Support My Blog

Saturday, February 22, 2014

BELIMBING - PROJEK KOMERSIL PPK

BELIMBING (Averrhoa carambola) merupakan sejeins tanaman jenis buah-buahan tempatan yang telah lama diusahakan di Malaysia. Penulis baru-baru ini melawat projek tanaman Beimbing Besi di Projek PPK Tanjung Malim yang terletak di  Klan Halt 3, Perak. Menurut pengurus yang memberi taklimat iaitu En Ishak, terdapat keahlian seramai lebihkurang 2,400 orang ahli dikawasan PPK yang telah menerima faedah daripada projek-projek pertanian iaitu 200 ekar ladang kelapa sawit, 50 ekar durian (kini mula ditukar kepada kelapa sawit), 150 ekar tanaman getah, 150 ekar tanaman pisang dan 20 ekar tanaman beimbing. Menyentuh mengenai tanaman durian, En Ishak berkata "Tanam Durian Tidak Boleh Kaya, Orang Kaya Boleh Tanam Durian". Ini yang menyebabkan ladang durian PPK kini ditukar kepada tanaman kelapa sawit. Ladang Belimbing ini seluas 20 ekar ditanam dengan belimbing varieti B10 dan varieti B2 (Pokok pendebunga) dengan kadar kepadatan 108 pokok seekar. Pokok yang ditanam pada 1991 telah berumur 23 tahun dan masih dalam tahap baik serta ekonomik kerana dijalankan amalan agronomi dan amalan pertanian baik. Ini kerana pengurusan dijalankan oleh syarikat swasta iaitu Syarikat Up and Up Sdn Bhd dengan kadar sewaan bulanan sebanyak RM 7,500 sebulan. Pengurusan swasta ini didapati mampu menjadikan projek ini berjaya sehingga menghasilkan buah belimbing untuk pasaran ekspot dan tempatan. Kini seramai 16 pekerja ladang masih beroperasi untuk kerja-kerja ladang seperti mambaja, mengawal rumpai, membuat cantasan, membalut buah, mengutip hasil, menggred buah, packing dan sebagainya. Buruh ladang sebelum diswastakan adalah terdiri daripada orang tempatan tetapi kini hanya ramai pekerja asing daripada Indonesia, Nepal dan juga India yang silih berganti mengikut keperluan. Bagusnya daripada pemerhatian penulis, keadaan pokok dalam ladang adalah dalam keadaan subur dengan amalan agronomi yang mengikuti Amalan Pertanian Baik Ladang (APB) sesuai untuk pengeluaran pasaran ekspot. Penggunaan bahan EM yang dihasilkan sendiri oleh pengusaha didapati mampu mengurangkan kadar serangan perosak dan penyakit diladang ini. Artikel subuh ini saya menulis selepas melawat kebun tersebut dalam "Anim Agro Technology" mengenai kajian kes penanaman belimbing besi oleh pengusaha swasta untuk bahan bacaan dan sebagai satu testimoni.


Anakbenih belimbing varieti B10 ini diperolehi daripada Jabatan Pertanian Air Hitam, Johor yang ditanam pada tahun 1991. Jarak tanaman pokok belimbing dilakukan adalah 4m x 4 m dengan kepadatan 108 pokok sehektar. Peringkat awal penanaman dipasang sistem pengairan dengan lengkap dan masih berfungsi sehingga kini. Pokok yang dicantas beberapa kali dengan 'major pruning' membolehkan ketinggian pokok sekitar 1.5 - 2.5 meter untum memudahkan aktiviti pembungkusan buah dan memetik buah. Beberapa pokok belimbing dicantum dengan varieti B2 untuk tujuan pendebungaan yang cekap oleh varieti B2. Kebanyakan dahan varieti B2 di tut pada bahagian tengah pokok seperti yang disyorkan oleh Jabatan Pertanian. Kawalan rumpai dijalankan secara manual dan semburan racun rumput secara berjadual. Pembajaan dilakukan 10 hari sekali dengan baja kimia NPK 12:12:17:2 mengikut kadar disyorkan. Sehingga kini tiada serangan penyakit serius yang menyerang kawasan pokok belimbing kerana penyemburan bahan EM disesuaikan dengan semburan racun kimia secara berjadual dan sistematik. Serangan lalat buah juga berlaku tetapi pada tahap terkawal. Semburan dijalankan dengan kekerapan 7 hari sekali. Semburan dengan racun kulat kepada bunga belimbing untuk mempastikan bunga belimbing ini tidak diserang dengan kulat. Ini diatasi dengan sanitasi kebun yang baik dan pemasangan perangkap feromon lalat buah dibeberapa lokasi yang sesuai. Buah yang gugur akan dikutip semula dan diproses untuk dijadikan Fermented Fruit Juice (FFJ) bagi dijadikan bahan asas EM.


Tanaman belimbing merupakan jenis buah-buahan yang mampu berbuah sepanjang tahun tetapi ada musim berbuah biasa dan ada musim buah banyak (peak season). Dalam ladang belimbing aktiviti membalut putik buah merupakan satu perkara yang kritikal dimana ia mesti dibuat untuk mempastikan buah tidak diserang dengan serangga lalat buah (Bactocera carambolae). Membalut buah dilakukan dengan sistem upah iaitu kos sebanyak RM0.05 sebiji. Seorang pekerja mahir disini hanya mampu melakukan kerja membalut sebanyak 600 biji buah pada pokok sehari (Saya ada menulis artikel bagaimana seorang pekerja asing Indonesia di Ladang Belimbing di Semenyih , Selangor yang mampu untuk membungkus sebanyak 1,000 biji sehari - Sila klik disini). Membalut putik belimbing sebesar buah pingpong dibuat dengan menggunakan kertas suratkhabar lama yang ditandakan dengan cat berwarna warni bergantung kepada tarikh membalut. Ini bagi memudahkan aktiviti menuai dimana hanya warna pada pembungkus yang sama akan dipetik berdasarkan kepada buku rekod catitan tanpa perlu membuka setiap pembalut buah belimbing. Kualiti dan kematangan buah hanya akan dapat dilihat apabila balut dibuka dalam rumah pengumpulan hasil atau semasa membuat grading.


Belimbing dari ladang ini dipetik untuk pasaran domestik dan juga pasaran ekspot. Menurut pengurus ladang, sebanyak 60% daripada hasil belimbing adalah untuk pasaran tempatan sementara bakinya 40% untuk pasaran ekspot. Daripada pengalaman, sebanyak 40% daripada hasil buah belimbing dari ladang ini 'hilang' akibat dicuri oleh orang, dimakan oleh haiwan seperti monyet, gugur akibat hujan lebat dan  tiupan angin kencang dan serangan penyakit. Kadar kehilangan lepas tuai (post harvest loss) yang tinggi ini menyebabkan kawasan ini dipagar dan dibuat beberapa kawalan. Buah yang dipetik akan digredkan mengikut kualiti, saiz, tahap indeks kematangan dan kecacatan. Buah untuk pasaran ekspot dikumpulkan pada Indeks kematangan 2 dan 3 (masih hijau) lagi dan dibungkus dalam kotak khas berlapis span lembut putih (Sila lihat kotak pembungkusan). Harga ladang bagi pasaran ekspot adalah EURO11.00 sekilogram (Lebihkurang RM44.00 sekilogram). Kebanyakan belimbing ini dihantar ke Eropah untuk digunakan sebagai salad atau garnishing food. Bagi pasaran domestik , buah buah dengan indeks kematangan 3,4 dan 5 dijual dengan harga ladang RM1.50 sekilogram. Kebanyakan belimbing ini dijual dan diedarkan kepasaraya, gerai buah-buahan tepi jalan, Pasar Malam, Pasar Tani dan kawasan RnR PLUS. Pengguna domestik lazimnya membeli belimbing untuk tujuan makan segar dan juga dibuat jus belimbing. Keluasan kawasan penanaman belimbing di Malaysia pada tahap stabil semenjak 10 tahun dulu kerana banyak faktur yang mengekang perkembangan industri ini. Bagaimana pun Malaysia merupakan negara pengeluar belimbing segar terbesar didunia untuk pasaran ekspot ke Eropah semenjak berbelas tahun dahulu. Projek ini merupakan satu daripada penyumbang penting dalam industri ini. Tahniah dan Wasallam!.





Siap untuk diekspot ke Eropah.

TANAM BELIMBING...PPK PUNYA...
LUAS 20 EKAR...SWASTA LAKSANA...
PASARAN DOMESTIK...EKSPOT JUGA...
MENJADI CONTOH...KEPADA SEMUA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Projek Belimbing PPK,
Klan Halt 3, Tanjung Malim,
Perak, Malaysia.
(18 Rabiulawal 1435).      

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...