KLIK SAYA SOKONG BLOG

Wednesday, January 25, 2017

PENYAKIT TANAMAN NENAS

NANAS (Ananas comosus) adalah tanaman industri yang penting di Malaysia dImana Malaysia ada tersenarai dalam 11 buah negara pengeksport nanas segar utama dunia. Ini berkait dengan tanaman nenas terutama varieti baru MD2 yang mendapat pasaran domestik dan eksport semenjak ia diperkenalkan slepas beberapa varieti nenas lain seperti Nenas Morris, Nenas Gandul, Nenas N36, Nenas Josapine, Nenas Maspine, nenas Morris Gajah dan Nenas Yankee. Anda boleh membaca banyak tulisan saya mengenai varieti nenas dengan membacanya (Sila klik disini), (Sila klik disini) dan beberapa lagi. Namun bukan mudah untuk mendapatkan buah nenas berkualiti kerana akan sering berlaku serangan beberapa penyakit ke atas tanaman itu. Pemerhatian penulis blog dibanyak lokasi penanaman nenas mendapati serangan penyakit adalah di antara faktor yang mengekang akan perkembangan industri nanas di negara ini. Kini serangan beberapa penyakit nenas adalah antara faktor yang mengekang perkembangan industri nanas di negara ini.
Kawasan tradisi utama tanaman nenas adalah di Negeri Johor terutama dikawasan tanah gambut. Walau bagaimana pun industri tanaman nenas negara kini telah berkembang ke Selangor, Pahang, Perak, Kedah dan Sarawak dengan pesat terutama untuk beberapa varieti baru nenas. Kita di Malaysia beruntung kerana negara kita merupakan salah satu negara menanam nenas dengan keluasan sebanyak 16,850 hektar pada tahun 2015 yang menghasilkan sebanyak 416,100 metrik tan (Sumber: Laporan statistik tanaman, Jabatan Pertanian Malaysia). Kawasan penanaman nenas terbaru dengan luas kini terdapat di Rompin, Pahang dibawah projek RIPI kerjasama ECERDC, LPNM dan Jabatan Pertanian dengan keluasan lebih 1,200 hektar disatu kawasan luas berbanding dengan penanaman selebihnya oleh pekebun kecil sahaja. Buah nenas telah diperdagangkan dipasaran dunia dalam 3 jenis yang utama iaitu dalam bentuk SEGAR, KALENG (Dalam tin) dan JUS. Malaysia merupakan salah satu negara didunia yang mengekspot nenas dalam ketiga-tiga bentuk tersebut dan menduduki tangga ke 9 dalam kedudukan pengekspot nenas didunia. Laporan mendapati Singapura merupakan destinasi utama pasaran nenas segar Malaysia diikuti dengan negara-negara Timur Tengah dan beberapa negara lain. Artikel kali ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" maklumat beberapa pebyakit utama tanaman nenas yang dilaporkan oleh akhbar tempatan dan ditulis semula oleh penulis blog sekadar untuk dijadikan bahan rujukkan anda.

Dalam beberapa tinjauan didapati diantara penyakit utama tanaman nanas di Malaysia adalah seperti Penyakit Reput Teras Bakteria (bacterial heart rot) dan Buah Hantu (fruit collapse) yang disebabkan oleh sejenis bakteria penyebab yang dikenali dengan Erwinia chrysanthemi (ia adalah sinonim dengan Dickeya spp.). Bagi jenis penyakit reput teras pula jenis kulat yang menjadi punca serangan adalah patogen Phytophthora (Phytophthora heart rot) yang disebabkan oleh jenis kulat iaitu Phytophthora spp. yang mudah menyerang tanaman nenas. Penyakit reput teras bakteria dan penyakit buah hantu boleh menjangkiti pada semua peringkat pertumbuhan nanas daripada anak semaian, vegetatif hingga peringkat buah. Namun selalunya penulis dapati dimana pokok nenas yang berumur empat hingga lapan bulan adalah lebih rentan (susceptible) kepada jangkitan bakteria ini. Penyakit nenas ada yang agaj sukar dikesan kerana simptom jangkitan penyakit reput teras kulat Phytophthora menyebabkan reput basah dengan sempadan nyata antara tisu rosak dan sihat pada bahagian pangkal daun nanas. Jangkitan bakteria ini pada tanaman nanas di ladang sukar dikesan dengan mata kasar kerana ia tidak menunjukkan simptom jangkitan serangan sehingga perumah itu menjadi lemah ataupun apabila buah nanas telah masak.

Daripada beberapa temubual dengan penanam nenas penulis dapati antara beberapa faktor yang menggalakkan penyebaran penyakit reput teras bakteria tersebar adalah melalui angin, air hujan dan serangga perosak seperti semut serta kumbang (Sila lihat foto disebelah). Selain daripada itu, bakteria ini juga boleh hidup pada rumpai dan sisa tanaman yang dibiarkan serta tidak dibersihkan di ladang nanas. Pada penelitian yang dijalankan lazimnya penyakit reput teras kulat akan menyerang semua peringkat umur tanaman nanas. Pokok nanas berumur tiga hingga empat bulan lebih rentan kepada jangkitan penyakit kulat ini. Serangan kulat ini akan bermula daripada akar dan seterusnya merebak ke batang serta daun. Jangkitan kulat patogen lebih mudah berlaku di ladang yang mempunyai saliran kurang baik dan pada suhu persekitaran yang rendah. Kulat boleh disebarkan melalui air, peralatan pertanian dan masuk ke dalam pokok serta akan menjangkiti tisu melalui luka dan bukaan melalui liang stoma. Sebenarnya terdapat juga penyakit-penyakit lain yang boleh menyerang tanaman nanas terutamanya pada peringkat buah seperti fruitlet core rot, interfruitlet corking leathery pocket yang disebabkan oleh kulat Penicillium funiculosum.

Seterusnya pada tanaman nenas mungkin berlaku serangan Ppenyakit Butt rot, Black rot, White leaf spot dan Thielaviopsis soft rot yang disebabkan oleh kulat Thielaviopsis paradoxa serta penyakit Culvularia fruit rot oleh kulat Curvularia eragrostidisPengurusan penyakit dan perosak tanaman nanas yang efisien adalah melalui pendekatan pengurusan perosak bersepadu (PPB) yang menitikberatkan amalan pertanian serta pengurusan ladang baik yang perlu dilaksanakan daripada peringkat sebelum dan awal penanaman sehinggalah ke peringkat pasca tuai. Pengurusan perosak bersepadu bagi tanaman nenas jika dilakukan memberi penekanan kepada gabungan semua teknik kawalan bersesuaian yang mesra alam dengan mengambil kira faktor ekologi, biologi dan amalan agronomi iaitu sains pertanian yang berkaitan dengan pengelolaan tanah untuk menghasilkan tanaman. Amalan agronomi sebelum penanaman nenas dengan mempastikan pemilihan kawasan penanaman yang sesuai seperti saliran yang baik dan kawasan yang tidak terlalu lembap. Kejadian penyakit reput teras bakteria lebih tinggi di kawasan tanah mineral berbanding tanah gambut. Sebaiknya disyorkan penggunaan sulur atau benih tanaman yang bebas daripada penyakit. Oleh itu semasa penanaman pastikan dijalankan sanitasi ladang dan amalan pertanian baik. Pokok nenas yang telah dijangkiti mesti dibuang dan dimusnahkan segera untuk mengelakkan jangkitan merebak ke pokok yang sihat. Penggunaan peralatan ladang perlu dibasmi kuman menggunakan larutan disinfektan seperti clorox untuk mencegah jangkitan dan sebaran penyakit melalui kecederaan fizikal (luka). Mengenai sistem penanaman pula sebaiknya diilakukan kaedah tanaman giliran dimana amalan ini adalah alternatif yang baik untuk memastikan sumber inokulum patogen tumbuhan ini dapat dikurangkan di ladang. Seterusnya lalukan pemantauan kerap kejadian penyakit , Ia perlu dijalankan dengan kerap secara berkala untuk mengesan penyakit pada peringkat awal dan seterusnya tindakan pengurusan penyakit dapat diambil dengan cepat dan berkesan. Semuga tulisan subuh ini dalam blog anim agro memberi info berguna kepada pembaca semua. Wasallam!!!.

PENYAKIT NENAS... APA DIA...
PERLU DILIHAT... DAN PERIKSA...
BUAT RAWATAN...KALAU JUMPA...
NENAS BERKUALITI...GEMBIRA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Projek Nenas Sg Miang,
Pekan, Pahang,
Malaysia.
(29 RabiulAkhir 1438H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...