Support My Blog

Monday, February 24, 2014

TEKNOLOGI NANO - APA DIA (Part 1)

TEKNOLOGI NANO diiktiraf sebagai suatu penemuan paling maju pada abad ini tetapi bagaimana teknologi ini dalam bidang pertanian belum banyak dibincangkan secara khusus. Penggunaan teknologi nano terbukti memberikan manfaat kepada manusia, khususnya dalam bidang perubatan, bidang elektronik, kawalan alam sekitar dan bioteknologi. Teknologi nano juga membantu bagi mengenalpasti bahan pencemar melalui teknik penggunaannya sebagai sensor elektronik dan sekali gus membangunkan teknologi pemulihan terhadap segmen alam sekitar. Dalam istilah sains, partikel nano yang dijadikan nama teknologi ini boleh ditakrifkan sebagai partikel atau zarah pada skala nano iaitu 10-9 m atau lebih dikenali sebagai nanometer (nm). Kebanyakan partikel nano adalah dalam lingkungan partikel yang bersaiz 1 hingga 100 nm. Kita sukar hendak membayangkan saiz ini tetapi jika kita buat perbandingan fizikal bahan bersaiz nano adalah seperti diameter rambut manusia iaitu bersaiz 70,000 nm. Selain itu saiz sel darah merah iaitu pada lebar 5,000 nm dan molekul organik ringkas pada julat 0.5 hingga 5 nm. Saiznya partikel yang teramat kecil dan mempunyai jumlah luas permukaan yang besar adalah suatu ciri yang unik. Ini menjadikan partikel nano mempunyai ciri-ciri yang khas untuk digunakan dalam bidang tertentu. Teknologi ini sering digunakan dalam mempromosikan beberapa produk komersil yang menyebut mereka menggunakan "Teknologi Nano" dalam proses menyediakan produk. Kita akan mudah terpengaruh dengan ikklan ini kerana membayangkan ia satu teknologi yang canggih, moden dan mahal. Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai teknologi nano untuk bahan bacaan dan rujukkan anda setelah membaca beberapa buku dan lamanweb.


Dalam industri berkaitan teknologi ini, partikel nano boleh dihasilkan melalui tiga cara iaitu pertama penghasilan khusus bagi tujuan penghasilan teknologi nano. Sebagai contoh penghasilan bahan seperti titanium dioksida, silikon, fuleren dan tiub karbon nano. Kedua, penghasilan secara tidak disengajakan melalui proses industri dan ekzos kenderaan. Sebagai contoh pelepasan partikel nano melalui kerja kimpalan, sisa partikel penyaduran logam, penyembur plasma, industri penghasilan serbuk detergent, serpihan zarah daripada juzukan senjata kimia dan juga pelepasan partikel enjin kenderaan diesel. Manakala cara yang ketiga, melalui pelepasan secara semula jadi menerusi letusan gunung berapi dan kebakaran hutan yang menghasilkan partikel di dalam udara bebas. Kesemua kaedah diatas nampaknya tidaklah canggih sangat. Saiz jisim partikel nano yang teramat kecil menyebabkan ia mudah diangkut di dalam udara dan boleh disebarkan pada jarak yang jauh. Ciri khas lain bagi partikel nano ialah sifat ketoksikan (toxicity) yang sangat berkait rapat dengan permukaannya. la merupakan perbezaan utama berbanding dengan unsur utamanya pada saiz yang besar, iaitu lebih banyak bergantung pada jisimnya. Partikel nano amat kecil (dihuraikan dalam bentuk jisim) tetapi mempunyai impak toksik yang besar. Perkara ini adalah disebabkan oleh luas permukaannya yang besar. Kajian mendapati kesan toksik yang lebih tinggi bagi partikel nano dibandingkan bagi bahan yang sama pada saiz yang lebih besar.


Pengenalpastian partikel nano agak rumit dan kompleks dan memerlukan alat yang khusus untuk mengukur kehadiran bahan partikel nano pada persekitaran. Sistem yang dikenali sebagai Scanning Mobility Particle Size bagi mengukur aerosol (Semburan Racun Aerosol dirumah), misalnya boleh digunakan bagi mengukur partikel nano dalam fasa gas. Terdapat juga teknik bagi mengukur partikel nano dalam fasa cecair, seperti chromophore counting, resonant light scattering, Raman scattering techniques dan juga High Resolution Transmission Electron Microscopy (HRTEM). Memandangkan partikel nano mempunyai potensi yang boleh memudaratkan manusia, kajian penilaian risiko terhadap bahan partikel nano perlu diadakan sebelum boleh digunakan secara meluas. Kajian penilaian risiko boleh dibangunkan dengan mengenal pasti bahaya yang dihadirkan daripada bahan berskala nano. Kajian toksikologi dalam penilaian risiko, misalnya dapat membantu sedikit sebanyak mengenai impak ketoksikan bahan berskala nano kepada manusia. Hasil kajian yang didapati boleh dikumpulkan bagi membentuk pangkalan data mengenai sifat ketoksikan bahan partikel nano. Maklumat yang ada, boleh membantu saintis untuk merancang langkah berjaga-jaga dan menyusun prosedur keselamatan bagi menggunakan bahan partikel nano. Lazimnya dalam konteks kejuruteraan pula, maklumat ini dapat membantu bagi para jurutera untuk mereka bentuk sistem dan peralatan yang boleh mengawal penghasilan partikel nano dan kaedah untuk pengenalpastiannya dalam persekitaran. Mungkin coretan ini memberi sedikit asas maklumat mengenai teknologi nano untuk dijadikan pemahaman. Artikel bersambung dalam Part 2 dan 3 pada artikel berikut (Sila klik disini). Wasallam!.


TEKNOLOGI NANO....HEBAT NAMANYA...
PARTIKEL AMAT HALUS...MACAMANA....
TEKNOLOGI HASILKAN....ADA 3 CARA... 
BOLEH DIUKUR...GUNA ALATANNYA...

By,
M Anem,
Senior Agrologist,
Taman Cendana,
Jalan Istana, Persimpangan Bukit Beruang,
Bandar Melaka, Melaka,
Malaysia.
(23 Rabiulakhir 1435H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...