KLIK SAYA SOKONG BLOG

Wednesday, January 18, 2017

NILAI UBI KELEDEK - APA DIA?

UBI KELEDEK (Impomea batatas) dianggap sebagai salah satu makanan ruji utama selain daripada gandum, beras, jagung, barli, ubi kentang dan ubi kayu dibeberapa negara didunia ini. Bagaimana pun penulis blog mendapati di Malaysia, tanaman ubi keledek ditanam secara kecil-kecilan sebagai tanaman sampingan untuk jualan pasaran segar. Kini pengeluaran ubi keledek dalam skala kecil biasanya dihasilkan dikawasan luar bandar oleh petani atau usahawan pertanian yang berskala sederhana kerana tanaman ini hanya memerlukan input pertanian yang rendah. Selain itu, tanaman ini juga mudah hidup walaupun dalam keadaan tanah yang rendah kesuburannya, rumpai yang tumbuh meliar dengan cepat dan mudah terdedah kepada relatif perosak, toleran kemarau dan juga lebihan toleran berbanding tanaman sayur-sayuran konvensional yang lain. Penulis dapati ubi keledek boleh didapati dalam pelbagai warna seperti kuning, oren dan ungu dan mempunyai khasiat. Anda boleh membaca mengenai beberapa varieti keledek dalam tulisan saya sebelum ini (Sila klik disini). Jenis ubi keledek berisi oren didapati mengandungi bahan baik untuk kesihatan iaitu Beta-kerotin, manakala jenis keledek yang ada isi ungu pula amat kaya dengan bahan antioksida dan antosianin yang dapat melindungi kerosakan DNA, membantu mengurangkan perkembangan sel kanser, menstabilkan penyakit kencing manis serta meningkatkan daya ingatan. Sebenarnya ubi keledek yang dihasilkan adalah mengikut kesesuaian penggunaannya dalam industri makanan. Misalnya varieti Gendut didapati sesuai untuk makanan ringan sama ada rebus atau digoreng, manakala pucuknya dijadikan sebagai sayuran. Varieti Telong dan Jalomas pula didapati sesuai untuk dijadikan tepung, manakala varieti Vitato pula digunakan dalam pelbagai produk makanan dan minuman kerana kelebihan varieti ini kaya dengan karetenoids. Bagi ubi keledek ungu atau dikenali sebagai Kedudut, ia biasanya digunakan untuk membuat kerepek sebagai makanan ringan dan dijadikan sebagai bahan asas dalam pembuatan kuih tradisional. Namun begitu lazimnya penulis blog mendapati dimana tahap penggunaan ubi keledek ungu dalam industri makanan adalah terhad kerana hasil yang diperoleh tidak memuaskan berbanding varieti ubi keledek lain. Rencana subuh ini dalam "Anim Agro Technology" saya menulis lagi mengenai nilai tanaman ubi keledek sebagai satu komoditi penting untuk djadikan bahan rujukkan.


Varieti keledek yang terdapat di Malaysia amat terhad kerana ia dikaelaskan bukan sejenis tanaman penting. Bagaimana pun ada aktiviti pembaikbakaan ubi keledek yang dijalankan di MARDI dan petak pemerhatian (LVT) yang selalunya dijalankan oleh Jabatan Pertanian. Kini bagi meningkatkan lagi jumlah hasil dan juga kualiti ubi keledek, MARDI telah menjalankan sistem pembaikbakaan menerusi kaedah konvensional. Ini kerana ubi keledek selalu ditanam secara vegetatif iaitu menggunakan bahagian keratan batang atau pucuk. Bagi ubi keledek kaedah kacukan (crossing) tidak dapat dipraktikkan kerana rumit dan mempunyai batasan. Ini kerana ujud apa yang dikatakan sebagai ubi keledek juga mempunyai sistem ketidakserasian sendiri yang sangat kuat sehingga mengehadkan penggunaan sumber genetik dan amat sukar untuk dibiakkan melalui kaedah kacukan. Saintis juga melakukan pembaikbakaan secara mutasi (Mutation technique) sebagai pendekatan utama dalam menambah baik varieti ubi keledek. Kini aktiviti pembaikbakaan ubi keledek menerusi kaedah mutasi merupakan julung kali dilaksanakan apabila MARDI bersama-sama Agensi Nuklear Malaysia (ANM) telah mengambil inisiatif melalui pendekatan itu untuk menghasilkan varieti ubi keledek yang tinggi hasil, kualiti pemakanan dan toleran pada serangan penyakit serta perosak.


Dalam kita membincangkan akan nilai kepentingan khasiat ubi keledek, penulis mendapati sebagai langkah pertama, ubi keledek berisi ungu telah ditambah baik melalui pemulihan genetik untuk tujuan meningkatkan impaknya sebagai makanan keselamatan serta sumbangannya kepada masyarakat bagi menangani masalah kekurangan nutrien, di samping meningkatkan taraf hidup. Kajian ini dilaksanakan di Pusat Kecemerlangan Ubi-ubian, MARDI Bachok, Kelantan. Menerusi kajian ini, beberapa genotip ubi keledek ungu yang terhasil melalui induksi mutasi menggunakan radiasi sinar gamma dinilai ciri-ciri morfologi dan pertumbuhannya (Sila lihat foto disebelah). Antara objektif utama kajian ini adalah untuk mengkaji pertumbuhan dan kepelbagaian daripada beberapa aksesi ubi keledek ungu yang terhasil daripada aruhan mutasi bagi mendapatkan ubi keledek yang tinggi hasil serta kandungan antosianin. Kajian tersebut masih pada peringkat permulaan dan memerlukan penelitian bagi memastikan pembangunan varieti ubi keledek baru tersebut akan memberikan tinggi hasil dan antosianin serta tolen penyakit tercapai. Jika kajian ini selesai dan berjaya bermakna ada varieti ubi keledek yang akan ditanam secara komersil untuk mrnambah makanan berkhasiat dalam negara.


Keledek boleh dimasak dengan pelbagai cara dan menu yang sesuai mengikut citarasa. Mempelbagaikan sajian keledek cara tradisional dan moden boleh dirujuk dalam buku resepi masakkan atau kini tekan pada telefon dan lamanweb sahaja. Sebagai contoh resepi daging goreng keledek dengan sos perang sudah tidak asing lagi dalam proses menyediakannya kerana ia boleh dirujuk dalam internet (Sila lihat foto disebelah). Antara menu dan resepi daripada keledek seperti Baked Ubi Keledek, Bingka Keledek, Pengat Keledek, Abok-abok Keledek, Mee Udang Keledek, Daigaku Umo (Makanan Jepun berasaskan keledek), Pengat Keledek Bersagu, Cakar Ayam, Keledek Goreng, Cucur Badak Keledek, Kuih Keria Keledek, Bebola Ubi Keledek dan Triffles. Kesemua makanan berasaskan keledek ini memeng tidak asing lagi kepada rakyat Malaysia terutama kuih keria keledek, keledek goreng )dimakan dengan sambal kicap) dan juga Cucur Badak Keledek. Penulis blog kali ini paparkan resepi membuat Cucur Badak Goreng selepas membuatnya sendiri dirumah. Bahan-bahan diperlukan adalah 2 cawan ubi keledek yang perlu direbus dan lecek, 1 biji telur, 1/2 sudu baking powder dan tepung secukupnya. Bahan lain adalah minyak untuk menggoreng dan sedikit garam. Membuatnya amat mudah, ringkas dan cepat. Cara-cara membuatnya dengan memasukkan ubi, baking powder, telur dan garam ke dalam mangkuk. Tambah tepung sedikit demi sedikit dan diuli sehingga tak melekat di tangan. Kemudian dibuat bulat-bulat kecil seperti bola pingpong mengikut kehendak kita. Bola bulat kecil ini kemudian digoreng dalam minyak panas sehingga perang dan kemudian diangkat dan toskan minyak. Enak dimakan semasa suam panas dan ianya memang mengenyangkan. Wasallam!!.
KHASIAT KELEDEK...MAKANAN UTAMA...
PUCUK KELEDEK...DIMAKAN ENAKNYA...
ISI KELEDEK.. PELBAGAI KEGUNAANNYA...
RESEPI KELEDEK... RAMAI PEMINATNYA...


By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Projek Tanaman Keledek,
Kelompok, Jaya Gading Kuantan,
Pahang, Malaysia.
(15 RabiulAkhir 1438H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...