KLIK SAYA SOKONG BLOG

Wednesday, February 26, 2014

TEKNOLOGI NANO - APA DIA (Part 3)


TEKNOLOGI NANO (ada juga yang kata sebagai 'Nanotek') merupakan satu bidang sains yang menumpukan kepada jirim-jirim pada saiz antara 1 hingga 100 nanometer (1 nm = 10=9). Struktur-struktur partikel nano terdiri daripada tiga jenis iaitu berdasarkan bilangan dimensinya iaitu satu dimensi: permukaan objek antara 0.1 dan 100 nm; dan dua dimensi: nanotiub yang mempunyai diameter antara 0.1 dan 100 nm; tiga dimensi: zarah dengan saiz antara 0.1 dan 100 nm. Mungkin kita tidak faham lagi akan kebaikan teknologi ini. Lazimnya kita mendengar penggunaan teknologi nano dalam bidang semikonduktor, tenaga, kesihatan dan peralatan telah megujudkan nilai pasaran berjuta-juta ringgit. Teknologi nano dijangka berkembang sehingga mencecah pasaran berjumlah satu trilion ringgit dalam beberapa tahun lagi. Kini didapati sejak akhir ini tercetus kebimbangan baharu di sebalik penggunaan meluas partikel berskala nano. Dalam bidang pertanian perlukan banyak lagi teknologi nano dalam bidang pembiakbakaan tumbuhan (Plant breeding), Produk baja, Produk Bahan Kimia Pertanian, Teknologi Kawalan Serangga Perosak dan Penyakit Tumbuhan serta analisis produk-produk hasil pertanian di makmal. Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai apakah kesan negatif teknologi nano terutama kepada pekerja dalam bidang tersebut untuk bacaan anda.


Apakah dia kemungkinan kesan negatif terhadap teknologi nano ini?. Memang banyak forum yang membincangkan mengenai isu ini sepanjang masa terutama oleh mereka yang pentingkan hak asasi dan kelestarian alam semulajadi. Apa yang menjadi kebimbangan besar dikalangan para penyelidik dan pakar perubatan adalah potensi partikel nano yang boleh memudaratkan kesihatan manusia dan alam sekitar. Pengetahuan mengenai impak negatif kesemua bahan partikel nano terhadap manusia dan alam sekitar masih terhad maklumat dan kajian kerana teknologi ini masih baru. Terdapat laporan kajian pada tahun 2004 di USA yang menyatakan seramai 20,000 pekerja di seluruh dunia bekerja dalam sektor teknologi nano dan ia dijangka akan meningkat sehingga dua juta orang pada tahun 2015. Mereka merupakan kumpulan berisiko dan perlu dibuat penyelidikan terperinci dalam beberapa tahun mendatang. Pada Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2008 telah mengeluarkan laporan yang dinamakan sebagai”Risiko Global 2008″. Laporan tersebut juga ada menyatakan impak pendedahan partikel nano (seperti bahan cat, kosmetik dan produk kesihatan) yang boleh menyebabkan gangguan terhadap sistem kesihatan manusia.


Terdapat laporan penyelidikan lain yang membicarakan kesan negatif partikel nano dan juga impak kesihatan daripada bahan tersebut. Satu laporan mengenai “Kesan-kesan Partikel Nano” ada dikeluarkan oleh Institut de Recherche Robert-Sauveen Santeet en Securite du Travail (IRSST) iaitu organisasi penyelidikan saintifik berpusat di Montreal, Canada. Laporan ini menyatakan terdapat beberapa jenis bahan partikel nano yang boleh memberikan kesan yang mudarat kepada manusia. Diantara bahan partikel nano tersebut ialah seperti bahan fuleren, tiub karbon nano, partikel nano tidak organik, partikel nano organik dan dot kuantum (Sila lihat pekerja kilang nano bertugas disebelah). Walau pun pekerja kilang nano mempunyai SOP (Standard operating procedure) yang ketat seperti bilik khas, pemakaian baju khas dan sebagainya tetapi kemungkinan berlaku kecelakaan masih tinggi. Apakan ada jaminan terhadap tahap keselamatan untuk jangkamasa panjang?. Walau pun belum terdapat laporan rasmi daripada pemain industri, ianya tetap memberikan kesan negatif kepada golongan pekerja industri ini.


Kita mungkin mula faham bahawa partikel nano memang teramat halus dan tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Laluan partikel nano ke badan manusia boleh berlaku semasa pernafasan dan juga pengambilan makanan yang telah terdedah kepada partikel nano. Pemakaian topeng muka dan penutup hidung tidak menjamin kemasukan partikel nano dalam badan tidak berlaku (Sila lihat foto sebelah). Partikel nano yang disedut boleh termendap di dalam salur darah selepas menembusi kesemua mekanisma perlindungan pernafasan. la kemudian diagihkan ke dalam pelbagai organ dan berkumpul di tapak yang khusus. la boleh bergerak sepanjang saraf penghiduan dan menembusi secara langsung ke saraf otak. Sifat ini perlu dikaji secara meluas dalam bidang farmakologi dimana ini membolehkan partikel nano organik digunakan sebagai vektor bagi membawa ubatan kepada sasaran di dalam fungsi badan. Kajian yang dijalankan ada menunjukkan beberapa kesan terhadap spesis haiwan yang bergantung pada jenis partikel nano. Kesan-kesan asas seperti kenefrotoksikan dalam reproduksi serta kesan kepada genotoksik telah dikenal pasti sebagai kesan negatif yang dikesan terhadap spesimen. Sesetengah partikel nano ini mungkin boleh menyebabkan tindak balas granulomas, fibrosis dan tumor pada paru-paru jika terdedah. Kesan bahan seperti titanium dioksida iaitu bahan yang diiktiraf sebagai kurang bertoksik telah menunjukkan sifat toksik yang tinggi di dalam saluran pernafasan pada skala nano. Walau pun namanya gah bekerja dalam kilang nano kita perlu fikirkan tentang faktur kesihatan untuk jangkamasa lama.


Di Malaysia kita dapati industri minyak dan gas, industri pembuatan detergen dan aktiviti penyaduran logam adalah antara aktiviti yang mungkin berpotensi bagi pelepasan bahan partikel berskala nano. Apa yang menjadi persoalan utama adalah adakah ujud satu perundangan sedia ada memadai untuk mengawal penghasilan bahan partikel nano?. Kini memang perlu ada SOP yang lebih komprehensif mengenai kesan negatif partikel nano kepada pekerja dalam industri tersebut. Beberapa kajian perlu diteruskan untuk mengkaji penggunaan teknologi nano terhadap pekerja, pengguna dan alam sekitar. Dibeberapa negara maju kawalan dalam bentuk dasar dan perundangan telah dikaji bagi memastikan penggunaan bahan partikel nano yang mempunyai risiko tinggi terhadap manusia dapat dikawal dan dipantau. Beberapa peraturan terutama mengenai kesan negatif diperkenalkan oleh negara tersebut tetapi negara membangun masih belum melihat perkara tersebut Kajian yang mendalam perlu diteruskan bagi memastikan pembangunan teknologi nano dapat memberikan manfaat yang banyak di samping impaknya terhadap kesihatan manusia dapat dikawal dengan baik. Beberapa kesan negatif teknologi nano telah diperkatakan dalam artikel ini untuk dijadikan panduan kepada pembaca semua. Wasallam!.



TEKNOLOGI NANO...APA KESANNYA...
PARTIKEL HALUS...MEMANG BAHAYA...
PEKERJA INDUSTRI...KENA BERJAGA...
KESAN NEGATIF... TELAH DICERITA...

By,
M Anem,
Senior Agrologist.
Room 106, Institut Pengurusan Peladang,
Kuah, Langkawi,
Kedah, Malaysia.
(23 Rabiulakhir 1435H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...