KLIK SAYA SOKONG BLOG

Friday, January 27, 2017

KACANG PANJANG RENEK


KACANG PANJANG RENEK (Vigna unguiculata var sesquapedalis) merupakan satu varieti kacang panjang jenis renek dipercayai berasal dari Filipina. Kacang ini juga dipanggil 'Yard Snake Bean' atau 'Asparagus Beans' yang ditanam dibeberapa negara. Ia telah dibawa masuk ke Selatan Thailand sebelum dibawa masuk ke Malaysia terutama di utara negeri Kedah. Varieti ini adalah dihasilkan kacukan antara kacang panjang jenis memanjat dengan cowpea (cv. Group unguculata) yang akan menghasilkan kacang panjang renek. Walau pun varieti ini masih baru diperkenalkan kepada petani tempatan tetapi sambutanya masih kurang menggalakkan. Hanya beberapa petani yang  menanam varieti ini untuk pasaran khusus (Niche market) dan mereka yang ada hobi menanam sayur keliling rumah suka menanamnya. Pemerhatian saya mendapati kacang panjang renek ini sesuai ditanam didalam pasu atau bekas khas dikawasan keliling rumah untuk kegunaan sendiri. Kalau anda hendak menanamnya sebaiknya bilangan lengai setiap pokok disesuaikan diantara 10 dan 12 tangkai. Lazimnya panjang lengai kacang ini antara antara 25 dan 45 sentimeter (cm). Daripada pemerhatian didapati lazimnya hasil dituai selepas lima atau enam minggu penanaman dan penuaian berterusan hingga tiga atau empat minggu dan jangka hayat ialah antara lapan dan 10 minggu. Anggaran hasil sehektar ialah antara sembilan dan 11 tan. Artikel pada subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai sejenis kacang panjang yang dipanggil sebagai 'kacang panjang renek' yang ditulis untuk dijadikan bahan bacaan semua pembaca.

Tanaman kacang panjang memang boleh diusahakan di pelbagai tanah dari ringan berpasir hingga tanah liat atau gambut. Ia perlukan jenis tanah yang gembur berpasir dan mempunyai saliran yang baik adalah yang paling sesuai dimana pH tanah ialah antara antara 5.5 dan 6.6. Aktiviti membajak dan juga menggemburkan tanah sedalam antara 15 dan 30 cm supaya menjamin pertumbuhan akar yang baik dijalankan pada peringkat awal sebelum menanam. Sebaiknya perlu disediakan batas berukuran 60 hingga 100 cm (lebar), 25 cm tinggi dan panjang batas mengikut kesesuaian kawasan. Tanaman kacang panjang renek ini boleh juga di tanam di dalam pasu atau polibeg dengan menggunakan tanah campuran iaitu terdiri dari tiga bahagian tanah atas, dua bahagian bahan baja organik, satu bahagian pasir dan campuran sabut kelapa. Sebaiknya dipermukaan batas ditambak dengan bahan organik atau kompos dengan kadar satu hingga tiga kg/meter persegi, permukaan batas boleh ditutup dengan ystem politin hitam atau 'agrosheet' bagi mengurangkan rumpai. Penanaman kacang panjang renek tidak banyak berbeza dengan kacang panjang jenis memanjat cuma jenis ini boleh dirapatkan kerana ia tidak memerlukan junjung. Jarak tanaman yang sesuai antara 50-60 cm (antara barisan) x 60 hingga 100 cm (antara barisan) atau 25 hingga 30 cm (antara pokok) x 60-70 cm (antara barisan). Letak dua atau tiga biji benih dalam lubang penanaman dan di kambus nipis (ke dalaman tanah tidak melebihi tiga kali saiz biji benih). Lazimnya biji benih ini akan bercambah antara lima dan tujuh hari selepas aktiviti penanaman. Biji benih yang bercambah tidak perlu dibuat penjarangan dan selalunya ia boleh hidup membesar satu hingga tiga pokok setiap lubang penanaman. Bagi sistem pengairan, keperluan untuk tanaman kacang panjang renek sekitar 30 hingga 50 cm air semusim. Keperluan air kritikal terutama di peringkat berbunga dan pengeluaran lengai. Kekurangan air pada peringkat ini akan menyebabkan lengai lengai buah yang dihasilkan menjadi kecil dan pendek. Penyiraman sama ada secara manual atau gunakan sistem renjisan, cara ini menjimatkan 75 peratus penggunaan tenaga kerja.

Amalan agronomi seperti pengawalan rumpai perlu dijalankan. Secara amnya ,tanaman kacang panjang perlu bebas dari persaingan rumpai dari mula ditanam hingga 35 hari selepas penanaman dimana bagi kacang panjang renek ia tidak serius kerana kepadatan tanaman yang menghalang pertumbuhan rumpai. Pertumbuhan rumpai memang dapat dikurangkan jika kawasan tanaman disembur dengan racun rumpai yang sesuai. Cara pembajaan bagi kacang ini tidak memerlukan baja yang banyak. Ia mempunyai keistimewaan kerana kebolehan semulajadi untuk menghasilkan nutrien nitrogen melalui proses pengikatan nitrogen (Nitrogen fixation) mana gas nitrogen dari udara ditukar kepada ammonia melalui sistem dalam bintil akar pokok. Kadar pembajaan yang disyorkan ialah 70 kg N: 140 kg P2O5 :200 K2O/hektar dimana cara pembajaan diberi dua atau tiga kali sepanjang hayat kacang panjang. Secara amnya aktiviti pembajaan boleh dibuat menggunakan baja NPK Hijau pada pembajaan pertama dan NPK biru pada pembajaan kedua dan ketiga ,anggaran 30-50 gm/pokok, kadar ditambah jika kacang panjang renik melebihi satu pokok setiap lubang,pembajaan diselangkan setiap dua minggu. Kerja pemangkasan tidak perlu dilakukan sepanjang pembesaran kacang panjang renek kecuali bila terdapat kerosakan akibat serangan perosak atau penyakit.

Sepreti jenis sayuran famili Fabaceae yang lain, jika ada serangan maka perlu kawalan perosak perlu dijalankan untuk mempastikan penghasilan kacang baik. Serangan Pelombong daun (Liriomyza sp) akan menghasilkan jalur putih pada permukaan daun, jika serangan serius proses fotosintesis akan terjejas dan daun kehilangan air dan akan kering dan gugur. Serangan yang berterusan, daun akan dijangkiti kulat. Cara kawalan dibuat dengan penyemburan racun serangga yang sesuai pada peringkat awal. Serangga Lelompat daun (Empoasca fabae) akan menghisap cecair dari permukaan bawah daun dan ianya akan memasukkan bahan toksik dalam daun dan terhasil bintik putih pada urat daun. Ini mengakibatkan klorosis dan nekrotik pada bahagian hujung daun. Kesan lain daun melengkung ke bawah dan tepi daun menggerutu. Semburan racun yang sesuai digunakan bagi mengawal perosak. Pengorek lengai (Maruca testulalis) dewasa akan bertelur pada bunga kacang dan larva berwarna coklat akan hidup selama 11 hingga 14 hari, larva akan memakan putik bunga dan lenggai yang menyebabkan lubang lubang pada permukaan buah. Ini menyebabkan bilangan bunga dan buah berkurangan. Lenggai kacang yang rosak akan mengakibatkan kehilangan harga. Semburan berjadual dengan racun serangga yang sesuai adalah digalakkan. Beberapa penyakit yang lazim menyerang kacang panjang memang menyeran tanaman ini. Penyakit Karat Daun (Uromyces vignae) merupakan penyakit utama tanaman kacang panjang (Sila lihat foto disebelah). Ia menyerang pada bahagian daun dan buah. Serangan peringkat awal terdapat bintik bulat berwarna hijau muda dan bertukar merah keperangan dan terdapat di bawah daun. Angin adalah agen yang merebakkan jangkitan, boleh dikawal dengan memotong dan membakar bahagian yang diserang, gunakan kultivar yang tahan penyakit dan bajak sisa tanaman semasa penyediaan tanah. Penyakit Bintik Berpusar atau Penyakit Antraknos (Colletotrichum lindemuthianum) akan menyerang pada daun dan lengai. Lenggai yang diserang mempunyai warna perang hitam dan diselaputi spora merah muda di tengah. Daun dan lenggai yang diserang akan gugur lebih cepat, pertumbuhan terbantut dan hasil berkurangan. Penyakit merebak melalui angin dan air masa musim hujan serta anak benih berpenyakit.

Aktiviti pungutan hasil untuk kacang panjang renek dijalankan secara berperingkat-peringkat. Lazimnya ia akan berbunga antara lima atau enam minggu selepas penanaman. Kelopak bunga berwarna biru muda dengan bilangan yang banyak setiap pokok bergantung kepada kesuburan tanaman. Lazimnya kacang panjang renek boleh dituai selepas lima hingga tujuh hari selepas berbunga. Kutipan hasil dibuat selang sehari dan berterusan selama tiga atau empat minggu. Bagi tujuan piawaian kacang panjang renek ini boleh dibahagikan kepada beberapa indeks kematangan. Pada Indek matang 1 dikatakan tahap tidak matang atau pun belum mencapai tahap kematangan dimana masih terdapat kelopak bunga pada bahagian hujung serta saiz yang kecil, tidak sesuai untuk pasaran, kulit kacang panjang berwarna hijau pekat. Pada Indek 2 adalah dimana ia cukup matang, telah mencapai tahap kematangan, lebih dua pertiga kacang mengandungi biji dan saiznya sederhana besar serta sesuai untuk pasaran, kulit kacang berwarna hijau. Akhirnya pada Indek 3 adalah peringkat terlalu matang dimana pada peringkat ini kacang panjang dihujung jangka hayat kesegaran dan tidak digalakkan untuk pasaran. Lazimnya kulit kacang ini akan kelihatan berwarna kekuningan atau keputihan. Diharap coretan kali ini dapat dijadikan panduan dan pembacaan kepada anda untuk menambahkan ilmu. Wasallam!
KACANG PANJANG... RENEK JENISNYA....
IA RENDAH.. MENEGAK TUMBUHNYA....
HASIL SEDIKIT ... MUDAH MENANAMNYA...
TANAM SENDIRI ... CARIKAN BENIHNYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 1002, Hotel Heritage,
Jalan Raja Dihilir,
Ipoh, Perak,
Malaysia.
(7 Zulkaedah 1434H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...