KLIK SAYA SOKONG BLOG

Sunday, January 12, 2014

POKOK SAGU

POKOK SAGU (Metroxylon sagu) tergolong dalam tanaman dari keluarga Palmae (sekarang dipanggil juga keluarga Arecaceae) yang tumbuh menegak dan lazimnya akan mengeluarkan sulur. Pokok sagu banyak terdapat di Asia Tenggara seperti di Malaysia, Indonesia iaitu kawasan hutan hujan. Pokok sagu juga kita kenali juga sebagai pokok Rumbia (Sila baca artikel saya - Sila klik disini). Pokok sagu selalunya mempunyai batang yang besar, tegap, mencapai ketinggian antara 10 - 12 meter. Pokok sagu juga mempunyai isi yang lembut dan mengandungi kandungan kanji yang tinggi. Pokok sagu juga merupakan sumber makanan asasi bagi kaum peribumi di Sabah dan Sarawak serta pendalaman Borneo antaranya suku kaum Bisaya, Penan dan Melanau. Dilihat dari segi marfologi pokok, pokok sagu mempunyai banyak pelepah berbentuk pinnate 6 - 8 meter panjang yang mula-mula tegak kemudian perlahan-lahan melengkung ke bawah. Pokok sagu mengeluarkan jambak bunga yang menghasilkan banyak bunga jenis dwiseks dan kemudian akan mengeluarkan biji-biji sagu. Bunganya adalah jenis ‘protandrous’ di mana bunga jantan akan menjadi matang dahulu daripada bunga betina. Ini bagi memastikan pendebungaan kacuk (cross pollination) akan berlaku. Musim berbunga akan mengambil masa dua tahun di mana selepas ini pokok rumbia akan mati. Pengalaman saya betugas di Sarawak memberi peluang untuk saya mengenali pokok sagu yang digunakan sebagai satu tumbuhan bernilai ekonomi. Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai tumbuhan pokok sagu dan beberapa teknologi berkaitan dengan pokok sagu.

Pokok sagu yang tumbuh semulajadi di banyak kawasan di Sarawak mempunyai signifikan dengan mesyarakat tempatan. Masyarakat Melanau terkenal dengan makanan tradisionalnya iaitu sagu. Satu laporan kajian telah dilakukan di kampung Tellian Tengah. Kajian dilakukan adalah bertumpu di rumah penduduk asal yang menghasilkan sagu iaitu Augustine Anyub bin Kusau yang berusia 79 tahun dan anaknya iaitu Catherine binti Augustine Anyub serta menantunya Osman. Pokok Sagu dipanggil pokok mulong oleh penduduk tempatan. Sejarah pokok mulong menurut beliau adalah berasal daripada Negara China. Beliau mengatakan bahawa pedagang dari China membawa pokok mulong ke Mukah, Sarawak. Berdasarkan cerita tempatan mereka mempercayai pedagang China ini hanya membawa dua batang pokok sahaja. Kawasan yang terdapat banyak pokok mulong di Mukah adalah dari kawasan Ulu Mukah dan Dalat. Dari sudut geografinya pula, tanah yang sesuai untuk menanam pokok mulong ialah tanah gambut. Tempoh pokok mulong matang bergantung kepada kesuburan tanah. Cara penanaman pokok mulong adalah dengan menggali sedikit lubang dan seterusnya memasukkan anak pokok tersebut ke dalam lubang yang telah digali itu tadi. Selepas itu, dua kayu akan dipacak secara berpalang merentasi anak pokok tersebut. Fungsi kayu yang berpalang adalah untuk mengelakkan anak pokok mulong dihanyutkan oleh air. Jangka masa untuk menebang pokok mulong adalah dalam tempoh 13 tahun. Beliau menyatakan juga tunas pokok mulong sentiasa bercambah selepas proses penebangan pokok mulong.

Mengikut aspek kepercayaan pula, proses penebangan pokok mulong mempunyai pantang larangnya tersendiri. Antara pantang larangnya ialah sekiranya terdapat tikus yang melintasi kawasan pokok mulong tersebut, maka pokok mulong tersebut tidak boleh ditebang kerana kemungkinan ada orang yang meninggal umpama kita membaling batu kepada orang yang meninggal tersebut. Pantang larang seterusnya ialah sekiranya terdapat ular yang melintas ketika ingin menebang pokok mulong, kita boleh dianggap seperti mengikat keranda orang yang sudah mati dengan menggunakan tali. Kepercayaan ini dipercayai sehingga ke hari ini. Selain itu, sebelum pergi menebang pokok, jika terdapat seekor ayam yang melintasi perahu, kita tidak boleh menebang pokok mulong. Hal ini kerana mengikut kepercayaan mereka akan berlaku sesuatu bencana. Pantang larang yang seterusnya dalam menebang pokok mulong, adalah jika terdengar bunyi seekor burung “Bukeng” , siulan burung tersebut perlulah didengar dengan teliti sebelum menebang pokok mulong, hal ini kerana jika kali pertama mendengar siulan burung tersebut maka dilarang untuk menebang pokok tersebut. Namun jika siulan burung tersebut didengar berulang kali maka penebangan pokok mulong dibenarkan. Siulan burung tersebut membawa maksud siulan yang pertama memberitahu terdapat saudara yang terdekat yang meninggal manakala jika siulan tersebut berulangkali bererti tiada apa-apa yang berlaku. Setelah didengari segala pantang larang tersebut, mengikut kepercayaan kaum melanau itu sendiri segala pantang larang itu membawa maksud ada hantu yang memberitahu kepada burung “Bukeng” dan burung tersebut menyampaikan kepada manusia. Walaubagaimanapun, segala pantang larang yang dinyatakan oleh Augustine Anyub tersebut tidak lagi diguna pakai pada masa sekarang. Ilmu penebangan pokok mulong dan pemprosesan pokok mulong menjadi tepung lemantak (sagu) telah diberikan sepenuhnya kepada Osman iaitu menantu beliau sendiri. Bagi Osman kerja-kerja penebangan dan pemprosesan pokok mulong adalah untuk dirinya sendiri, namun jika terdapat lebihan barulah beliau menjual kepada orang lain. Proses penebangan pokok mulong mengambil masa yang lama dan juga tenaga yang banyak. Langkah pertama adalah mengenal pasti jenis pokok mulong yang hendak ditebang terlebih dahulu, selepas itu penggunaan mesin gergaji (jingsaw) untuk menebang pokok. Sebatang pokok mulong apabila dibahagikan kepada 30 inci boleh dipotong kepada lapan bahagian. Lapisan pokok mulong adalah tiga lapisan , iaitu lapisan yang pertama sebelum ditebang pokok mulong lapisan yang pertama perlu dibersihkan menggunakan parang. Lapisan yang kedua adalah setelah ditebang dan sebelum dibahagikan kepada lapan bahagian. Dan lapisan terakhir adalah setelah direndam dalam air selama 20 hari.

Selepas proses penebangan pokok mulong, bahagian-bahagian tersebut digolekkan menuju ke tebing sungai. Seterusnya bahagian-bahagian tersebut ditolak terus ke dalam sungai sebelum diikat menggunakan tali. Bahagian-bahagian tersebut disatukan menjadi seperti rakit kemudian ditarik menggunakan perahu atau tenaga manusia itu sendiri. Bahagian-bahagian tersebut boleh ditarik menggunakan perahu jika air sungai pasang, jika air sungai tersebut surut maka tenaga manusia diperlukan untuk menarik bahagian-bahagian tersebut. Sebaik sahaja selesai proses penebangan pokok, bahagian-bahagian kecil pokok mulong tersebut direndam dan dibiarkan selama 20 hari di dalam sungai untuk memastikan sagu yang diproses mempunyai isi yang mencukupi, selain itu proses merendam tersebut adalah untuk mengelakkan daripada dimakan oleh ulat.

POKOK SAGU...POKOK RUMBIA...
POKOK MULONG...SAMA SAJA...
POKOK DITEBANG...IA DIBAWA..
DIRENDAM AIR...20 HARI LAMA...
LALU DIPROSES...SAGU JADINYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Mukah, Sarawak,
Malaysia.
(30 Safar 1435H) 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...