mobile ads

KLIK SAYA SOKONG BLOG

Wednesday, September 26, 2018

IKAN KELI DAN USAHAWAN BENIH KELI

IKAN KELI (Catfish) kini boleh diternak dalam takungan air seperti kolam, tangki gentian kaca (fibre glass), tangki simen dan tangki kanvas. Terkini penulis blog dapati ternakan ikan keli menggunakan sistem kanvas merupakan satu inovasi baru untuk bidang akuakultur dan telah dimulakan sejak 2006 selain daripada dalam kolam tanah. Ternakan ini selalu dijalankan dalam set ternakan kanvas dengan mana bingkai berukuran 4.5m x 1.2m x 1m dan diliputi dengan kanvas yang berkualiti tinggi dan tahan kepada perubahan cuaca. Kedalaman air dalam takungan kanvas adalah 0.4m. Benih ikan keli bersaiz 3 inci atau 10gm ke atas dilepaskan dengan kadar pelepasan 129ekor/m2. Ikan-ikan ini diberi makan dengan makanan rumusan bagi menjamin kualiti ikan yang diternak dan menjaga tempoh guna sistem tersebut. Tempoh ternakan ikan keli ini adalah selama 3 bulan untuk mencapai saiz pasaran (6ekor/kg). Dalam penternakan ikan keli maka kriteria benih ikan keli adalah diutamakan kerana ia akan mempengaruhi kejayaan seperti faktur benih berkualiti dengan saiz sama, aktif, tiada kecacatan rupa bentuk, ia tidak mengasingkan diri dan ia mempunyai warna biasa. Sebaiknya sebelum pelepasan benih perlu penternak dengan mempastikan mutu air sesuai, Tiada musuh dalam kolam (pemangsa), Buat pemeriksaan benih (Ia betul benih ikan keli yang dikehendakki), mempunyai bilangan jumlah benih seperti dikehendaki dan juga pastikan benih adalah benih sihat. Biasanya perlu ada tempoh ternakan pengasingan ikan keli. Setelah benih di masukkan selepas 10-20 hari maka ikan perlu diasingkan mengikut saiz. Setiap saiz hendaklah dimasukkan ke dalam kolam yang sama mengikut kadar pelepasan untuk ternakan. Contohnya tangki bersaiz 4.5m x 1.2m -700 ekor ikan bersaiz 6 inci. Pengasingan ikan akan diteruskan ketika hari ke 40 dan ke 60. Sekiranya tidak berapa banyak perbezaan saiz maka ikan tidak perlu diasingkan. Biasanya ikan bersaiz 3 inci ke atas perbezaan saiz tidak begitu ketara. Ikan akan diasingkan sekali sahaja setelah ikan mencapai tempoh ternakan sebulan. Pengasingan ikan yang yang terlalu kerap tidak sesuai kerana akan menganggu tumbesaran akibat tekanan. Bagi penulis blog kemahiran penternak perlu ada untuk mereka tahu akan teknologi yang betul dalam menternak ikan keli. Artikel malam ini saya menulis lagi didalam "Anim Agro Technology" mengenai pengeluaran benih ikan keli oleh usahawan bumiputra dalam menentukan industri ternakan ini akan terus berkembang. 

Bagaimana pun penulis blog juga ingin berkongsi sedikit info mengenai cara pengurusan makanan dan amalan pertanian baik untuk ternakan ikan keli. Ikan keli perlukan makanan betul untuk cepat membesar dan berkualiti hasilnya. Antara jenis-jenis makanan untuk ikan keli ada 3 jenis iaitu jenis Makanan Semulajadi, Makanan Tambahan dan Makanan Tambahan. Bagi makanan semulajadi ianya merupakan makanan asasi seperti plankton yg terdiri dari fitoplankton dan zooplankton. Makanan ini penting bagi benih ikan diperingkat asuhan. Dihasilkan melalui ternakan makanan hidup. Antara makanan hidup yang mudah dihasilkan adalah seperti Moina. F. Chorella, b. Rotifer. G. Infusoria, Cladocera, Daphnia serta pelbaga jenis cacing. Bagi jenis Makanan tambahan ia terdiri dari bahan-bahan dari alam semulajadi dan sisa pertanian seperti Daun tumbuhan, Daun (ubi ,kangkong,pisang, sisa sayuran), Rumput (Napier,rumput guinea), Bijirin (dedak padi, dedak gandum, jagung), Ikan baja dan Lain-lain (hampas kacang soya,hampas kelapa,hampas kacang tanah, kepala ikan bilis). Ketiga adalah jenis Makanan rumusan(pelet) dimana ia merupakan makanan yang lengkap dan seimbang. Terdiri dari campuran karbohiderat, protein, lemak, mineral dan vitamin. Makanan rumusan yang terdiri dari pelet starter yang mengandungi 30-32% protein adalah disyorkan dalam ternakan keli dalam tangki dengan kadar pemberian disyorkan.

Terdapat usahawan yang kini fokus kepada pengeluaran benih ikan keli di Malaysia. Seorang darinya adalah Mansur Arifin yang tetap meletakkan harapan untuk berjaya dalam projek pembenihan keli di Kampung Limau Manis, Banting, Selangor. Ini kerana pada beliau yang penulis blog pernah lawati dahulu industri akuakultur bagaikan di serang demam keli kerana semakin ramai ingin menceburkan diri. Ramai pengusaha mula berjinak-jinak melibatkan diri sama ada berstatus kecil atau sederhana khususnya mereka yang berada di luar bandar. Terkini meskipun ada ura-ura dan keluh kesah di sana sini bahawa aktiviti penternakan keli sudah tepu dan ramai yang telah berpendapat tidak menguntungkan tetapi semakin ramai yang bertanya di manakah benih keli dapat diperoleh.  Oleh itu pengusaha ini mungkin penternak induk iaitu untuk tumbesaran, membekalkan benih sahaja, makanan rumusan untuk ternakan atau juga produk hiliran seperti keli salai dan sebagainya. Inilah kesan daripada usaha kerajaan memberi nafas baru kepada bidang pertanian yang kini terus maju dan mendapat sambutan rakyat. Memang tidak dinafikan dimana sebilangan besar pengusaha ini sudah berjaya dan juga sebahagiannya pula gagal dan kecewa lalu menyalahkan bidang pertanian yang dikatakan tidak mempunyai masa depan sedangkan petua paling penting untuk berjaya ialah sabar setelah 'tersungkur' beberapa kali. Sama ada pembaca blog ini percaya atau tidak mungkin belum ada pengusaha pertanian tulen yang boleh dikatakan berjaya tanpa melalui onak dan duri, mencabar kematangan, bergolok bergadai sedangkan hasilnya lambat untuk dituai. En Mansur Arifin yang meminati bidang penternakan ikan keli mula menanam azam untuk kembali bersaing setelah pernah gagal dan mengharungi pelbagai masalah antaranya persekitaran, penyakit dan juga kurang berkemahiran dalam bidang penternakan itu.

Mansur boleh dikatakan mencuba bidang ini sejak beberapa tahun lepas dan selepas berkenalan dengan seorang pengusaha yang ingin membantunya. Bagaimanapun hasrat murninya terbantut kerana menghadapi masalah. Jabatan Perikanan Daerah Banting tampil memberi sokongan dan dorongan supaya beliau mencuba semua bidang tersebut dengan enam kolam sebagai permulaan. Tapak kolam di Kampung Limau Manis, Banting, Selangor itu secara kebetulannya menawarkan persekitaran sesuai kerana berhampiran punca air. Dia menternak pelbagai spesies ikan seperti keli, puyu dan haruan. Beliau mulanya hanya suka-suka sahaja kerana dari kecil memang suka bermain dengan ikan.Kawasan ini pun dipunyai oleh adik-beradik yang menyerahkan kepada saya untuk mengusahakannya secara serius. Dari berbekalkan modal RM3,000 untuk membina enam buah kolam, dia berjaya menternak keli sehingga 2,000 ekor dan puyuh sebanyak 3,000 ekor yang boleh dijadikan induk serta induk tilapia. Bagaimanapun masalah timbul selepas dia bekerjasama dengan seorang pengusaha lain yang tidak begitu membantunya secara bersungguh-sungguh. Pada masa sama ada isu penggunaan dari sisa ternakan khinzir sebagai makanan ternakan keli yang didedahkan media massa tidak lama dulu bagaikan mala petaka kepadanya kerana pasaran keli terjejas. Masalah-masalah tersebut menjejaskan usahanya untuk terbabit secara serius tetapi semangat tidak pernah luntur kerana baginya sekali berusaha dia kan terus berusaha. Ada masalah ikan mati yang dihadapinya sebelum ini mendapat tunjuk ajar daripada Jabatan Perikanan yang mengesyorkannya supaya beliau mendapatkan benih di Pusat Penyelidikan Perikanan Air Twar (PPAT) Perlok, Pahang. Kini beliau telah berjaya dalam membangunkan kawasan tersebut dengan kolam kepada 20 buah termasuk 14 buah kolam induk, serta kolam benih dan kolam Moina, sejenis zooplankton untuk makanan anak ikan tetapi jalur perjuangannya untuk terus kekal dalam bidang penternakan keli diperluaskan kepada projek pembenihan.

Kini beliau memfokuskan kepada usaha pembenihan iaitu satu cabang dalam ternakan ikan yang mempunyai potensi luas untuk dikembangkan. Pertemuannya dengan rakan usahawan lain Mohd. Razif telah pun meyakinkannya untuk memfokuskan kepada usaha tersebut. Mansur telah membina tempat khas untuk menjalankan aktiviti pembenihan ikan keli dengan menggunakan teknik aruhan. Dia kini telah mampu menghasilkan 200,000 anak benih sebulan dan sudah menyasarkan pengeluaran kepada 1.5 juta hingga 2 juta sebulan dalam beberapa bulan akan datang. Ada beberapa pihak sudah menyatakan minat untuk membuat tempahan dan kini mencecah dua juta. Mereka juga mendapat lagi sokongan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) untuk memfokuskan kepada aktiviti pembenihan. Kini dia menumpukan kepada permintaan yang datang daripada pengusaha atau penternak tulen dan bukan orang tengah bagi mengelakkan sebarang masalah timbul kemudian hari. Kini dia menawarkan harga lima sen bagi anak benih bersaiz dua inci, dan tujuh sen bagi saiz yang sama jika tempahan itu memerlukan pihaknya menghantar kepada pemohon. Ini bagi permohonan berjumlah lebih 100,000 ekor setiap konsainan. Bagi tempahan kurang 100,000 ekor harga yang ditawarkan ialah lapan sen untuk anak benih bersaiz tiga inci. 

Seorang usahawan lain iaitu En Yahya Ismail dari Padang Besar, Perlis berjaya menjadi usahawan benih ikan keli (Sila lihat foto disebelah). Ini kerana pada dia aktiviti pertanian seperti ternakan ikan keli kini merupakan salah satu bidang akuakultur yang dapat memberikan hasil lumayan sekiranya ia diternak secara komersial melalui teknik serta penjagaan yang baik. Ikan keli adalah jenis ikan air tawar yang senang dijaga dan cepat membesar sama ada melalui ternakan dalam kolam, palung simen atau pun kanvas. Tempoh kematangan ikan keli bergantung kepada cara pemakanan dan benih keli yang digunakan. Ada keli yang boleh dituai hanya dalam tempoh dua bulan sahaja. Apa pun bagi penternak keli tidak ramai yang berkecimpung atau menghasilkan benih ikan keli sendiri. Kebanyakan penternak hanya memperoleh benih ikan keli daripada pihak tertentu yang mempunyai kemahiran menghasilkan benih ikan keli dengan harga tertentu mengikut gred benih. Beliau kini mengusahakan di Kampung Batu Bertangkup, Chuping dimana selain menternak ikan keli beliau juga menghasilkan benih ikan keli sendiri. Beliau kini boleh tersenyum lebar apabila beliau merupakan salah seorang penternak keli yang berjaya di Perlis. Atas kesungguhan yang ditunjukkan dalam bidang pertanian dan ternakan tanpa mengharap bantuan daripada kerajaan beliau mampu berjaya. Penglibatan awal dalam ternakan keli ia ceburi bidang ini kira-kira tujuh tahun lalu dalam dua kolam berhampiran rumahnya. Padanya kaedah pembenihan keli hanya dipelajarinya dua tahun lalu apabila mendapati cara itu mampu menjimatkan kos di samping dapat memperolehi benih yang berkualiti. Dia pernah gagal beberapa kali dalam mempelajari teknik pembenihan keli ini tetapi tidak pernah berputus asa dan menganggap itu adalah lumrah biasa dalam bidang pertanian dan ternakan. Sebelum ini melalui benih yang dibeli dari luar dianggarkan daripada 60,000 benih keli hanya separuh yang akan hidup dan membesar dimana ini adalah sebagai satu kerugian yang besar. Dia kini sebagai salah seorang penternak yang berjaya dan menjadi salah seorang tempat rujukan terutama dalam kaedah pembenihan ikan keli yang turut disyorkan oleh Jabatan Perikanan. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!...
IKAN KELI... MUDAH CARA TERNAKNA...
BENIH DISEDIA... MAKANAN KENA ADA...
USAHAWAN BENIH...IA ADA MERATA...
BENIH DIJUAL... MURAH PULA HARGA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 547, Hotel Marriot,
Putrajaya, WP,
Malaysia.
(10 Muharram 1440H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...