mobile ads

KLIK SAYA SOKONG BLOG

Friday, March 30, 2018

MONYET - PETUA MENGAWAL

MONYET atau KERA (Sub-order: Haplorhini) adalah haiwan yang sering kita jumpa dikawasan taman rekreasi, kebun, kampong dan juga dimana-mana ia boleh mendapatkan makanan dan membiak. Haiwan ini adalah haiwan jenis omnivor iaitu ia lazimnya akan makan tumbuhan (Bahagian buah, daun bunga, biji dan pucuk) dan juga menjadi haiwan pemangsa kepada haiwan lain. Terdapat lebih daripada 260 spesis monyet diseluruh dunia dimana monyet adalah jenis Mamalia berdarah panas yang dari Order Primate. Monyet juga jenis haiwan yang mampu bergerak dengan cepat diatas pokok, diatas darat malahan berenang merentasi sungai. Kepantasan bergerak didahan dan batang pokok serta lompatan jauh membolehkan haiwan ini menganggu kehidupan manusia sama ada menyerang dapor rumah atau didalam kebun petani. Kehadiean kelompok monyet atau gerombolan monyet ketika tanaman sedang berbuah hampir masak dimana ia menyebabkan petani akan kehilangan hasil pendapatan. Di kampong saya di Gersik, Muar terdapat banyak pokok buah-buahan seperti pisang, rambutan, mangga, nangka, betik, petai dan sebaganya. Bagaimana pun lazimnya simonyet ini atau panggilan manja dipanggil sebagai "CHE MON" ini akan datang dan makan buah-buahan yang masih muda, mentah apalagi kalau ia telah hampir masak. Selain daripada makan buah, monyet juga akan merosakkan tanaman dengan mematahkan dahan atau menruntuhkan buah-buahan yang ada pada pokok. Kajian saya mendapati purata masa makan seekor monyet ialah lebihkurang selama 20 minit dan boleh makan sehingga 20 kali. Makanannya terdiri daripada pelbagai jenis seperti buah-buahan, batang pokok, ketam, bunga-bungaan, serangga, cendawan, rumpai, malah ada kalanya memakan tanah liat. Tabiat pemakanan yang lahap itu menjadikan monyet menjadi masalah kepada para petani. Ia mudah dan cepat membiak jika mempunyai makanan yang cukup dan sering tinggal berkelompok. Artikel malam Jumaat ini saya gembira untuk menulis lagi artikel ke 4,782 dalam "Anim Agro Technology" mengenai monyet dan berapa teknologi atau teknik atau petua yang kita boleh lakukan untuk tujuan mengawalnya. 

Pengalaman penulis blog yang telah lama berkecimpung dalam bidang pertanian selama lebih 35 tahun mendapati yang monyet atau kera merupakan haiwan yang berkumpulan. Jika monyet ingin melakukan serangan dikebun lazimnya agak sukar bagi para petani mengawal haiwan tersebut daripada menceroboh kawasan tanaman. Berdasarkan pengalaman saya beberapa kali menghadapi pencerobohan oleh haiwan ini, serangan awal biasanya akan dilakukan oleh satu atau dua ekor monyet sahaja dikawasan sasaran. Kemungkinan besar ia sememangnya ditugaskan oleh ketua kumpulan mereka untuk meninjau keadaan dahulu. Serangan berikutnya akan disertai oleh lebih ramai monyet tetapi tidak melibatkan anak-anak monyet yang masih kecil. Kemuncak serangan ialah apabila keseluruhan anggota dalam kumpulan, termasuk anak-anak monyet yang masih menyusu. Ketika itu selalunya tanaman yang sekian lama dibaja dan dipelihara oleh para petani akan ranap, seolah-olah baru sahaja dilanda tsunami. Monyet adalah haiwan yang dikategorikan sebagai 'lebih pintar' daripada haiwan-haiwan jenis lain dengan cara hidup bermasyarakat atau berkumpulan. Menjadi masaalah kepada penduduk kampong yang mana ia dijadikan pusat habitat monyet seperti di Tg Agas Muar, Johor dimana monyet yang banyak ini akan menyerbu kereta yang membawa makanan kepada mereka. Jika makanan banyak maka monyet ini akan cepat membiak dan populasinya meningkat berganda dalam jangkawaktu singkat sahaja.


Penulis blog yang sering meninjau banyak projek pertanian yang menanam tanaman makanan berhampiran hutan atau belukar sering didedahkan dengan masaalah oleh serangan monyet kepada tanaman mereka. Kesan serangan monyet ini selalu berlaku daripada masa peringkat awal penanaman sehingga pada peringkat sebelum menuai hasil. Bergantung kepada jumlah populasi gerombolan monyet atau jenis makanan daari tanaman dikebun, kadar kerosakkan boleh mencecah 100% jika tidak dikawal serangan ini. Oleh itu sebagai panduan bagi petani yang ada menanam tanaman makanan dan menghadapi masalah serangan monyet boleh membaca blog saya dalam beberapa siri (Sila klik disini), (Sila klik Disini) dan banyak lagi. Bagaimana kaedah mengawal yang cekap, murah dan berkesan. Lazimnya apabila ada tanda-tanda tanaman dirosakkan oleh haiwan tersebut, segeralah mengambil langkah-langkah sewajarnya sebelum tiba kemuncak serangan itu. Mengikut peraturan masyarakat atau organisasi monyet, lazimnya mana-mana ahli sesuatu kumpulan yang menemui makanan sudah pasti dia akan memanggil rakan-rakan dalam kumpulannya. Mana-mana monyet yang melanggar peraturan itu maka ia akan menerima padah dengan serangan ganas dari ahli-ahli kumpulannya yang lain. Kini kebanyakan kumpulan monyet, termasuk beberapa kumpulan yang terdapat di Daerah Kunak, tidak lagi takut dengan kelibat manusia. Bahkan, kehadiran manusia mereka pandang sebagai suatu peluang untuk mendapatkan makanan dengan mudah. 


Di peringkat ekstrim selalu ada kumpulan monyet yang menyerang manusia. Pada Oktober tahun 2016 ada dilaporkan dimana seorang bayi telah meninggal dunia akibat diserang monyet. Bayi berusia empat hari itu sedang tidur di ruang tamu rumahnya iaitu berlaku di Negeri Sembilan ketika seekor dari monyet telah menceroboh ke rumah tersebut dan melarikan bayi kecil berkenaan. Ibu bayi tersebut hanya meninggalkannya seketika untuk ke bilik air sedang datuknya ke dapur untuk mengambil secawan air untuk diminum. Apa pun mujur bagi para petani, monyet merupakan haiwan diurnal dimana biasanya dia aktif di siang hari dan berehat atau tidur pada sebelah malam. Oleh itu cara kawalan oleh orang  kampong terhadap tanaman yang berisiko diserang kumpulan monyet hanya perlu dilakukan di siang hari. Antara kaedah kawalan yang boleh dilakukan seperti membaling MERCUN BOLA  dan mercun ketupat dimana ada monyet. Ini kerana monyet amat takut dengan bunyi mercun dan bau belerang. Pada monyet ia sama dengan bunyi senapang yang mana petani ingin membunuhnya dan menyababkan monyet ini akan bertempiaran lari atau bersembunyi. Bagaimana pun apabila lapar mereka akan datang semula. Kaedah kawalan kedua adalah dengan menggunakan ALAT LASTIK. Walau pun kaedah ini adalah macam bermain sahaja tetapi jika monyet dilastik dan kena sasaran maka mereka akan ketakutan dan lari. Apa pun peluru lastik sebaiknya guna batu atau peluru keras yang boleh menyakitkan sang monyet. Melastik perlukan kemahiran dan kesabaran.


Paling menyeronokkan menghalau monyet tetapi meletihkan adalah dengan KEJAR GEROMBOLAN MONYET  dengan mengetuk tin-tin kosong yang bising. Sebenarnya monyet memang takutkan manusia tetapi perlu berhati-hati juga kerana jika gerombolan monyet banyak dan kita ada membawa makanan mereka akan menyerang manusia. Diantara kaedah yang sering dilakukan oleh petani adalah dengan Meletakkan PATUNG HARIMAU (Sila lihat foto disebelah). Patung harimau berharga diantara RM200 - RM500 ini bergantung kepada saiz dan kualiti patung harimau tersebut. Lazimnya monyet akan 'takut' melihat patung harimau pada peringkat awal sahaja tetapi lama kelamaan monyet sudah tidak takut lagi. Apa pun petani boleh gunakan AIR KENCING HARIMAU ASLI atau bahan Kimia KERIMO yang menakutkan monyet dan haiwan lain. Sapu dan letakkan bahan kencing ini kelokasi dimana monyet ini sering masuk untuk merosakkan tanaman dan lazimnya monyet yang ada bau ini tidak datang menyerang. Anda boleh baca artikel saya mengenai perkara ini dalam tulisan saya dengan pautan berikut (Sila klik disini). Bahan KERIMO merupakan bahan kimia yang sama boleh digunakan bagi tujuan mengurangkan serangan perosak tanaman. Bahan lain yang didakwa mampu menghalau monyet adalah MINYAK KIBAS dari Mekah. Caranya dengan sapukan minyak ini kepada tiang kayu dan pokok dimana ada potensi serangan perosak. Lazimnya babi, monyet dan beberapa haiwan perosak lain akan takut dengab minyak ini.


Ada juga petani yang memberikan umpan makanan yang telah dicampur dengan racun. Apabila monyet makan UMPAN BERACUN ini akan menyebabkan ia kehausan dan mencari air untuk minum dan kemudian ia akan mati. Monyet lain yang tidak makan akan membiarkan umpan tersebut apabila melihat rakannya mati. Bagaimana pun cara ini merbahaya untuk binatang lain yang memakannya termasuk haiwan ternakan petani. Penggunaan racun ini sangat merbahaya dalam rantaian habitat dimana ia dipanggil sebagai 'racun 7 keturunan' iaitu jika biawak atau gagak yang makan bangkai monyet kena racun tersebut pun akan mati sama. Kaedah yang jarang penulis blog terfikir adalah menggunakan ULAR GETAH dilokasi dimana monyet melaluinya (Sila lihat foto disebelah). Ular getah dengan pelbagai saiz, warna dan juga bentuk boleh menakutkan sang monyet. Apa pun lebih baik ular getah ini disapu dengan bahan kimia KERIMO atau Kencing Harimau atau Minyak Kibas untuk menjadikan ia lebih berkesan. Ada satu lagi petua menghalau gerombolan monyet yang mengganggu disekitar kampong dan kebun. Caranya adalah dengan menangkap KETUA MONYET dan kemudian disembur cat dengan warna merah atau putih dan ia akan melarikan diri atau disingkirkan dari kumpulan monyet yang tidak akan datang mengganggu lagi. Ketua kera ini akan mendapat titlr sebagai 'Kera Sumbang' dimana kumpulannya akan membuang kera ini yang sudah berubah warna. Cara lain adalah dengan memasang PERANGKAP MONYET yang dibina dengan membina perangkap dengan dinding dawai BRC dan diatasnya puntu masuk dengan zink. Perangkap ini diletakkan umpan buah-buahan seperti pisang, betik, nangka dan sebagainya untuk monyet masuk tetapi tidak boleh keluar lagi. Monyet ini boleh dihantar kelokasi lain atau dimusnahkan. Begitulah beberapa kaedah bagaimana mengawal monyet yang mengganggu. Semuga tulisan ini memberikan info berguna kepada pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!..
SERANGAN MONYET...IA MERBAHAYA...
TANAMAN ROSAK.... HASILNYA TIADA...
PELBAGAI KAWALAN... MENGIKUT PETUA...
MEMBACA ARTIKEL... SUDAH INGIN CUBA..

By,
M Anem,
Senior Agronomist Expert,
Room 1313, Hotel Promenade,
Tawau, Sabah,
Malaysia.
(12 Rejab 1439H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...