KLIK SAYA SOKONG BLOG

Wednesday, January 8, 2014

CILI PADI - PENYAKIT DAN PEROSAK

CILI PADI (Capsicum frustecens Linn) merupakan sejenis tanaman daripada keluarga Solanaceae yang memberikan rasa pedas kepada makanan. Tanaman cili padi mempunyai banyak musuh dan penyakit jika ditanam secara komersil dan sehingga kini belum mempunyai teknologi yang sesuai untuk mengawal penyakit cili padi berasaskan virus dan bakteria. Pengalaman penulis yang banyak kali menanam cili padi mendapati, diantara masaalah utama adalah serangan Penyakit Kerinting Daun dimana pokok cili padi akan cepat mati selepas itu. Beberapa teknologi yang telah diaplikasi tetapi belum jumpa yang betul-betul 'baik punya' untuk mengatasi masaalah ini. Bekalan cili padi yang kurang dan serangan penyakit menyebabkan harga cili padi tidak pernah jatuh terutama pada musim tengkujuh. Nama lain bagi Cili padi adalah seperti Cili Api, Cili Rawit (Lombok Rawit), Cabai Burung, Lada Jarum atau Lada Tunggeng (kerana buahnya dalam keadaan terbalik) dan bermacam lagi. Pemerhatian yang saya buat mendapati cili padi ini merupakan sejenis tumbuhan sangat popular di beberapa negara Asia Tenggara terutama di Malaysia, Indonesia dan Thailand. Penanaman cili padi di Malaysia saya dapati tidak ada maklumat rasmi mengenai keluasannya kerana ia tidak spesifik dilaporkan (Keluasan dikira bersama dengan cili merah atau cili besar). Penanaman cili padi dibuat untuk bekalan domestik dan ia menerima permintaan yang tinggi dikalangan masyarakat tempatan setiap hari. Artikel petang ini saya berfikir untuk menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai penyakit dan perosak tanaman cili padi yang merupakan cabaran utama dalam penanaman cili dinegara kita.

Terdapat banyak ancaman terhadap pokok cili termasuk cili padi. Antara penyakit utamanya adalah seperti Penyakit Layu Bakteria Kerinting Daun yang disebabkan oleh Virus Tristeza (Lihat foto sebelah). Perkara merupakan satu dari masaalah dalam penanaman cili padi dan sentiasa menjadi 'Ketakutan' kepada petani yang menanam cili padi. Pemerhatian yang saya jalankan dan temubual dengan beberapa petani mendapati, apabila telah mula berlaku serangan kerinting daun pada satu dahan atau pokok, ianya akan cepat merebak kepada pokok lain dengan cepat jika tidak dikawal dengan segera. Beberapa kajian dan pemerhatian melihat antara tanda serangan apabila dilihat daun muda yang aktif mula kerinting. Selalunya ia akan kelihatan berkerekot atau bergulong dan kadang-kadang kekuningan sedikit bermula pada satu dahan dan akan membiak kekawasan lain. Akibatnya pokok tidak dapat menjalankan fotosintesis dengan cekap dan pengeluaran bunga akan terganggu atau tidak berbunga langsung. Lazimnya tunas-tunas baru tidak akan keluar dan jika ada buah pun saiznya sangat kecil (macam cili mini). Sehingga kini memang belum ada kajian terperinci bagaimana punca serangan tetapi serangga seperti koya, semut, aphids serta serangga lain mungkin menjadi agen merebaknya penyakit ini selain daripada petani sendiri yang kurang menjalankan sanitasi. Kawalan dengan racun kimia hampir tiada langsung dimana adalah disyorkan agar dahan pada pokok diserang dipotong dan dibakar. Bagaimana pun syor yang terbaik adalah jika berlaku serangan yang sangat teruk maka seluruh pokok dalam kebun tersebut mesti dicabut dan dibakar. Kajian dijalankan juga mendapati jika banyak pokok dalam kebun telah banyak diserang lebih balik musnahkan semua dimana jika di tanam baru adalahlebih praktikal. 

Kedua adalah Penyakit Bintik Daun (Cercospora spp) pula mengakibatkan daun yang diserang berbintik dan mengurangkan aktiviti fotosintesis (Sila lihat foto disebelah). Bagaimana pun penyakit ini boleh dikawal dengan semburan racun Benomyl. Serangan bintik daun jika tidak dikawal juga akan mengurangkan hasil atau menurunkan kualiti buah cili. Ketiga yang menyerang cili padi adalah Penyakit Antraknos Buah Cili Padi yang disebabkan oleh kulat Collectotricum spp. dimana serangan ini akan merosakkan kualiti buah cili padi. Lazimnya kaedah kawalan dengan semburan racun seperti Mancozeb dengan kadar disyorkan pada label. Penting untuk diberitahu kepada petani bahawa setelah semburan racun dibuat jangan terus dipetik buah cili padi dan tunggu TDMH (Tempoh Dilarang Mengutip Hasil) seperti yang dituliskan pada label racun. Petani sebaiknya perlu menghasilkan cili padi yang Berkualiti, Bersih, Berkhasiat dan yang penting tidak ada sisa baki raacun didalamnya. Ini bagi menjamin bahawa cili padi tersebut selamat dimakan melalui amalan baik ladang atau MyGAP. Kalau dikampong dulu memang petani tidak pernah sembur racun pada pokok cili yang menyebabkan kita boleh dakwa ia 'Cili Organik'.

Antara penyakit cili padi yang paling kritikal adalah Penyakit Layu Bakteria yang disebabkan oleh Phytium spp atau Fusarium spp yang mengakibatkan pokok yang diserang akan layu dan boleh mati jika tidak dikawal segera. Penyakit ini mudah menyerang tanaman cili padi terutama jika kawasan tersebut pernah ditanam dengan cili padi atau tanaman lain dari famili Solanaceae dan tanah agak lembab. Kawalan untuk penyakit ini adalah dengan kaedah Amalan Pertanian Baik seperti mencabut pokok yang telah diserang dan perlu membakarnya, semburan racun kulat , memilih anak benih rintang penyakit, kebersihan ladang dan jalankan giliran tanaman. Serangan boleh berlaku dari peringkat awal pertumbuhan sehingga pokok matang untuk berbuah. Jika berlaku pada peringkat awal penanaman perlu dijalankan sulaman anak benih. Jalankan pemantauan di kawasan tanaman cili dari kemungkinan jangkitan dari pokok yang telah diserang.

Saya dapati diantara perosak tanaman cili padi adalah Hamama Merah, Kutu Daun dan Aphids serta Koya. Serangga ini merupakan agen untuk peyebaran pathogen pembawa penyakit sama ada kulat, bakteria atau virus pada pokok cili. Koya yang tinggal di bawah daun yang telah berkerekot dimana lazimnya akan menghasilkan cecair manisan (secretion) yang akan menyebabkan semut suka akan manisan tersebut menghisapnya, berlendir dan memnyebabkan akan wujudnya kulat Jelaga Hitam. Koya juga mampu bergerak keseluruhan pokok cili padi dimana ini menyebabkan kadar serangan penyakit cepat merebak. Bagi mengawal masaalah kutu daun boleh digunakan semburan racun kimia seperti chlorpyrifos imidachlorpid mengikut arahan pada label. Serangan Hamana Merah boleh dikawal dengan semburan racun Malathion atau Dichlofol. Penanaman cili padi sememangnya boleh dilakukan sendiri dikawasan keliling rumah yang mudah kita lihat dan menjaganya. Wasallam!


CILI PADI...BANYAK PENYAKITNYA...
DAUN KERINTING...MERBAHAYA...
LAYU BAKTERIA..TIADA UBATNYA...
CABUT DAN BAKAR...ITU SAHAJA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Projek Kelompok Sayuran,
Kg Simpang Loi, Buloh Kasap,
Segamat, Johor,
Malaysia.
(1 RabiulAwal 1435H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...