Support My Blog

Wednesday, February 19, 2014

PERTANIAN LESTARI - KESAN KENAIKAN HARGA (Pt 3)

PRODUK PERTANIAN (Agriculture produce) merupakan satu perkara penting yang berkait dengan kehidupan seharian kita. Sering kita mendengar mengenai kejadian TURUN-NAIK harga makanan dalam masa tertentu yang mana ia adalah norma pasaran (market norms) berdasarkan kepada sistem ekonomi bebas yang bergantung kepada Permintaan (Demand) dan juga Bekalan (Supply). Rata-rata hakikat ini telah diterima oleh rakyat jelata dimana harga bahan makanan sentiasa berubah mengikut masa tertentu sehinggakan kini ada Akta Kawalan Harga diperkenalkan oleh kerajaan. Pada musim-musim perayaan, lazimnya kerajaan akan mengumumkan kepada orang ramai mengenai beberapa barangan utama untuk dikawal kadar harganya. Malahan sistem pemasaran perlukan harga turun dan naik untuk membolehkan masalah lebihan atau pun kekurangan produk diatasi. Dalam Kementerian Pertanian terdapat beberapa agensi yang membantu dalam aspek pemasaran produk-produk pertanian iaitu FAMA dengan pengujudan Pasar Tani diseluruh negara. Selalunya apabila berlaku lambakan produk pertanian maka ianya akan diatasi dengan tawaran harga yang rendah, stok berlebihan yang akan dijual secara borong dan menjalankan banyak promosi jualan secara terkawal. Paling penting disini adalah golongan pengeluar seperti petani tidak mengalami kerugian dan pengguna mendapat harga rendah yang munasabah. Menteri Pertanian dan Industri asas Tani telah melancarkan 'Kempen Jihad Memerangi Orang Tengah' patut disokong kerana ini akan menguntungkan kedua-dua pihak iaitu pihak pengeluar dan juga pengguna. Pengeluar seperti petani, penternak dan nelayan adalah kumplan yang akan mendapat faedah daripada kempen ini jika dijalankan dengan baik dan tersusun. Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai pertanian lestari yang berkait dengan penghasilan produk pertanian, aktiviti lepas tuai dan kesan sistem rantaian nilai untuk dijadikan bahan rujukkan dan bacaan dalam Part 3.



Kini kenaikan harga makanan memang didorong oleh kenaikan dalam harga input pertanian asas seperti baja, bahan kimia, tanah, buruh dan mesin jentera atau alatan pertanian. Saya menulis beberapa artikel berkaitan dengan harga input pertanian untuk dibuat rujukkan (Sila klikdisini). Kenaikan harga minyak seperti diesel juga menyebabkan keresahan kepada ramai para nelayan yang menggunakan bahanapi tersebut dengan kuantiti banyak setiap kali turun kelaut. Walaupun kerajaan melindungi harga petrol dan diesel tetapi penggunaan bot-bot besar memerlukan  kuantit minyak banyak. Kajian menunjukkkan harga baja telah meningkat 25% semenjak krisis makanan 2008 dimana mulai dua tahun lepas tahap upah buruh juga meningkat. Dalam pasaran pengeluaran bahan makanan yang tidak menentu dan berisiko tinggi, persepsi adalah pertimbangan utama kepada pengeluar, peniaga dan pengguna dalam membuat keputusan dan mengambil tindakan. Mereka lazimnya akan membaca dan membentuk persepsi ke atas pengumuman mengenai pelaksanaan GST, penarikan subsidi gula, kenaikan kos input dan upah serta rancangan untuk menarik pelbagai subsidi terutama subsidi petrol secara berperingkat-peringkat. Besar kemungkinan peniaga mengambil langkah berjaga-jaga dengan meningkatkan paras harga untuk meminimumkan impak perubahan semua ini ke atas perniagaan mereka. Sebagai contoh apabila harga gula dinaikkan sebanyak 20 sen sekilogram, harga cendol di Pasar Minggu Dengkil yang sebelum ini hanya RM1.00 telah dinaikan kepada RM1.60 satu cawan. Satu kilogram cendol boleh dapat berapa cawan cendol?. Persepsi seperti ini yang akan menyebabkan kenaikan kos sara hidup rakyat. 


Antara perkara yang sering diperkatakan oleh masyarakat adalah kenaikan harga barangan kegunaan harian terutama bahan makanan. Terdapat beberapa faktor yang mudah dipertahankan untuk menerangkan gejala kenaikan harga yang signifikan iaitu kenaikan kos bahan api. Selain itu saya fikir faktor serius yang tidak disedari ramai adalah faktor perubahan beberapa DASAR KERAJAAN atau faktur sistemik. Mungkin persepsi beberapa kefahaman yang menular sekian lama dimana berlaku cara meminggirkan sektor pertanian yang penting untuk menghasilkan makanan beralih kepada sektor industri dan pembuatan kerana penekanan kepada perindustrian mulai 1980-an. Seperti yang terbukti pada 2008 telah pun berlaku satu kejutan krisis makanan dunia dan ianya telah mendedahkan daya tahan sektor makanan negara dan dunia. Malaysia mempunyai ketahanan yang tipis sehingga menggugat sekuriti makanan dalam negara terutama dalam menangani kecukupan beras. Apakah pilihan terbaik untuk kita membendung kenaikan harga seperti ini?. Biasanya apa yang boleh dilakukan adalah cara penyelesaian untuk jangka pendek sahaja yang mudah dilaksanakan. Tetapi cara penyelesaian yang lestari memerlukan perancangan dan komitmen politik yang jitu dan perlaksanaan kukuh oleh banyak pihak.


Strategi jangka masa pendek termasuk mengimport produk penting seperti komoditi makanan. Penawaran boleh dianggap stabil kerana kebangkitan negara pengeksport seperti China, India, Vietnam, Myanmar selain pasaran yang telah bertapak lama seperti Thailand. Pada tahun 2008, apabila berlaku kekurangan bekalan bijirin terutama beras, menteri kita terpaksa pergi kepada negara alternatif lain untuk membeli beras tetapi harganya jauh lebih tinggi kerana kontrak pasaran mereka sedia ada. Kalaun dahulu harga 10 kg beras Gred A cuma RM 20.00 - RM25.00 tetapi selepas krisis makanan ia meningkat hampir dua kali ganda dipasaran. Cara Memantau dan mengawal harga makanan memang strategi yang baik, tetapi ia memerlukan sokongan seperti pasaran yang kompetitif, sistem maklumat pasaran yang cekap dan kesedaran dan keprihatinan dalam kalangan pengguna. Dalam perancangan jangka masa panjang, apa yang lestari dan berkekalan adalah struktur industri makanan yang dinamik dan terus tumbuh. Masalah struktur dan sistemik pasaran yang membatasi kemajuan sektor ini dalam dekad-dekad yang lepas perlu diperbaiki atau pun diubahsuai semula. Kehendak pengguna, karenah agen pemasaran dan tabiat pengeluar bahan makanan telah berubah dalam beberapa dekad berlalu. Pengalaman di Taiwan, Korea dan Thailand dan di negara Barat menunjukkan pendorong paling utama kepada pertumbuhan sistem ini adalah dengan Teknologi. Teknologi baru memang difikirkan boleh membantu dari segi kecekapan kos, produktiviti, nilai tambah yang tinggi. Bagaimana pun teknologi hanya boleh diperolehi melalui penyelidikan, adaptasi atau inovasi yang lazimnya melibatkan KOS. Cabaran penting seperti tarikan sumber yang kuat daripada sektor industri dan sektor bukan makanan memang perlu ditangani dengan lebih banyak suntikan. Ini termasuk suntikan dari segi modal pelaburan infrastruktur, insentif, sokongan institusi dan penyelidikan. Semua ini telah tercatat dalam polisi pertanian negara seperti Dasar Agro Makanan Negara (DAN) tetapi semua pihak perlu bersama-sama menjayakannya. Jika Dasar ini tidak mencapai matlamatnya maka ia memerlukan lagi penekanan yang lebih serius dan pendekatan baru. Pertanian lestari memang memerlukan penglibatan semua pihak daripada pembuat dasar, pelaksana, pengeluar, sokongan pihak swasta dan orang ramai untuk menjayakannya. Wasallam!. 

PERTANIAN LESTARI...APA DIA...
SERING DIBINCANG...MERATA2...
HASIL PERTANIAN...NAIK HARGA...
KITA PENGGUNA...PALING TERASA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
Wilayah Persekutuan,
 Malaysia.
(16 Rabiulakhir 1435H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...