KLIK SAYA SOKONG BLOG

Wednesday, June 14, 2017

AYAM PENCEN - APA GUNA

AYAM PENCEN atau AYAM TELUR TUA merupakan satu istilah yang diberikan kepada jualan ayam telur yang telah tidak produktif lagi untuk menghasilkan telur dan disembelih untuk dagingnya. Sebelum saya pergi jauh mengenai ayam pencen ini mari saya dedahkan info berguna mengenai industri ayam di Malaysia yang perlu anda ketahui. Purata seorang rakyat di Semenanjung Malaysia makan daging ayam adalah sebanyak 38 kg setahun atau 3.2 kilogram sebulan (Sumber: Laporan Statistik AgroMakanan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani 2016). Kalau purata seekor ayam daging beratnya 1.5 kg seekor, maknanya seorang rakyat Malaysia akan makan 2 ekor ayam lebih sebulan. Sebanyak 30 juta ekor ayam daging  diperlukan setiap hari atau sebanyak 94 juta ekor seminggu atau sebanyak 10,950 juta ekor setahun. Ini menunjukkan daging ayam merupakan satu sumber zat protin terpenting di negara kita. Penggunaan daging ayam di Malaysia adalah amat tinggi kerana ia merupakan jenis daging yang paling diminati oleh semua bangsa, umur, kaum, jantina dan disediakan dalam banyak masakan. Sebut sahaja 'ayam goreng', kita akan jumpa setiap hari dirumah, dikantin, pasar malam, pasar tani malahan menjadi hidangan utama Restoren KFC dan banyak restoran fastfood yang lain. Ini belum disebutkan makanan berasaskan ayam seperti Sate Ayam, BBQ Ayam, Ayam Percik, Ayam Panggang dan banyak lagi. Bercerita mengenai Nasi Ayam sahaja terdapat banyak rangkaian restoren berasaskan nasi ayam sehingga kepasaran global. Cerita katun UPIN dan IPIN juga menyatakan minat mereka makan ayam goreng. Keenakan ayam goreng berempah memang menjadi makanan kegemaran ramai. Ini belum lagi pelbagai jenis hidangan yang menggunakan daging ayam untuk dijadikan makanan penting. Sebanyak 22 juta biji telur juga diperlukan oleh rakyat Malaysia setiap hari atau kasarnya dikira sebanyak 1 biji telur seorang sehari. Saya bagaimana pun saya akan meneruskan penulisan mengenai ayam pencen dalam "Anim Agro Technology" untuk bacaan dan rujukkan anda.

Ayam Telur merupakan jenis ayam yang diternak untuk menghasilkan telur ayam dan mempunyai sistem menternak yang berbeza dengan ayam daging. Kalau menternak ayam daging memang jelas untuk menghasilkan daging ayam segar dalam tempoh singkat iaitu diantara 35 - 40 hari sahaja. Ayam daging dahulu dipanggil juga sebagai 'Ayam Karen' kerana cepatnya ia membesar untuk dijual kepasaran tidak seperti ayam kampong yang sangat lama diternak. Kalau ayam daging diternak dalam reban diatas lantai tanah secara berkelompok, ayam telur dimasukkan dalam satu unit reban seekor dengan rekabentuk sangkar khas. Sangkar ini akan menyediakan makanan, minuman dan juga lantai yang membolehkan telur ayam yang dihasilkan bergolek ke tepi sangkar sebelum dipungut pekerja setiap hari (Sila lihat foto sebelah). Formulasi makanan ayam telur dengan ayam daging adalah berbeza dimana ianya akan menentukan sama ada pembinaan untuk daging atau untuk telur ayam. Makanan Ayam di Malaysia dihasilkan oleh beberapa kilang seperti Cargill, Sin Mah, CP dan Gold Coin serta beberapa lagi. Bahan asas makanan ayam adalah diimport dari luar negara iaitu komponen jagung bijirin, kacang soya dan bahan lain. Pengimportan bahan makanan ini menyumbangkan kepada kesan keluar duit keluar negara dengan nilai lebih daripada RM3.2 billion setahun. Lazimnya najis atau tahi ayam telur menjadi buruan petani penanam sayur dan buah-buahan kerana kandungan zat permakanan untuk dijadikan baja yang baik bagi tanaman berbanding dengan baja dari tahi ayam daging yang selalunya dicampur dengan habuk kayu atau bahan lain semasa reban ayam dibersihkan.

Tahukah anda untuk itu mahu tak mahu seekor ayam penelur terpaksa bertelur selama sekurang-kurangnya 300 hari dalam setahun dimana hanya berehat dari bertelur dalam masa lebih kurang 65 hari sahaja setahun. Memang kesian ayam telur ini bertelur selalu dan rasanya ia bertelur pun tidak rasa sakit seperti haiwan lain mengeluarkan bakanya. Macam kita kencing atau berak sahaja agaknya untuk ayam ini mengeluarkan telurnya. Kajian dibeberapa ladang ayam telur penulis blog mendapati, pekerja yang mengumpul telur ini pun tidak boleh berehat atau cuti panjang kalau tidak dijadualkan. Agaknya masa bila palng aktif ayam telur ini mengeluarkan telurnya?. Ayam Telur selalunya hanya bertelur secara aktif mulai daripada minggu ke 22 hingga minggu ke 74. Selepas itu pengeluaran mulai menurun kerana ia sudah penat dan umurnya sudah tua atau kita mudah katakan sebagai ayam sudah masuk umur 'pencen' daripada bertelur. Kalau dikira masuk skim pencen selama 518 hari atau 1.5 tahun selepas diternak oleh ayam telur. Cuba anda kira seekor ayam telur menghasilkan berapa biji telur seumur hidupnya.... hampir 1,000 biji. Ini merupakan fakta benar yang saya ambil daripada info JPV dan rakan-rakan yang lain yang menternak ayam telur.

Ayam tersebut akan di takai (disembelih) dan dijual sebagai ayam tua atau istilah popular 'ayam pencen' dengan harga pasaran sekitar RM7.00 – RM8.00 seekor (setelah diproses) bergantung kepada lokasi, umur ayam dan pembekalan. Bagaimana pun harga ayam pencen telah naik kepada RM9.00 - RM10.00 seekor selepas kenaikan harga minyak petrol pada bulan September 2013. Ayam tua ini akan dikeluarkan daripada sangkarnya dan dimasukkan kedalam kotak kawat besar untuk diedarkan kepada pemborong dan pemproses ayam daging. Ayam tua akan disembelih dan dibuang bulunya sebelum dibakar kulitnya (kerana banyak bulu-bulu jarum yang agak sukar dicabut dengan tangan - maklumlah ayam tua!). Lazimnya pengusaha akan celup ayam pencen dalam larutan air mengendungi kunyit untuk menjadikan ia kekuningan. Ia akan disusun diatas tempat jualan dan dimasukkan kedalam peti ais jika untuk dihantar kelokasi jauh atau tidak laku. Banyak masakan menggunakan ayam pencen yang sangat sesuai iaitu masakan rendang ayam, masakkan ungkep dan juga ayam masak merah. Ayam pencen ini amat popular semasa hari perayaan Hari Raya Puasa atau Hari Raya Haji untuk dijadikan rendang ayam yang enak. Diharap artikel ayam pencen ini dapat menambahkan ilmu pengetahuan kepada semua pembaca blog anim agro technology semua. Wasallam!..
Ayam pencen dah jadi Ayam Ungkep - ENAKNYA!
AYAM PENCEN... AYAM TUA...
AYAM TELUR... ITU ASALNYA...
LEPAS 74 MINGGU... BERSARA...
DDAGING KENTAL...RENDANG LE...

By,
M Anem,
Senior Agrnomist,
Pasar Borong Selangor,
Bandar Puchong Perdana,
Serdang, Selangor,
Malaysia.
(12 Dzulhijjah 1434H)
Kemaskini pada 13 Jun 2017

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...