KLIK SAYA SOKONG BLOG

Sunday, February 23, 2014

PADI - APA DIA PADI KEBAL

PADI (Oryza sativa) merupakan tanaman penting di banyak negara Asia Tenggara kerana beras adalah makanan ruji dinegara-negara tersebut. Terdapat beratus-ratus varieti padi yang ditanam mengikut kesesuaian lokaliti dan citarasa pengguna serta petani. Di Malaysia telah diperkenalkan satu varieti padi yang dipanggil sebagai 'Padi Kebal". Padi kebal adalah padi yang tahan kepada racun imidazolinone iaitu sejenis racun yang digunakan untuk mengawal Padi Angin. Padi angin adalah sejenis padi yang menyerupai padi biasa tetapi buahnya akan luruh sebelum atau semasa dituai. Padi Angin merupakan satu masaalah kritikal dalam industri penanaman padi kerana pesawah akan kehilangan banyak hasil jika banyak padi angin yang ujud dalam sawahnya. Padi angin cepat membiak, tahan lasak, berebut ruang dan nutrien serta  agak sukar untuk dikesan. MARDI telah menghasilkan varieti padi yang dikatakan kebal dimana ia berasal dari varieti padi MR220 yang dibuat kajian biakbaka dan kini dimajukan sebagai varieti yang popular. Proses kacuk balik beberapa generasi diantara MR220 dengan baka padi 1770 yang berasal dari Amerika Syarikat menghasilkan padi jenis Clearfield yang dinamakan sebagai Varieti MR220 CL1 dan MR220 CL2 yang toleran kepada imidazolinone. Saya sering mendengar mengenai padi ini yang semakin diterima ramai pesawah kerana ia menghasilkan padi yang lebih bermutu. Artikel pagi ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai padi clearfield ini untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukkan anda semua.

Penanaman padi disawah padi bermula dengan penyediaan kawasan seperti membajak, merotor dan menyediakan benih padi. Benih Padi Kebal ini dahulu sukar didapati tetapi kini melalui skim pengeluaran benih padi sah ia mudah diperolehi. Benih padi kebal MR220CL1 atau MR220CL2 hanya dibekalkan melalui kawalan oleh pembekal yang dilesenkan oleh kerajaan (Sila lihat foto sebelah). Felcra Berhad antara pembekal benih padi yang diiktiraf dimana ia mempunyai sawah padi khusus untuk pengeluaran benih padi kebal ini. Sebenarnya penyelidikan mengenai padi kebal telah dijalankan secara bersama oleh MARDI dan syarikat racun BASF. Kini varieti ini menjadi tanaman utama di sawah padi Sekinchan, Selangor yang mampu menghasilkan purata hasil sekitar 7 - 8 metrik tan sehektar. Terdapat beberapa plot yang mempu menghasilkan sehingga 10 mt sehektar dengan teknologi penanaman padi yang diubahsuai melalui banyak tambahan baja dan pengurusan kawalan air serta kewalan penyakit dan perosak yang mengikuti sistem RICE CHECK.

Sejak lama masaalah padi angin menghantui pesawah yang kajian menunjukkan ia tersebar melalui mesin bajak sawah dan jentuai padi yang bergerak daripada kawasan sawah padi bermasaalah kepada kawasan lain. Musim padi kali ini boleh dikatakan serius  di banyak kawasan MADA di Perlis dan Kedah (Sila lihat foto disebelah). Keujudan padi angin ini menyebabkan hasil berkurangan dengan signifikan dan ramai pesawah sebenarnya menunggu untuk varieti MR220CL1 dan MR220CL2 yang dikatakan sebagai padi kebal ini. Sebenarnya beberapa pesawah yang telah menukar kepada varieti ini pada musim lepas lagi memang sangat berppuashati dengan prestasi yang ditunjukkan. Bagaimana pun pada peringkat awal ramai pesawah merungut kerana masaalah bekalan benih yang terhad dan harganya pula mahal. Ramai pesawah turut bercakap mengenai pro dan kontra mengenai padi ini. Bagi membuktikan segala dakwaan berasas, maka ramailah dari kalangan mereka ingin cuba menanam pada musim ini dengan memberi nama dan mengisi borang kepada PPK atau MADA untuk mendapatkan benih padi kebal. Masaalah isu bekalan benih padi ini kini semakin kurang diperkatakan apabila telah ramai petani mudah mendapatkan benih tersebut. Bagaimana pun pada musim utama 2013 yang lepas terdapat laporan dari pesawah di Sekinchan yang menyatakan berlaku serangan Bacteria Leaf Blight (BLB) dibeberapa plot sawah akibat penggunaan baja berlebihan dan masih dalam siasatan. Laporan ini juga disahkan oleh Pengurus BERNAS di Sekinchan semasa lawatan saya minggu lepas di kompleks tersebut.

Padi varieti MR220CL1 didapati mempunyai tangkai padi lebih panjang dan biji padi (grain) lebih banyak daripada padi varieti MR220CL2 dan MR220 biasa (Sila lihat foto disebelah). Kini penanaman padi malalui sistem tabur terus menjadi amalan biasa dan penyediaan tanah dedengan bajak kering serta merata tanah dijalankan setiap musim penanaman di Sekinchan. Bekalan benih padi kebal ini di peroleh dari pembekal dalam karung guni dimana dibahagian hadapan karung guni akan jelas tertulis perkataan 'Clearfield' dari varieti MR220 CL2. Para petani perlu membeli benih padi kebal beserta racun OnDuty yang didatangkan secara pakej. Jika pokok padi dari varieti biasa misalnya MR219 terkena semburan racun rumpai ini selalunya padi tersebut turut sama akan mati. Oleh itu proses penyemburan racun kimia ini perlu dilakukan secara berhati-hati supaya tidak dibawa angin sehingga terkena padi sebelah yang bukan jenis Clearfield. Pesawah boleh mambaca garispanduan penggunaan teknologi di bahagian belakang guni. Beberapa panduan dalam penggunaan benih padi kebal beserta racun ada dicatat di bahagian belakang guni bagi memudahkan rujukan petani. Ia ditulis dalam bentuk arahan yang mudah difahami oleh mereka. Misalnya ada tulisan "Pastikan air sawah cap-cap semasa menyembur" yang membawa maksud jelas.


Racun OnDuty merupakan jenis racun yang perlu digunakan dalam pengamalan dan penanaman padi kebal iaitu keluaran syarikat BASF. OnDuty adalah nama dagangan racun yang dikeluarkan oleh BASF (Sila lihat foto disebelah). Racun ini berasal dari keluarga kimia imidazolinone dan terdiri dari dua jenis bahan aktif iaitu imazapic dan imazapyr. Racun ini akan bertindak secara perencat Acetolactate synthase (ALS). Kini ramai pesawah yang telah faham bagaimana menggunakan racun ini mengikut amalan teknologi yang diperolehi oleh pegawai pengembangan dan rakan-rakan pesawah yang lain. Pengenalan varieti padi kebal ini semakin popular dan dijangka akan manjadi varieti utama penanaman padi di Malaysia untuk beberapa tahun akan datang. Kepada pesawah dikawasan lain yang masih belum menggunakan varieti ini perlu melihat kesesuaian tanah, sistem bekalan air, masaalah tempatan dan lain-lain faktur untuk menanamnya. Sekian. 
Wasallam!.

PADI BARU... ITU PADI KEBAL...
PADI ANGIN...AKAN SELESAI...
HASIL MENINGKAT...TIDAK LERAI... 
KARUNG BENIH...LOGO DIMENTERAI...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Sawah Sekinchan,
Selangor, Malaysia.
(20 RabiulAkhir 1435H)   

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...