Support My Blog

Tuesday, April 28, 2020

KARAS - KENALI POKOK

POKOK KARAS atau GAHARU merupakan sejenis pokok yang tergolong di bawah genera Aquilaria dalam famili Thymelaeaceae. Terdapat sebanyak 25 spesies pokok Karas yang telah dilaporkan di seluruh dunia. Penulis blog yang meujuk kepada 'Buku Panduan Menanam Karas' oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia mendapati terdapat beberapa spesies pokok ini didapati tumbuh di Malaysia, Bangladesh, Bhutan, India, Myanmar, Filipina dan Thailand. Bagaimana pun sebelum artikel ini saya telah menulis mengenai pokok karas dan gaharu didalam blog sama melebihi 5 artikel yang boleh dibaca (Sila klik disini), (Sila Klik Disini), (Sila Klik Disini) dan beberapa siri lagi. Dari segi fisiologi apa yang pernah saya laporkan dimana  pokok ini boleh tumbuh sehingga 6m - 20m tinggi dengan mempunyai susunan daunnya berselang-seli dan ia juga mempunyai garis tepi yang penuh serta hujung daun yang pendek dan menirus. Jika diteliti dimana pada kebiasaannya saiz daun adalah 6cm - 8cm panjang dan 3cm - 3.5cm lebar. Bunga pokok Karas berwarna hijau kuning dan dihasilkan dalam kudupnya manakala buahnya adalah sebiji kapsul berkayu sepanjang 2.5cm - 3cm. Pokok Karas hidup di hutan semula jadi dan mengeluarkan gaharu pada usia 20 - 45 tahun bergantung kepada ketahanan pokok dan tindakbalas terhadap kecederaan pokok. Pokok Karas merupakan salah satu spesies di bawah CITES, Appendix II iaitu spesies yang terancam. Di Malaysia dilporkan memang telah dikenalpasti iaitu terdapat 11 spesies pokok ini yang dilaporkan mampu mengeluarkan gaharu. Di Semenanjung Malaysia terdapat 5 spesies iaitu Aquilaria malaccensis, Aquilaria hirta, Aquilaria beccariana, Aquilaria rostrata dan Aquilaria microcarpa yang didapati tumbuh di kawasan tanah pamah hingga kepada  kawasan berketinggian 750m dari aras muka laut. Artikel subuh ini didalam blog "Anim Agro Technology" marilah kenali beberapa spesis pokok karas dan juga bagaimana menyediakan anak benih semaian untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukkan anda semua.

Spesis pokok karas di Malaysia:

a) Aquilaria malaccensis
Spesis ini merupakan antara yang mudah dikenali di MAlaysia dimana taburan semula jadi yang terdapat di seluruh Semenanjung Malaysia. Bagaimana pun spesis ini dilaporkan tidak ada di Negeri Kedah, Perlis, Sabah dan Sarawak. Antara ciri utama spesis ini dimana pada permukaan daunnya adalah berkilat, runcing dan bujur.

b) Aquilaria beccariana 

Spesis ini terdapat kebanyakan tumbuh di bahagian Selatan Johor iaitu negeri asal penulis blog. Antara beberapa ciri pokok karas jenis ini adalah mempunyai saiz pokok yang sederhana tinggi dalam lingkungan 20m sahaja. Ciri lain adalah seperti ia mempunyai urat kedua daun lebih jelas, daun berwarna kelabu tidak berkilat.

c) Aquilaria hirta 
Bagi spesis ini ia terdpat secara semula jadi didalam hutan iaitu di sepanjang Pantai Timur Semenanjung Malaysia seperti di Negeri Terengganu, Pahang dan Johor. Bagi spesis ini antara ciri khususnya dimana ia memunyai saiz pokok yang kecil iaitu sekitar 15m ketinggiannya dengan mempunyai permukaan bawah daun berbulu dengan daun berbentuk tirus memanjang.

d) Aquilaria microcarpa

Spesis ini mempunyai taburan semula jadi dalam hutan di Negeri Johor dan kawasan bakau. Kelainan pada pokok karas spesis ini adalah dimana ia mempunyai saiz pokok yang besar dalam lingkungan 36m tinggi serta mempunyai saiz buah kecil berbentuk hati.


e) Aquilaria rostrata 
Bagi spesis ini mempunyai habitat serta taburan semula jadi didalam hutan kawasan bergunung dalam Negeri Pahang khususnya disekitar Gunung Tahan. bagaimana pun dari segi pencirian khusus ia mempunyai jenis urat daun kedua tidak jelas kelihatan. 


Lazimnya pokok Karas menghasilkan kayu teras yang beresin dan beraroma yang dinamakan gaharu. Secara semula jadi, gaharu terbentuk akibat daripada tindak balas pokok Karas ke atas serangan fungus/bakteria terhadap luka, retakan atau jangkitan penyakit. Pokok yang diserang merembeskan sejenis resin bagi melindungi bahagian yang cedera sama ada pada akar, batang, dahan dan sebagainya di mana resin ini lama-kelamaan akan menjadi keras. Resin ini mengandungi bahan sari yang wangi dikenali sebagai gaharu.  Gaharu berasal dari perkataan sanskrit iaitu “Agaru” yang bererti kayu berat yang mempunyai damar atau resin beraroma harum apabila dibakar. Nama pasaran bagi gaharu yang digunakan di peringkat antarabangsa dan tempatan adalah seperti Agarwood, Aloeswood, Eaglewood dan Kalamabak. Di pasaran antarabangsa, gaharu telah dipasarkan secara meluas di negara-negara seperti Timur Tengah, China dan Jepun yang terdiri daripada dua bentuk iaitu bentuk serbuk kayu yang digunakan dalam upacara keagamaan, tradisional dan perubatan manakala minyak gaharu sebagai pati dalam pembuatan minyak wangi. Pada masa kini, permintaan dan perdagangan gaharu semakin meningkat terutama dalam industri farmaseutikal, kosmetik, minyak wangi dan sebagainya. Keadaan ini menyebabkan bekalan gaharu secara semula jadi telah pun berkurangan. Oleh yang demikian, usaha-usaha perlu diambil bagi menggalakkan penanaman pokok Karas secara komersial dalam memastikan sumber bekalan gaharu yang berterusan dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.


Bahan tanaman Karas memerlukan aspek-aspek penting yang perlu diambil kira bagi mendapatkan bahan tanaman sama ada dari biji benih atau anak liar ialah berkualiti baik, masa kutipan yang sesuai serta teknik-teknik pengutipan dan aktiviti penyelenggaraan yang berkesan. Pemilihan Pokok Ibu Perolehan biji benih karas daripada Pokok Ibu adalah amat penting kerana ia akan menentukan kualiti dan kesuburan anak pokok yang akan diperolehi kelak. Kriteria yang perlu diberikan perhatian semasa memilih pokok Induk antaranya mempunyai ciri bentuk silara yang baik dan sempurna, mempunyai batang yang lurus dan kurang tirus, pokok yang unggul serta semestinya dari pokok induk yang subur (mempunyai daun yang lebat dan warna daun yang cukup hijau). Aktiviti mengutip biji benih melalui pengamatan fenologi perlu diperolehi untuk mengetahui musim berbuah dan masa buah matang/masak bagi merancang aktiviti kutipan biji benih pokok Karas. Ini perlu bagi memastikan kutipan buah dibuat pada masa yang tepat agar hanya buah yang betul-betul matang dikutip. Biji benih boleh dikutip dengan cara memanjat atau menggunakan galah. Pengutipan buah pokok Karas hendaklah mengambil kira perkara-perkara seperti buah yang dikutip tidak mempunyai kecacatan dan kerosakan, warna buah tidak berubah berbanding dengan warna asal buah matang, buah yang dikutip hendaklah belum bercambah, buah yang dikutip hendaklah dimasukkan ke dalam bekas yang mempunyai lubang-lubang pengudaraan yang baik dan dibawa ke tapak semaian untuk diproses dan disimpan, biji benih akan disemai di batas semaian menggunakan kaedah jalur dan akan bercambah dalam tempoh 15 – 20 hari dan sebaiknya benih yang berumur 2 - 3 bulan atau mempunyai 2 - 3 helai daun akan dipindahkan ke tabung. 


Kalau membuat carian atau kutipan anak benih liar sebaiknya aktiviti pengutipan anak benih liar hendaklah dijalankan dengan cara dimana anak benih liar yang mempunyai ketinggian 10cm - 15cm atau mempunyai sekurang-kurangnya dua helai daun. Digalakkan agar anak benih liar hendaklah dicabut pada waktu pagi sahaja atau pada musim hujan dan sebaiknya anak benih liar tidak mengalami kerosakan teruk iaitu terutamanya pada bahagian akar tunjang semasa mencabut. Awas agar anak benih liar hendaklah sentiasa berada dalam keadaan lembab dengan menggunakan bekas yang mana lebih bersesuaian seperti guni basah atau kertas surat khabar.  Anak benih liar yang telah dikutip akan dipindah terus ke tabung.  Batas semaian yang disediakan untuk menyemai biji benih hendaklah mempunyai ciri-ciri berikut: i. Dibina di atas permukaan tanah yang telah diratakan; ii. Mempunyai kelebaran 1.0m - 1.5m dan panjangnya tidak lebih daripada 5.0m. Jarak di antara batas-batas ini ialah 0.6m dan di sekeliling batas-batas tersebut perlu diberi sokongan dengan papan atau konkrit setinggi 0.1m - 0.15m untuk menampung media semaian seperti mana Gambar rajah 2; iii. Media semaian biasanya terdiri dari campuran tanah lapisan atas dan pasir sungai yang telah diayak melalui jaring kawat pada nisbah 1:1 hingga 3:1; dan iv. Perlu diberi naungan untuk mengelakkan hujan lebat yang boleh menyebabkan air bertakung di batas dan juga cahaya matahari yang terlampau panas. Aktiviti penjagaan semaian hendaklah diberi penjagaan yang sewajarnya agar anak-anak benih yang akan dihasilkan nanti sihat dan subur. Aktiviti-aktiviti penjagaan batas semaian hendaklah diberi perhatian. Sebaiknya batas semaian perlu disterilkan sebelum penyemaian supaya bebas dari kulat dan cacing musuh. Bahan pensterilan yang biasa digunakan ialah larutan formalin di mana 1 liter formalin dicampur dengan 14 liter air. Pastikan aktiviti penyiraman hendaklah dijalankan 2 kali sehari pada sebelah pagi dan petang. Pastikan air yang disiram sampai ke bahagian akar dan bukan pada kawasan permukaan daun atau permukaan tabung sahaja. Aktiviti penyiraman boleh dijalankan secara manual atau secara renjisan automatik (sprinkler). Bagaimana pun lazimnya semasa musim hujan, siraman hendaklah dikurangkan untuk mengelakkan batas semaian menjadi terlalu lembab yang boleh menyebabkan serangan penyakit, kulat dan cendawan. Dalam pada itu selepas biji benih bercambah, penyiraman perlu dilakukan dengan berhatihati bagi mengelakkan jumlah air yang berlebihan di dalam batas semaian kerana lebihan air boleh menjejaskan kehidupan (kemandirian) anak cambah. Semua rumput-rumput yang tumbuh di dalam batas semaian hendaklah dibersihkan. Rumput/rampai hendaklah dibersihkan supaya tidak menjadi perumah kepada musuh anak benih. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada anda embaca anim agro technology kali ini. Wasallam!!...
TANAM KARAS... GAHARU HASILNYA...
ADA 5 SPESIS... TERDAPAT DI MALAYSIA...
ABAK BENIB LIAR.... KENA CARINYA PULA...'
BENSIH DISEDIAKAN... DITANAM JUGA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Cendana, Persimpangan Bukit Beruang,
Bandar Melaka, Melaka,
Malaysia.
(15 JamadilAwal 1441H).
Bersamaan 9 Januari 2020).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...