mobile ads

KLIK SAYA SOKONG BLOG

Tuesday, October 17, 2017

KEBUN NANAS PAK MUS

PAK MUSTAPHA (Pak Mus) merupakan seorang usahawan yang berjaya di Bario, Pendalaman Sarawak yang mana telah mengusahakan tanaman nanas semenjak 20 tahun dahulu. Beliau juga mengushakan sebuah chalet yang mampu menempatkan 30 orang pelancong serta kedai runcit dan kelengkapan pengangkutan bersama keluarganya. Pak Mus (Sila lihat foto diatas) yang sentiasa tersenyum dan amat mesra ini menyatakan kepada penulis blog dimana tanaman nanas merupakan tanaman yang dakwanya mampu memberikan pendapatan baik kepada beliau semenjak dahulu kala berbanding dengan tanaman padi dan menternak kerbau. Berumur mencecah 70 tahun ini Pak Mus yang merupakan sebagai Kaum Kelabit tempatan dari kampung ini dan menjadikan tanaman nanas dikawasan kebun tidak berapa jauh daripada rumahnya (sekitar 8 rantai sahaja) dikawasan lereng bukit seluas 12 ekar dibeberaapa lokasi sebagai sumber pendapatan. Penulis berpeluang meninjau tanaman nanas varieti Nanas Sarawak atau juga dipanggil sebagai Nanas Pada atau Nanas Paon dikawasan kebun berlereng bukit yang ketinggiannya adalah 1,110 meter (lebih 3,300 kaki) daripada paras laut. Cara mengukur ketinggian ini menggunakan sistem aplikasi moden dalam smartphone yang dimuat turun dan memang mudah untuk digunakan. Pada ketinggian ini tanaman nanas mudah untuk tumbuh dan mampu menghasilkan buah yang lebih manis serta yang paling utama ianya diuruskan dengan sistem tanaman secara organik. Nanas di dataran Tinggi Bario ini merupakan tanaman kedua terluas selepas kawasan padi. Padi disini yang sangat popular dengan varieti Adan Bario merupakan sejenis jenama yang memberikan ikon padi organik tanah tinggi sebagai 'Beras Bario'. Pada masa ini seluas lebih daripada 900 ekar kawasan sawah ditanam dengan padi Bario yang mengambil masa selama 6 bulan untuk dituai. Syarikat tempatan (CERIA) telah memajak tanah dan mengusahakan tanaman padi Bario secara komersil semanjak 4-5 tahun dahulu. Kini beras premium beras Bario dijual sekitar RM12.00 - RM16.00 sekilogram di Lembah Kelang hasil keluaran syarikat ini. Tanaman nanas pula sekitar 45 - 50 ekar pada masa ini dan lebih ramai penduduk kampung yang mula menanam nanas dikawasan baru apabila LPNM dan juga Jabatan Pertanian Sarawak membuat beberapa 'engagement' berterusan. Artikel malam yang dingin ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai penanaman nanas oleh Pak Mus sebagai satu kajian kes untuk dijadikan bahan rujukkan.


Merujuk kepada tinjauan penulis dikebun nanas Pak Mus dikebun terdekat seluas 8 ekar bersama krew RTM yang turut membuat liputan untuk program khas Panorama memang menarik. Apa yang dijelaskan oleh Pak Mus semasa kami mendaki bukit yang curam ini adalah bagaimana beliau menjadikan tanah kawasan ragutan kerbau pada masa ini masa dulu digantikan dengan tanaman nanas. Nanas yang ditanam menggunakan nanas Sarawak dengan berperingkat dahulu dan kini telah 'ratooned' banyak kali. Kawalan rumpai dilakukan secara manual dengan kaedah mencabut atau menebasnya dibuat sepanjang masa. Ini kerana kos untuk gunakan racun kimia dikawasan pendalaman adalah kos yang mahal untuk membeli bahan racun rumpai. Tanah yang subur dengan cukup cahaya matahari serta air hujan membolehkan tanaman nanas dikawasan tanah tinggi ini tidak menghadapi masaalah pertumbuhan, pembesaran dan pengeluaran buah. Penulis blog mendapati kaedah penanaman nanas Pak Mus  masih berkonsepkan konvensional dimana pokok nanas yang berbuah akan dibiarkan mengeluarkan anak sulur yang akan menghasilkan buah kelak. Pokok yang telah berbuah akan dibiarkan mati mereput dan menjadi bahan pereputan untuk menjadi baja. Banyak ruang kosong yang belum disulam dengan sulur nanas dimana kepadatan tanaman didalam kebun Pak Mus rendah (Sila lihat foto disebelah). Ini kerana jika kepadatan tanaman dirapatkan maka pokok kurang subur dengan mengharapkan baja organik semulajadi yang tidak mencukupi. Ia berbeza dengan kaedah tanaman nanas komersil di kawasan lain yang diberikan baja kimia dan aruhan pembungaan.


Biasanya tanaman nanas di kebun Pak Mus akan berbuah dalam masa 18 - 20 bulan. Ia adalah daripada jenis CAYENE dimana ia menghasilkan buah yang agak besar dan jenis ini memang agak kurang respon dengan sebarang penggunaan bahan hormon untuk tujuan aruhan pembungaan. Bergantung kepada kesuburan tanah yang berbeza dalam kebun dan kandungan baja humus serta air semulajadi, lazimnya saiz buah yang dihasilkan berbeza-beza. Terdapat nanas besar sehingga mencecah 3-4 kg sebiji dengan rasa manis dimana kebanyakannya adalah bersaiz sederhana atau saiz kecil sekitar 1.4 kilogram atau kurang lagi sekitar 600 gram. Penulis dapat memetik 11 biji buah nanas Bario ini dengan merayau-rayau dikawasan kebun Pak Mus. Ini kerana nanas ini tidak dihormon dan kita tidak dapat menjangka jumlah pengeluarannya pada masa tertentu untuk dipasarkan. Apa pun disepanjang 3 hari saya berada di Chalet Pak Mus hidangan nanas Bario daripada kebun Pak Mus sentiasa ada dan kesemuanya memang manis belaka. Dicadangkan agar dimasa akan datang Pak Mus menggunakan karbid kepada beberapa pokok tanaman nanas yang matang untuk mempastikan jadual pengeluaran buah dari kebun ini boleh dirancang. Cara begini mungkin membolehkan keperluan buah nanas sama ada untuk kegunaan sendiri atau dijual dapat dirancang dari pokok berbuah akibat proses aruhan bunga tersebut dengan lebih tersusun. Bagaimana pun cara ini perlu juga disesuaikan dengan cuaca, pengurusan agronomi tanaman dan juga kadar permintaan pasaran.


Buah nanas Bario Pak Mus digunakan oleh penduduk kampong sekitar dan di jual ke Miri. Selain daripada Pak Mus membawanya sendiri ke Miri, terdapat beberapa penduduk tempatan termasuk ketua kampong yang menjual buah nanas Bario di Miri menggunakan kenderaan darat dan juga kapalterbang. Caj tambang kapalterbang Mas Wing sekitar RM1.00 sekilogram dimana kuantiti dibenarkan bergantung kepada ruang kargo yang sedikit. Bagaimana pun kaedah ini masih praktikal kerana kualiti buah ini masih segar di Miri dan dijual dengan harga antara RM8.00 - RM12.00 sebiji dipasaran runcit. Jika diangkut menggunakan pick-up melalui jalan darat mengambil masa 10 -15 jam (cuaca hujan selalunya melambatkan perjalanan) tetapi isunya sebahagian buah nanas ini akan rosak apabila tiba di Miri kerana keadaan jalan yang kurang baik dan pengendaliannya. Permintaan untuk nanas Bario di Miri amat tinggi kerena mereka tahu bahawa nanas dari kawasan tanah tinggi ini adalah organik, manis dan ada nilai estetika tersendiri. Potensi penanaman nanas di kawasan tanah tinggi Bario ini sesuai di bangunkan bersama dengan konsep Agrotourism. Penulis blog dapati pelancong yang datang ke Bario 'wajib' lawat kebun nanas Pak Mus dan memetik, makan dan menikmati indahnya permandangan kebun nanas dilereng bukit yang sungguh menarik. Penulis dapat hadir bersama dalam majlis bersama Tok Penghulu, Ketua-ketua Kampong, Anggota-anggota Keselamatan (Kem 7RAMD Tawau) dan Penduduk tempatan dalam majlis makan malam bersama KP LPNM (Sila lihat foto disebelah). Industri nanas di kawasan tanah tinggi Bario merupakan satu potensi yang masih relevan dalam usaha memberikan pendapatan kepada Pak Mus dan ramai pekebun nanas lain. Selamat Menyambut UlangTahun LPNM Ke 60!. Semuga rencana dalam anim agro technology kali ini memberi info berguna. Wasallam!!!..

DIA PAK MUS... PERAMAH ORANGNYA...
KAUM KELABIT... ISLAM AGAMANYA...
TANAM NANAS... SUDAH AGAK LAMA...
NANAS BARIO... BERKUALITI JENISNYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Pak Mus Lodge,
Bario, Miri,
Sarawak, Malaysia.
(11 Oktober 2017)
Menyambut Hari UlangTahun Kelahiran di sini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...