KLIK SAYA SOKONG BLOG

Monday, February 3, 2014

CICAK - KENALI DIA

CICAK merupakan sejenis reptilia daripada keluarga Gekkonidae yang berdarah sejuk dan bertelur dimana ia mudah kita jumpai didalam rumah kita (Lihat foto diatas). Haiwan dari kumpulan reptilia ini mampu memanjat dinding yang tegak dan licin seperti cermin dengan cekap dan tidak jatuh kerana struktur kakinya yang ajaib. Didalam industri perfileman Malaysai, KRU Production telah menghasilkan satu filem yang sangat berjaya berjudul 'Cicak Man' begitu juga sisi kartoon mengenainya.  Kajian yang dilakukan oleh pakar sains mendapati bahawa telapak kaki cicak mempunyai rerambut halus yang mewujudkan daya lekatan pada tahap nano. Cicak juga mempunyai keupayaan untuk memutuskan ekornya apabila diancam musuh atau diganggu dimana ia akan menyebabkan pemangsa hanya tumpukan perhatian atau makan ekor cicak tersebut. Ekor cicak akan tumbuh semua beberapa lama kemudian. Pada masa ekor tercabut, musuhnya akan terperanjat ketika ekornya mengeliat-geliat sementara cicak melarikan diri. Saya dapati cicak mempunyai 5 sub-keluarga iaitu Aeluroscalabotinae, Eublepharinae, Gekkoninae, Teratosnidae dan Iplodactylinae. Artikel subuh ini dalam "Anim Agro Technology" saya menulis mengenai haiwan cicak yang mana ramai diantara kita kenal terutama beberapa info yang kita perlu tahu mengenai haiwan cicak ini untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukkan.


Antara taktik cicak mengelabui musuhnya adalah dengan kemampuan autotomi yang akan memutuskan ekornya yang bergerak-gerak menyebabkan cicak terlepas dari musuhnya. Kehebatan cicak juga dalam mendapatkan makanan dimana ia saya dapati mempunyai sejenis ciri khusus berupa lidah yang panjang dan melekit. Bentuk lidah ini digunakan untuk menangkap mangsa berupa serangga yang sedang terbang atau bergerak dipermukaan dinding atau lantai. Antara makanan utama cicak dalam rumah adalah nyamok, semut, lipas, kupu-kupu, agas, serangga kecil lain sama ada yang sedang terbang atau merayap terutama jika ada lampu terang. Cicak yang bersembunyi dibelakang almari, bingkai gambar digantung atau celah-celah dinding akan cepat menyambar serangga yang sedang bergerak dan menelan dimulutnya. Saya masih ingat bagaimana orang tua-tua dula menyuruh membunuh cicak pada malam jumaat dengan melastik menggunakan gelung getah yang dianyam. Satu kali lastikan dengan getah karet akan menyebabkan cicak jatuh dan boleh mati.


Cicak akan mengawan diantara cicak jantan dan betina apabila cukup matang. Kemudian cicak akan bertelur dicelah-celah dinding rumah atau ruangan yang selamat untuk menyimpan telurnya seperti didalam soket pendawaian suiz lampu (Sila lihat foto sebelah). Apa yang saya perhatikan, telur cicak adalah berbentuk seperti telur ayam dengan kulit telur berwarna putih krin berukuran 0.8 - 1.0 cm panjang dan lebar sekitar 0.5 cm. Telur ini akan menetas dengan sendiri dan anak cicak akan keluar dan berjalan mencari makan beberapa jam kemudian. Kebanyakan sarang telur cicak adalah berhampiran dengan sumber makanan semerti semut halus dikawasan ada lampu dalam rumah. Populasi cicak dalam rumah bergantung kepada jumlah makanan. Pemangsa bagi cicak adalah seperti burung, biawak, ular, tikus, manusia, jenis haiwan lain pemakan cicak.


Sehingga ini saya belum jumpa laporan di Malaysia orang makan cicak sebagai lauk atau makanan ringan. Ramai geli dengan cicak dan takut melihatnya walau pun sebenarnya cicak akan lari bersembunyi apabila nampak kelibat manusia. Saya ada lihat cicak ditangkap untuk dijadikan umpan memancing terutama untuk ikan toman atau ikan haruan dalam kawasan sawah atau anak sungai depan rumah di Johor. Jika cicak masih hidup atas air maka ikan toman atau haruan akan menyambarnya dengan penuh selera dan pastinya kita akan berlaukan ikan haruan. Kini banyak produk dipasaran untuk menghalau atau membunuh cicak dikawasan rumah. Paling mudah adalah ubat membunuh cicak yang dijual dipasar malam berupa seperti umpan atau bentuk kapor conteng. Letakkan umpan untuk cicak makan atau conteng dikawasan laluan cicak. Cicak yang makan umpan akan mati kerana kesann racun didalam umpan tersebut (Lihat foto disebelah). Cicak adalah haiwan yang hidup dalam menstabilkan ekosistem kita dengan makan serangga dan mengurangkan populasinya. Dalam sektor pertanian, haiwan cicak boleh dikategorikan sebagai haiwan yang mengawal serangga prosak dengan memakannya dan ia dikategorikan sebagai kawalan biologi semulajadi. Wasallam!

NAMANYA CICAK... GELI DIBUATNYA...
MAKANAN UTAMA...JENIS SERANGGA...
JARANG DIMAKAN... SIAPA NAK CUBA...
POPULASI PEROSAK... PERLU DIJAGA...

By,
M Anem,
Senior Agrologist,
Kg Parit Bengkok, Gersik,
Ledang, Johor,
Malaysia.
(9 Zulkaedah 1434H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...