KLIK SAYA SOKONG BLOG

Thursday, March 1, 2018

TANAMAN KELADI - FAKTA TEKNOLOGI

TANAMAN KELADI (Colocasia esculenta Linn, Schott) ialah sejenis tanaman kontan yang pernah menjadi bahan sumber karbohiderat penting di kawasan tropika. Tumbuhan ini dipercayai natif dan asli di Asia Tenggara dan ia tergolong dalam famili Araceae. Bagaimana pun penanaman keladi dibeberapa negara terus berkurangan disebabkan ramai petani di Malaysia menukar kepada tanaman lain. Banyak jenis keladi terdapat di Negara ini dalam kumpulan keladi boleh dimakan (edible yam) dan keladi tidak boleh dimanan (non-edible yam) seperti keladi hiasan. Di Malaysia keladi ditanam di kawaan tanah gambut dan edikit pada tanah mineral. Kawasan utama penanaman keladi seperti di Johor, Selangor, Perak dan Pahang. Ubi Keladi berbeza dari segi warna, isi, sama ada warna putih, merah samar atau warna kuning dan batangnya pula dari yang berwarna hijau, coklat keungguan hingga coklat tua. Keladi ialah tanaman kontan yang boleh ditanam secara sendirian dan juga boleh ditanam sebagai tanaman selingan. Dalam pada itu ia sesuai juga dijadikan tanaman selingan dengan getah, kelapa, kelapa sawit, lada hitam dan dusun buah-buahan yang baru saja diusahakan. Jarak dan kepadatan tanaman pokok keladi disesuaikan semasa pokok berkenaan masih di peringkat awal pertumbuhan. Tanaman ini tumbuh 0.4 m - 2 m tinggi dimana ubisinya boleh mencapai hingga 15 cm besarnya bergantung kepada jenis dan amalan agronimu yang dilaksanakan. Anak umbisi didapati tumbuh di sekeliling pangkal umbisi utama dengan bilangannya berbeza-beza. Daunnya lebar berbentuk hati (Heart shape) dengan saiz dan warna bergantung kepada spesisnya. Tanaman Keladi boleh ditanam dalam semua jenis keadaan dan kawasan iaitu dari kawasan tanah rendah bertakung air hinggalah ke kawasan tanah tinggi yang balik salirannya. Selain itu banyak jenis keladi liar dan keladi ornamental yang diusahakan untuk tanaman hiasan dan sebagainya. Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai fakta teknologi tanaman keladi sebagai bahan rujukkan semua.


Dalam kita hendak mengenali pokok keladi sebaiknya penulis blog paparkan jenis-jenis keladi yang ada dinegara kita. Bergantung kepada kumpulannya keladi dikelaskan kepada dua iaitu Keladi yang boleh dimakan (edible yam) dan Keladi yang tidak boleh dimakan (non-edible yam). Apa pun antara jenis-jenis keladi boleh dimakan yang boleh ditemui di Malaysia adalah seperti Sarawak ialah seperti Keladi Cina, Keladi Sarawak, Keladi Mawar, Keladi Wangi, Keladi Udang, Keladi Kebuk, Keladi Kapas, Keladi Bugis, Keladi Lilin, Keladi Kuning dan lain-lain. Bagaimana pun ada sejenis keladi yang biasa ditanam dan dijual oleh petani-petani khususnya di Negeri Sarawak iaitu dipanggil sebagai 'Keladi Thailand' atau Keladi Pinang atau Keladi Cina (Sila lihat foto disebelah). Jenis ini boleh menghasilkan umbisi yang besar, anak dan batangnya boleh juga dimakan. Bagi jenis keladi Air, Manis dan Birah hanya batang dan tangkai daunnya boleh dimakan. Keladi Thailand telah dibuat pemerhatian oleh Jabatan Pertanaian di Sarawak dan mereka melaporkan keladi varieti Thailand berupaya untuk mengeluarkan hasil ubi segar lebih kurang 26 mt/ha ketika dituai iaitu pada umur 12 bulan selepas ditanam. Keladi jenis ini boleh mencapai ketinggian sek0.6 - 1.0 m. Warna isi ubinya kuning muda keputihan dengan kandungan kanji lebih kurang 65% daripada berat kering. Ketika dibuat kerepek ubi  kita boleh mendapat lebih kurang 30% daripada berat ubi segar. Biasanya untuk tujuan membuat kerepek keladi jenis ini boleh dituai ketika berumur 9-10 bulan selepas ditanam. Bentuk dan rasanya menyamai dengan keladi cina dan keladi Mawar.



Tanaman keladi memerlukan keadaan panas dan lembap dengan suhu melebihi 21 darjah Celcius. Pertumbuhan pokok keladi lazimnya akan terbantut sekiranya ditanam di kawasan bersalji. Tanaman ini juga penulis blog dapati memang memerlukan hujan tahunan lebih kurang 250cm. Keladi boleh tanam di kawasan tinggi yang mana taburan hujannya lebih kurang 175cm dengan syarat curahan hujan disebar sama rata sepanjang musim penanaman. Pengairan diperlukan sekiranya keladi ditanam di kawasan yang ada menerima curahan hujan kurang dari 175cm setahun. Keladi boleh ditanam dikebanyakkan jenis tanah dimana untuk tujuan mendapatkan kadar pertumbuhan yang baik ianya sesuai ditanam di tanah yang dalam, saliran yang baik, lom peroi, terutamanya lom aluvial dengan paras air yang tinggi serta kaya dengan bahan organik. Dilaporkan bahawa PH tanah yang sesuai untuk pertumbuhan pokok keladi ialah 5.5 - 7.8. Di Johor dan Selangor lazimnya penanaman keladi akan dilakukan oleh petani diatas kawasan tanah gambut. Ia juga memang sesuai ditanam ditanah gambut berbanding dengan tanah mineral kerana tanahnya lembut. Apa pun tanaman keladi tidak boleh tenggelam dalam air apabila berlaku banjir besar yang snahkan tanaman keladi.


Menanam keladi perlukan sedikit ilmu pengetahuan dan juga kemahiran. Paling asas adalah mendapatkan bahan tanaman atau anakbenih sulur keladi yang berkualiti dan mengikut spesifikasi. Keratan umbisi dari induk keladi dan anak pokok (Sila lihat foto sebelah) boleh digunakan sebagai bahan tanaman. Keratan umbisi keladi boleh disemai terlebih dahulu sebelum ditanam di ladang. Setelah tangkai daunnya mencapai ketinggian kira-kira 20 -30 cm ianya akan dipindahkan ke ladang. Penulis blog dapati untuk bahan tanaman dari umbisi sekitar kira-kira 2 - 5 tan metrik umbisi diperlukan untuk kawasan tanaman seluas sehektar. Dari segi keperluan anak pokok yang mempunyai ketinggian lebih kurang sama dan yang diperolehi dari rumpun pokok keladi boleh ditanam terus ke ladang. Bagi tujuan untuk petani menggelakkan anak benih cepat buruk dan mungkin berlaku kerosakan dan mengalami pepeluhan yang tinggi daunnya hendaklah dipotong sebelum ditanam. Anak benih dari pokok induk boleh diperolehi ketika pokok berkenaan mencapai umur 6 - 8 bulan selepas ditanam. Sebaiknya tapak tanaman yang dipilih dibersihkan dengan dahulu dengan menggunakan racun rumput atau tebas bakar. Jentera boleh digunakan untuk membajak. Tujuan kita membuat batas tanaman atau membajak tanah adalah untuk mengemburkan tanah supaya pembentukkan ubi keladi mudah berlaku kelak. Penanaman dilakukan dengan memindahkan anak benih sulur ke batas dengan menggali lubang-lubang kecil 5 - 7 cm kedalamannya terlebih dahulu, kemudian baru meletakkan anak benih ke dalamnya dan ditimbus. Biasanya sebelum ditanam daun keladi dipotong untuk mengurangkan pepeluhan dan untuk mengelak dari reput atau busuk. Barisan pokok boleh dibuat 90 - 120 sm jaraknya diantara satu sama lain dan jarak dalam barisan ialah 30 - 45 cm. Selama pokok keladi membesar lazimnya daun tua akan gugur dan ubinya bertambah besar dan panjang. Dari semasa ke semasa tanah di tepi pokok hendaklah dinaikkan supaya menutupi bahagian ubi yang terdedah. Disamping itu juga sulur-sulurnya hendaklah dibuang.


Amalan agronomi tanaman keladi penting dilakukan untuk mempastikan penghasilan yang optima. Aktiviti pengawalan rumpai, pembajaam kawalan muduh dan penyakit perlu dilakukan. Keberkesanan pengawalan rumpai adalah amat penting terutamanya pada 3 bulan yang pertama. Kebiasaanya pengawalan rumpai menggunakan secara manual (Menggunakan tangan). Sebaiknya untuk petani menggelakkan pertumbuhan rumput yang sangat serius, Penyemburan racun kulat pra-cambah boleh dilakukan sebelum kerja penanaman. Racun rumput pra-cambah jenis Diuron boleh digunakan dengan kadar lebih-kurang kadar sekitar 4 kg/hektar.  Pembajaan keladi perlu dijalan ikut pakej teknologi kerana keladi bertindak balas dengan baik kepada pembajaan. Dicadangkan Baja 15:15:15 pada kadar 1,150 kg boleh diberikan untuk satu hektar tanah. Baja boleh diberikan semasa menanam dan pembajaan ke-2 boleh dilakukan 3 – 4 bulan selepas penanam. Sekiranya pertumbuhan masih tidak menggalakan penambahan baja perlu dilakukan. Pengairan dan pembajaan perlu untuk mempercepatkan pengeluaran hasil. Lazimnya penuaian bermula dari 8 - 12 bulan selepas penanaman, bergantung kepada jenis keladi. Ubi matang yang sudah membentuk sepenuhnya, boleh dituai dengan mencabut atau menggali dengan cangkul. Diantara jenis penyakit tanaman keladi Penyakit hawar daun Penyakit hawar daun pada tanaman keladi (Sila lihat foto disebelah). Masaalah ini adalah disebabkan oleh kulat Phytophtora colocasiae iaitu sejenis organisma bawaan tanah ini menghasilkan bintik-bintik berbentuk bulat kecil berwarna coklat di sekitar tepi pada permukaan daun di mana titisan air cenderung untuk berkumpul. Daun akan jatuh ketika jangkitan semakin serius. Patogen ini juga boleh menyebabkan ubi keladi busuk setelah ianya dituai. Cara untuk kawalan dengan menanam varieti yang lebih toleran, memastikan daun antara pokok tidak saling bersentuhan dengan menjarakkan jarak tanaman. Cara lain adalah untuk jangkitan yang serius, sembur dengan cymoxanil dicampur dengan racun Mancozeb dimana semburan mesti mengikuti cadangan pada label racun tersebut. Kawalan lain dengan cara membuang daun-daun yang telah mati dari kawasan penanaman dan mengamalkan sanitasi ladang yang bersih untuk mengurangkan inokulum pathogen.


Diantara perosak yang menyerang tanaman keladi adalah seperti Ulat pangkas Daun  (Cutworm) atau nama saintifiknya sebagai Spodoptera litura. Diantara simtom atau tanda kerosakan adalah dimana larva memakan daun menyebabkan daun berlubang (Sila lihat foto sebelah). Kaedah kawalan dengan cara membuang daun yang diserang dan memusnahkan larva yang biasanya ditemui dalam gugusan. Petani boleh mengutip kelompok telur dan larva yang baru menetas sebelum mereka bersebaran. Dalam kawalan biologi penggunaan feromon methyl eugenol boleh tarik serangga jantan boleh digunakan dimana ini akan mengurangkan populasi perosak. Perosak seterusnya adalah Rama-Rama Helang (Hawk moth) dengan nama saintifik Thereta nessus. Antara simtom kerosakan dimana peringkat larvanya memakan daun keladi dan merosakkan daun. Kawalan perosak ini dengan cara mengutip larvanya atau gunakan bahan kimia sesuai.  Anggaran Kos Pengeluaran Sehektar Keladi bagi Varieti Thailand yang ditanam dengan kepadatan 18,518 pokok/hektar. Ia ditanam dengan jarak tanaman iaitu 1.2m x 0.45m dan perlu masa penuaian selama 9 - 12 bulan. Setelah dituai dianggarkan jumlah pendapatan kasar tanaman keladi sekitar RM11,000 sehektar dengan anggaran 11 mt penghasilan dan harga ladang RM1.00 sekilogram (pada 2009). Anggaran kos pengeluaran sekitar RM8,345 sehektar dimana ini aktiviti ini memberikan pendapatan bersih sekitar RM2,532.00 sehektar. Bagaimana pun kini 2018 harga ladang keladi telah meningkat kepada RM2.50 sekilogram menjadikan pendapatan kasar kepada RM22,500 dan kos pengeluaran meningkat kepada RM12,450 sehektar menjadikan keuntungan bersih sebanyak RM 10,050 sehektar. Semuga anda mendapat info berguna dari blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!...
TANAM KELADI... BENIH BERKUALITI...
9-12 BULAN TANAM...DITUAI PASTI...
PERLU DIBAJA... SERANGGA DIBASMI...
HASIL DIJUAL... GEMBIRAKAN PETANI...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 708, Hotel Mariott,
Putrajaya, WP,
Malaysia.
(11 JamadilAkhir 1439H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...