KLIK SAYA SOKONG BLOG

Friday, September 15, 2017

PAKAIAN PEKEBUN NANAS

PAKAIAN PEKEBUN NANAS adalah perkara yang paling jarang diperkatakan di kalangan pekebun kecil dan pekerja ladang nanas di Malaysia. Bagaimana pun penulis blog semasa memasukki kebun nanas terutama nanas yang banyak duri seperti Nanas Moris (AC1) atau Nanas Moris Gajah (AC7) sering tercucuk duri yang tajam dan selalu agak menyakitkan malahan menyebabkan luka dan gatal-gatal. Biasanya duri yang tajam pada daun nanas akan melukakan pekebun dan mereka terpaksa memakai pakaian khas yang sesuai untuk mengelakkan duri nanas. Bagi mereka yang biasa dengan nanas tidak berduri seperti Nanas MD2 tetapi kemudian masuk kekebun nanas moris akan menghadapi masaalah duri yang banyak. Masaalah ini menjadi lebih serius apabila mereka mengamalkan tanaman nanas padat. Satu ekat tanah gambut biasanya ditanam sekitar 17,000 - 20,000 pokok dan bagi tanaman padat ia mencecah 35,000 pokok. Apabila menuai hasil bagi kebun tanaman padat agak sukar kerana pokoknya yang rapat dan banyak duri. Apabila diperhatikan lazimnya pekebun akan memakai SELUAR JEANS yang tebal bagi elakkan duri daun nanas tertusuk (Sila lihat foto seluar Derani diatas). Encik Derani selalunya akan pakai seluar jeans yang tebal dimana duri tidak boleh untuk menembusinya jika seluar masih baru dan tebal. Bagaimana pun jika seluar jeans tersebut sudah nipis maka ia akan tebus kedalam durinya. Kadang kala mereka akan pakai seluar beberapa lapis bagi tujuan elakkan duri pada daun. Menurut Derani walau pun sudah lebih 15 tahun beliau aktif menanam nanas, masaalah duri nanas masih lagi menghantui beliau apa lagi kepada anak-anak muda dan pemain baru dalam penuaian buah nanas. Merujuk kepada Cikgu Mohamad, 48 tahun selain daripada memakai pakaian tebal beliau juga ada memakai baju tebal, sarung tangan dan topi pandan untuk kekebun nanas. Rencana pada subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai pakaian pekebun nanas dan beberapa petua boleh digunakan untuk atasi isu ini.


Nanas yang ditanam akan matang dalam masa antara 12 - 18 bulan bergantung kepada varietinya. Lazimnya nanas moris akan matang dalam masa 12-13 bulan, jenis nanas MD2 dalam masa 24-15 bulan dan nanas jenis Sarawak atau Nanas Pound pula matang sekitar 18-20 bulan. Bagaimana pun penghasilan buah nanas boleh dikira daripada pokok nanas diberikan rawatan hormon pembungaan. Terdapat 4 jenis hormon untuk menggalakan pembungaan nanas yang digunakan dinegara kita iaitu Pil NAA, Cecair NAA (Planafix), Ethephon (Ethrel) dan Kalsium Karbid. Penggunaan bahan penggalak hormon yang paling selalu dan sering digunakan adalah jenis Ethephon. Ini kerana ethepon mudah dibeli, cara semburan dengan sekata, mudah disimpan dan juga memberikan kesan responsif yang efektif. Buah nanas yang telah matang perlu dipetik mengikut keperluan pasaran dan juga diaturkan mengikut jadual menghormon pokok. Pekebun nanas aktif biasanya akan menggunakan 'parang nanas' iaitu parang yang separuh panjang dari parang panjang biasa dimana ia memudahkan memotong tangkai nanas dan buah nanas kemudian dimasukkan kedalam bakul dibelakangnya (Sila lihat foto disebelah). Buah dalam bakul ini akan dikumpulkan dkawasan memungut buah dan kemudian di 'grading' sebelum dijual. Menggredkan buah nanas mengikut saiz, jenis dan kehendak pasaran dimana  di Samarahan lazimnya dijual mengikut biji bukannya timbangan berat.


Prnggunaan seluar jean didakwa  oleh ramai pekebun nanas adalah cara paling praktikal untuk masuk kedalam kebun nanas. Ini kerana lazimnya seluar jean yang baru atau masih elok mampu menahan tusukkan curi pada daun nanas ketika aktiviti membaja tanaman, membuang rumpai dan akhirnya memetik buah nanas. Harga sehelai seluar jean yang baik sekitar RM50.00 sehelai dengan pekebun akan membeli jenis jeans yang paling tebal (Sila lihat foto disebelah). Bagaimana pun selain dari seluar jean ada pekebun yang pakai beberapa lapis seluar jenis 'slacks' yang tebal diperbuat daripada jenis kain Khaki. Selain seluar baju untuk pekebun nanas mestilah dari jenis berlengan panjang, tebal sedikit dan ada yang memakai beberapa lapis. Mereka juga memakai kasut getah 'Phua Chu Kang' atau kasut dengan setokin tebal. Pakaian kebun nanas yang juga penting adalah sarung tangan tebal (jenis kain) untuk mengelakkan daripada terluka akibat duri nanas dan mata nanas serta jambul nanas yang tajam. Keperluan untuk menutup bahagian kepala juga penting bagi pekebun nanas dimana mereka akan memakai topi. Topi yang sesuai adalah dari jenis topi daun mengkuang atau topi kain yang besar dan lebar bagi elakkan sinaran panas matahari.


Bagaimana pun ramai penanam nanas moris dikawasan tanah gambut yang bertanya sama ada jenis seluar dan baju yang dibuat daripada kain getah atau plastik tiruan yang sesuai. Penulis pernah melihat pakaian ini semasa di Korea dan China dimana petani mereka yang menanam padi memakai seluar jenis getah. Seluar ini hanya perlu untuk disarungkan kebahagian kaki dan rasanya amat sesuai untuk pekebun nanas juga. Dalam mencari maklumat mengenai pakaian ini ada foto mengenai pakaian dibuat daripada getah yang mungkin sesuai untuk memungut hasilan buah nanas (Sila lihat foto disebelah). Pakaian tersebut mungkin kurang sesuai untuk dipakai oleh pekebun nanas kerana ia mungkin panas memakainya dan sesuai untuk kawasan negara 4 iklim dimusim dingin. Apa pun penulis blog minta beberapa penanam nanas un tu cipta inovasi menyediakan pakaian nanas yang ideal untyk kegunaan mereka. Satu cara adalah dengan berbincang dengan tukang jahit untuk membuat satu lapisan pelindung seluar untuk diikat mengelilingi bahagian kaki dan tangan. Ia boleh ditempah dan diikatkan sahaja pada kaki untuk elakkan tusukkan duri. Harganya bergantung kepada jenis kain getah digunakan atau kain khaki tebal yang sesuai.


Penulis blog kini mendapat satu PETUA bagaimana untuk merawat tusukkan duri nanas semasa berada dikebun nanas. Kata Derani, beliau dan rakan-rakannya akan menyapukan 'body lotion' sahaja pada tempat luka dan gatal-gatal akibat duri nanas. Sapu rata bahagian kaki dan tangan yang luka akibat duri nanas dan rasa sakit dan gatal akan hilang beberapa minit kemudian. Bagaimana pun memang digalakkan untuk gunakan jenis lotion baru yang berjenama sahaja (Sila lihat foto disebelah). Ini kerana body lotion yang lama atau tidak berjenama kurang efektif. Lazimnya setelah sehari semua luka dan gatal tersebut akan sembuh dan hilang. Tahap allergik seseorang juga akan membezakan dari individu kerana ada yang menyapu body lotion tetapi kurang berkesan. Penggunaan bedak talcum berubat juga bpleh diguna dan diamalkan oleh pekebun nanas dan pekerja ladang nanas. Kalau ada mereka yang kali pertama luka kena duri nanas dan menyebabkan infeksi sebaiknya berjumpa doktor klinik bagi rawatan lanjut. Diharap satu hari nanti akan dicipta pakaian untuk digunakan dikebun nanas jenis berduri ini. Semuga tulisan kali ini dapat memberi info berguna kepada anda. Wasallam!!..



DURI NANAS... AMAT TAJAMNYA...
MENYUCUK KAKI... TANGAN JUGA...
BAJU NIPIS... MENJADI LUKA-LUKA...
BAJU KHAS NANAS... KENA GUNA...


By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 1232, Hotel Hilton,
Kuching, Sarawak,
Malaysia.
(8Zukhijjah 1438H)
Lawatan pemantauan kebun nanas di Sarawak
daripada 26 - 28 Ogos 2017.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...