KLIK SAYA SOKONG BLOG

Friday, June 9, 2017

PADI - TEKNOLOGI PERTANIAN TEPAT

TEKNOLOGI PERTANIAN TEPAT atau dalam bahasa Inggeris disebut sebagai 'Precision Farming' merupakan satu istilah yang semakin kedengaran dalam teknologi pertanian. Pada penulis blog, teknologi pertanian tepat ini sebenarnya berkait rapat dengan amalan agronomi tanaman yang disesuaikan dengan keperluan tanaman yang mana ia dilengkapi dengan pelbagai maklumat lengkap. Selain itu penggunaan jentera dan teknologi dalam industri padi banyak membantu meningkatkan kualiti dan hasil padi dimana ianya adalah sebahagian daripada komponen yang ada didalam teknologi pertanian tepat. Padi atau nama saintifiknya sebagai Oryza sativa juga merupakan makanan ruji bagi kebanyakkan rakyat di Malaysia dan negara-negara Asia yang lain. Kini dianggarkan seorang dewasa di Malaysia memerlukan hampir 77 kilogram (kg) beras setiap tahun menjadikan makanan asas tersebut amat penting kepada negara. Terdapat seluas 660,000 hektar kawasan padi yang dimajukan diseluruh negara dengan tumpuan diberikan kepada 8 kawasan jelapang padi utama negara dibawah kelolaan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Kawasan jelapang padi ini diselia oleh agensi seperti MADA (Kedah), KADA (Kelantan), IADA KETARA (Terengganu), IADA Krian-Sg Manik (Perak), IADA Seberang Perak (Perak), IADA Barat Laut Selangor (Selangor), IADA Kemasin-Semerak (Kelantan), IADA Pekan (Pahang), IADA Rompin (Pahang) dan beberapa IADA di Sabah dan Sarawak. Umumnya ujud beberapa jelapang padi di negara ini juga tidak kurang luasnya dan di samping penggunaan baka dan varieti padi yang berkualiti tinggi setanding dengan negara-negara luar. Ada yang beberapa perkara iaitu pernah dibangkitkan seperti isu dimana apabila kualiti beras yang dihasilkan masih tidak dapat menandingi beras import dari luar negara maka ia dikaitkan dengan teknologi. Artikel malam Khamis ini sementara berehat selepas Terawih saya menulis dalam "Anim Agro Technology" berkaitan dengan perkara 'Pertanian Tepat' terutama terhadap tanaman padi untuk dijadikan bahan bacaan atau bahan rujukkan semua.

Teknologi penanaman padi di Malaysia telah jauh berubah semenjak sebelum merdeka sehingga ke hari ini. Kalau dulu penanaman padi hanya sekali setahun dengan hasil kurang dari 1.0 mt sehektar tetapi kini pesawah moden mampu menanam 5 kali dalam masa 2 tahun dengan menghasilkan padi 10 mt sehektar. Teknologi penanaman mencedung kini telah bertukar kepada sistem tanaman tabur terus yang lebih cekap dan meninjimatkan kos (Sila lihat foto disebelah untuk sistem mencedung). Selain itu banyak input baja tambahan diberikan seperti baja organik dan baja foliar diguna didalan usaha meningkatkan hasil padi negara. Kawalan serangga perosak dan penyakit juga dijalankan secara Amalan Perosak Bersepadu (IPM) untuk mempastikan bahawa hasil tanaman adalah berkualiti dan selamat dimakan. Dalam pada itu memang ada alasan yang kukuh kenapa teknologi perlu memainkan peranan membantu memainkan peranan penting dalam usaha memperkasa industri padi dan beras tempatan. Senario semasa dalam negara menunjukkan tahap sara diri (SSL) keperluan beras negara masih kekal sebanyak 70 peratus manakala baki selebihnya adalah beras yang perlu diimport daripada beberapa negara jiran seperti Thailand, Vietnam dan Myanmar dan sebagainya. Sehingga kini kerajaan telah menyasarkan kadar SSL meningkat sehingga 100 peratus menjelang 2020 apabila mendapati bekalan beras negara hanya mampu bertahan selama tiga bulan semasa krisis makanan pada tahun 2008. Akibat krisis tersebut beberapa buah negara utama pengeksport beras ke negara kita telah mengubah dasar untuk kedaulatan makanan negara mereka. Harga bijirin dunia telah meningkat selepas krisis makanan dan krisis minyak apabila kos pengeluaran telah meningkat dan kadar permintaan dunia juga meningkat akibat dari bertambahnya penduduk dunia.



Didalam menentukan kadar kecukupan beras dalam negara ini berterusan, perlu ada satu kaedah untuk mempastikaan bekalan beras mencukupi untuk setiap rakyat yang ada di Malaysia. Bagaimana pun sebenarnya cara untuk sasaran tersebut dapat dicapai sekiranya industri padi masih berada pada takuk lama?. Malah industri tersebut juga pernah atau sering dikaitkan dengan kadar kemiskinan selain daripada kepada golongan nelayan dan juga penanam kelapa. Penulis merujuk kepada beberapa kajian yang telah pun dijalankan pihak tertentu dimana sekitar tahun 2010 mendapati kadar pendapatan pesawah di negara ini masih kekal pada kadar RM1,300 sebulan dimana ini menunjukkan hasil pertanian tersebut diperolehi pesawah adalah tidak seberapa. Jelaslah satu daripada pendekatan yang tidak boleh diketepikan ialah bagaimana teknologi pertanian ini dapat memainkan peranan membantu memberi nilai tambah terhadap industri padi dalam setiap rantaian bekalan. Dalam pada itu terbaharu dimana Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Fakulti Kejuruteraannya memperkenalkan dua lagi teknologi yang boleh dimanfaatkan oleh industri dan juga penanam serta pengusaha tanaman tersebut. Teknologi tersebut ialah mengesan kematangan padi dan satu lagi berkaitan pemetaan tanah bagi menentukan tahap kesuburan tanah atau SoilPro. Menurut Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Biologi dan Pertanian Fakulti Kejuruteraan, UPM Professor Dr. Wan Ishak Wan Ismail, kualiti beras yang dihasilkan bergantung kepada masa padi dituai. Jelasnya cara penuaian padi pada masa yang tepat lazimnya dapat menghasilkan kualiti dan hasil beras yang terbaik. Namun bagaimanakah kita dapat menentukan dengan tepat tahap kematangan padi yang akan dituai?..Hanya mereka yang memahami akan ketepatan padi masak akan menyeseuaikan dengan masa untuk menuai padi dengan jentuai yang datang tepat pada masanya.



Pada penulis blog mendapati dimana rata-rata petani masa kini merupakan generasi baharu yang lazimnya kurang berpengalaman berbanding generasi petani dahulu. Pada masa ini menurut kajian UPM, petani generasi hari ini banyak bergantung kepada kemudahan teknologi, jentera serta maklumat yang disediakan melalui teori yang kadang kala tidak tepat terutamanya apabila keadaan cuaca yang tidak menentu. Pergantungan kepada teknologi terkini tidak salah malahan itu adalah fenomena di seluruh dunia yang tidak dapat kita elakkan. Oleh itu adaalah perlu berevolusi seiring dengan perkembangan tersebut dengan kaedah sesuai menghasilkan alatan mahupun teknologi yang dapat menangani permasalahan yang dihadapi. Dalam kes ternbaru, Dr. Wan Ishak bersama pelajar sarjananya, Choe Lip Haw berjaya menghasilkan teknologi mengenal pasti masa tuaian padi dengan kaedah pemprosesan imej. Jelas Dr. Wan Ishak, teknologi tersebut menggunakan konsep menjangka masa tuaian yang sesuai menerusi gambar padi yang dirakam pada setiap peringkat usia. Setiap warna itu mempunyai nilai yang tersendiri dimana dengan menentukan warna kematangan padi dan daunnya maka satu ramalan masa penuaian yang tepat dapat diperolehi. Kajian ini telah dilakukan bagi membantu petani untuk menentukan masa tuaian yang tepat seterusnya meningkatkan produktiviti. Beras yang berkualiti dinilai berdasarkan peratusan 'head rice' yang tinggi dan yang sempurna dimana ia hanya boleh didapati daripada padi yang benar-benar matang. Isi padi (beras) yang tidak matang adalah seperti kapur, rapuh dan mudah hancur apabila menjalani proses kisaran di kilang. Padi yang terlalu matang atau terlebih masak juga boleh menyebabkan penurunan kualiti beras, mudah rapuh, dan berisiko tinggi dimakan oleh serangga dan burung. Oleh yang demikian penentuan masa yang benar-benar sesuai amat penting dan kritikal, malah perbezaan satu hari tuaian akan menyebabkan hasil yang diperoleh juga berbeza. Kaedah yang sering digunakan oleh petani sebelum ini adalah dengan mencatat tarikh benih disemai dan mengira secara manual masa yang sesuai untuk proses tuaian.

Apabila hampir kepada masa menuai, petani akan meninjau keadaan padi dan memerhatikan perubahan tumbuhan tersebut daripada hijau kepada kuning keemasan secara manual. Walaupun demikian sebenarnya tidak semua petani mampu menentukan kadar kematangan padi dengan tepat dan ia bergantung kepada pengalaman petani tersebut. Dari hasil kajian yang di lakukan berdasarkan pemahaman terhadap maklumat morfologi padi yang sedia ada seperti kadar waktu perubahan warna padi dan kekerasan benih apabila menjelang masa tumbuhan tersebut matang. Untuk menentukan masa tuaian dengan lebih tepat, berat serta kekerasan beras perlu dikaji terlebih dahulu untuk tujuan mengelakkan masalah beras rapuh. Setelah waktu beras mencapai berat dan kekerasan maksimum diperoleh, maklumat tersebut akan dikaitkan pula kepada jangka masa selepas semaian. Menerusi maklumat dan data keadaan padi dan beras sebelum dan selepas tahap kematangan maksimum maka kadar waktu penuaian yang tepat dapat ditentukan. Menurut hasil kajian Dr. Wan Ishak, mereka menggunakan format imej RGB (RED - merah, GREEN -hijau, BLUE - biru) kerana format tersebut dapat menentukan kadar warna dengan lebih tepat. Kamera DSLR digunakan untuk merakam imej padi serta daunnya setiap hari dan diproses menggunakan komputer untuk mendapatkan nilai-nilai warnanya, manakala mesin penimbang untuk pesawah mengetahui perubatan berat dan mesin tekanan untuk mengetahui kadar kekerasan beras. Kini menerusi kaedah tersebut didakwa dapat mengetahui berat padi meningkat menjelang tempoh kematangan namun akan menyusut selepas tempoh tersebut, manakala kekerasan benih akan meningkat secara mendadak dalam tempoh yang sama. Apa pun mereka yang pakar dalam bidang ini sahaja dapat membantu melakukannya.


Dianggarkan berat padi akan terus menyusut sebanyak 1.5 peratus hanya selepas dua hari tempoh kematangannya jika tidak dituai dan faktor tersebut berkait rapat dengan kadar harga yang akan ditentukan. Walau bagaimanapun, kematangan benih padi adalah tidak sekata bagi setiap tangkai iaitu, benih di hujung akan masak terlebih dahulu berbanding benih di sekitar pangkal tangkai. Perbezaan antara tahap kematangan di antara hujung dan pangkal memakan masa lapan hari, oleh itu teknik penentuan masa penuaian yang sesuai menerusi teknologi imej amat perlu bagi menentukan hasil yang maksimum. Dakwa Dr. Wan Ishak lagi, teknologi tersebut masih di peringkat prototaip dan akan dimuatkan menerusi aplikasi yang boleh dimuat turun ke dalam telefon pintar. Beliau kini yakin dimana petani generasi masa kini boleh menggunakan teknologi tersebut dengan baik kerana setiap dari mereka pasti memiliki telefon pintar (smartphone) yang boleh mengambil gambar dan memuat turun aplikasi ini. Pada beliau teknologi itu juga diharapkan dapat untuk mengatasi asas kepada masalah penentuan masa penuaian yang sesuai terutamanya bagi mereka golongan muda yang kurang berpengalaman sekali gus dapat mengurangkan kerugian yang sering dialami akibat penuaian yang tidak tepat. Belum ramai dikalangan petani terutama dikawasan jelapang padi utama mengetahui akan kepentingan gunakan teknokogi pertanian tepat. Semuga tulisan ini memberi info berguna kepada semua. Wasallam!!...
PERTANIAN TEPAT... ISTILAH BERGUNA....
TANAMAN PADI... TELAH DILAKUKANNYA...
TEKNOLOGI BAIK... HASIL BANYAKNYA...
MEMBACA ARTIKEL... LEGA RASANYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
TOSHIBA Distributor,
The Mines, Sg Besi,
kuala Lumpur, WP,
Malaysia.
(20 Ramadan 1438H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...