KLIK SAYA SOKONG BLOG

Sunday, January 8, 2017

PENJAGAAN DAN PENUAIAN TANAMAN (Part 2)

PENJAGAAN sehingga PENUAIAN TANAMAN adalah asas dalam sektor tanaman terutama untuk tanaman makanan. Mempelajari dan memahami kerja-kerjapengurusan dan penuaian tanaman. Amalan agronomi tanaman bermula dengan penyediaan benih, penyediaan tanah atau media tanaman, menanam, penjagaan dan selenggara, membaja, memberikan air, kawalan musuh dan penyakit, menuai hasil sehingga pasaran. Dalam pada itu penulis blog lebih banyak menyentuh perkara mengenai agronomi tanam juga paling sering dibincangkan adalah seperti kaedah-kaedah membaja tanaman, tujuan aktiviti memangkas (pruning) dan jenis-jenis pemangkasan tanaman dan juga aktiviti seperti bagaimana mengenali tanda-tanda serangan perosak dan penyakit tanaman serta cara mengawal perosak dan penyakit. Penulis dapati dimana tanaman yang subur dan sihat akan dapat mengeluarkan hasil yang lumayan dan akan memberi hasil pulangan yang tinggi kepada petani. Persoalannya adalah bagaimana kita mahu pastikan tanaman yang kita tanam sentiasa berada dalam keadaan sihat dan subur selalu. Ini kerana tanaman yang subur dan sihat ialah tanaman yang mendapat cukup keperluannya seperti baja, air dan cahaya. Di samping itu kesuburan tanaman juga datangnya dari tanaman yang bebas dari serangan perosak dan penyakit serta tidak terdapat gangguan persekitaran dan sentiasa di pangkas bagi menstabilkan pertumbuhanya. Atau mudah kita fahamkan iaitu untuk mendapat tanaman yang subur dan sihat, sesuatu tanaman yang ditanam itu perlu di jaga. Kerja Penjagaan tanaman ialah kerja-kerja mengurus tanaman yang dilakukan selepas sahaja ianya di tanam sehingga memungut hasil. Kerja penjagaan tanaman ini umumnya sama untuk semua jenis tanaman, tetapi ada tanaman yang memerlukan kerja penjagaan yang agak spesifik seperti pokok kacang panjang perlu kepada panyediaan sistem kayu pancang sedangkan tanaman sepereti kobis tidak perlu kerja-kerja memancang. Artikel petang ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai penjagaan dan aktiviti menentukan hasil tanaman untuk pembaca semua.


Dalam amalan agronomi, kawalan musuh serangga perosak dan penyakit amatlah dititikberatkan. Ini kerana jika berlaku kes serangan perosak atau serangan penyakit menyebabkan kualiti hasil terjejas dan menyebabkan harga pasaran malahan boleh menyebabkan kerugian besar. Kesuburan tanaman sering diancam oleh pelbagai jenis perosak. Akibatnya adalah dimana hasil dan kualiti tanaman akan terjejas. Oleh yang demikian penjagaan yang rapi daripada serangan perosak dan penyakit amatlah diperlukan untuk mengekalkan kualiti kesubran dan tahap kesegaran tumbuhan. Terdapat beberapa jenis perosak tanaman yang perlu diketahui secara umum dan secara khusus. Terlebih dahulu kita perlu mengenali jenis perosak yang biasa menyerang tanaman. Di antara perosak tumbuhan yang biasa ialah belalang, kumbang, ulat daun, lintah bulan, siput babi , semut, koya, burung, hama, mamalia seperti gajah, monyet, babi dan tikus serta tupai. Dua jenis serangga yang sering menyerang tanaman hiasan iaitu dari jenis serangga mengunyah dan jenis serangga menghisap. Lazimnya penulis blog dapati antara tanda-tanda serangan perosak jenis mengunyah seperti dilihat daun berlubang-lubang atau koyak , ada najis serangga yang jatuh bertaburan dan terdapat ulat-ulat perosak merayap di bahagian pokok (Sila lihat foto disebelah). Tanda lain seperti terdapat dimana akar terpotong atau menjadi pendek, bahagian daun, buah atau dahan menjadi bengkak atau busuk. Simptom serangan lain seperti terdapat getah atau cecair kelihatan meleleh.


Dalam aspek lain bagi tanda-tanda serangan perosak jenis menghisap akan dilihat dimana akan dilihat terdapat daun kerekot dan kekuningan, layu atau mati. Bahagian batang tanaman dan bahagian buah dipenuhi dengan teritip atau sisik. Terdapat tanda berbintik-bintik hitam disebabkan bekas cucukan pada daun,buah atau batang. Kepada mereka yang tidak biasa melihat tanda serangan ini mungkin tidak sedar akan simptom serangan. Bagi melihat tanda-tanda serangan virus akan dilihat dimana tahap pertumbuhan pokok menjadi terbantut dimana semua bahagian daun berkedut dan jelas kelihatan kecut. Biasanya terdapat tompok-tompok hijau dan kuning (mozek) terdpat dipermukaan bahagian daun. Selanjutnya bagi simptom serangan oleh kulat adalah dimana akan dilihat karat padabahagian daun (Rust), Layu di seluruh pokok dan dilihat ada kulapok menyerang daun, bunga, buah dan batang.  Tanaman akan menjadi busuk dan reput di batang, buah atau bunga dan didapati pada permukaan daun dipenuhi dengan pelbagai bentuk bintik. Bagi simptom serangan oleh bakteria pula lazimnya keseluruhan pokok layu, pada bahagian daun berbintik-bintik dan akhirnya pokok kelihatan buruk dan reput.


Cara-cara mengawal perosak tanaman ada berbagai kaedah tetapi terbaik adalah dengan konsep Pengurusan Perosak Bersepadu (Intergrated Pest Management - IPM). Ia adalah menggabungkan pelbagai cara seperti Kawalan Fizikal, Kawalan secara Kultura, Kawalan Secara Biologi, Kawalan Secara Kimia dan Peraturan atau Undang-undang. Kawalan Fizikal dimana kawalan terhadap perosak di kawal secara fizikal seperti menggunakan jaring (netting), guna penutup atau membalut buah. Rumah Kalis Serangga sebagai contoh mampu untuk menghalang kebanyakkan jenis serangga halus untuk masuk dan menyerang tanaman. Jaring sehalus 32 mesh digunakan sebagai dinding SPH dimana hama aphid pun tidak melepasi jaring ini. Sekatan lain terhadap tingkah laku seperti suara bising atau orang-orangan, mengutip dengan tangan dan menggunakan pancaran radioaktif juga kaedah yang boleh digunakan. Pada masa dulu disawah padi akan terdapat patong orang-orangan yang dipasang dan ini akan menakutkan burung pipit yang makan padi (Sila lihat foto disebelah). Adalah lebih baik kalau digantung tin susu pada tali yang akan menghasilkan bunyi bising dan burung akan terkejut dan terbang.


Kaedah Kawalan Kultura merupakan satu kaedah mengawal perosak dengan cara menggunakan amalan menanam yang betul. Antaranya seperti Amalan Giliran Tanaman dan Kaedah Pemugaran tanah. Kaedah lain seperti dengan menanam tanaman perangkap, menggunakan varieti yang tahan dan mengamalkan kaedah penjagaan yang sempurna. Benih yang tahan daripada serangan perosak dan penyakit amat penting digunakan kerana ia nya penentu dalam aspek pengeluaran hasil.Pengalaman penulis di beberapa TKPM sering menggalakkan peserta projek untuk menggilirkan tanaman seperti dengan jenis kekacang, sayur buah dan sebagainya. Kaedah Kawalan Biologi pula merupakan satu kaedah kawalan perosak menggunakan organisma tertentu menggunakan konsep mangsa dan pemangsa. Antara beberapa contoh mengawal tikus dalam sawah padi dan ladang sawit dengan menternak burung hantu (Tyto alba). Burung hantu yang terbang dimalam hari akan menjadikan tikus sebagai makanannya dimana seekor burung mampu makan banyak ekor tikus. Apa yang penting disediakan rumah burung hantu dan tiang 'T' dikawasan sawah padi. Selainitu untuk penanaman pokok asparagus dan bunga tahi ayan menghasilkan rembesan yang boleh memusnahkan nematod dalam kebun. Sila lihat foto disebelah untuk penanman pokok bunga marigold dikawasan cili. Kaedah Kawalan Kimia dengan mengawal perosak menggunakan racun. Ini merupakan kaedah yang popular dan agak berkesan. Contohnya ialah serangan perosak seperti belalang, kumbang dan kulat daun boleh dikawal dengan racun serangga seperti Carbaryl, Decis atau Malathion. Manakala serangan perosak jenis hamama boleh petani menggunakan racun hamama Ortus. Penyemburan racun kimia sesuai dilakukan dua minggu sekali atau seperti ditulis pada label. Terakhir adalah Kaedah Kawalan secara undang-undang dimana kaedah ini mengawal perosak dengan menggunakan kuasa yang ditetapkan. Contohnya Kawalan Kuarantin, Pensijilan bebas dari punca merebaknya perosak seperti larangan menternak siput gondang dikawasan padi dan sebagainya.


Kewujudan serangan penyakit pada tanaman mudah berlaku terutama pada musim tertentu sepeti persekitaran sangat lembap. Penyakit tanaman yang agak popular adalah jenis penyakit yang disebabkan oleh bakteria dan kulat. Antara jenis penyakit yang biasa dijumpai adalah seperti penyakit Bintik, Layu,Reput dan mati rosot adalah di sebabkan oleh bakteria. Penyakit yang disebabkan oleh kulat pula ialah seperti penyakit bintik berpusar, Kulapok berdebu,Karat Kulapok Downy dan lain-lain. Cara-cara mengawal penyakit ialah sekiranya berpunca dari serangan kulat, boleh diatasi dengan menggunakan racun kulat seperti Captan atau Benlate. Penyemburan juga sesuai dilakukan dua minggu sekali. Lain-lain kaedah kawalan ialah dengan lebih kepada amalan pengurusan yang baik seperti tidak menyiram berlebihan, Jangan menyiram lewat petang,cabut dan bakar yang diserang dan lain-lain. Perosak akan menyerang tanaman daripada peringkat awal penanaman sehingga pokok telah berhasil. Terdapat banyak jenis perosak yang menyerang tanaman seperti siput babi dan lintah bulan boleh dikawal dengan menggunakan umpan beracun seperti
Metadex dan Siputox.  Racun tersebut ditabur di tempat yang diserang. Bakteria dan virus boleh dikawal dengan cara sanitasi terutamanya kebersihan kawasan. Banyak kaedah kawalan serangga perosak boleh dilakukan untuk tujuan mengurangkan kerugian. Anda juga boleh baca artikel Part 1 sebelum ini. Semuga rencana dalam anim agro technology ini memberi info berguna kepada anda. Wasallam!!!...
MENANAM POKOK... PERLU DIJAGA...
BENIH BERKUALITI... PERLU DIBAJA...
KAWAL PEROSAK... PENYAKIT JUGA....
SUDAH BERHASIL...HASILNYA DIJANA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Cendana, Jalan Istana,
Persimpangan Bukit Beruang,
Banda Melaka, Melaka,
Malaysia.
(30 Rabiulawal 1438H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...