KLIK SAYA SOKONG BLOG

Monday, October 2, 2017

STANDARD MADU KELULUT (MS2683) - TERSEDIA

MADU KELULUT (Stingless Honey Bee) kini merupakan satu produk yang dihasilkan oleh serangga Kelulut di negara kita. Susulan daripada isu jualan madu kelulut tiruan dipasaran, pihak MOSTI dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah berusaha untuk mengadakan piawaian bagi madu tersebut. Pihak MOA dengan MARDI, Jabatan Pertanian dan pihak MOSTI melalui Jabatan Standards Malaysia telah membangunkan Malaysian Standards (MS 2683) Kelulut Honey Bee - Specification yang dilancarkan sempena HPPNK 2017 di MAEPS, Serdang pada 29 Oktober 2017. Industri penternakan kelulut dan penghasilan madu kelulut sedang berkembang pesat di Malaysia dengan penglibatan ramai golongan muda. Pada masa ini terdapat seramai 750 - 1,000 orang penternak madu kelulut diseluruh negara dimana bilangan ini akan terus meningkat pada masa akan datang dengan jaminan pasaran madu kelulut yang telah diujudkan oleh kerajaan Malaysia ini. Penulis blog yang juga merupakan salah seorang pakar dalam bidang ternakan kelulut ini telah melatih lebih daripada 550 orang peserta kursus dengan memberi ceramah formal dan lawatan kelokasi penternakan kelulut diseluruh negara. Industri ternakan kelulut berkait rapat dengan teknologi penternakan dan juga keujudan bekalan sumber makanan kelulut serta jaminan pasaran madu kelulut. Langkah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dengan menjalankan 'Kelulut Solo Walk Tour 2016' melalui ikon Pak Sabri yang berjalan selama 52 hari melebihi dari 2,200 km menjadikan madu kelulut lebih popular. Pak Sabri daripada Kemaman telah berjaya menamatkan perjalanannya di MAHA 2016 setelah berjalan kaki dengan mengambil madu kelulut sebagai satu daripada sumber tenaganya. Penulis yang terlibat mengaturkan perjalanan ini di Negeri Pahang kagum dengan program ini yang tercatit dalam Malaysia Book of Records (MBR). Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai tersedianya standards madu kelulut MS2683 untuk dijadikan rujukkan bagi tujuan mempastikan industri ini akan cemerlang dimasa akan datang.

Penternakan kelulut dimerata lokasi di negara kita mula berkembang pesat sekitar 5 - 10 tahun dahulu dengan rancaknya maklumat teknologi mengenai khasiat madu kelulut dan kaedah penternakan kelulut terutama melalui media massa. Ramai penternak mendapatkan info daripada rujukkan di blog-blog, suratkhabar, media elektronik TV, Facebook, buku serta melalui kursus dan latihan oleh pihak kerajaan dan swasta. Pengeluaran madu kelulut mencapai kemuncak terbanyak pada tahun 2016 dimana pada tahun tersebut keadaan cuaca amat mengizinkan dengan kemarau panjang (di Pahang dicatitkan sehingga 4.5 bulan daripada Januari sehingga Mei) dimana ini membolehkan makanan banyak dan kelulut membiak dengan baik. Penulis blog yang membuat pemantauan rapi kepada lebih daripada 280 penternak kelulut di Pahang mendapati mereka gembira dengan tuaian hasil madu kelulut (Sila lihat foto disebelah). Bagaimana pun pada Ogos sehingga Disember apabila hujan mulai turun dan bekalan makanan berkurangan terdapat isu serangan Serangga Soldadu Hitam (Hermentia ilucens) dan Kumbang Debunga (Haptoncus luteus) yang memusnahkan koloni kelulut dengan teruk dibeberapa lokasi. Anda boleh membaca banyak tulisan saya dengan membaca rencana tersebut (Sila klik disini), (Sila klik disini) dan (Sila klik disini). Kesan daripada faktur tersebut dan pengurangan penghasilan madu sedangkan permintaan madu kelulut berkhasiat yang hebat menyebabkan berlakunya kemasukkan madu kelulut tiruan dalam negara.

Penjualan madu kelulut tiruan secara tidak terkawal diseluruh negara memang boleh menyebabkan keyakinan pengguna terjejas dan ini merugikan sektor yang berpotensi tinggi ini. Bukan itu sahaja tetapi madu tiruan ini boleh menyebabkan toksik atau keracunan yang menyebabkan pengguna mendapat kesan negatif tanpa mengetahuinya. MS Standard yang dibangunkan ini menetapkan keperluan kualiti, persampelan, penyediaan sampel ujian, ujian, kaedah ujian, pembersihan, pembungkusan dan perlabelanbagi madu kelulut yang dihasilkan oleh lebah kelulut dari jenis Meliponini. MS ini sesuai untuk digunakan sebagai rujukan oleh semua pihak daripada Jabatan, agensi, pengilang, penternak, pengilang, pusat pengumpulan, penjual, pengguna dan semua pihak yang terlibat dengan industri madu kelulut. Apa yang penting adalah ia mampu dijadikan panduan bagaimana untuk menentukan madu kelulut yang dihasilkan dan dijual kepada pengguna berkualiti dan selamat dimakan. Bukan itu sahaja malahan MOSTI melalui Jabatan Standards, Jabatan Pertanian serta beberapa universiti dan pakar berjaya membangunkan MS2679 Amalan Pertanian Baik (APB) pemeliharaan lebah (Tribus Apini) dan kelulut (Tribus Meliponini) sebagai rujukkan dalam aktiviti penternakan lebah untuk tujuan pengeluaran madu. 

Menteri MOSTI, Datuk Madius Tangau berkata langkah awal menyediakan MS 2683 diambil bagi memastikan ketulenan madu kelulut dan berjaya untuk dijenamakan sebagai Superfood pertama Malaysia di peringkat antarabangsa. Kini MS telah siap dibangunkan dengan kerjasama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) yang diharap menjadi dokumen standard yang berwibawa dan bertaraf dunia. Inisiatif untuk membangunkan standard berkenaan adalah disebabkan oleh pemalsuan madu kelulut yang berleluasa di pasaran yang dapat memudaratkan kesihatan rakyat. Selain Standards Malaysia dan MARDI, MOSTI juga telah melibatkan agensi-agensinya iaitu Institut Genom Malaysia (MGI)-Institut Bioteknologi Kebangsaan Malaysia (NIBM) yang membantu dalam pengumpulan sampel madu kelulut untuk dianalisis dan NanoMalaysia bertanggungjawab untuk mendapatkan sampel dari Sabah dan Sarawak. Dalam pada itu, Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Sharif Haron bersetuju bahawa ketulenan madu kelulut di pasaran sekarang sangat meragukan. Sharif bimbang ia bukan sahaja akan menjejaskan pengusaha lebah kelulut tetapi juga akan memberi kesan negatif kepada kesihatan pengguna. Kerajaan  memang  memandang serius isu tersebut dan mengambil inisiatif  membangunkan standard madu kelulut yang dapat diterima pakai oleh semua pihak. Standard yang dibangunkan itu mengambil kira Akta Makanan 1983 dan Peraturan Makanan 1985 yang mensyaratkan madu mestilah mengandungi air tidak lebih daripada 20 peratus dan kandungan gula penurun tidak kurang daripada 60 peratus. Selain itu kandungan pemakanan madu  yang dipertimbang dalam standard tersebut adalah kandungan karbohidrat, protein, asid amino, vitamin, mineral dan bahan antioksidan. Dalam pada usaha berterusan penjenamaan madu kelulut akan dilakukan dengan melihat kandungan antioksidan iaitu asid fenolik bebas dalam madu. Kandungan bahan-bahan tersebut adalah asas utama pembangunan standard bagi menjamin ketulenan dan kualiti produk yang tinggi. Asas-asas standard tersebut juga bagi memastikan agar status madu lebah kelulut sebagai Superfood Malaysia benar-benar ditepati. Mereka yang ingin mendapatkan kedua-dua standards boleh mendapatkannya dengan mengunjungi lamanweb SIRIM. Semuga tulisan ini memberi info berguna kepada pembaca blog anim agro technology semua. Wasallam!!!..
MADU KELULUT ... ADA STANDARDNYA...
MADU YANG ASLI... JAMIN KUALITINYA...
MS 2683... SIAP UNTUK DIGUNAKANNYA...
MASA HADAPAN...INDUSTRI BERJAYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Pentas Utama, Hall Am
MAEPS Serdang, Selangor,
Malaysia.
(10 Muharam 1439H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...