Support My Blog

Thursday, August 1, 2019

MESTA SEKAH - SATU FEMONENA

POKOK MESTA (Garcinia mangostana) yang dahannya terlalu banyak daun dan buah akan 'sekah' atau patah daripada pokok induk jika tidak di lakukan langkah-langkah perlu (Sila lihat foto diatas). Pokok mesta daripada keluarga Clusiaceae ini apabila umurnya sudah melebihi 15 tahun dan dahan pokok ini mulai bercantum boleh menyebabkan dahan pokok mudah sekah (sempal dalam bahasa Jawa Johor) yang mana kejadian ini amat merugikan penanam buah mesta terutama dibeberapa daerah di Pahang dan beberapa negeri lain yang penulis blog membuat tinjauan. Buah Mesta adalah hampir sama dengan manggis cuma berbeza dari bebarapa ciri buahnya dan rasanya seperti tulisan saya sebelum ini (Sila klik disini). Buah MESTA (no daftar varieti di Jabatan Pertanian adalah - GA2) apa yang penulis blog teliti mempunyai bentuk, warna dan isi seperti buah manggis dimana ia banyak diperolehi dan didakwa berasal daripada Pahang (Terutama Daerah Temerloh). Lazimnya buah ini mempunyai pokok yaang lebih kecil dan rendah dengan ia juga mempunyai bentuk buah mesta sebagai 'ovate'. Ia didapati mempunyai isi yang manis dan kurang berjus serta kurang getah berbanding manggis. Uniknya mesta kurang biji atau tiada biji langsung. Jika diteliti ia mempunyai susunan ulas yang hampir sekata (biasanya 6 ulas) dengan tekstur isi halus dan agak kering (kurang berjus). Bagaimana pula buah manggis. Buah Manggis ada yang memanggilnya sebagai 'Manggis Kampung' dengan lazimnya mempunyai pokok yang lebih tinggi dan besar berbanding pokok mesta. Dahannya lebuh kukuh berbanding pokok mesta. Buah berbentuk bulat atau bulat leper dimana ia ada banyak getah dan ini akan menyebabkan risiko Gamosis (Sila klik disini). Buah manggis lazimnya mempunyai isi yang manis dan berjus. Bentuk buah  manggis adalah Bulat dengan buahnya adalah bergetah. Penulis blog dapati terdapat isi 5-6 ulas dan mempunyai biji. Ia mempunyai susunan ulas tidak sekata (1-2 ulas saiz besar) dengan tekstur halus dan berjus. Artikel kali ini dalam blog "Anim Agro Technology" bagaimana pun saya sedia paparkan kejadian dahak pokok mesta yang mudah sekah untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukkan anda semua.


Pokok Mesta dewasa didapati mempunyai dahan yang cara lenturnya lateral dan agak lembut berbanding dengan dahan pokok manggis. Hasil tinjauan di kebun mesta dibeberapa kebun petani sekitar Temerloh dan Maran di Pahang tahun ini didapati terdapat fenomena dahan sekah terutama dikawasan dusun yang pokoknya subur dan buahnya banyak. Lazimnya dahan yang sekah adalah dahan yang kedudukannya 'paling bawah sekali' dimana tidak ada apa-apa sokongan dibuat terhadap dahan tersebut. Dahan yang elok semasa vegetatif ini akan sekah apabila proses pembentukkan buah mesta berlaku. Kalau jumlah buah menjadi putik dimana beratnya mencapai 150 gram sebiji akan menambahkan beban berat kepada dahan tersebut. Jumlah berat buah ini akan menyebabkan dahan bahagian bawah ini akan sekah daripada batang pokok induk dan ia akan menyebabkan daun dan buah tersebut kering dan rosak (Sila lihat foto disebelah). Pemerhatian penulis blog mendapati kejadian dahan sekah juga lebih kerap berlaku selepas hujan dimana jumlah berat daun dan buah basah ini menjadikan ia lebih mudah berlaku. Dalam sekitar 50 pokok mesta yang sekah dahannya didapati sekitar 7 pokok mempunyai dahan sekah lebih daripada 2 dahan semantara 11 pokok pula terdapat satu sahaja dahan sekah. Pokok yang terlalu rimbun dengan buah banyak dan berada dikawasan terdedah tiupan angin menjadikan kejadian sekah ini lebih mudah berlaku. Dahan pokok mesta adalah lebih mudah sekah daripada dahan pokok manggis.


Kejadian dahan sekah ini bagi dahan dibahagian atas juga berlaku tetapi agak kurang berbanding dengan dahan bawah. Ada terdapar dua pokok yang sekah dahan bahagian atas dimana ini menyababkan dahan tersebut kering. Bagi kaedah untuk elakkan sekah dibahagian atas maka dilakukan kerja mengikat dahan-dahan tersebut secara bulatan dengan menggunakan tali kukuh atau pun kawat. Setiap dahan dipilih untuk diikat secara lateral agar bebanan tersebut dapat diimbangi dengan ikat secara bulatan beberapa lapisan seperti bentuk sarang labah-labah (web netting). Kaedah ini bagaimana pun perlu dibuat dengan berhati-hati agar ikatan dilakukan degan ada pelapik getah atau pun rongga bagi elakkan ia ikatan ini akan menyebabkan kecederaan pada kulit dahan tersebut. Dahan-dahan yang sekah perlu dipotong dengan gergaji atau 'pruning scateurs. dan dikumpulkan atau dilonggokkan dilokasi sesuai. jangan biarkan dahan sekah begitu sahaja. Sebaiknya kesan luka pada sekah yang terdedah dirawat dengan bahan sesuai seperti racun antu kulat atau dicat. Pastikan kecederaan yang berlaku ini tidak menyebabkan pokok akan menjadi reput batangnya.


Bagi dahan yang mudah sekah perlu ianya diperiksa sentiasa terutama semasa musim berbunga atau pokok berada dalam peringkat reproduktif. Sebaiknya pokok tersebut dipasang kayu sokongan atau tiang logam yang kukuh (Sila lihat foto disebelah). Penulis blog dapati kayu sokong ini akan membantu kurangkan bebanan berat dahan tersebut dan tidak menjadi sekah. Penting juga dilapik bahagian bawah dahan dengan getah agar tidak menyebabkan kecederaan pada dahan tersebut. Bagaimana pun jika banyak kayu atau besi sokongan ini dipasang agar menganggu perjalanan pekerja dan petani untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan sebagainya. Ada kayu sokong yang tumbang selepas buah semuanya sudah dipetik atau gugur dan kayu sokong tersebut boleh dikumpulkan semuka dan boleh digunakan dimusim akan datang. Aktiviti membuat cantasan terhadap dahan yang kurang produktif pada dahan mesta juga didakwa boleh mengurangkan berat biomass dahan tersebut dan ini akan mengurangkan kejadian dahan sekah. Belum ada amalan agronomi berkaitan pembajaan atau kaedah lain yang dibuat kajian agar dahan pokok mesta ini kukuh dan tidak sekah. Diharap artikel ini dapat memberikan info berguna kepada semua pembaca anim agro technology kali ini. Wasallaam!!!....
POKOK MESTA... UNIK CIRINYA...
DAHAN SEKAH... APA SEBABNYA...
BUAH BANYAK... BERAT JADINYA...
PERLU DIDOKONG...ADA CARANYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 2111, Suite Floor,
Hotel Zenith, Jalan Putra Square,
Kuantan, Pahang,
Malaysia.
(24 Julai 2019).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...