Support My Blog

Sunday, September 9, 2018

DUKU SUKAR DIEKSPORT

BUAH DUKU (Lansium domesticum) merupakan sejenis buah tempatan yang bermusim. Terdapat beberapa spesis duku yang ditanam di Malaysia seperti Duku Johor, Duku Dewan, Duku Terengganu dan beberapa jenis lagi. Pada penulis blog yang telah menulis banyak artikel mengenai tanaman duku juga amat teruja apabila membaca akhbar tempatan Utusan Malaysia yang melaporkan ''Duku sukar dieksport'' iaitu kenyataan oleh Ketua Pengarah FAMA di Terengganu baru-baru ini. Di Malaysia penanaman duku kebanyakannya berada di Johor (Daerah Pontian dan Muar) untuk jenis Duku Johor yang biasanya berbuah daripada bulan Julai - Ogos setiap tahun. Duku Johor berkulit tebal dengan rasa masam manis dijual dengan harga runcit sekitar RM10.00 untuk 3 kilogram diwaktu puncak. Berbeza dengan duku Terengganu dan Duku Dewan yang berkulit nipis dengan rasa lebih manis berbanding dengan Duku Johor dijual dengan harga runcit RM5.00 sekilogram. Anda boleh membaca beberapa artikel mengenai duku dalam penulisan blog saya sebelum ini (Sila klik disini), (Sila klik disini), (Sila klik disini) dan banyak lagi. Biasanya buah duku mempunyai jankahayat lepastuai yang sangat pendek dan cepat rosak selepas dituai menyebabkan buah itu tidak tergolong dalam hasil tani untuk eksport ke luar negara seperti durian, nangka, nanas dan manggis kecuali ke Singapura. Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Ahmad Ishak juga berkata ketika ini belum ada teknologi yang boleh menjadikan duku tahan lebih lama untuk pasaran eksport seperti durian dan buah lain yang boleh disejuk beku (Sila lihat foto diatas). Duku hanya boleh bertahan dalam tempoh antara tiga hari hingga seminggu sahaja dan ia perlu segera dipasarkan untuk menjamin buah tersebut dalam keadaan segar. Pakar Agronomist, Dato' Mohd Anim juga ketika dihubungi telah menyatakan buah duku lazimnya dipetik apabila cukup masak untuk menentukan akan tahap kemanisannya. Biasanya petani akan menjual buah duku secara pajak pokok kepada peraih untuk tujuan pemasaran. Malahan untuk menjualnya juga tidak boleh dalam premis yang berhawa dingin terlalu sejuk kerana buah akan cepat hitam dan rosak. Buah duku yang dimasukkan dalam peti sejuk juga kulitnya cepat bertukar warna menjadi hitam walau pun isinya masih boleh dimakan selepas beberapa hari. Artikel malam ini dalam ''Anim Agro Technology'' saya akan membincangkan mengenai isu buah duku yang tidak boleh dieksport keluar negara dimana menyebabkan berlaku kes kurangnya pendapatan pekebun buah-buahan yang hanya menanam duku sahaja.

Ada dilaporkan dimana pihak FAMA sedang mengkaji untuk menghasilkan pes duku bagi meningkatkan nilai tambah buah duku. Perkara berkenaan dimana jika berjaya ianya sekali gus boleh diperluaskan pasarannya untuk dieksport ke luar negara. Pada saya bagaimana cara hendak membuat pes duku perlu dibuat kajian dengan lebih terperinci daripada beberapa pihak. Duku yang dijual digerai tepi jalanraya biasanya hanya tahan 1 - 2 hari sahaja dimana ia kemudian menjadi pecah dan busuk (Sila lihat foto disebelah). KP FAMA ada juga menyatakan dalam akhbar tersebut dimana bukan FAMA tidak mahu eksport duku ke luar negara dan menganak-tirikan buah ini seperti dakwaan segelintir pihak tetapi disebabkan jangka hayatnya yang tidak panjang dan cepat rosak menyebabkan usaha itu tidak dapat dilakukan. Dalam pada itu beliau berkata kini jenis Duku Terengganu yang terkenal sebagai antara jenis duku terbaik di negara ini akan diketengahkan di pasaran tempatan menerusi jualan di 1,500 outlet FAMA berada di seluruh negara dan selain pasar tani serta rangkaian MyFarm Outlet. Dakwanya lagi sejajar usaha penjenamaan semula buah itu maka kini pihaknya juga akan mempromosikan slogan ‘nikmat rasa duku sebenar’ bagi membantu pengguna makan buah duku dan mengembalikan kemasyhuran duku Terengganu. Kini di bawah program Ladang Kontrak itu FAMA turut menyasarkan pengeluaran hampir 400,000 tan duku tahun ini menerusi ladang seluas 10,000 hektar yang membabitkan lebih 500 petani di seluruh negeri. Sebanyak 19 kawasan pengeluaran duku jenis Duku Terengganu membabitkan lima daerah di negeri ini iaitu di Kampung Durian Bador, Kampung Tanjung Bharu, Kampung Basong, Kampung Matang, Kampung Tanjung Putat, Kampung Pengkalan Ajil, Kampung Tanggul dan Kampung Sekayu di Hulu Terengganu manakala Kampung Pelong (Setiu) dan Kijal (Kemaman). Bagi Daerah Besut terdii dari Kampung Hutan Nangka, Kampung Keruak, Kampung Renik dan Kampung Durian Telor diikuti Kuala Terengganu di Kampung Serada, Kampung Banggol Katong, Kampung Pulau Rusa, Kampung Paloh dan Kampung Banggol Cempedak.

Pada penulis blog yang juga mengenali tumbuhan pokok duku ini mendapati pokok saka ini tahan lama untuk hidup. DUKU (Lansium domesticum) adalah sejenis buah-buahan tempatan dari keluarga MELIACEAE yang popular di negara kita. Rekod Jabatan Pertanian menunjukkan terdapat seluas 16,320 hektar tanaman jenis Duku, Duku Johor, Duku Langsat, Langsat dan Dokong serta Rambai dilaporkan pada tahun 2010 dengan anggaran hasil sebanyak 32,420 metrik tan. Buah duku akan bertukar daripada warna hijau ke warna kuning apabila buah mencapai peringkat masak. Walau bagaimanapun, corak kemasakan buah duku berlaku tidak serentak dalam satu tangkai. Pada masa kebanyakan buah telah bertukar warna menjadi kuning masih terdapat buah-buah yang lain yang masih hijau. Keadaan ini menimbulkan masalah dalam penuaian. Peringkat kemasakan duku di Muar didapati boleh dibahagikan kepada beberapa peringkat atau pun mengikut perubahan warna buah iaitu (1) hijau kekuningan; (2) kuning kehijauan; (3) kuning; (4) kuning cerah dan (5) kuning keperangan. Kemanisan buah meningkat dan kemasaman buah menurun apabila buah semakin kuning. Buah duku sudah boleh dipetik apabila kebanyakan buah pada sesuatu tangkai sudah berwarna kuning atau kuning cerah dan kuning keperangan iaitu 15-16 minggu dan tarikh bunga berkembang. Pada ketika itu, buah mengandungi jumlah pepejal terlarut antara 15-18% dan kandungan asid antara 0.2-0.4%. Artikel kali ini saya kongsi maklumat mengenai teknologi tanaman duku daripada pengalaman dan rujukan risalah teknikal.

Penuaian buah duku perlu dilakukan dengan cermat supaya ianya tidak merosakkan buah yang dipetik. Buah hendaklah dipetik seawal-awalnya pada lewat pagi iaitu antara pukul 10.00 atau 11.00 pagi hingga ke tengah hari atau petang untuk mengelakkan buah pecah. Sekiranya buah dipetik pada awal pagi lazimnya peratus buah pecah adalah tinggi. Kadangkala dalam keadaan cuaca redup atau hujan pagi, penuaian perlu dilakukan pada lewat tengah hari. Penuaian dilakukan secara memilih iaitu dengan meleraikan buah yang telah kuning sahaja daripada tangkainya dan kemudian masukkannya ke dalam bekas kecil seperti bakul atau karung kain. Buah yang masih hijau ditinggalkan pada tangkainya untuk dipetik kemudian hari. Bagi pokok yang tinggi pengutip hasil perlu panjat pokok dan bawa bakul atau karung kain yang telah diisi buah dan dihulurkan kepada seorang lagi yang menunggu di bawah pokok dengan tali. Buah-buahan ini kemudian dipindahkan ke dalam bakul atau bekas plastik yang lebih besar untuk diangkut ke bangsal atau rumah pembungkusan. Buah mesti dielakkan daripada terhempas ke tanah semasa penuaian. Perubahan warna daripada satu indeks ke indeks kemasakan berikutnya mengambil masa selama 3 - 4 hari. Perubahan warna buah daripada indeks 1 ke indeks 6 mengambil masa kira-kira 17 hari. Peringkat kemasakan yang sesuai untuk penuaian buah duku bergantung pada kegemaran pengguna. Berdasarkan kajian yang saya jalankan di Muar mendapati buah sesuai dipetik pada indeks 4 iaitu semua buah dalam satu tangkai berwarna kuning cerah. Pada peringkat ini buah sudah berhenti membesar (18 gm sebiji) dan kandungan gula sudah mencapai peringkat maksimum (jumlah pepejal terlarut lebih daripada 18%). Walau bagaimanapun kandungan asid masih agak tinggi (0.9%) dan membuatkan buah mempunyai rasa manis dengan sedikit rasa masam. Bagi mereka yang gemarkan buah yang lebih manis, penuaian boleh dilakukan pada indeks 5 atau 6, tetapi jangka hayat buah ini lebih pendek. 


Terdapat jua penanam dokong memetik buah lebih awal iaitu pada indeks 4 untuk tujuan eksport ke Thailand. Buah pada peringkat ini mempunyai rasa masam-masam manis (jumlah pepejal terlarut 16% dan asid 0.9%) dan saiz buah kecil sedikit (15 gm sebiji). Memetik buah duku adalah mudah kerana semua buah dalam satu tangkai masak serentak. Buah dipetik dengan memotong tangkainya menggunakan pisau atau gunting tanpa ianya meleraikan buah daripada tangkai. Buah dalam bentuk jambak dimasukkan ke dalam bekas seperti bakul atau karung kain semasa penuaian dan kemudian dipindahkan ke dalam bekas yang lebih besar untuk diangkut ke bangsal atau rumah pembungkusan. Bagi pokok yang tinggi, cara penuaian dilakukan dengan memanjat pokok atau dengan menggunakan tangga. Buah yang diisi ke dalam bakul atau karung kain diturunkan menggunakan tali dan disambut oleh seorang lagi yang menunggu di bawah pokok. Penuaian mesti dilakukan dengan cermat untuk mengelakkan daripada kecederaan pada buah. Buah duku digalakkan dipetik selepas pukul 10.00 pagi untuk mengelakkan kejadian buah pecah. Pemasaran buah duku adalah untuk domestik dan jika tidak habis maka kualitinya akan menurun. Semuga artikel kali ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!...
Duku Palembang di Indonesia - RM1.00 sekilogram
DUKU... KUNING LANGSAT WARNA...
DUKU TERENGGANU...BAIK HARGANYA...
DUKU JOHOR... AGAK TEBAL KULITNYA...
BACA ARTIKEL... DAPAT INFO JUGA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Banar Baru UDA,
Johor BAhru, Johor,
Malaysia.
(30 Zulhijjah 1439H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...