Support My Blog

Thursday, January 12, 2017

STIMBOT - MAKANAN ENAK

STIMBOT (Steamboat) ialah masakan khas yang merupakan jenis makanan yand dipercayai berasal dari Mongolia tetapi kini ia telah popular diseluruh dunia. Di Malaysia makanan ini dihidangkan bersama untuk dimakan bersama-sama ahli keluarga, rakan taulan dan sama ada disediakan sendiri dirumah atau dihidangkan direstoran steambot khusus. Dikawasan sejuk seperti di Cameroon Highland, makanan stimbot merupakan hidangan yang sangat popular untuk dihidangkan untuk pelancong. Makanan stimbot terdiri daripada periuk air rebusan panas yang diletakkan di tengah meja makan. Semasa periuk dikekalkan mereneh, beberapa bahan-bahan makanan dimasukkan ke dalam periuk dan dimasak di atas meja. Hidangan stimbot yang tipikal termasuk hirisan daging, sayur daun, cendawan, wonton, ladu telur, dan makanan laut. Makanan yang dimasak biasanya dimakan dengan sos. Di banyak kawasan, hidangan stimbot sering dimakan pada musim sejuk. Dalam rujukkan yang saya buat dilamanweb, nama makanan ini juga dipanggil sebagai Huo Guo, pinyin: huǒguō yang bermakna merupakan nama Cina bagi "periuk panas" iaitu huǒ bermaksud "api", manakala guō bermaksud "periuk". Artikel kali ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai sejenis makanan yang saya suka makan iaitu stimbot untuk dijadikan bahan bacaan.

Cara masakan stimboat yang berasal dari Mongolia dan China ini dipelopori oleh orang-orang nomad Mongolia dimana mereka masak daging dan sayur di dalam periuk yang diletakkan di atas unggun api (Sila lihat foto disebelah). Teknik menghiris daging dibuat dengan nipis supaya dapat memasak tanpa menggunakan bahan api yang banyak. Mereka menggunakan daging lembu dan daging kambing serta menambah makanan laut sebagai tambahan. Kalau dahulu mereka masak menggunakan bahan bakar batu arang secara tradisional tetapi kini ia digantikan dengan bahan periuk elektrik atau gas. Cara untuk memasak stimboat banyak berubah mengikut lokasi dan kreativiti dimana bahan-bahan makanan yang telah digunakan amat berbeza. Campuran bahan yang digunakan dan sos khas menentukan keenakan dan keunikan stimbot. Dalam menyediakan masakan stimbot dirumah, saya sering menggunakan bahan stimbot terdiri daripada daging ayam, daging lembu, fish cake, bebola ikan, bebola ketam, tauhu, pelbagai jenis sayuran hijau, kobis, udang, sotong dan sebagainya. Lazimnya daging ayam atau lembu di hiris dengan amat nipis. Menghiris daging sejuk beku dengan cara ini akan menyebabkannya menggulung dan sering dihidangkan dengan bentuk sebegini. Periuk masak eletrik sering diletakkan diatas meja dan dipanaskan dengan gas propana atau eletrik. Air yang dimasukkan kedalam periuk khas dicampur dengan garam, serbuk sup atau tomyam serta ramuan lain yang sesuai seperti halia. Daging dan sayur dimasukkan ke dalam periuk secara berasingan dengan penyepit dimana masa masaknya adalah singkat sahaja. Daging seringnya hanya memerlukan masa 15 hingga 30 saat untuk masak. Semua bahan tersebut dimasukkan kedalam mangkuk kecil sebelum dicelup dengan sos khas untuk dimakan sewaktu suam panas.


LAPORAN AKHBAR 1:
Stimbot panggang asam pedas
TERINGIN menjamah stimbot dan panggang dengan kuah asam pedas bersama nasi sewaktu makan tengahari? Cubalah ke restoran Nakhoda Malaya di Neo Cyberjaya untuk menukar selera sekali-sekala. Kuah asam pedas yang berasap ditambah dengan jejari ikan goreng, bebola ikan, fucuk, dim sum, jejari ketam, gulungan ketam, cendawan, kailan, kangkung yang direndam sungguh membuka selera. Di tepi dulang kuah, letakkan marjerin dan panggang udang, isi kerang, sotong, ayam, lembu dan hati ayam. Hmmm... aromanya memang membuka selera. Nasi yang dicurah dengan kuah asam pedas yang cukup segala perisa sudah pasti membuatkan anda terliur sebelum mula menyuap. "Inilah kelainan yang kami tonjolkan menerusi hidangan nasi serta stimbot dengan kuah asam pedas," kata pemilik restoran Nakhoda Malaya, Amru Najmi Osman. Menurut Amru, bagi mendapatkan rasa yang memikat pelanggan, beliau mendapatkan terus pes asam pedas dari Sungai Petani, Kedah. "Secara kebetulan rakan kongsi Amal Faiz Baharudin berasal dari sana. "Mula-mula memang sukar untuk membancuh pes bagi mendapatkan rasa yang dikehendaki tetapi lama kelamaan masalah dapat diatasi," katanya. Di sini pelanggan boleh memilih tiga jenis kuah stimbot iaitu tomyam, sup ayam dan asam pedas. "Buat masa ini kuah asam pedas dan tomyam mendapat permintaan yang amat menggalakkan," kata Amru. Bagi memudahkan pelanggan membuat pilihan yang memang menjimatkan, Nakhoda Malaya menyediakan set kelasi (untuk seorang), set nakhoda (untuk dua hingga tiga orang, set malaya, makanan laut kelasi, makanan laut nakhoda dan makanan laut malaya. Dengan harga bermula RM9.90, pelanggan boleh mendapat set stimbot dengan nasi atau pilihan mihun, yee mee atau kuetiau. Restoran yang memuatkan sehingga 50 pelanggan pada satu-satu masa menerima tempahan bagi pelbagai jamuan. Bagi minum petang, pelanggan yang menikmati stimbot boleh memesan Karipap Lori yang bersaiz XXL di rangkaian kedainya di seberang jalan.


LAPORAN AKHBAR 2:
Peluang berniaga francais stimbot halal

KUALA LUMPUR 30 Jan. - Stimbot atau yong taufu sememangnya sinonim sebagai makanan kaum Cina. Namun, makanan yang diproses berasaskan makanan laut itu kini digemari orang Melayu dan ia lebih enak sekiranya dimakan di tepi-tepi jalan. Justeru kewujudan gerai-gerai menjual stimbot di tepi-tepi jalan di kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai kini menarik perhatian ramai. Bagaimanapun, masih ramai masyarakat Islam yang khuatir akan status halal stimbot kerana bahan mentahnya kebanyakannya dikeluarkan syarikat bukan Islam. Menyedari perkara itu, Mohd. Fairos Zaidi Mat Zin, 33, bersama isterinya, Wan Rohani Wan Ibrahim,31, mengambil inisiatif memulakan perniagaan stimbot halal. Pengusaha dari Kelantan itu berniaga stimbot menggunakan lori kecil yang diletakkan di kawasan sekitar Uptown di Danau Kota. Mereka hanya memilih produk bahan mentah keluaran Hikmah Food Specialities Sdn. Bhd. (Hikmah Food) di bawah pemilik Syed Abdullah Syed Hassani untuk menyediakan stimbot yang dijualnya. ''Semua bahan mentah saya ambil daripada syarikat yang terbukti halal kerana ia dimiliki pengusaha bumiputera. ''Oleh itu, pelanggan yang menggemari makanan ini tidak perlu risau dan ragu dengan stimbot kami,'' katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini. Menurut Mohd. Fairos, di bawah jenama 'Fzaidy Steamboat', dia memulakan perniagaan itu sejak Ogos tahun lalu dan kini mahu menggalakkan lebih ramai peniaga menggunakan bahan mentah keluaran syarikat Hikmah Food itu. Katanya, hanya RM300 diperlukan sebagai modal untuk membuka gerai makanan itu selain kos sampingan mengubah suai lori untuk menjual stimbot. ''Apa salahnya mengeluarkan sedikit wang demi mengembangkan produk halal di negara ini,'' katanya yang mempunyai seorang pembantu, Mohd. Faissran Mat Rasid, 22. Sementara itu, Wan Rohani berkata, perniagaan itu ternyata memberi pulangan lumayan apabila hampir 500 pelanggan 'singgah' setiap hari di gerainya yang dibuka mulai 9 malam hingga 3 pagi. ''Sebanyak 50 hingga 60 jenis stimbot dijual seperti fucuk, wantan, bebola ikan dan kek ikan dengan harga RM1 setiap cucuk. ''Pelanggan pula boleh memilih aneka jenis kuah termasuk sup, tomyam dan kuah kacang istimewa daripada resipi saya sendiri,'' katanya yang mempunyai dua orang anak lelaki. Sementara itu, seorang pelanggan yang ditemui, Syed Mohd. Hafis Syed Abdullah, 20, menyambut baik stimbot halal yang diusahakan pasangan itu sebagai memenuhi permintaan orang Islam. ''Tidak ramai orang Melayu yang menjalankan perniagaan ini kerana ia biasanya dipelopori kaum Cina. Kita harap lebih ramai mengambil peluang ini kerana stimbot digemari semua orang,'' katanya. Mereka yang berminat untuk menjalankan perniagaan itu atau membuat tempahan, boleh menghubungi Mohd. Fairos Zaidi di talian 012-6961949.


LAPORAN AKHBAR 3:

Aneka rasa stimbot
LAZIMNYA jika ingin menikmati pelbagai jenis makanan laut segar, destinasi yang dituju tentunya restoran atau gerai yang terletak berdekatan pantai. Bagi warga Lembah Klang, mereka tidak perlu pergi jauh kerana terdapat restoran-restoran yang menawarkan hidangan makanan laut yang disaji dengan pelbagai cara. Itulah keunikan dan ciri-ciri keistimewaan yang ditawarkan di Brader Kafe Steamboat ; BBQ. Anda bukan sahaja boleh menikmati keenakan sup ayam dan tomyam yang ditawarkan untuk hidangan stimbot malah pelbagai jenis makanan laut secara barbeku. Terletak di Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, Selangor, stimbot restoran ini menawarkan pelbagai jenis bebola makanan laut termasuk ikan, ketam dan udang di samping sayur-sayuran. Restoran ini diusahakan tiga sahabat baik, Mohd. Nizam, Mohd. Iszham Torman dan Mohd Harayyanto Johari. "Saya sebenarnya lebih dikenali dengan panggilan brader Joe. Daripada situ, lahirlah ilham menamakan restoran ini dengan Brader Kafe," ujar Mohd. Nizam. Menurutnya lagi, hidangan stimbot yang disediakan di restoran ini istimewa kerana turut menawarkan masakan secara barbeku dalam satu periuk yang sama. Tambah istimewa, sos-sosnya dihasilkan sendiri. Untuk merasai lebih keenakan ketika menikmati stimbot ataupun barbeku, lima sos disediakan termasuk sos hijau dan merah Thai, sos cili dan sos cili padi. "Di sini kami menawarkan pelbagai jenis makanan laut yang segar setiap hari. Harganya berpatutan iaitu RM 24.90 untuk seorang makan. "Kami akan sentiasa memastikan setiap bahan yang disajikan kepada pelanggan adalah segar dan sos-sos yang disediakan juga adalah hasil air tangan kami sendiri. "Untuk stimbot, kami menawarkan pilihan sup ayam atau tomyam," ujarnya ketika ditemui di premis perniagaannya baru-baru ini.


Berbeza dengan restoran-restoran yang sedia ada, restoran ini ini menawarkan kambing barbeku setiap hari selain hidangan sampingan seperti nasi goreng, buah-buahan dan manisan mulut. Restoran ini juga berjaya untuk mengetengahkan konsep satu meja satu dapur yang memberi peluang kepada mereka merebus dan memanggang sendiri mengikut selera masing-masing. Untuk memberikan keselesaan kepada para pengunjung, restoran ini turut menyediakan ruang solat untuk pelanggan. Brader Kafe Steamboat & BBQ juga sesuai untuk pelbagai majlis seperti makan malam, sambutan hari lahir atau ulang tahun perkahwinan. Restoran ini beroperasi dari pukul 6 petang hingga 12 tengah malam dan dibuka setiap hari. Bagi mereka yang ingin membuat tempahan bolehlah menghubungi talian 013-9121219 (Mohd. Nizam). Semuga tulisan ini memberi info untuk bacaan anda. Wasallam!!.
NAMA STIMBOT... ENAK RASANYA....
DIDALAM PERIOK... DIPANASKANNYA...
PELBAGAI BAHAN... DICELUR SEMUA...
DICELUP SOS... DIMAKAN BERSAMA...
MAKAN DIRESTORAN...RM20 SEKEPALA...
BUAT DIRUMAH.. LEBIH BERMAKNA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist
Room 207, Hotel De Spring,
Jalan Hj Abdul Rahman,
Kuantan, Pahang,
Malaysia.
(16 Zulkaedah 1434H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...