KLIK SAYA SOKONG BLOG

Tuesday, June 6, 2017

TANAM KELAPA - GUNA BAKUL PLASTIK

MENANAM KELAPA PANDAN (Cocos nucifera) dengan menggunakan teknologi bakul plastik pemasaran merupakan satu amalan yang praktikal dijalankan. Penulis blog terbaru menjumpai teknologi ini di sebuah ladang milik peserta TKPM Sedili, Kota Tinggi, Johor semasa membuat tinjauan teknologi kesebuah ladang nenas Maspine kepunyaan Encik Shukri pada plot berhampiran. Kebun betik sekaki (Carica papaya) kepunyaan peserta projek Ah Chuan ini mempumyai keluasan 4.6 hektar ditanam betik sekaki yang sedang berhasil. Amalan agronomi dikebun ini mengikuti amalan MyGAP dimana keadaan pokok subur dengan banyak buah yang dihasilkan. Jenis tanam lom berpasir dan ada kawasan tanah bris membolehkan pokok betik subur diselang dengan tanaman kelapa sandan. Kawasan TKPM Sedili seluas 200 hektar ini mempunyai 28 orang peserta yang menanam pelnagai jenis sayuran buah seperti kacanf bendir, cili, terung panjang, kacang panjang, peria, petola dan beberapa lagi. Tanaman lain di TKPM ini adalah betik, nenas, pisang, limau kasturi, jambu batu dan beberapa lagi. Projek TKPM ini yang diselia oleh Pejabat Pertanian Daerah Kota Tinggi, Johor kini merupakan antara TKPM yang didakwa telah pun berjaya menghasilkan bahan makanan berkualiti dan segar untuk pasaran domestik dan eksport terutama ke Singapura. Pegawai Pertanian Daerah Pn Murni Yati dan Penolong Pegawai Pertanian En Saiful Daerah Kota Tinggi mengiringi lawatan penulis blog. Penulis juga sempat melawat plot tanaman nenas Maspine yang agak luas dan merupakan beberapa lokasi yang menanam nenas Maspine di Johor.  Apa pun yang menarik perhatian penulis kali ini adalah penggunaan bakul plastik pemasaran untuk dijadikan sungkupan tanaman kelapa pandan (Sila lihat foto diatas). Artikel petang Isnin ini sebelum berbuka puasa saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai teknologi ini untuk dikongsi pembaca semua rakan blog ini.

Mmenanam kelapa pandan bukan satu perkara yang mudah kepada mereka yang baru mencubanya. Ramai pengusaha yang mencuba menanam pokok kelapa pandan tetapi akhirnya tidak berjaya mendapatkan hasil selepas beberapa tahun. Pada penelitian penulis mendapati banyak faktor yang boleh mengagalkan penanaman kelapa pandan secara komersil terutama dikawasan baru yang berhampiran dengan hutan belukar atau pun kawasan tanah kebun yang baru diterokai. Anak benih pokok kelapa pandan perlu diperolehi daripada pembekal yang disahkan ketulinannya daripada pembekal yang berwibawa. Pembekal benih yang ada sijil Skim Pengesahan Benih Tanaman (SPBT) Jabatan Pertanian mampu menjamin kualiti benih kelapa pandan. Peringkat 3 tahun pertama penanaman kelapa pandan amat berisiko tinggi untuk serangan pelbagai musuh tanaman, serangga perosak dan penyakit serta pengurusan air serta pembajaan. Serangan babi hutan antara perkara yang paling ketara merosakkan tanaman kelapa pandan. Ini kerana babi hutan yang aktif pada petang dan malam hari akan cuba mengorek pangkal anakbenih kelapa pandan untuk mencari cacing ataupun memakan umbut kelapa pandan yang lembut. Penggunaan bakul plastik di kebun ini ada kaitan dengan serangan babi hutan. Bakul yang di pasang kuat dalam tanah menyukarkan babi untuk menyodok pangkal pokok kelapa. Selain itu penggunaan bakul plastik ini menjamin tahap kelembapan dalam bakul membolehkan pokok mendapat air apa lagi pokok betik yang disiram dua kali sehari menyebabkan air cukup untuk  benih kelapa.


Bakul plastik pemasaran berwarna hitam dipilih dan petani tidak menggunakan warna lain seperti merah atau pun biru. In kerana warna hitam dipercayai menjadikan ia kurang dapat dilihat haiwan perosak diwaktu malam berbanding dengan warna lain yang terang. Bakul ini di tebuk lubang dibahagian tengah berukuran 50 cm x 50 cm bertujuan untuk membolehkan bahagian pucuk benih kelapa pandan dapat melepasinya (Sila lihat foto disebelah). Bakul ini akan diterbalikkan dan bahagian bawah bakul disusun sebelah atas dan bawahnya ditanam, dalam tanah sedalam 3-5 inci. Memang agak sukar untuk penulis blog mengangkat bakul ini dan ada juga dibeberapa lokasi yang pernah diserang babi hutan dipacakkan dengan besi pada bahagian bawah bakul plastik ini untuk mengukuhkan strukturnya. Jika kawasan kebun betik disiram dengan sistem sprinkler pada waktu pagi dan petang semasa cuaca panas maka air percikkan tersebut dapat masuk kedalam tanah kerana lubang bakul yang jarang. Daripada pemerhatian penulis blog semua pokok kelapa yang dilindungi dengan bakul ini kukuh dan anak pokok kelapa dapat tumbuh dengan baik dan subur.


Apa yang menarik penulis blog mengenai teknologi penggunaan bakul plastik buah pemasaran ini adalah mengenai idea kecekapannya. Penulis pernah melihat bagaimana pengguaan seperti kawat duri, kawat chainlink, tin minyak tanah, bakul buluh, kayu turus pagar, batang buluh, guni, jaring netting hitam dan sebagainya digunakan oetani untuk melindungi anakpokok kelapa pandan. Tetapi kali ini baru penulis benar-benar dapat melihat kehebatan teknologi ini dimana pertumbuhan pokok seragam dan subur keseluruhannya. Selain daripada air yang mencukupi, dilihat dipangkal pokok baja butiran iaitu NPK 15:15:15 yang baru ditabur (Sila lihat foto disebelah). Perdu anak kelapa amat sihat dimana pucuk baru keluar cepat walau pun pokok baru ditanam sekitar 3 bulan sahaja. Menurut keterangan petani, apabila pokok kelapa pandan dewasa dia akan menanam sayuran dicelah-celah pokok kelapa pandan secara fertigasi gantung sehingga ianya tidak sesuai lagi apabila kanopi kelapa bercantuk kelak. Kajian penulis blog dibeberapa lokasi di Johor mendapati harga ladang sebiji kelapa pandan adalah RM 1.00 - RM1.50 sebiji. Satu bulan pokok kelapa pandan mengeluarkan satu tandan. Kalau satu tandan purata ada 10 -15 biji dan satu hektar ada 272 pokok, cuba kira berapa anggaran pendapatan yang akan diperolehi oleh peserta TKPM ini 5 tahun akan datang. Semuga tulisan ini memberi info terbaik. Walau dalam suhu kepanasan jam 1.30 tengahari dibawah sinaran matahari bulan Ramadan yang diberkati ini, penulis gembira menemui teknologi ini untuk tatapan anda semua. Selamat Berpuasa!. Wasallam!!..


TANAM BETIK.... CELAHNYA KELAPA....
KELAPA PANDAN... PILIHAN MEREKA...
GUNAKAN BAKUL... TEKNOLOGI APA...
ANAK POKOK SUBUR... ITU RAHSIANYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Plot Tanaman Betik dan Kelapa,
TKPM Sedili, Kota Tinggi,
Johor, Malaysia.
(10 Ramadan 1438H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...