mobile ads

KLIK SAYA SOKONG BLOG

Thursday, March 15, 2018

BENIH NANAS - KERATAN TUNGGUL BATANG

KAEDAH KERATAN TUNGGUL BATANG (Stem Cutting) dalam menyediakan benih nanas merupakan satu kaedah yang jarang dibincangkan secara terbuka oleh penanam nanas dinegara kita. Apa pun pada penulis blog, perkara benih nanas (Pineapple Seedling) merupakan bahan input penting didalam aktiviti penanaman pokok nanas (Ananas comosus). Dalam pembiakan pokok nanas, terdapat banyak kaedah yang selalu boleh dilakukan seperti mennggunakan Biji (seeds), Sulur Tanah (Suckers), Sulur Udara (Aerial suckers), Jambul (Crown), Kultur Tisu (Tissue Culture), Keratan Daun (Leaf cutting), Keratan Tunggul Batang (Stem Cutting), Kaedah Sukuan (Quartering) dan sebagainya. Kesemuanya kaedah ini dilakukan mengikut apakah tujuan pembiakan, kos terlibat, jangkamasa dan juga teknologi yang sesuai digunakan. Penulis blog yang telah menulis beratus artikel mengenai nanas mendapati perlu dikongsi bersama pembaca blog ini dalam menyingkap beberapa teknologi untuk penyediaan benih tanaman nanas termasuk yang umum atau pun yang jarang dilakukan. Pada masa ini lazimnya kaedah penggunaan sulur tanah adalah kaedah paling popular dan mudah yang dilakukan dengan jaminan kualiti 'true to type' pada benih yang dibekalkan untuk ditanam. Di Malaysia kini ketulinan benih tanaman telah ada Standard Prosedur iaitu dibawah Program Skim Pengesahan Bahan Tanaman (SPBT) yang dilaksanakan oleh Jabatan Pertanian untuk tujuan ini. Jumlah sulur tanah yang banyak membolehkan ia mudah dikutip, digredkan dan ditanam dilokasi kebun nanas. Berlainan dengan batang tunggul nanas dimana ia lazimnya diperolehi daripada pokok nanas yang telah tua dan seepas berbuah dan menghasilkan benih sulur beberapa kali. Batang tunggul nanas terutama dari nanas hibrid varieti MD2 akan diracun kemudian dikumpul atau dibakar bagi tujuan pembersihan untuk penanaman benih baru. Kekurangan bekalan benih nanas MD2 dan harga benih nanas MD2 yang mahal menyebabkan perlu ada kaedah lain menyediakan benih nanas MD2 perlu dilakukan. Tinjauan penulis blog di beberapa lokasi menyatakan mereka perlukan banyak benih nanas premium MD2 untuk ditanam. DIjangkanan keperluan benih nanas MD2 akan terus meningkat daripada 16 - 20 juta pada tahun 2017 kepada lebih 24 - 30 juta pada 3  tahun akan datang.  Artikel malam ini sambil menghadap kesimbukan lalulintas di Kompleks Pusat Membeli Belah De'Puzle Cyberjaya, saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai teknologi atau kaedah penyediaan benih tanaman nanas MD2 melalui keratan tunggul batang sebagai bahan rujukkan.


Setelah buah nanas MD2 dituai (135 hari) selepas dihormon, lazimnya pokok dibuang daun (dicantas) untuk tujuan bagi fungsi pengeluaran sulur untuk benih tanaman. Benih ini sama ada ia dijadikan benih tanaman untuk dijual sebagai satu lagi punca pendapatan selain daripada buah nanas MD2 atau akan ditanam semula dikebun nanas. Bagi nanas MD2 lazimnya ia akan menghasilkan diantar 3-5 sulur tanah sesuai dijadikan benih tanam, satu jambul dan 1-2 sulur udara atau kebanyakannya tiada langsung sulur udara. Sulur Tanah ini merupakan bahan tanaman nanas hibrid MD2 yang paling sering dikutip dan dijadikan bahan tanaman yang praktikal. Penggunaan untuk bahagian jambul pula hanya diperolehi daripada buah-buah nanas yang off-grade yang diproses sebagai Buah 'Minimum Process' dijadikan jus nanas atau produk lain yang sesuai sedangkan jambulnya pada masa dahulu dibuang sahaja. Tetapi kini jambul nanas dari ladang yang disahkan oleh Jabatan Pertanian telah diminati ramai penanam nanas. Selain daripada benih dari jambul murah (RM0.40 sen - RM0.50 sen satu jambul) iaitu berbanding benih sulur tangkai (RM1.50 satu sulur) ia menjadi pilihan kepada beberapa pengusaha nanas (Sila lihat foto disebelah). Tanaman nanas menggunakan benih dari jambul didapati memberikan kadar pertumbuhan lebih cepat dan pokok nanas MD2 yang seragam. Benih nanas MD2 dari jambul juga boleh dilakukan aktiviti sukuan (Quartering) dengan membelahnya kepada 2 bahagian atau 4 bahagian bergantung kepada saiz. Ia kemudian disemai dalam tapak semaian untuk dijadikan benih tanaman apabila mencapai ketinggian 30 cm mengikut piawaian benih tanaman nanas standard SIRIM.




Batang Tunggul Nanas MD2 yang masih hidup (belum kering) akan diambil dan ia kemudian dikumpulkan bagi tijuan dibuat pembenihan. Tunggul ini perlu dibawa kepusat pengeluaran benih untuk dikerat dan dipotong. Batang tunggul ini kemudian dipotong dengan ukuran 15 -25 cm (5-6 inci) panjang dibelah dua (Sila anda lihat foto disebelah). Potongan batang tunggul ini dikumpulkan dalam bakul untuk dirawat. Ia kemudian perlu dirawat dengan racun kulat seperti Benlate dengan merendamnya beberapa saat sebelum sesuai ditanam dalam nurseri nanas. Sebaiknya cuba elakan daripada memotong batang tunggul nanas terlalu pendek (Kurang 10 cm atau kurang 3 inci) atau nipis kerana ia boleh menyebabkan potongan tunggul batang tadi akan cepat kering dan tunas nanas baru tidak dihasilkan. Pekerja yang memotong tunggul batang diatas kayu menggunakan parang yang tajam dan selalu dibersihkan. Ini bagi mengelakkan akan ada jangkitan bawaan peralatan. Semua potongan ini perlu diproses rawatan dengan racun kulat dengan segera 1-2 hari untuk dapatkan kadar pengeluaran tunas nanas. Jika terlalu lama disimpan akan mengurangkan tahap pengeluaran benih nanas. Rawatan dengan makathion juga perlu jika ada serangan semut.


Setelah dirawat maka keratan batang tunggul nanas ini akan dibawa ketapak nurseri untuk ditanam. Kawasan tapak nurseri paling sesuai adalah diatas tanah gambut dalam tanpa pelindung. Keratan ini sesuai ditanam pada tanah gambut ditanam pada kedalaman 1 inci dalam tanah dan jarak tanaman 2-3 inci (Sila lihat foto disebelah). Bergantung kepada tahap kesegaran batang tunggul dan cuaca, lazimya keratan batang ini akan mengeluarkan tunas kecil nanas selepas 2-4 minggu ditanam (Sila lihat foto paling atas). Jumlah tunas yang keluar diantara 2 - 6 tunas bersaiz kecil. Tunas-tunas nanas yang kecil ini dibiarkan beberapa hari sebelum dikutip dengan tangan dan dikumpulkan dalam bekas khas. Saiz tunas MD2 yang sesuai diambil sebaiknya sudah mencapai lebih 4-5 cm tinggi. Tunas Nanas kecil ini akan dipindahkan ditapak semaian khas untuk dibesarkan sebelum ianya sesuai untuk diistilahkan sebagai benih nanas MD3 tulin dan ia boleh dijadikan bahan tanaman berkualiti. Lazimnya asal usul dan sejarah nanas MD2 perlu direkodkan bagi tujuan kawalan kualiti benih MD2. Ini bertujuan untuk mengambil tunggul batang nanas daripada pokok induk yang ditanam daripada sumber benih kultur tisu. Benih kultur tisu bagi MD2 adalah TIDAK DISYORKAN untuk dijadikan bahan tanaman. Masaalah 'Somaklonal Variotion' pada benih kultur Tisu MD2 boleh menyebabkan industri tanaman nanas MD2 terjejas.


Benih tanaman daripada keratan batang tunggul yang mencapai saiz boleh dialihkan keladang (Sila lihat foto disebelah). Aktiviti menanam benih MD2 dikawasan tanah mineral dengan kawasan tanah gambut mempunyai kaedah amalan agronomi berbeza. Bagi kawasan tanah gambut benih MD2 ini ditanam dengan jarak sesuai tetapi bagi kawasan tanah mineral perlu dipasang plastik khas jenis silvershine atas batas penanaman. Pemerhatian penulis blog mendapati kadar serangan Bacterial Heart Rot (BHR) yang disebabkan bakteria Dikeya spp mudah berlaku pada kebun nanas dikawasan tanah mineral terutama selepas hujan beberapa hari dan sistem saliran kurang baik berbanding dengan kawasan tanah gambut. Keujudan rumpai dikawasan tanaman nanas MD2 boleh menyebabkan kadar berlakunya serangan BHR sering berlaku. Daripada pengalaman penulis blog semasa membuat tinjauan dilapangan, penanam nanas sebenarnya perlu tahu daripada mana sumber benih MD2 tersebut diperolehi. Sebaiknya dia pastikan benih yang ingin dibeli atau menerima bantuan percuma telah ada sijil pengesahan benih SPBT atau tidak. Jika ada maka benih tersebut sudah mempunyai jaminan kualiti. Apa pun ia mesti dirawat dahulu sebelum ditanam.


Teknologi pengeluaran benih nanas mengunakan keratan batang tinggul bagi nanas MD2 mengambil masa lama sekitar 7 -  8 bulan dan kadang kala melebihi 10 bulan. Ia bergantung kepada amalan agronomi yang dilakukan serta faktor cuaca dan kecukupan tenaga kerja. Benih yang ditanam ditapak semaian perlu dibuat secara berperingkat-peringkat untuk memudahkan aktiviti penjagaan dan juga ikut jadual program penanaman atau penjualan benih (Sila lihat foto disebelah). Semasa penulis blog membuat pemeriksaan di sebuah ladang nanas yang membuat benih menggunakan keratan batang tunggul nanas MD2 ia menyetakan bahawa kaedah ini adalah berdayamaju. Walau kaedah ini akan mengambil masa agak lama tetapi ianga adalah 'cost effective'. Setiap satu unit benih MD2 yang dikeluaran melalui cara ini hanya melibatkan kos sekitar 50 - 60 sen berbanding dengan harga komersil sulur tanah runcit semasa adalah RM1.40 satu unit. Penggunaan benih nanas yang tulin dan berkualiti terutama untuk nanas jenis hibrid seperti varieti Nanas MD2 adalah sangat penting. Teknologi biakkan benih nanas MD2 menggunakan batang tunggul nanas adalah salah satu usaha untuk menyediakan benih tanaman nanas berkualiti dengan 'true-to-type' dimana kaedah ini membolehkan bahan tanaman yang digunakan akan dapat memberikan pulangan berbaloi kepada penanam nanas. Semuga tulisan ini memberikan info yang berguna kepada pembaca semua. Wasallam!!!...
BIAK BENIH NANAS... BANYAK CARA...
KERATAN BATANG ... JARANG DIGUNA...
CARA MURAH... TETAPI MASA LAMA...
TEKNOLOGI DITULIS...UNTUK ANDA JUA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist Expert,
Room 316, Hotel Tan'yaa,
Cyberjaya, WP,
Malaysia.
(25 JamadilAkhir 1439H)..
Bersamaan 14 Mac 2018.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...