mobile ads

KLIK SAYA SOKONG BLOG

Saturday, September 23, 2017

PAKU PAKIS - JENIS DAN CIRINYA

PAKU PAKIS (Ferns) merupakan tumbuhan yang mudah kita jumpa didalam belukar di Malaysia terutama dikawasan tanah lembab. Tumbuhan paku–pakis (pteridofit) adalah dari keluarga Davalliaceae mempunyai lebih dari 40 spesis merupakan jenis tumbuhan berdaun yang lazimnya berwarna hijau atau berwarna lain yang mengandungi anthocyanin. Ia merupakan golongan tumbuhan yang mempunyai ciri–ciri khas dimana selalunya pada pucuk daun muda terdapat satu bentuk seperti 'gelungan tali' yang berlingkar dikenali sebagai 'krozier'. Ciri lain yang nyata ialah kesemua paku–pakis menghasilkan spora yang terbentuk di dalam sporangium. Sporangium ini berkumpul membentuk tompokan iaitu di bahagian hujung, permukaan ataupun tepi daun. Kumpulan sporangium ini dikenali sebagai sorus. Susunan dan bentuk sorus berbeza–beza bergantung kepada spesies paku–pakis tersebut. Secara umumnya saya dapati tumbuhan pakupakis dibahagikan kepada dua kelompok utama iaitu paku-pakis primitif yang berstruktur ringkas (fern-allies) dan paku-pakis sejati (true-fern). Pada paku-pakis primitif akarnya hanya berupa rizoid (seperti Psilotum), berbatang kecil dan umumnya berwarna hijau kerana memiliki klorofil sehingga dapat membantu proses fotosintesis dan daunnya hanya berupa sisik dengan satu vena daun sahaja. Manakala pada paku–pakis sejati terdapat pembahagian antara akar, batang dan daun nampak jelas. Ketiga–tiga organ tersebut telah mencapai kesempurnaan yang tinggi. Artikel petang Ahad ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai jenis dan ciri tumbuhan pakupakis sekadar dijadikan bahan rujukan dan bacaan anda.

Dalam mengenali akan tumbuhan pakupakis ini saya fikir kita kena faham akan asas dan penciriannya. Ini kerana sebilangan besar pakupakis tumbuh liar terdapat di sekitar kita dan dihalaman rumah. Di Semenanjung Malaysia sahaja terdapat lebih kurang 500 spesies pakupakis liar yang telah dikenal pasti. Pakupakis ini ada juga yang sesuai dimakan dan ia lebih dikenali sebagai Athyrium esculentum. Terdapat juga paku–pakis liar yang dipercayai mempunyai khasiat perubatan dan digunakan dalam amalan perubatan tradisional. Nenek moyang kita dahulu sudah menggunakan pelbagai spesies tumbuhan pakupakis sebagai ubat-ubatan tradisional untuk mengubati masaalah seperti jenis penyakit kulit, luka dan sakit perut. Ada juga dikalangan orang laman yang menggunakan sebagai penahan darah dan penyubur rambut. Penulis juga mendapati kini pakupakis telah pun dijadikan sebagai tumbuhan perhiasan (Ornamental tree) seperti jenis Pakis Lycopodium, Asplenium, Playcerium dan sebagainya. Selain daripada ia mengindahkan landskap, pokok pakupakis amat mudah ditanam dan diselenggara tanpa masaalah. Ia boleh ditanam terus diatas tanah atau didalam pasu atau dicelah-celah pokok hiasan yang lain.


Tumbuhan pteridofit tersebar luas ke seluruh dunia kecuali di bahagian kutub yang sentiasa dilitupi ais. Kira–kira 75% spesis ini terdapat di kawasan tropika dimana di kawasan ini ia berada dikawasan yang embab dan mendapat cahaya matahari atau dibawah naungan. Ia juga berada dikawasan pergunungan yang berhampiran dengan kawasan tropika. Spesis yang hanya terdiri daripada bahagian batang yang berwarna hijau iaitu tanpa akar dan daun sejati ditemukan pada genus Psilotum sehingga kepada genus Cyathea yang mempunyai akar sejati dan berdaun tebal, berbatang sempurna dan menyerupai batang pohon palma (Sila lihat foto disebelah). Saintis dalam menentukan variasi panjang atau tinggi paku–pakis dimulakan dengan jenis yang berukuran kurang daripada 2.5cm seperti pada paku–pakis air dari genus Azolla hingga kepada jenis yang mencapai ketinggian 30m seperti paku-pakis Cyathea dan Dicksonia. Struktur yang ada pada paku pakis juga berganung kepada jenis. Lazimnya terdapat dua jenis daun paku–pakis iaitu dinamakan sebagai Daun Mikrofil dan Daun Makrofil. Bagi Daun Mikrofil ianya daun yang berbentuk sisik dengan ukuran yang sangat kecil umumnya kurang daripada 1 cm panjangnya. Jenis daun mikrofil ditemukan pada paku–pakis seperti pada genus Psilotum, Lycopodium,Selaginella dan Equisetum. Jenis Psilotum dan Equisetumdaunnya mengalami pengurangan dari segi bentuk dan fungsi sehingga bentuknya menjadi sangat kecil dan tidak menjalankan fungsi fotosintesis. Jenis kedua daun makrofil dimana daunnya mempunyai ukuran lebih besar daripada daun mikrofil dan mempunyai susunan yang lebih kompleks dengan pelbagai variasi dan aktif bagi berbagai–bagai fungsi fisiologi seperti pada daun tumbuhan peringkat tinggi. Ia terdapat dalam bentuk tunggal atau majmuk iaitu permukaan daunnya (lamina) tidak terbahagi kepada segmen–segmen yang terpisah malahan dihubungi kepada batang atau rizom melalui suatu tangkai sama ada panjang atau pendek. Contoh Vittaria, Ophioglossum, Antrophyumi, Salvinia dan lsebagainya. Daunnya terdapat dalam sifat pinat, bipinat, tripinat, kuadripinat dan seterusnya.


Penulis dapati saintis mengkaji kaedah pembiakan pakupakis adalah unik. Cara pembiakannya melalui organ Spora, Sporangium dan Sorus. Organ Spora adalah struktur pembiakan halus yang dihasilkan oleh pakupakis (Sila lihat foto disebelah). Terdapat pelbagai bentuk spora sama ada ia berbentuk bulat, pipih (monolete), segitiga (trilete) dan sebagainya. Penulis semasa melihat struktur spora tersebut dengan mikroskop elektron pengiaman (Scanning Electron Microscope) di universiti dahulu mendapati ia dapat dilihat dengan jelas bentuknya. Organ Sporangium pula merupakan kapsul yang berbentuk kanta dwicembung. Dinding sporangium terdiri daripada satu atau beberapa lapisan sel, kecuali pada bahagian tepinya terdapat suatu lapisan sel berdinding tebal yang mengelilingi sebahagian kapsul yang dinamakan anulus. Pada bahagian hujung lingkaran terdapat satu kumpulan sel yang pipih yang dikenali sebagai stomium. Apabila sporangium masak sel stomium akan pecah dan membebaskan spora yang terdapat di dalamnya. Jenis Sorus pula merupakan satu untaian atau nama khasnya spika (spike) seperti yang ditemui pada akis jenis Ophioglossum,. Ia juga berbentuk garis panjang seperti pada genus Pteris atau yang bulat seperti pakupakis dari genus Phymatodes. Kedudukan dan susunan sorus amat penting kerana ia bakal menentukan genus dan spesies pakupakis. Terdapat lapisan Indusium iaitu suatu lapisan pelindung untuk melindungi sporangium terutama yang masih muda. Ada sorus yang tidak dilindungi oleh indusium yang dikenali sebagai sorus yang telanjang. Sementara yang dilengkapi dengan indusium terdapat dua jenis. Jenis yang pertama dinamakan indusium sejati yang mana lapisan tisunya berupa penutup melengkok terdiri daripada dua ruangan dengan bahagian tengah berhubungan dan mengikatkannya kepada permukaan daun. Manakala lapisan pelindung yang hanya berupa pelebaran dari bahagian tepi daun yang bengkok dinamakan indusium palsu.


Dari segi ekologi, paku–pakis dipengaruhi oleh beberapa faktor antaranya ialah cahaya, hujan, angin, perubahan suhu dan tumbuhan lain yang berada di sekitarnya. Secara amnya terdapat enam golongan pakupakis dikenal pasti berdasarkan faktor tersebut. Pertama adalah jenis pakupakis terestrial di kawasan terdedah, Kumpulan ini mudah dijumpai sama ada tumbuh secara bersendirian atau berbentuk gerombolan atau semak besar. Kedua adalah pakupakis terestrial di kawasan terlindung dimana tumbuhan ini memiliki daun yang lebih nipis jika dibandingkan dengan tumbuhan paku–pakis di kawasan yang terdedah. Sebahagian besar pakupakis ini dijumpai berhampiran dengan tepi–tepi sungai di dalam hutan primer. Walaupun sesetengah daripadanya sering menghasilkan rizom yang menjalar tetapi ia tidak membentuk kelompok besar. Ketiga adalah jenis pakupakis memanjat iaitu ia mempunyai rizom yang menjalar di atas tanah dan apabila menemui pokok yang besar maka ia akan terus memanjatnya. Kadang-kadang akar bermula pada dasar atau pangkal pokok dan kemudian akan memanjatnya. Ia hidup di atas pokok lain tetapi bukannya tumbuhan parasit kerana ia hanya berpaut pada kulit kayu untuk mengumpul makanan dan air yang diperlukan. Akar pakupakis epifit ini jarang dijumpai pada tanah kerana ia biasanya diselimuti oleh tumbuhan lumut. Lumut ini sedikit sebanyak telah juga membantunya mengumpul air dan humus sebagai sumber nutrien. Spesies jenis ini juga mempunyai cara–cara tertentu untuk mengumpul humus misalnya pembentukan bakul yang besar.


Tumbuhan pakupakis epifit dibahagikan kepada dua jenis iaitu Epifit di kawasan terlindung dan Epifit di kawasan terbuka. Epifit Terlindung ini didapati pada bahagian bawah pokok hutan misalnya dari jenis fern dalam famili Hymenophyllaceae. Tumbuhan ini mempunyai cabang dan daun yang nipis seperti jenis Antrophyum. Bagi jenis Epifit di kawasan terbuka pula ianya adalah jenis pakupakis yang mendapat cahaya yang penuh mahupun hanya separa. Udara di sekelilingnya kering dengan tiupan angin yang kuat. Justeru itu tumbuhan jenis ini memerlukan rizom yang kuat dan akar yang banyak untuk menyerap air seperti pakupakis jenis Asplenium nidus. Begitu juga dengan pakupakis jenis Platycerium dan Drynaria yang mempunyai daun steril untuk membentuk bakul besar bagi menangkap humus untuk sumber nutriennya (Sila lihat foto disebelah). Terdapat juga jenis Pakupakis Batu-batan dimana ia berada di pinggiran sungai dimana kumpulan ini hidup di kawasan berbatu dan tebing sungai yang berbatu sahaja. Ia mendapatkan air dari udara yang mempunyai kelembapan tinggi ditepi sungai itu. Rizomnya menjalar kuat di permukaan batu dengan akar yang banyak. Contohnya ialah Dipteris lobbiana, Lindsaya lucida, Pyrrisia perangium dan lain-lain. Jenis Pakupakis Akuatik pula lazimnya terdapat dua famili paku–pakis akuatik iaitu Salviniaceae dan Marsileaceae yang sukar untuk dikenali sebagai tumbuhan paku–pakis dalam pandangan yang sekilas sahaja. Terdapat juga beberapa paku-pakis yang menghuni paya atau lopak air misalnya Acrostichum aureum dan Ceratopteris thalictroides. Anda boleh baca mengenai kitaran hidup pakupakis dengn pautan (Sil klik disini). Semuga tulisan dalam anim agro technology kali ini memberi info berguna kepada anda semua. Wasallam!!...
TUMBUHAN PAKUPAKIS...BANYAK NAMA...
PELBAGAI BENTUK... DIMANA-MANA JUA...
BANYAK KAJIAN,,, DIJALANKAN MEREKA...
EKOLOGI SEMULAJADI...SATU LAGENDA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 1926, Hotel Hatten,
Bandr Hilir, Melaka,
Malaysia.
(2 Muharam 1439H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...