KLIK SAYA SOKONG BLOG

Friday, June 23, 2017

PENANAMAN TAUGEH (Part 1)

PENANAMAN TAUGEH merupakan satu bidangusaha yang dahulu hanya dimonopoli oleh kaum Tionghua tetapi kini telah ramai usahawan bumiputra yang telah membuatnya. Jabatan Pertanian didalam membuat aktiviti pembangunan industri asas tani telah berjaya melahirkan ramai usahawan bumiputera yang melibatkan pembuatan taugeh, tauhu, mee dan sebagainya. Jabatan Pertanian juga menyediakan garis panduan menanam Taugeh. Pada penulis blog, bahan untuk makanan tauge merupakan sejenis makanan daripada percambahan kekacang atau 'bean sprout' sama ada ianya daripada kacang hijau (Vigna radiata) atau Kacang hitam (Vigna mungo) yang diimport dari Thailand atau Cina. Kajian menunjukkan penghasilan tauge merupakan satu bidang usaha yang berdaya maju. Faktor-faktor yang mempengaruhi penghasilan tauge perlu diberi pengamalan dan dilihat pada setiap peringkat proses pengeluaran. Proses membuat taugeh bukanlah sukar tetapi memerlukan ilmu khusus dan juga peralatan serta kemudahan yang perlu disediakan. Kalau dahulu membuat taugeh secara tradsional sahaja dengan menggunakan kacang hijau dikampong-kampong tetapi kini taugeh telah dikomersilkan dan mudah dibeli daripada pasar basah, kedai runcit, pasaraya malahan ada juga dijual dipasar malam. Penggunaan taugeh yang meluas dalam mesu masakan di Malaysia membolehkan makanan sayur yang organik ini mendapat tempat dikalangan rakyat dinegara ini. Bagaimana pun ada dikalangan mereka terutama kanak-kanak yang mengasingkan taugeh ini semasa memakan makanan yang mengandungi taugeh. Artikel malam ini saya teruskan menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai aktiviti dan proses untuk membuat taugeh hasil daripada tinjauan dibeberapa pengusaha membuat taugeh di Muar, Batu Pahat dan di Melaka.


Terdapat banyak kaedah dan teknologi membuat taugeh daripada yang paling asas secara tradisional skala kecil-kecilan sehingga kepada perusahaan taugeh komersil yang mempunyai sistem automasi canggih. Ini belum lagi jika pengusaha tersebut menggunakan teknologi penghasilan taugeh organik sehingga mendapat persijilan MyOrganik. Walaupun proses penghasilan taugeh nampak mudah tetapi perlu diingat dimana hampir setiap peringkat pemprosesan mempunyai kesan kepada kualiti dan produk taugeh yang dihasilkan. Paling asas adalah berkaitan dengan pemilihan lokasi yang betul dari segi sumber air. Pengalaman penulis dengan pasukan daripada Kementerian Kesihat pernah membuat pemeriksaan terhadap beberapa buah premis yang memproses membuat taugeh dimana mereka menggunakan air tasek yang tercemar dengan najis ternakan. Perkara ini amat mengejutkan dan pejabat kesihat terus menyita premis tersebut kerana terdapat banyak bakteria E. coli didalam sampel air yang digunakan. Ada pengusaha yang menggunakan air bersih daripada paip yang disediakan tetapi kos air memang tinggi. Penting juga usahawan taugeh mempastikan luang pasaran taugeh untuk memastikan projek taugeh tersebut berterusan. Bahan asas membuat taugeh adalah kacang yang diimport dimana bekalan mestilah mencukupi dan berterusan. Apa yang penting adalah kualiti benih kacang mestilah bernas dan bersaiz besar bagi mendapatkan hasil yang baik. Pengusaha sentiasa menyimpan stok mencukupi dimana ia mesti boleh diperolehi secara berterusan dengan harga yang berpatutan.


Pertama dilakukan adalah aktiviti untuk mengasing dan membasuh perlu dibuat dengan teliti sebelum kacang direndam. Tempoh rendaman 6-8 jam dengan larutan hormon pembesaran Sontoso sudah memadai dan menggaul dengan Siako (selepas mengetos kacang) sebelum peringkat mencambah (Sila lihat foto disebelah). Kaedah ini selalunya akan boleh memberikan hasil taugeh yang paling tinggi di mana 11 kg benih menghasilkan 8.7 kg taugeh. Apa yang penting adalah keperluan air siraman menjadi lebih rendah dibandingkan dengan hanya menggunakan hormon. Bagi percambahan, penggunaan tong-tong plastik yang telah digunakan atau recycle container yang tebal dan tidak lut cahaya lebih baik kerana ia tahan lasak dan memberi lindungan yang secukupnya pada tauge untuk bercambah. Tong-tong ini disusun dalam barisan dengan disambung dengan sistem pengairan separa automatik atau automatik sepenohnya. Pengurusan membuat taugeh yang sistematik ini mampu menghasilkan taugeh yang berkualiti mengikut matrik jadual pengeluaran. Bagaimana pun dibawah ini saya paparkan carta alir proses membuat taugeh yang biasa dilakukan. 



Proses Pengeluaran Taugeh

Menyediakan persekitaran dan lokasi

|
Mendapatkan bahan mentah

 (kacang hijau / kacang hitam)

|
Mengasingkan benih 

(benda asing, kacang rosak, batu dan sampah)

|
Membasuh (hingga kacang benar-benar bersih)
|
Merendam (6-8 jam menggunakan 

larutan hormon jika mahu, 1.5% Sontoso)

|
Mengetos (digaul dengan 1% Siako)
|
Mencambah (4-6 hari dalam bilik yang gelap

 dan suhu rendah serta tong bersesuaian)

|
Menyiram (2-4 jam sekali)
|
Mengasingkan kulit
|
Membungkus
|
Menjual


Proses membuat taugeh untuk pengeluaran komersil memerlukan komitment tinggi dari segi pamasaran. Ini kerana taugeh adalah sayuran yang tidak tahan lama seperti sayuran lain. Penghantaran kepasar perlu dilakukan dengan kerap untuk mempastikan hanya taugeh yang segar sahaja yang dibekalkan kepada pelanggan. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada pembaca semua. Wasallam!!!...
MENANAM TAUGEH... BAGAIMANA CARA..
KACANG DIBELI... DIMPORT SEMUANYA...
TEKNOLOGI MODEN...AUTOMATIK JUGA...
PASARAN DICARI... PASTIKAN BERJAYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Cendana, Persimpangan Bukit Beruang,
Bandar Melaka, Melaka,
Malaysia.
(28 Ramadan 1438H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...