatan pertama. Pada satu rumpun pokok pisang sebaiknya sebanyak 1.5 -  2 kg IMO-PLUS boleh digunakan pada satu rumpun bergantung kepada saiz pokok dan jenis pokok. M-ProBio juga perlu digunakan bersama-sama dengan IMO-PLUS iaitu M-ProBio disembur diatas IMO-PLUS yang ditabur. Untuk menampakkan hasil yang lebiih baik, penggunaan M-ProBio boleh ditingkatkan kekerapannya iaitu 2 minggu sekali. Setelah pokok menampakkan pemulihan (biasanya selama 6 bulan), sela masa penggunaan IMO-PLUS dan M-Probio dijarakkan kepada 2 bulan sekali dan bagi pokok yang sudah pulih, penggunaannya sebanyak 3 bulan sekali. Artikel ini mempunyai 3 bahagian iaitu Part 1, Part 2, Part 3 dan Part 4 untuk dibaca, Semuga anda mendapat info berguna  membaca artikel ini dalam anim agro technology kali ini. Wasallam!!...
PENYAKIT MOKO... AMAT BAHAYA...
POKOK PISANG... DISERANGNYA...
PUNCA SERANGAN.. BAKTERIA...
MESTI KAWAL... DENGAN SEGERA...

By,
M Anem,
Senior Agronoomist Expert,
Precint 11F, Putrajaya,
Wilayah Persekutuan,
Malaysia.
(18 Syaaban 1441H).
DUDUK RUMAH.. PUTUSAN COVID19....

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...