KLIK SAYA SOKONG BLOG

Monday, October 16, 2017

SELAMAT DATANG KE BARIO!!

DAERAH KECIL BARIO merupakan sebuah perkampungan tradisiol yang terletak di pertengahan Tanah Tinggi Kelabit di Timur Laut Sarawak,  iaitu satu lokasi yang sangat dekat dengan sempadan antarabangsa Kalimantan di Indonesia. Penulis yang dua kali tiba dikawasan tanah tinggi ini iaitu pada 1997 dan terkini pada Oktober 2017 (selepas 20 tahun) mendapati ia adalah lokasi sesuai untuk dikunjungi. Kawasan tanah setinggi 1,100 meter atau sekitar 3,280 kaki diatas aras laut ini merupakan petempatan utama di Tanah Tinggi Kelabit. Terdapat penerbangan kerap antara Lapangan Terbang Bario dan Ba'kelalan, Marudi dan Miri dengan MAs Wing yang mempunyai tempat duduk 10 -14 orang setiap kali penerbangan. Penerbangan ini merupakan satu-satunya cara cepat untuk kelokasi tersebut sebab jika gunakan jalan darat biasanya mengambil masa 10 - 15 jam bergantung kepada keadaan cuaca. Ketika penulis blog tiba jam 10.45 pagi disambut oleh Tok Penghulu Robert, Ketua-ketua Kampong dan barisan pemimpin tempatan serta penduduk yang berbaris di lapangan terbang. Amat mengujakan apabila dihidangkan dengan hidangan jus didalam buah nanas bario yang eksotik sebagai simbol kaum kelabit yang amat peramah dan unik ini (Sila lihat foto diatas). Lawatan penulis bersama krew RTM adalah sempena program penggambaran dalam PANORAMA iaitu salah satu pengisian dalam mempromosikan tanaman nanas organik di kawasan tanah tinggi Bario. Turut hadir adalah Pn Dona Lakai iaitu Timbalan Pengarah PSM, Jabatan Pertanian utrajaya yang juga merupakan anak kepada Pemancha berasal daripada kampong ini. Seramai 12 pegawai dan krew RTM mengambil masa 3 hari untuk siapkan proses penggambaran ini. Artikel petang Ahad ini saya terus untuk menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai lawatan penulis mengenai tanah tinggi yang baru dikunjungi baru-baru ini.

Pada penulis acara sambutan yang diberikan oleh penduduk dan juga pemimpin tempatan dari kampong ini amat baik. Mereka hadir dalam jamuan makan malam yang mana ia dianjurkan oleh Pak Mus yang sudi memotong seekor kerbau dan turut hadir bersama dengan pihak angkatan tentera dan juga pegawai LPNM serta krew RTM. Turut hadir adalah Tok Penghulu Robert, ketua-ketua kampong dan beberapa penduduk kampung berhampiran hadir dalam majlis ini walau pun dalam keadaan cuaca hujan (Sila lihat foto disebelah). Pak Mus menghidangkan makanan seperti Daging Kerbau Kari, Sup Tulang Kerbau, Nasi Putih, Ikan Tilapia Goreng, Sayur Labu, Sayur Midin, Ayam kampong (Paling penulis blog suka ratah) serta buah Nanas Bario. Dalam majlis tersebut diberitahu Penghulu dimana kawasan ini telah dinaiktaraf menjadi Daerah Kecil Bario yang mempu­nyai keluasan 4,228 kilometer persegi yang kini dihuni oleh 7,513 penduduk dari 47 kampung terdiri daripada suku kaum Kelabit, Penan, Saban dan Kenyah. Antara jenis aktiviti ekonomi yang utama oleh penduduk disini adalah menanam padi (dengan produk 'Beras Bario'), Penanaman Nanas, Ternakan Ikan Air Tawar, Pengeluaran Garam Bukit, Penghasilan produk hutan dan Industri hiliran. Antara projek industri hiliran yang berkaitan pertanian seperti Bengkel Membuat Jem Nanas daripada Nanas Bario yang mendapat bimbingan dari LPNM dan bantuan daripada Jabatan Tenaga Kerja Sarawak. Produk menghasilkan jem nanas Bario ini selaras dengan penggunaan buah nanas yang sesuai untuk dijadikan produk proses. Perkampongan Bario terletak pada ketinggian lebih 1,066 meter dari paras laut di perte­ngahan Tanah Tinggi Kelabit, daerah terletak bersempadan dengan Kalimantan, Indonesia ini mempunyai kemudahan lengkap seperti ba­lai polis, lapangan terbang, Muzeum, Pejabat Jabatan Imigresen, Jabatan Hutan, perpustakaan, sebuah sekolah menengah, tujuh sekolah rendah, dua stesen pertanian, lima klinik kesihatan dan dua kem tentera.

Rakyat yang menghuni kawasan Tanah Tinggi Bario kebanyakannya adalah Kaum Kelabit dengan lebih kurang 5,000 orang dimana ia merupakan di antara kaum terkecil di Sarawak. Seperti juga komuniti asli lain di Sarawak orang Kelabit tinggal di rumah panjang di tanah tinggi. Bagaimanapun oleh kerana faktor ekonomi dan sosial maka kini telah ramai berhijrah untuk tinggal di bandar sejak 20 tahun lalu. Terkini mengikut penghulu Robert dianggarkan terdapat lebih kurang 1,200 orang Kelabit masih bertetap di tanah tinggi. Mereka bertutur dalam bahasa kelabit tetapi mahir bertutur Bahasa Malaysia dan juga setetengahnya dalam Bahasa Inggeris. Dari segi sejarah orang Kelabit dulu merupakan pernah berjuang dan melibatkan dalam aktiviti pemburuan kepala manusia bukan untuk tujuan upacara tetapi untuk membuktikan keberanian seseorang dan untuk mengenakan musuh. Walaubagaimana pun kini budaya mereka banyak berubah dimana mereka adalah ethnik yang sangat mesra dan mudah didekati seperti Penghulu dan Pak Mus serta ahli keluarganya. Kini ramai telah menganut agama Kristian dengan anutan SIB dimana ia berlaku semenjak 1940 lagi. Orang Kelabit telah mencapai dalam sistem pendidikan dimanaada yang kini menjadi peguam, doktor, ahli politik dan profesional. Penulis amat tertarik semasa membuat lawatan ke Muzeum Sejarah Kelabit. Ia paparkan semua sejarah berkaitan Orang Kelabit dan Sejarah berkaitan pahlawan di kawasan tanah tinggi ini. Penulis tertarik dengan lukisan ketinggan Batu Lawai yang diletaakkan dihadapan muzeum (Sila lihat foto disebelah). Memasukki muzeum ini mendapat banyak informasi tentang sejarah yang bernilai untuk difahamkan. Aktiviti ekonomi utama komuniti ini ialah bidang pertanian terutamanya dalam memajukan Padi Bario. Iklim sejuk pada purata 20°Celcius membolehkan penduduk untuk menanam nanas, sayuran tanah tinggi dan menternak ikan air tawar selain padi. Bario juga terkenal untuk garam buatan Bario dimana ia didapati berkalium tingginya. Kini terdapat beberapa penginapan desa di perkampungan di mana pemakanan termasuk dalam bayaran.

Bario sudah tidak asing lagi dimana ia kini mendapat kunjungan pelancong luar negara yang paling tinggi di Sarawak setiap tahun. Dataran Tanah Tinggi Bario terletak di kawasan pergunungan yang hampir dengan sempadan Sarawak dan Kalimantan, Indonesia yang  didapati menempatkan sebanyak 14 buah perkampungan suku kaum Kelabit. Popular dengan panggilan “Kelabit Highland” kini Bario dapat dihubungi melalui jalan udara selama 45 minit dan melalui jalan darat menggunakan pacuan empat roda memakan masa 10 - 15 jam bergantung dengan keadaan cuaca. Namun 20 tahun lampau dilaporkan perjalanan ke Bario begitu sukar dan mencabar, menguji ketahan fizikal dan minda seseorang dengan cara berjalan kaki selama berminggu disebabkan Bario terletak pada kordinat penempatan yang paling jauh di pedalaman dalam Daerah Marudi, Baram. Selalunya ramai pelancong hanya mendengar bunyi kipas pesawat Twin Otter dan lazimnya tidak ada perbualan antara penumpang yang ada didalamnya. Tetapi ada sekali-sekala bunyi ketikan kamera mencelah dalam suasana bingit kipas kapalterbang dengan melihat Gunung Muli dan Gua Mulu. Tidak lama kemudian imej Batu Lawi terpampang di penjuru tingkap pesawat iaitu satu mercu tanda sempadan Dataran Tinggi Kelabit. Setelah melewati Batu Lawi kemudian pesawat melayang turun ke lembah Bario yang tersorok banjaran gunung-gunung yang tingginya hampir 3,500 kaki di atas paras laut. Bario atau Bariew dalam bahasa Kelabit ini penulis dimaklumkan bermaksud ‘angin’. Suasana sejuk dan nyaman begitu terasa bila anda turun dari pesawat. Anda capai telefon bimbit dan hantar pesanan Whatsapp kepada keluarga anda untuk mengatakan bahawa anda selamat tiba ke destinasi tetapi malangnya talian internet tidak berfungsi. Maka anda pun hantar pesanan ringkas sebelum berikan telefon kepada rakan kembara anda sebab satu-satunya penghubung telekomunikasi yang berfungsi hanyalah Celcom itu pun mengikut angin dan mendong.

Penulis dimaklumkan dimana sejak akhir-akhir ini Kawasan tanah Tinggi Bario semakin menjadi tumpuan pelawat bukan sahaja di kalangan pelawat tempatan malah di kalangan pelawat asing dari serata dunia. Bario juga menjadi tumpuan pasukan penyelidikan dari beberapa universiti tempatan seperti Unimas, UMS, dan beberapa universiti luar negara seperti Curtin University. Jika anda merancang untuk berehat dari dunia kota yang sentiasa sibuk maka Tanah Tinggi Bario menyediakan apa yang anda idamkan. Banyak aktiviti yang boleh dilakukan bila anda berkunjung ke Bario. Selain menikmati iklim dan pemandangannya yang indah dan nyaman, anda juga boleh menyertai jungle trekking, memanjat gunung atau sekadar mengikut penduduk setempat ke hutan untuk memburu atau mengutip hasil hutan untuk dinikmati. Jika anda menggemari sukan air, sungai-sungai di Bario sesuai untuk aktiviti kayak dan memancing. Setiap April – Mei, acara maraton Runners Wild diadakan dan ia merupakan acara yang ditunggu-tunggu oleh atlit maraton kerana trek larian yang mencabar. Setiap Julai pula merupakan waktu yang paling sibuk untuk daerah Bario. Setiap tahun, Bario Food & Cultural Festival diadakan sekitar bulan ini bagi meraikan budaya serta variasi makanan masyarakat Kelabit. Pesta ini memperkenalkan budaya serta tradisi Kelabit kepada setiap pengunjung pesta. Selain variasi makanan yang banyak, pengunjung juga disajikan muzik dan tarian tradisional masyarakat Kelabit. Jika anda merancang untuk datang ke festival ini, anda dinasihatkan untuk menempah tiket penerbangan serta tempat tinggal seawal Januari kerana bilangan penerbangan yang dijadualkan ke dataran tinggi Bario amatlah terhad. Bario juga tidak menyediakan hotel lima bintang untuk anda namun anda pasti ingin menikmati pengalaman tinggal di homestay atau rumah panjang untuk melihat kehidupan sebenar masyarakat Kelabit dalam skala yang lebih intim. Beberapa homestay yang menjadi pilihan adalah Dayang’s Homestay di kampung Arur Dalan, Bario Asal Long House Homestay di Bario Asal, Labang Longhouse Lodge dan beberapa tempat lain di sekitarnya. Bario juga tidak menawarkan mesin ATM dan pusat beli-belah untuk anda beli lampu suluh, peralatan berkhemah, baju dan kasut sukan serta ubatan yang menjual krim penghalau serangga. Pengunjung hendaklah sedia dan merancang dan menyediakan segala keperluan dengan teliti sebelum memulakan kembara. Bario hanya mampu bahan menyediakan sayur-sayur hutan yang segar serta nasi panas yang wangi untuk menyambut kedatangan anda namun janganlah gusar kerana anda pasti akan menganggap Bario sebagai kampung halaman sendiri kelak. Apa pun penulis blog yang demam sepanjang di Bario masih mampu bergerak dalam cuaca hujan bersama krew RTM. Semuga tulisan ini memberi info berguna kepada pembaca anim agro technology. Wasallam!!!...
TERBANG MELAYANG... BARIO TUJUNYA...
KAWASAN TINGGI... SEJUK UDARANYA....
ORANG KELABIT... SENYUM DAN MESRA...
NASI BERAS BARIO...NANAS MANISNYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 2321, Imperial Hotel,
Miri, Sarawak,
Malaysia.
(10 Oktober 2017).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...