GARAM BARIO merupakan satu daripada produk yang amat berharga dari Kawasan Tanah Tinggi Baro di Sarawak. Pada penulis blog yang berkunjung ke lokasi pengeluaran garam gunung tersebut baru-baru ini sempat melihat bagaimana proses membuat garam bario dijalankan. Garam Bario bukan garam biasa kerana ia mempunyai nilai kesihatan yang tinggi. Sejak dulu lagi garam Bario diusahakan secara tradisional oleh penduduk di desa Pa'Umor dari sebuah telaga air masin yang dikenali sebagai Main Kerambut. Kini garam Bario telah melalui proses yang masih tradisional dimana ia menjadi produk yang bernilai tinggi. Apa tidaknya satu ikat (sekitar 200 gram) dijual dipasaran tempatan Bario dengan harga RM20.00 atau jika di kira dalam kilogram sekitar RM100.00 sekilogram (Sila lihat foto diatas). Dari tinjauan mendapati garam biasa tidak ada dijual di Tanah Tinggi Kelabit. Tetai sebaliknya di lembah pergunungan ini yang terletak 1,150 meter dari paras laut dikurniakan pula dengan garam semulajadi yang jauh lebih berkhasiat. Garam berkenaan diusahakan secara tradisional oleh penduduk di desa Pa'Umor daripada sebuah telaga air masin yang mana ia dikenali sebagai Main Kerambut. Telaga itu hanya boleh diakses menerusi 15 minit perjalanan dengan pacuan empat roda dari Bario kemudian kita perlu 15 minit lagi berjalan kaki meredah hutan rimba dimana lazimnya laluann tersebut memang ada lintah dan pacat yang akan menghisap darah manusia. Apa pun jangan takut meredah laluan tersebut kerana telah ramai pengunjung telah sampai kelokasi ini untuk melihat sendiri bagaimana proses membuat garam bukit ini dilakukan. Artikel subuh ini saya menulis lagi didalam "Anim Agro Technology" berkaitan garam bukit dari Bario selepas berkunjung ke sana.
Proses membuat garam bukit ini adalah tidak sukar tetapi memerlukan tahap kesabaran yang tinggi. Bermula dari mengumpul air masin dari telaga ini, setiap keluarga di Pa'Umor akan mengambil giliran untuk tinggal di bangsal usang yang menempatkan telaga berkenaan selama seminggu atau dua bertujuan untuk menimba airnya. Ia kmudian perlu diproses secara tradisional untuk dipasarkan kepada pelancong yang datang atau ke Miri. Penulis secara kebetulan bernasib baik dalam kunjungan ke telaga air dari telaga berkenaan dan bertemu dengan Rian John, 50, yang mengambil giliran mengusahakan garam ketika itu fasih berbahasa Malaysia dan Inggeris untuk menceritakan proses-prosesnya. En Rian berkata air dari telaga itu akan dimasak secara tradisional selama 24 jam dalam kuali besar. Ketika memasak ini kayu api yang cukup perlu disediakan dan seseorang perlu menjaga apinya supaya tidak terpadam sepanjang proses itu (Sila lihat foto disebelah). Sebatian yang tinggal di dasar kuali itu seberat kira-kira tiga kilogram adalah hasil garam namun proses masih belum berakhir lagi. Lazimnya sebatian tersebut perlu dimasukkan dalam buluh yang ditebuk lubang kecil di dasarnya dan disalai beberapa jam lagi untuk proses sejatan dan kurangkan lembapannya. Lazimnya juga buluh tersebut kemudian dibakar dimana sebatian yang tinggal berbentuk silinder akan dikikis iaitu bahagian luar bagi membersihkannya sebelum dibungkus dengan daun lalu diikat dengan jalinan buluh bagi tujuan pemasaran.
Telaga air masin sudah diusahakan kira-kira lima generasi sebelum ini dan dikatakan memiliki khasiat tersendiri untuk menghindari pelbagai penyakit (Sila lihat foto kolam air masin disebelah). Garam ini memang ada dakwaan tinggi dengan kandungan zat besi, kalsium, potasium, kalium dan magnesium semula jadi lebih tinggi berbanding garam biasa. Menceritakan sejarah penemuan telaga ini memang ada banyak versi yang tidak dapat dibuktikan kesahihannya, namun satu daripadanya ialah dipercayai dikesan oleh seorang pemburu selepas anak panahnya terjatuh ke tanah, dan semasa dia cuba menajamkan bilahnya maka dilaporkan ujud air terasa masin. Pelawat yang berkunjung ke Bario biasanya selain tidak melepaskan peluang untuk mereka mendapatkan beras Bario yang terkenal dan ambil masa untuk melawat ketelaga garam unik itu bagaikan satu kemestian. Penulis dapati di persekitaran dan jalan akses ke telaga ini perlu dinaik taraf bagi meningkatkan lagi tahap dan potensinya sebagai kawasan tarikan lebih ramai untuk datang. Difahamkan sebuah kompleks lebih sempurna akan dirancang untuk dibangunkan di kawasan berkenaan tidak lama lagi bagi mengujudkan persekitaran yang lebih selesa. Pernah dilaporkan dalam kunjungan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shaberry Cheek ke telaga garam itu April 2017 beliau telah pun mengumumkan peruntukan khusus RM350,000 bagi tujuan menambah baik kawasan telaga ini. Menteri melihat potensi besar pemasaran garam bukit yang unik ini yang menurutnya mempunyai khasiat tersendiri kerana mempunyai kandungan iodin tinggi bagi merawat penyakit-penyakit seperti tiroid.
Bagi mereka yang tidak sempat untuk berkunjung ke kawasan kilang padi, ladang nanas atau telaga garam di Bario disebabkan kesempitan waktu maka pastinya segala bahan-bahan yang menjadi keluaran utama Bario ini ada dijual di lapangan terbang. Bagaimana pun seperti biasa harga barang-barang di lapangan terbang pastinya tidak sama. Garam ini dijuual dengan mana setiap satu "silinder" garam ini sepanjang kira-kira satu kaki dijual dengan harga antara RM10 dan RM15, namun apabila sampai di lapangan terbang harganya mungkin sudah mencapai antara RM15 dan RM20 dan apabila tiba di Miri harganya boleh melonjak lebih RM20. Dalam pada itu seperkara lagi yang menjadi isu mengenai garam bukit yang ditemui di luar Bario adalah saiz silindernya mungkin telah dikecilkan berbanding muatan buluh standard biasa di Bario untuk keuntungan lebih besar peniaga dan ketulenan garam itu juga mungkin diragui. Ada laporan dari pasar-pasar Miri mendapati kelibat garam ini boleh dilihat di merata-rata kedai yang menjual bahan-bahan untuk tujuan masakan dimana para peniaganya tidak lokek memberikan penerangan mengenai garam yang dibungkus rapi dalam bentuk silinder dengan daun dan diikat dengan helaian buluh. Ada juga dilaporkan dimana lazimnya peniaga yang enggan dikenali berkata garam ini berbeza daripada garam biasa kerana jika digunakan dalam masakan selain lebih enak, makanan itu juga didapati tahan lebih lama. Garam ini juga diakui orang tempatan dimana ia boleh juga merawat pelbagai penyakit walaupun sejauh mana keberkesanannya masih perlukan kajian lanjut. Harga garam bukit ini agak mahal di Miri dan berbeza dari harga di Bario adalah berpunca dari kos pengangkutan yang jauh.
Dalam laporan sebuah akhbar tempatan yang membuat tinjauan penggunaan garam buit ini, seorang suri rumah yang ditemubual ada menyatakan beliau sudah biasa menggunakan garam bukit untuk setiap masakannya kerana rasanya yang berbeza daripada garam biasa. Menurutnya garam itu juga lebih dipercayai kerana ia diproses dengan menggunakan kaedah tradisional yang lebih bersifat "semula jadi" dam memang tanpa membabitkan sebarang bahan kimia tambahan. Pada masa ini disebabkan masalah akses dan ketiadaan saluran promosi yang lebih sempurna maka kehebatan garam ini tidak banyak diketahui ramai. Bagaimana pun menerusi ledakan teknologi maklumat yang membawa media sosial ke pelosok dunia maka kelebihan garam ini semakin disedari ramai. Jika dengan promosi hebat kerajaan negeri dan dari mulut ke mulut atau lebih tepat menerusi aplikasi alam maya Whatsapp, FB, Twitter dan sebagainya didpti kadar permintaan kepada garam ini semakin melonjak. Kelak sekiranya prasarana sekitar telaga garam itu sudah dibaiki maka kelebihan garam Bario ini bertambah dikenali ramai dan jika akses pasaran jadi lebih baik menyebabkan permintaan terus melonjak. Adakah usahawan disini mampu dengan telaga kecil itu memenuhi permintaannya nanti?. Biarlah soalan itu dijawab apabila tiba masanya nanti apabila misi yang lebih terserlah ketika ini adalah bagaimana Kawasan Tanah Tinggi Bario perlu dibangunkan. Pada penulis blog selain keindahan panorama tanah pergunungan yang menyegarkan, tanaman nanas dan padi bukitnya didapati telaga garam ini adalah satu lagi tempat unik yang boleh ditawarkan Bario.
Pada saya Garam Bario, Sarawak cukup terkenal sebagai buah tangan dalam kalangan pelancong selain digunakan sendiri oleh penduduk tempatan dalam menambah perasa makanan. Garam bukit di Bario ini merupakan salah satu daripada hasil bumi Sarawak yang sememangnya diketahui kaya dengan sumber mineral semula jadi. Selain Kampung Pa’ Umor, terdapat beberapa lagi kampung lain di sekitar Bario yang turut mempunyai sumber telaga air masin. Garam bukit dikatakan mempunyai khasiat zat besi, iodin, kalium dan magnesium semula jadi sesuai digunakan sebagai penambah perasa makanan selain mempunyai banyak kelebihan dari segi kesihatan. Garam Bario juga dikatakan dapat membantu melancarkan perjalanan darah, menyeimbang cas dalam badan, dan membunuh kuman dalam udara serta menyihatkan tubuh. Untuk memproses supaya menjadi garam, banyak peringkat dan proses telah dijalankan antaranya bermula dengan menjerang air garam yang diambil daripada telaga masin menggunakan cara pembakaran kayu api di dalam kawah besar. Bagi tujuan menghasilkan garam bukit, air yang diambil daripada telaga air masin perlu dimasak dengan api sederhana besar selama sehari semalam dalam tong dram yang telah dibelah dua sekali gus menjadi periuk untuk menjerang air. Air masin yang sudah dimasak selama 24 jam mengalami proses yang akan bertukar menjadi butiran garam halus. Pada peringkat ini, perlu sentiasa dikacau dan dipantau untuk mengelakkan kristal garam tersebut menjadi kering dan hangus sehingga boleh menjejaskan kualiti garam. Garam yang telah tersejat kemudiannya akan disejuk sebelum dimasukkan ke dalam buluh-buluh yang telah dipotong sepanjang lebih kurang 30 sentimeter (sm) setiap satu. Garam yang telah disejukkan dimasukan ke dalam buluh. Kemudian dibahagian bawah buluh akan ditebuk lubang kecil supaya air berlebihan dapat keluar bagi memastikan garam benar-benar kering. Setelah itu, buluh-buluh tersebut akan dibakar di atas bara api sama seperti kaedah membakar lemang untuk mengeraskan garam di dalamnya. Pembakaran akan dilakukan sehingga buluh terbakar dan akhirnya pecah untuk menghasilkan garam dalam bentuk ketulan keras. Bahagian luar garam itu kemudiannya akan dikikis secara perlahan-lahan dimana menggunakan pisau bagi menghilangkan tanda-tanda hitam pembakaran. Bagi proses membungkus, ketulan garam akan dibalut dengan sejenis daun dikenali sebagai daun ilat dan diikat kemas menggunakan tali rotan. Sebatang garam biasanya akan dijual pada harga antara RM10 hingga RM15 dengan peningkatan kos sebanyak tiga kali ganda apabila memasuki pasaran luar seperti Miri, Kuching dan sekitar Sarawak. Semuga tulisan ini memberi info berguna kepada pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!.
GARAM BARIO... AIR BULIT ASALNYA...
DIMASAK 24 JAM... BULUH TURASNYA...
BANYAK KHASIAT...MAHAL HARGANYA...
BERI KSIHATAN...KEPADA PENGGUNA...
By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kg Pa Amor, Tanah Tinggi Bario,
Miri, Sarawak, Malaysia.
(12 Oktober 2017).
Yang lawat bersama krew RTM.
DIMASAK 24 JAM... BULUH TURASNYA...
BANYAK KHASIAT...MAHAL HARGANYA...
BERI KSIHATAN...KEPADA PENGGUNA...
By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kg Pa Amor, Tanah Tinggi Bario,
Miri, Sarawak, Malaysia.
(12 Oktober 2017).
Yang lawat bersama krew RTM.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.