Support My Blog

Thursday, August 29, 2019

MELON DI TKPM IPAH

TANAMAN MELON (Cucumis melon) dari varieti kuning merupakan diantara tanaman yang popular diusahakan oleh usahawantani di Taman Kekal Pengeluaran Makanan IPAH Air Hitam, Johor yang penulis blog kunjungi. Turut sama didalam lawatan tersebut adalah Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia YB Sim, Pengarah Pertanian Johor Hishamuddin, Timbalan PPN Johor Azreen, Pegawai dari ITTP MoA, Pengarah IPAH dan beberapa pegawai kanan Jabatan Pertanian. Lawatan YB Timbalan Menteri ini dilokasi kedua selepas membuat tinjauan teknologi Projek Sayuran Komersil di Kelompok Batu 19, Sengkang, Bukit Gambir di Daerah Tangkak. Pengujudan TKPM adalah untuk mengeluarkan bahan-bahan makanan negara seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan sebagainya yang mana ia kekal pengeluarannya dikawasan yang dikhaskan. Kawasan ini digazetkan sebagai kawasan penanaman yang mempunyai kelengkapan infsastruktur lengkap sama seperti konsep taman perindustrian dengan adanya jalanladang, sistem perparitan, sistem pengairan, utiliti air dan letrik malahan disesetengan TKPM dilengkapkan dengan Rumah Struktur Pelindung Hujan (SPH) atau Rumah Kalis Serangga (RKS). TKPM ini secara langsung telah menyelesaikan masaalah rungutan oleh usahawan tani dan parapelabur mengenai ketiadaan tanah pertanian untuk kegiatan pengeluaran bahan makanan untuk negara. Di Malaysia setakat ini ada 74 buah TKPM dengan keluasan fizikal 11,952 hektar dan ditanam seluas 10,304 hektar pada tahun 2018. Seramai 1,383 peserta terlibat dengan manghasilkan sebanyak 90.179 juta metrik tan hasil bernilai RM143.9 juta pada tahun sama. Rekod Jabatan Pertanian Malaysia menunjukkan purata pendapatan peserta TKPM adalah sebanyak RM6,771.45 sebulan iaitu menepati sasaran TKPM. Penulis blog berkesempatan dalam usaha membuat tinjauan teknologi di TKPM IPAH ini bersama YB Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (Sila anda lihat foto diatas). Artikel subuh ini saya menulis ladi di dalam "Anim Agro Technology" mengenai penanaman melon kuning sebagai satu jenis tanaman meemberi pendapatan baik kepada pengusahanya boleh dijadikan bahan rujukkan pembaca semua.


Melon merupakan tanaman daripada keluarga Cucurbitaceae yang ditanam untuk mendapatkan buahnya (Sila lihat foto disebelah). Penanaman melon berbeza dengan penanaman buah tembikai (Citrulus lunatus) di Malaysia kerana tembikan lazimnya ditanam diatas tanah dengan teknologi horizontal. Ini berbeza dengan kaedah penanaman melon dimana sebahagian besar masakini dengan teknologi vertikal seperti yang dilakukan di TKPM IPAH ini didalah Strkutur Pelindung Hujan dan kalis serangga. Tanaman melon yang tumbuh menjalar atau merambat ini perlukan sistem penanaman secara fertigasi dibawah SPH. Dalam pada itu tanaman melon akan tumbuh baik di tahap ketinggian sederhana 250 - 750 meter diatas permukaan laut dengan keperluan suhu yang ideal adalah diantara 23 30 Celcius. Kawasan untuk penanaman juga tidak terlalu sejuk dan tidak pula terlalu panas. Di Malaysia terdapat banyak varieti melon yang ditanam tetapi varieti yang paling popular semenjak dahulu adalah Rock Melon. Varieti ini ada ditanam diatas tanah dan juga ditanam secara fertigasi. Bagaimana pun secara teknikal terdapat 3 jenis buah melon yang sering ditanam oleh petani iaitu Jenis Recticalatus, Jenis Inodorus dan Jenis Cantalepensis. Jenis Reticalatus mempunyai ciri utama dimana jenis melon ini mempunyai warna buahnya hijau muda dihiasi juga warna oren. Jenis ini paling banyak dijual dipasaran dengan bentuk buahnya bulat dan kulitnya kehijauan dengan tekstur yang mirip jaring. Jenis Inodorus pula mempunyai ciri bentuk buahnya yang agak lonjong dengan warna kulit kuning pucat agak hijau serta ciri isi buah yang berwana hijau, oren keputihan tidak beraroma. Ketiga adalah Jenis Cantalupensis pula mempunyai isi buah berwarna kuning dan kulitnya berbentuk seperti buah labu serta mempunyai aroma isi yang sangat kuat jika dibandingkan dengan jenis melon yang lain.


Benih Melon hampir 100% adalah benih hibrid yang diimport dari luar negara. Malaysia masih belum mampu untuk  menghasilkan benih melon sendiri sehingga kini. Kadar keperluan biji benih bagi sehektar dianggarkan sebanyak 500 - 700 gram untuk kawasan tanah menanam secara konvensional tetapi untuk tanaman didalah SPH seperti di TKPM IPAH ini disesuaikan dengan bilangan SPH yang diusahakannya. Biji benih ini perlu disemai dahulu sebelum mengubahnya kekebun atau didalam sistem fertigasi. Pengusaha di TKPM ini membeli benih daripada pembekal tempatan didalam tin yang dijamin mempunyai kadar pertumbuhan disini. Secara amalannya agar bijibenih tumbuh dengan baik maka biji melon harus direndam dahulu dengan air hangat selama 7 jam. Setelah direndam disiapkan kain basah untuk meniriskan biji tersebut. Tempatkan di tempat yang teduh selama 2 hari sehingga biji bercambah dan elakkan kain jangan sampai kekeringan. Percikan air secukupnya untuk menjaga kelembabannya bagi tujuan penanaman konvensional tetapi bagi sistem fertigasi bijibenih perlu disemai terus didalam polibeg tanaman. Setelah biji benih bercambah maka masukkan benih kedalam polibag yang sudah disiapkan tadi sedalam 1-2 cm saja dan ia seterusnya di tutup dengan media cocopeat dalam polibeg. 


Sistem Tanaman Fertigasi di TKPM IPAH ini merupakan pemberian air dan baja kepada tanaman secara serentak. Media yang biasa digunakan ialah sabut kelapa dan sekam padi. Pokok mendapat nutrisi yang lengkap daripada air dan baja melalui pemberian secara berkala. Fertigasi juga boleh dijalankan di bawah Rumah Pelindung Hujan (RPH) untuk mengelakkan baja menjadi larutan cair.Sekiranya baja terlalu cair, kesan baja terhadap tanaman adalah tidak efektif. RPH juga boleh mengurangkan risiko penyakit terhadap tanaman. Sistem Fertigasi melon yang di gunakan ialah jenis biasa iaitu penggunaan ‘cocopeat’. Dalam pad itu tujuan utama sistem fertigasi di sini adalah untuk meningkatkan keberkesanan penggunaan baja. Pengagihan secara automatik menggunakan pengatur masa dengan kekerapan dan tempoh pemberian yang telah dikenalpasti dapat mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh. Sistem Fertigasi melon direka bentuk untuk mengikut keperluan amalan fisiologi dan agronomi tanaman khusus untuk sayur-sayuran jenis buah. Ia juga bertujuan untuk penjimatan masa, kos dan meningkatkan kualiti sistem fertigasi di TKPM ini.


Empat belas jenis unsur dalam bentuk sebatian (Nitrogen, Fosforus, Kalium, Kalsium, Sulfat, Magnesium, Mangan, Ferum (zat besi), Kuprum, Zink, Boron, Ammonium, Molibdenum dan Natrium) yang diperlukan sebagai asas bagi rnendapatkan satu formulasi baja yang lengkap untuk pertumbuhan pokok rock melon yang baik. (Unsur lain seperti Oksigen, Hidrogen dan Karbon diperoleh daripada udara). Unsurunsur dalam bentuk sebatian ini mestilah betul-betul larut dalam air agar mudah diagihkan ke setiap pokok dengan seragam. Baja boleh disediakan di dalam frekuensi yang berbeza setiap hari, beberapa kali setiap minggu, atau mingguan, bergantung kepada keperluan pengairan, jenis tanah, dan faktor-faktor lain. Biasanya, ia memerlukan 5 kali sehari. Jangan teragak-agak untuk mengairi jika pengairan diperlukan selain daripada semasa jadual biasa. Proses pendebungaan ialah di mana bunga jantan kepada bunga betina dengan teknik menggeselkan stamen ke atas stigma. IKaedah ini boleh meningkatkan hasil buah rock melon. Bunga betinanya berada pada tunas air dan kembung pada bahagian bawah kelopak bunga. Bunga jantan banyak terdapat pada batang utama. Bagi melakukan pendebungaan, pilih bunga jantan yang sihat kemudian buang semua kelopak bunga. Dekatkan bahagian bunga jantan tadi pada bunga betina dan geselkan bunga jantan pada stigma bunga betina. Pendebungaan mestilah dilakukan pada waktu pagi iaitu bermula pada pukul 10 pagi kerana bunga kembang sepenuhnya. Hasil dripada pendebungaan hanya boleh dilihat selepas 48jam. Tanaman rock melon ini boleh dituai apabila daun pengasuh (flag leaf) telah kering dan diikuti dengan adanya tanda-tanda retak mengelilingi pangkal buah. Semua hasil boleh asingkan mengikut saiz untuk dijual di pasaran. Pastikan bahan pemotong untuk memetik buah yang digunakan tajam agar tangkai dipotong dengan elok dan tidak menurunkan kualiti hasil tuaian. Ini adalah masa terbaik tahun ini. Tuaian dilakukan manual untuk memastikan buah-buahan yang tidak rosak. Semuga artikel ini memberi info berguna keada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam....
TANAM MELON... USAHA BERJAYA...
MELON KUNING...18 BRIX MANISNYA...
JUAL TEMPATAN...DAN KE SINGAPURA...
PROJEK BERJAYA... PETANI PUN SUKA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 601, Suite Floor,
Hotel Impiana, Senai,
Johor Bahru, Johor,
Malaysia.

(23 Zulhijjah 1440H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...