Support My Blog

Sunday, October 22, 2017

TANAM KACANG BOTOR - TIPS

KACANG BOTOR (Psophocarpus tetragonolobus) atau kacang kelisa adalah sayuran kekacang yang menjadi kegemaran orang ramai untuk dijadikan ulam yang enak dimakan. Penulis blog selalu menanam kacang botor ini dikawasan keliling rumah semasa tinggal dikuarters dibanyak lokasi. Kacang botor atau kacang botol atau ''Kecipir'' ini adalah pokok memanjat secara melilit sepanjang di antara tiga dan lima meter (m), akarnya banyak dan tumbuh pada permukaan tanah. Biasanga ia berbuah dengan membentu Buah Lenggai dimana ia bergaris bentuk oblong, antara 16 dan 36 sm panjang, 2.5 hingga 3.5 sm lebar. Diteliti dimana semasa buah muda maka lenggai berwarna hijau muda dan bertukar perang bila masak. Kacang botor dipercayai berasal dari Papua New Giunea dan Asia Tenggara. Ia memerlukan kayu pancang atau junjung untuk memanjat tetapi paga rumh juga sesuai untuk dijadikan kawasan tanaman kacang bootor. Walau pun ada petani yang menanam di kebun sayur atau di tepi pagar rumah tetapi memang mudah menjaganya. Pada penulis blog kacang botor merupakan jenis sayuran tradisional, lenggai muda, pucuk , bunga, ubi dan bijinya boleh dimakan. Ada juga kalangan pengguna akan mengambil bahagian bijinya kemudian ia diproses menjadi tempe atau taufu. Lazimnya bahagian daun dibuat dan diguna sebagai ubat pencuci mata yang bengkak, bisul dan kudis, daun yang direbus boleh merawat penyakit vertigo. Memang mudah untuk menanam kacang botor sendiri dikawasan rumah asakan ada minat, kawasan yang menerima banyak cahaya matahari, disiram selalu, dibaja dan dipetik hasilnya. Pengalaman penulis mendapati dengan menanam sendiri kacang botor membolehkan kita bersedekah juga kepada jiran-jiran sebelah rumah. Artikel petang Cuti Deepavali ini saya menulis dalam "Anim Agro Tehnology" mengenai kacang botor dan beberapa tip menjaganya untuk dijadikan bahan bacaan.

Bagi petani yang ingin menanam kacang botor secara koersil perlu membuat keja-kerja penyediaan tanah. Kacang botor boleh ditanam di pelbagai jenis tanah, elakkan menanam di tanah yang berair. Biasanya jenis tanah yang gembur, subur dan pH antara 5.5 dan 6.5 adalah yang paling sesuai. Membajak dan gemburkan tanah sedalam 20 hingga 30 sm bagi memudahkan pertumbuhan akar yang baik. Sebaiknya dibina batas disediakan berukuran satu hingga 1.2 meter lebar dan panjang mengikut kesesuaian kawasan (Sila lihat foto disebelah). Cara menanam mudah iaitu dengan mebubuh benih dengan jarak tanaman ialah 60 sm antara pokok dan jarak antara barisan ialah antara 60 hingga 100 sm. Biji benih boleh ditanam terus ke ladang, gali lubang sedalam dua sm, masukkan satu atau dua biji benih dan dikambus semula. Biasanya biji benih akan bercambah antara 10 dan 14 hari selepas penanaman. Kemudian anak benih yang tumbuh ditinggalkan satu pokok yang sihat pada setiap lubang selepas dua minggu penanaman. Ini bertujuan tidak ada persaingan dalam mendapatkan ruang, air, cahaya, makanan pada tanaman. Penyediaan junjung dilakukan pada peringkat awal sebelum menanam atau pun selapas pokok tumbuh.  Kacang botor memerlukan junjung, penyokong atau para untuk membolehkan pokok memanjat dan memudahkan proses penuaian. Sistem yang boleh digunakan iaitu dengan memacakkan kayu beruti berukuran 5 sm x 5 sm x 6.5 meter panjang setiap tiga meter, kemudian regangkan dawai kasar antara puncak kayu beluti dan sambungkan tiang kayu yang bertentangan antara kedua hujung batas, gunakan paku untuk memasang dawai. Tali diguna bagi membantu anak pokok memanjat bila telah berumur dua minggu.

Tanaman ini sangat memerlikan air dan sistem pengairan. Tanaman disiram dua kali sehari di peringkat awal penanaman kerana anak pokok memerlukan air untuk pokok ini membesar. Penyiraman boleh dilakukan secara manual atau menggunakan hos untuk pengairan. Pastikan pengawalan rumpai dilakukan sepanjang masa bagi memastikan tanaman hidup subur, kawalan rumpai perlu dilakukan (Sila lihat foto disebelah)Rumpai di atas batas dibuang secara manual dan antara lorong tanaman rumpai boleh dikawal dengan menggunakan racun rumpai yang disyorkan. Pastikan semasa penyemburan racun ia tidak mengenai tanaman. Pembajaan asas dengan baja organik atau baja asli yang sudah reput digaulkan pada batas dengan kadar satu hingga tiga kg /meter persegi. Baja yang disyorkan ialah 45 kg N:100 kg P2O5:100 kg K2O setiap hektar, tetapi ia bergantung pada keadaan tanah di sesuatu kawasan. Penggunaan baja NPK Hijau 15:15:15 untuk pembajaan pertama boleh di gunakan dengan kadar 30gm/pokok dan ditabur keliling dengan jarak 15-20 sm dari rumpun pokok serta dikambus. Pembajaan ulangan kedua dan ketiga boleh menggunakan NPK biru 12:12:7 dengan kadar antara 40 dan 50 g sepokok diselangkan setiap dua minggu, tambahan baja berikutnya boleh dibuat selepas tiga atau empat minggu disebabkan jangkamasa penuaian kacang botor yang panjang. Kawalan perosak perlu dibuat sepanjang penanaman. Antara jenis serangga yang biasa menyerang kacang botor ialah lalat kacang, pengorek kacang dan penyakit yang menyerang ialah karat dan virus mosaic. Daun dan buah yang diserang perlu dimusnahkan, kebersihan kawasan dijaga, amalkan tanaman giliran dan sembur racun perosak jika perlu. Lazimnya aktiviti pungutan hasil dilkukan atau dikutip antara 10 dan 12 minggu selepas ditanam. Pilih buah yang hijau serta rapuh dan berukuran dia antara 15 dan 20 sm panjang. Kutipan hasil dibuat dua atau tiga hari sekali untuk mengelakkan buah menjadi tua. Buah yang tua akan berserabut dan tidak sedap dimakan. Pokok yang subur menghasilkan 10 hingga 12 biji buah sepokok sekali petik selang sehari. Hasil purata buah yang boleh diperolehi anggaran 4,000 hingga 5,000 kg/0.4 hektar.

Bagi menambah infi penulis blog dapati nama Kacang Botor juga dipanggil sebagai kacang botol, kacang kelisa, kacang sirek, atau kalkang (Inggeris: winged bean atau Goa bean) ialah tumbuhan kekacang tropika yang dikatakan berasal dari Papua New Guinea. Pokok ini tumbuh dengan baik dalam iklim tropikalembap dengan hujan lebat dan oleh itu, banyak terdapat di kawasan khatulistiwa dari Filipina, Indonesia, Myanmar, hinggalah ke India, dan Sri Lanka. Ia adalah tumbuhan memanjat separa berkayu, batang berbentuk silinder, licin tanpa bulu, liat, berwarna hijau ketika muda dan bertukar perang setelah tua. Daun jenis majmuk trifoliat, susunan berselang-seli, tangkai panjang, halus. Anak daun bersaiz sederhana, berbentuk bujur dengan hujung menirus, nipis, berwarna hijau ketika muda dan bertukar hijau tua setelah matang, tepi rata. Bunga majmuk, bersaiz sederhana, kelopak berwarna ungu, terdapat 1-10 kuntum dalam 1 jambak bunga yang keluar dari celah ketiak daun. Buah memanjang, bersegi empat dengan sayap di setiap sisi, sepanjang tepi sayap bergerigi kecil, berwarna hijau ketika muda bertukar coklat apabila tua, mengandungi banyak biji benih di tengahnya. Biji sederhana besar, berwarna hijau ketika muda, coklat kehitaman apabila telah tua, berbentuk bulat membujur, keras seperti biji kacang soya. Buah kacang muda mengandungi 1-3% protein dan kaya dengan mineral besi, kalsium dan vitamin A. Rangting ubi pula mengandungi 8-10% protein, 30% karbohidrat, banyak fosforus dan kalsium. Daunnya mengandungi 5-7% protein dan banyak mineral, vitamin A dan C. Manakala bij masak mengandungi 11% air, 33% protein, 32% karbohidrat, 16% lemak dan 5% serat. Kandungan asid amino dalam kacang botor seakan-akan kacang soya tetapi kacang botor mengandungi lebih lisin dan leusin. Minyak kacang botor seakan-akan minyak kacang tanah, 67% minyak kacang botor adalah asid linoleik dan asid oleik. Kandungan tokoferol dalam minyak kacang botor juga adalah tinggi. Bahan lain dalam minyak kacang botor yang sederhana banyak ialah fosforus, kalsium, zink, sedikit mineral lain, sederhana banyak tiamina dan riboflavin. 

Pokok kacang botor merupakan sejenis pokok menjalar yang tumbuh dengan cara memanjat atau melilit. Setinggi 3-4 meter, pokok ini adalah lebih tinggi dan besar, berbanding pokok kekacang biasa yang lain. Ia ialah tumbuhan herba saka dengan tempoh pengeluaran optimum di antara tiga hingga empat tahun, tetapi juga boleh ditanam sebagai pokok semusim mengikut kegunaan penanamannya.  Pokok kacang botor merupakan salah satu pokok mengikat nitrogen yang terbaik, dengan penodulan dilaksanakan oleh Rhizobium, sejenis bakteria tanah. Disebabkan keupayaannya untuk mengikat gas nitrogen dari atmosfera, pokok ini tidak memerlukan banyak baja nitrogen tetapi masih memerlukan baja lain seperti fosforus dan kalium. Sebagai pokok tropika, ia amat peka akan fros. Pokok ini tidak akan berbunga jika panjang siang melebihi 12 jam. Biji benihnya mempunyai kulit yang keras, dan untuk membantu percambahan, biji benih boleh direndam sebelum menanam. Pokok ini bertumbuh dengan cepat, dan mencapai panjang sebanyak empat meter dalam hanya tempoh beberapa minggu sahaja. Ia ditanam secara biji dan akan bercambah antara 5-7 hari selepas disemai dan selalu bergantung kepada varieti. Lebih kurang dua bulan setengah selepas disemai, ia akan mula berbunga, tetapi ada jenis baka yang berbunga selepas lima bulan ia ditanam. Buah kacang botor mencapai panjang maksimum dalam masa 20 hari selepas berbunga dan masih lembut ketika itu, serta sesuai dijadikan sayur. Ia matang dalam masa 65 hari selepas berbunga. Antara jenis perosak dan penyaki bagi kacang botor perlu diketahui. Perosak utama kacang botor adalah ulat pengorek lenggai (Maruca testulalis Geyer) dan kutu daun atau afid kacang (Aphis craccivora Koch). Larva ulat pengorek lengai menyerang pucuk, daun muda, bunga, lenggai menyebabkan bunga gugur dan lenggai berlubang. Manakala afid kacang menghisap cecair di bawah daun, pucuk, bunga dan lenggai menyebabkan pertumbuhan pokok terbantut. Penyakit utama kacang botor adalah karat (false rust) (Synchytrium psophocorpi) dan bintik daun cercospora (Cercospora capsici). Penyakit ini menyerang batang, daun dan lenggai. Kawasan serangan akan terhasil spora berwarna jingga cerah. Bintik mata burung pada daun kelihatan. Selain itu, kacang botor boleh dijangkiti penyakit virus dan mikoplasma. Penyakit lain disebabkan oleh bakteria dan kulat. Satu cara untuk mengatasi penyakit adalah dengan menanam baka yang baik yang akan menghasilkan tanaman yang tahan lasak. Akarnya kerap diserang oleh nematod. Manakala daun mudah diserang pelbagai jenis ulat dan serangga.

Khasiat kacang botor telah banyak diperkatakan. Pokok kacang botor amat berguna kerana hampir semua bahagian tumbuhan ini boleh dimakan seperti bahagian lenggai mudanya yang selalu digunakan sebagai sayur atau ulam merupakan bahagian tumbuhan yang paling banyak dimakan, dan boleh dituai dalam tempoh 2-3 bulan selepas penanaman. Buah yang muda dan lebut dijadikan sayur mentah, digoreng, dibuat kerabut atau jenis makanan lain dan ia mempunyai rasa yang hampir sama dengan pucuk asparagus. Bunga sering digunakan untuk mewarnakan beras dan pastri. Daun muda boleh dimasak sebagai sayur daun dan rasanya hampir serupa dengan daun bayam. Ubinya yang mempunyai perisa seperti kacang tanah boleh digunakan sebagai sayur berubi dan ia hampir serupa dengan ubi kentang. Akar pokok ini lebih kaya protein berbanding ubi kentang. Ia amat digemari di Papua New Guinea dan juga amat popular di negara Myanmar sebagai juadah makanan. Biji yang masak telah diiktiraf sebagai makanan yang berkhasiat kerana mengandungi banyak protein seperti kacang soya. Biji kacang botor boleh diproses seperti kacang soya iaitu dijadikan pelbagai produk yang boleh dimakan atau diminum. Daun kacang botor boleh dibuat teh dan sesuai digunakan sebagai ubat pencuci mata yang bengkak serta bisul dan kudis. Daun ditumbuk lumat dan ditampa pada bisul. Daun dan biji kacang botor dimasak dan dimakan untuk mengubati penyakit kulit seperti bisul dan ulser. Manakala akar direbus dan diminum untuk merawat penyakit vertigo. Demikianlah beberapa tip dan info mengenai kacang botor yang dihidangn pada petang ini. Semuga tulisan ini memberi info berguna kepada pembaca anim agro technology kali ini. Wasallam!!!...
KACANG BOTOR... HIJAU WARNANYA...
MUDAH DITANAM... PERLULAH DIJAGA....
DIPTIK SELALU... BERBUAH SENTIASA..
TANAM SENDIRI... PUAS HATI RASANYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Cendana, Jalan Istana,
Persimpangan Bukit Beruang,
Bandar Melaka, Melaka,
Malaysia.
(18 Oktober 2017)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...